Saturday, December 31, 2011

3
Komen
~ Hero Yang Dipilih ~

Kita akan berlayar dengan berpandukan 'bintang' yang kita percaya.
Dalam hidup ini, kita tidak dapat lari daripada manusia yang kita sayang. Daripada manusia yang kita cinta seikhlas hati. Daripada manusia yang sentiasa ingin melihat kita berjaya dan menang. Daripada manusia yang kita benci. Daripada manusia yang kita percaya separuh hati. Daripada manusia yang kita kagumi dan ingin contohi.

Oleh sebab itu, kehidupan kita tidak akan jadi seperti sekarang sekiranya manusia yang disebutkan di atas tidak wujud dalam hidup kita.

Apabila kita bertemu dengan mereka, maka segenap perasaan dan citarasa seakan bermain seperti tarik tali. Sekejap kita ceria. Sekejap kita rasa berbunga. Sekejap kita sedih. Sekejap kita rasa meluat dan kemudian bertukar menjadi gembira kembali.

Bahkan semua itu perkara biasa. Langsung tidak lari dari kebiasaan. Sememangnya perasaan-perasaan ini kadang-kadang membuatkan kita sedar bahawa kita adalah hamba Allah yang lemah. Perlu bergantung kepada pemilik hati. Perlu berharap kepada yang mampu membuka pintu rahmat dari langit tinggi.

Namun, di tengah-tengah kita sedang bermain tarik tali, sebenarnya ramai yang tersungkur tewas. Ramai yang tenggelam lemas. Tidak terkecuali juga mereka yang baik boleh bertukar menjadi ganas.

Sebab apa? Hati dan perasaan adalah dalaman. Apabila kita cuba bersikap seperti kita adalah pemilik kunci hati, maka penghujungnya kita akan rasa bahawa kita keseorangan. Malah, kunci yang kita pegang adalah kunci yang palsu dan tidak berfungsi.

Jadi, apa yang perlu kita buat? Pertama, kita kena usaha untuk berbaik-baik dengan ‘pintu hati’. Seterusnya, kita kena merapat kepada Pemilik Kunci yang sebenar. Berdoa dan meminta kepadaNya.

Barulah bunga yang kita cinta tidak akan menjadi tahi ayam. Barulah jiwa yang panas dengan hasad dengki akan berakhir dengan jiwa yang tenteram. Barulah idola yang kita kagum dan ingin contohi itu tidak membawa kita ke lembah kegelapan malam. Dan barulah insan yang kita sayang itu, kita akan jaga baik-baik agar kita dan dia terselamat dari neraka Jahanam.

Semuanya kita akan dapat apabila kita meletakkan pengharapan dan pergantungan kepada Pemegang kunci tersebut. Serta kita tahu, bahawa Dialah yang akan menilai segala-galanya. Tidak kira pada luaran mahupun dalaman.


Hakikat Hujan Akan Turun Dari Langit


Artikel kali ini, kita akan membicarakan tentang manusia yang kita segani. Yang kita angkat mereka menjadi insan idaman. Boleh? Jom.. Enjoy..
Sebagai manusia, saya dan anda kita sama juga serupa. Tidak ada beza. Kerana kita masing-masing mempunyai contoh yang kita kagum. Dan itu adalah lumrah. Bahkan adalah api pembakar semangat yang sukar dipadam dan disiram bilamana kita benar-benar kagum kepada seseorang.

“Saya minat menulis blog.”

Maka, dia ada contoh dan manusia yang dikaguminya.

“Saya suka menyanyi.”

Maka, dia ada contoh dan manusia yang dipercayainya.

“Saya suka main bola dan badminton.”

Maka, dia ada contoh dan manusia yang ingin berdiri sama tinggi dengan mereka.

Lihat. Mustahil bagi kita yang meminati sesuatu dalam masa yang sama tidak ada idola atau manusia yang ingin dicontohi? Malah, semestinya kita tahu bahawa apabila kita ingin mencontohi seseorang, sudah pasti terdapat beberapa kelebihan atau kejayaan yang telah dicipta, menyebabkan kita yang biasa-biasa ini mengambil mereka sebagai ‘role model’ untuk melakar dan menandingi sejarah lama.

Ok. Saya ingin membawa anda semua melihat realiti. Sebagai rakyat Malaysia, kita pasti kenal dengan Afdlin Syauki bukan? Bunyi pelik pula kalau ada yang tidak kenal.

Beliau seorang pelakon, pelawak, juga pengarah filem di negara kita. Dan saya tahu, ramai sahaja dalam kalangan kita yang mengambil beliau sebagai contoh. Mungkin dalam kehebatan beliau yang kreatif menghasilkan drama komedi dan sebagainya.

Walaupun begitu, rupa-rupanya Afdlin Syauki juga mempunya ‘hero’ dalam bidang seni yang diceburinya. Siapa? Seorang pelawak lagi terkenal. Iaitu Harun Salim Bachik. Nampak? Hakikat hero yang kita jadikan itu adalah pelawak, maka kita tidak akan jadi ustaz. Kita tidak akan jadi chef memasak. Pasti kita akan jadi pelawak juga.

Terbuktilah kaitannya. Hakikat hujan akan turun dari langit. Tidak sesekali akan muncul dari bumi. Melainkan dengan izinNya.


Nama yang Saya Kagumi


Satu ketika dahulu, saya pernah ditanya akan siapa yang saya ingin jadi. Jawapan mudah dan telus adalah Micheal Jackson. Sedangkan saya sendiri tidak tahu siapakah Micheal Jackson. Yang saya tahu, dia manusia yang hebat. Nyanyian lagunya meruntunkan jiwa pendengar. Tarian gerak badannya memukau yang melihat. Ditambah zaman itu, ramai kawan-kawan saya menceritakan perihalnya, membuatkan saya hanya berkata - aku perlu menjadi sepertinya.

Tetapi, setelah usia kian meningkat. Pandangan kian meluas. Saya lihat bukan lagi manusia seperti Micheal Jackson sahaja yang hebat, tetapi lebih ramai lagi orang-orang islam yang tidak pernah saya kenal sewaktu kecil, bila besar saya terasa semacam dengan mereka ini. Tersangat dasyat.

Dan salah seorang daripada mereka, adalah manusia yang ingin saya contohi dan teladani. Selalu juga saya menulis tentang tokoh yang saya segani dan kagumi ini. Yang pelik, saya tidak pula rasa jemu untuk cuba mengkajinya. Siapa?

Dialah Sultan Muhammad II bin Sultan Murad II. Dilahirkan di Edirne yang pada masa itu ibu kota kerajaan Uthmaniyyah pada 29 Mac 1432. Bapanya adalah Sultan Murad II (1404–1451) ibunya Huma Hatun, anak perempuan Abd'Allah dari Hum.


Apa kehebatan Sultan Muhammad? Semua orang sudah tahu. Hatta, kehebatan baginda juga telah diakui oleh seorang sahabat nabi iaitu Abu Ayyub Al-Ansari. Abu Ayyub pernah mengikuti ekspedisi perang menentang tentera Rom di Konstantinopel ketika di zaman kerajaan Bani Umaiyah. 


Beliau ingin jasadnya dikuburkan di tembok Konstantinopel dan ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan ditembok tersebut, beliau berkata kepada panglima Bani Umaiyah ; 


"Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda."


Itulah tentera Sultan Muhammad. Mungkin anda semua boleh selami kehebatannya di sini. Namanya Mencipta Lagenda



Dan boleh tambah dengan tontonan di sini. Cubalah luang masa seketika. InsyaAllah tak rugi. ^^




Rasa rugi. Rugi sangat siapa yang tidak kenal pada baginda.

 
Akhir : Carilah Hero Yang Boleh Menyelamatkan


Seorang bayi yang telah dilahirkan. Tetapi sayangnya, dia dilahirkan di dalam hutan. Membesarlah dia dengan belas kesian binatang. Sehingga dia besar, dia tidak mampu bercakap. Sedangkan dia tidak bisu. Apatah lagi pekak.

Kenapa tidak boleh bercakap? Sebab tidak ada yang boleh mengajar dia bercakap. Sebab dia tidak tahu bagaimana ingin bercakap. Malah, dia tidak ada contoh untuk ditiru. Akhirnya, dia hanya mampu menjerit dan memekik seperti serigala.

Kerana dari kecil, hanya ngauman serigala sahaja yang didengari. Maka, bila besar.. itu sahaja yang boleh dihasilkan walaupun pada asalnya dia bukanlah manusia yang bisu.

Siapakah ‘dia’ yang dimaksudkan? Dialah yang kita panggil ‘Tarzan’.

Bagaimana? Sudah jelas akan pengaruh hero? Oleh itu, pilihlah hero yang baik-baik. Yang boleh membawa kita mengenal Allah. Yang boleh menyelamatkan kita apabila pulang bertemu dengan Allah.

Hero. Tulang belakangnya adalah penyelamat. Biarlah hero kita itu yang betul-betul boleh menyelamatkan. Tidak pula merosakkan masa depan. Sekiranya hero yang kita pilih itu adalah yang mengaum seperti serigala, maka kita tidak ubah seperti cerita tarzan di tadi..

Harap, anda semua jelas dengan apa yang ingin disampaikan.

Rasanya, sampai di sini sahaja.. insyaAllah ada masa kita jumpa lagi nanti. Jutaan terima kasih atas keluangan masa membaca dan mengunjungi laman ini.

Salah dan silap haraf dimaafkan. Tidak cukup dengan itu, silalah tinggalkan teguran untuk dilakukan perubahan. Sekian.

P/s : -

- Takziah buat keluarga kak nawal atas pemergian Tok Pin yang disayangi. Moga Allah mencucuri rahmat kepada roh beliau.
- Jutaan terima kasih buat sahabat Salman Sukri, Ahmad Fathullah dan Saleem Wahab nun jauh di sana.



3 comments:

  1. Assalamualaikum 'hero'ku...

    Hero dlm berbahasa...
    Hero dalam merangka kata...

    Sangat menarik nasihat dalam entri kali ini,..sangat benar...

    Realiti masyarakat hari ini kekurangan contoh yang 'soleh' dan 'solehah' untuk dijadikan hero.. maka, marilah kita berusaha menjadi Hero yang soleh itu....

    Terima kasih atas ingatan dan doa...

    Yang sentiasa menyokong setiap langkahanmu,
    Yang sentiasa mendoakan kejayaan dirimu...
    Yang menanti tulisan-tulisan terbaru daripada Pelaut Rabbani...(UA)

    wallahualam

    ReplyDelete
  2. tak tukar shoutbox ke cbox lagi?tkar cepat naa.. ^_^

    ReplyDelete
  3. > Anonymous

    Waalaikumsalam.

    Terima kasih sebab bagi teguran dengan cara berhikmah. Saya faham. InsyaAllah akan cuba untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

    Dan terima kasih juga atas sokongan yang diberikan. Moga Allah bagi yang terbaik untuk kita semua. Amin.

    ^^



    > Ckin Kembaq

    Ok. Sudah tukar. :D

    ReplyDelete