Wednesday, December 8, 2010

2
Komen
~ Berminta-minta itu merendahkan ~

akan dihormati bila kemuliaan diri tinggi.


Assalamualaikum wbt.

Apa khabar?

Moga Allah sihatkan kita semua InsyaAllah.

Pembaca yang budiman,

Hari ini, saya ingin mengajak kalian untuk kita menelusuri satu kisah. Penting sebenarnya saudara, demi menjaga kemuliaan diri kita. Sebabnya, kadang-kadang kita alpa dalam soal ini malah kita tak perasaan bahawa kita sedang menjatuhkan kemuliaan diri.

Sajian kisah ini untuk kita bersama. (",)

Berkat teguran Rasulullah yang ikhlas

Kisah ini berlaku pada zaman Rasulullah. Ada seorang lelaki namanya Hakim Ibn Hizam. Dia pernah mendapat nasihat dan teguran dari Rasulullah saw.

Pada suatu ketika, dia datang meminta suatu barang dari nabi saw dan baginda memberi apa yang di mintanya. Tetapi, kali yang seterusnya dia datang meminta lagi. Nabi saw sekali lagi memberinya.

Kemudian, dia datang meminta lagi, nabi masih memberinya juga tetapi kali ini baginda turut memberi nasihat.

" Wahai Hakim!" kata Nabi. " Harta benda ini menarik dalam pandangan juga manis dalam perasaan. Siapa yang mempunyainya dengan tiada tamak haloba, maka dia akan mendapat keberkatan. Tetapi siapa yang mempunyainya dengan jiwa yang tamak haloba, maka dia tidak akan mendapat keberkatannya. Bagaikan orang yang makan tetapi tidak kenyang. Juga tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima."

Dari tadi Hakim  begitu asyik mendengar nasihat Rasul saw lalu merasa sendiri sikap dirinya yang sudah meminta berulang kali kepada Rasulullah. Insaf. Baginda ingin Hakim menjaga kehormatan dirinya, cemas kalau kepada orang lain juga dia meminta-minta.

Tiba-tiba Hakim mengemukakan perasaan hatinya ; " Ya Rasulullah! Demi Allah yang telah mengutus engkau dengan hak, aku tidak akan melakukan perkara ini lagi selepas ini kepadamu sehingga aku meninggal dunia."

Hakim berjanji dengan dirinya di hadapan Rasulullah, tak akan meminta-minta lagi dan tak akan menerima pemberian. Nasihat Rasulullah sudah jelas buat dirinya dan dia perlu menjaga kemuliaan diri.



Pada suatu hari, Abu Bakar ra iaitu sahabat nabi berhajat hendak memberinya suatu barang. Tetapi Hakim tidak mahu menerimanya. Dia tidak mahu melanggar janjinya dahulu. Pernah Saiyidina Umar Ibnu Khattab juga memanggilnya untuk memberi suatu barang. Tetapi Hakim juga menolak, dia tetap tidak mahu menerimanya. Melihat sikap Hakim ini, Umar ra pun berkatakepada orang sekelilingnya ;

" Wahai kaum muslimin! Aku menjadikan kamu semua sebagai saksi terhadap hakim ini. Aku telah sampaikan kepadanya suatu barang yang menjadi haknya, tetapi dia enggan menerimanya."

Tingkah-laku Hakim ini menarik perhatian orang. Sejak dia menerima nasihat daripada Nabi saw semasa pemberian penghabisan. Dia tidak mahu lagi menerima apa jua. Walaupun banyak yang mahu memberi, tetapi dia tetap menolak. Sampailah dia meninggal dunia, tak pernah dia melanggar janjinya di depan Rasulullah saw satu ketika dahulu.

Demikianlah seorang yang menjaga kemuliaan diri sehingga orang hormat kepadanya.

Subhanallah.

Akhir ; berusaha untuk hidup

Saudaraku,

Agama kita menganjurkan kita berusaha untuk mendapat keperluan hidup. Tidak baik meminta-minta dan mengemis. Kecualilah orang yang benar-benar sengsara oleh kerana cacat badannya, buta, dll. Perlu kita tolong bersama-sama, tak baik dihina atau dimaki-maki.

Kalau tak sempat kita menolong, kita katakan dengan lemah lembut. Nabi saw pun sudah berpesan.

" Kamu tak akan dapat melapangkan hati orang dengan harta kamu dan jiwamu. Tetapi akan lapang hati mereka dengan air mukamu yang manis dan budimu yang baik."

Wallahu'alam. (",)

2 comments: