Saturday, December 31, 2011

4
Komen
~ Hero Yang Dipilih ~

Kita akan berlayar dengan berpandukan 'bintang' yang kita percaya.
Dalam hidup ini, kita tidak dapat lari daripada manusia yang kita sayang. Daripada manusia yang kita cinta seikhlas hati. Daripada manusia yang sentiasa ingin melihat kita berjaya dan menang. Daripada manusia yang kita benci. Daripada manusia yang kita percaya separuh hati. Daripada manusia yang kita kagumi dan ingin contohi.

Oleh sebab itu, kehidupan kita tidak akan jadi seperti sekarang sekiranya manusia yang disebutkan di atas tidak wujud dalam hidup kita.

Apabila kita bertemu dengan mereka, maka segenap perasaan dan citarasa seakan bermain seperti tarik tali. Sekejap kita ceria. Sekejap kita rasa berbunga. Sekejap kita sedih. Sekejap kita rasa meluat dan kemudian bertukar menjadi gembira kembali.

Bahkan semua itu perkara biasa. Langsung tidak lari dari kebiasaan. Sememangnya perasaan-perasaan ini kadang-kadang membuatkan kita sedar bahawa kita adalah hamba Allah yang lemah. Perlu bergantung kepada pemilik hati. Perlu berharap kepada yang mampu membuka pintu rahmat dari langit tinggi.

Namun, di tengah-tengah kita sedang bermain tarik tali, sebenarnya ramai yang tersungkur tewas. Ramai yang tenggelam lemas. Tidak terkecuali juga mereka yang baik boleh bertukar menjadi ganas.

Sebab apa? Hati dan perasaan adalah dalaman. Apabila kita cuba bersikap seperti kita adalah pemilik kunci hati, maka penghujungnya kita akan rasa bahawa kita keseorangan. Malah, kunci yang kita pegang adalah kunci yang palsu dan tidak berfungsi.

Jadi, apa yang perlu kita buat? Pertama, kita kena usaha untuk berbaik-baik dengan ‘pintu hati’. Seterusnya, kita kena merapat kepada Pemilik Kunci yang sebenar. Berdoa dan meminta kepadaNya.

Barulah bunga yang kita cinta tidak akan menjadi tahi ayam. Barulah jiwa yang panas dengan hasad dengki akan berakhir dengan jiwa yang tenteram. Barulah idola yang kita kagum dan ingin contohi itu tidak membawa kita ke lembah kegelapan malam. Dan barulah insan yang kita sayang itu, kita akan jaga baik-baik agar kita dan dia terselamat dari neraka Jahanam.

Semuanya kita akan dapat apabila kita meletakkan pengharapan dan pergantungan kepada Pemegang kunci tersebut. Serta kita tahu, bahawa Dialah yang akan menilai segala-galanya. Tidak kira pada luaran mahupun dalaman.


Hakikat Hujan Akan Turun Dari Langit


Artikel kali ini, kita akan membicarakan tentang manusia yang kita segani. Yang kita angkat mereka menjadi insan idaman. Boleh? Jom.. Enjoy..
Sebagai manusia, saya dan anda kita sama juga serupa. Tidak ada beza. Kerana kita masing-masing mempunyai contoh yang kita kagum. Dan itu adalah lumrah. Bahkan adalah api pembakar semangat yang sukar dipadam dan disiram bilamana kita benar-benar kagum kepada seseorang.

“Saya minat menulis blog.”

Maka, dia ada contoh dan manusia yang dikaguminya.

“Saya suka menyanyi.”

Maka, dia ada contoh dan manusia yang dipercayainya.

“Saya suka main bola dan badminton.”

Maka, dia ada contoh dan manusia yang ingin berdiri sama tinggi dengan mereka.

Lihat. Mustahil bagi kita yang meminati sesuatu dalam masa yang sama tidak ada idola atau manusia yang ingin dicontohi? Malah, semestinya kita tahu bahawa apabila kita ingin mencontohi seseorang, sudah pasti terdapat beberapa kelebihan atau kejayaan yang telah dicipta, menyebabkan kita yang biasa-biasa ini mengambil mereka sebagai ‘role model’ untuk melakar dan menandingi sejarah lama.

Ok. Saya ingin membawa anda semua melihat realiti. Sebagai rakyat Malaysia, kita pasti kenal dengan Afdlin Syauki bukan? Bunyi pelik pula kalau ada yang tidak kenal.

Beliau seorang pelakon, pelawak, juga pengarah filem di negara kita. Dan saya tahu, ramai sahaja dalam kalangan kita yang mengambil beliau sebagai contoh. Mungkin dalam kehebatan beliau yang kreatif menghasilkan drama komedi dan sebagainya.

Walaupun begitu, rupa-rupanya Afdlin Syauki juga mempunya ‘hero’ dalam bidang seni yang diceburinya. Siapa? Seorang pelawak lagi terkenal. Iaitu Harun Salim Bachik. Nampak? Hakikat hero yang kita jadikan itu adalah pelawak, maka kita tidak akan jadi ustaz. Kita tidak akan jadi chef memasak. Pasti kita akan jadi pelawak juga.

Terbuktilah kaitannya. Hakikat hujan akan turun dari langit. Tidak sesekali akan muncul dari bumi. Melainkan dengan izinNya.


Nama yang Saya Kagumi


Satu ketika dahulu, saya pernah ditanya akan siapa yang saya ingin jadi. Jawapan mudah dan telus adalah Micheal Jackson. Sedangkan saya sendiri tidak tahu siapakah Micheal Jackson. Yang saya tahu, dia manusia yang hebat. Nyanyian lagunya meruntunkan jiwa pendengar. Tarian gerak badannya memukau yang melihat. Ditambah zaman itu, ramai kawan-kawan saya menceritakan perihalnya, membuatkan saya hanya berkata - aku perlu menjadi sepertinya.

Tetapi, setelah usia kian meningkat. Pandangan kian meluas. Saya lihat bukan lagi manusia seperti Micheal Jackson sahaja yang hebat, tetapi lebih ramai lagi orang-orang islam yang tidak pernah saya kenal sewaktu kecil, bila besar saya terasa semacam dengan mereka ini. Tersangat dasyat.

Dan salah seorang daripada mereka, adalah manusia yang ingin saya contohi dan teladani. Selalu juga saya menulis tentang tokoh yang saya segani dan kagumi ini. Yang pelik, saya tidak pula rasa jemu untuk cuba mengkajinya. Siapa?

Dialah Sultan Muhammad II bin Sultan Murad II. Dilahirkan di Edirne yang pada masa itu ibu kota kerajaan Uthmaniyyah pada 29 Mac 1432. Bapanya adalah Sultan Murad II (1404–1451) ibunya Huma Hatun, anak perempuan Abd'Allah dari Hum.


Apa kehebatan Sultan Muhammad? Semua orang sudah tahu. Hatta, kehebatan baginda juga telah diakui oleh seorang sahabat nabi iaitu Abu Ayyub Al-Ansari. Abu Ayyub pernah mengikuti ekspedisi perang menentang tentera Rom di Konstantinopel ketika di zaman kerajaan Bani Umaiyah. 


Beliau ingin jasadnya dikuburkan di tembok Konstantinopel dan ketika ditanya mengapa beliau ingin dikuburkan ditembok tersebut, beliau berkata kepada panglima Bani Umaiyah ; 


"Aku mendengar baginda Rasulullah S.A.W mengatakan seorang lelaki soleh akan dikuburkan di bawah tembok tersebut dan aku juga ingin mendengar derapan tapak kaki kuda yang membawa sebaik-baik raja yang mana dia akan memimpin sebaik-baik tentera seperti yang telah diisyaratkan oleh baginda."


Itulah tentera Sultan Muhammad. Mungkin anda semua boleh selami kehebatannya di sini. Namanya Mencipta Lagenda



Dan boleh tambah dengan tontonan di sini. Cubalah luang masa seketika. InsyaAllah tak rugi. ^^




Rasa rugi. Rugi sangat siapa yang tidak kenal pada baginda.

 
Akhir : Carilah Hero Yang Boleh Menyelamatkan


Seorang bayi yang telah dilahirkan. Tetapi sayangnya, dia dilahirkan di dalam hutan. Membesarlah dia dengan belas kesian binatang. Sehingga dia besar, dia tidak mampu bercakap. Sedangkan dia tidak bisu. Apatah lagi pekak.

Kenapa tidak boleh bercakap? Sebab tidak ada yang boleh mengajar dia bercakap. Sebab dia tidak tahu bagaimana ingin bercakap. Malah, dia tidak ada contoh untuk ditiru. Akhirnya, dia hanya mampu menjerit dan memekik seperti serigala.

Kerana dari kecil, hanya ngauman serigala sahaja yang didengari. Maka, bila besar.. itu sahaja yang boleh dihasilkan walaupun pada asalnya dia bukanlah manusia yang bisu.

Siapakah ‘dia’ yang dimaksudkan? Dialah yang kita panggil ‘Tarzan’.

Bagaimana? Sudah jelas akan pengaruh hero? Oleh itu, pilihlah hero yang baik-baik. Yang boleh membawa kita mengenal Allah. Yang boleh menyelamatkan kita apabila pulang bertemu dengan Allah.

Hero. Tulang belakangnya adalah penyelamat. Biarlah hero kita itu yang betul-betul boleh menyelamatkan. Tidak pula merosakkan masa depan. Sekiranya hero yang kita pilih itu adalah yang mengaum seperti serigala, maka kita tidak ubah seperti cerita tarzan di tadi..

Harap, anda semua jelas dengan apa yang ingin disampaikan.

Rasanya, sampai di sini sahaja.. insyaAllah ada masa kita jumpa lagi nanti. Jutaan terima kasih atas keluangan masa membaca dan mengunjungi laman ini.

Salah dan silap haraf dimaafkan. Tidak cukup dengan itu, silalah tinggalkan teguran untuk dilakukan perubahan. Sekian.

P/s : -

- Takziah buat keluarga kak nawal atas pemergian Tok Pin yang disayangi. Moga Allah mencucuri rahmat kepada roh beliau.
- Jutaan terima kasih buat sahabat Salman Sukri, Ahmad Fathullah dan Saleem Wahab nun jauh di sana.



Friday, December 23, 2011

5
Komen
~ Zaman Berbaju Sekolah ~

Sungguh, 'dia' akan tetap berjalan tanpa henti. 

Sebelum coretan ini dikayuh dengan lebih mendalam, marilah sama-sama kita merafa’kan setinggi-tinggi rasa syukur kepada Allah yang Maha Menyusun.

Dengan penyusunanNya, hari ini kita tidaklah seteruk mereka yang sangat cinta kepada kemungkaran. Hari ini kita tidaklah sebodoh mereka yang melihat kehidupan sebagai hiburan. Hari ini kita tidaklah sebusuk mereka yang tidak ada tujuan kehidupan. Bahkan, dengan penyusunanNya, hari ini kita masih lagi diberi dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Islam dan Iman.

Buat pembaca setia Lautan rabbani, saya dengan senang hati ingin memberitahu kalian bahawa artikel kali ini khas buat sahabat-sahabat di sekolah lama saya dahulu. Mereka 15th generations. Dan coretan kali ini juga sebagai surat layang saya sebagai seorang sahabat kepada mereka yang sudah memulakan perjalanan kehidupan mengikut bidang pengajian serta kerjaya masing-masing.

Cepat masa yang berlalu membuatkan kita tidak sedar. Dahulu kita masih bergelar pelajar sekolah. Pakaian kita tidak lain dan tidak bukan adalah pakaian wajib - berbaju putih dan berseluar hijau.

Andaikata mahu dihitung perkiraan jam dinding selama lima tahun, sudah pasti pakaian sekolah adalah pakaian yang paling lama kita kenakan pada tubuh. Bermula dari pukul 7.40am hinggalah ke pukul 4.00pm. Hampir setengah hari.

Namun, zaman itu sudah berlalu. Dan kita bukan lagi berada pada zaman itu. Segala duka ceria sudah sama-sama kita lalui. Lima tahun. Sekejap bukan?


Bercerita tentang dia.

Nazeer Mukhlis. Satu nama yang tidak asing lagi dalam batch kita, seorang yang hebat dalam akademik dan peribadinya. Walaupun umur adalah lebih muda daripada kita semua, namun perjuangan, kematangan, pemikiran kadang-kadang adalah jauh lebih kehadapan berbanding… tuut..

Sewaktu kehidupan kita berada di penghujung alam persekolahan, ana seringkali berkata kepada diri, bahawa sahabat-sahabat yang bersama hari ini tidak mustahil adalah yang akan memegang tampuk kepimpinan negara satu masa nanti. Tidak mustahil adalah yang disegani dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Tidak mustahil adalah tempat rujukan masyarakat tentang ilmu-ilmu agama, soal hukum-hakam, soal hadis dan Al-Quran. Dan segala-galanya adalah tidak mustahil bagi mereka yang melibatkan diri secara bersungguh-sungguh dalam bidang yang masing-masing.

Begitu juga yang menceburi bidang perubatan dan sebagainya. Walaupun semasa di sekolah dahalu kalian bukan siapa-siapa. Tidak menggalas mana-mana jawatan. Tidak menonjol seperti sahabat-sahabat lain yang melibatkan diri dalam kepimpinan. Tidak menjadi ‘scorrer’ dalam setiap peperiksaan, Namun.. kerana percaya kepada janji bahawa siapa yang berusaha dia akan dapat, maka di situ ana terbayang wajah-wajah anda semua dengan kejayaan yang dikecapi.

Untuk yang pertama. Itu yang ingin ana sebut. Dan apa kaitan dengan Nazeer?

Sebagai seorang sahabat, sudah pasti kita berbangga dengan keputusan Nazeer mendapat 12A sewaktu SPM, tetapi sebagai manusia.. pasti timbul satu persoalan dalam diri kita bagaimana Nazeer boleh dapat ‘straight’ A?

Sedangkan sewaktu belajar dia juga belajar dengan kita. Sewaktu main, dia juga turun main dengan kita. Sewaktu tidur? Aha.. lain sikit. Dia tidur rumah. Kita tidur asrama. Dan kerana itu, pada ana bukan satu jawapan utama kepada persoalan yang timbul.

Maka, apa jawapannya? Hah! Kalau ada dalam kalangan kita yang langsung tidak pernah mencari hikmah akan kejayaan ini, itu ana tak tahulah.

Pada ana, kalau boleh ana nak tahu apa rahsia kejayaan mereka yang menyebabkan Allah permudahkan sedemikian rupa. Macam Zul, Ridha, Hanif, Shuk, Amad, Peng, Salim, Walip dan lain-lain.


Hikmah Itu Ada Bagi yang Berpandangan Jauh

Waktu ana ditimpa kemalangan setahun yang lalu, tidak ada seorang pun yang menyangka. Tidak ada seorang pun yang dapat meneka. Hatta yang sering bersama ana. Seperti Salim dan Nabil.

Sudahlah tersepit dalam kereta, tidak pengsan pulak.. sungguh di luar jangkaan. Dan apa yang dialami itu, sungguh ana sendiri merasai akan kemanisan dan kepahitannya. Betul-betul menggegarkan. Maka, kebanyakan yang berkunjung dan menziarahi tidak lekang dengan soalan – Apa hikmah yang enta dapat?

Jawapan ana ketika itu.. dapat sakit!

Tetapi sekarang, apabila sakit sudah berlalu pergi, barulah rasional yang menjadi paksi penilaian diri. Dan keputusan, terbitnya hikmah satu demi satu. Bahkan, perjalanan kehidupan di bumi Jordan ini juga sebenarnya ada hikmah dengan kemalangan tersebut.

Bukan nak kata yang ana berpandangan jauh sebab nampak hikmah. Tetapi itulah lumrah musibah. Perlu nampak hikmah. Barulah hidup selepas itu menjadi tenang dan mudah.

“Eh. Nak cerita tentang siapa ni? Tadi nak cerita tentang Nazeer.. sekarang cerita tentang diri dia pulak!”

Haha. Ok.. kita balik kepada cerita asal. Ana just nak cerita hikmah yang ana dapat dari apa yang ana lalui. Dan sebenarnya ada kaitan dengan cerita Nazeer. Tudia.. cover rapat.


Memudahkan kerja seorang Ibu

Sebenarnya ana tidak tahupun akan cerita ini. Tetapi apabila menyambung di tingkatan enam sebagai pelajar senior, lalu diberi amanah sebagai pemegang usrah kepada adik-adik, maka ana menjemput Nazeer untuk memberi sedikit ucapan berbaur nasihat dalam bulatan tersebut.

Ketika itu, Nazeer masih menunggu tawaran untuk ke IKIP di Pahang - persediaan iaitu Kursus Intensif Bahasa Arab sebelum menjejak kaki ke Mesir sebagai mahasiswa di bawah tajaan MARA dalam bidang perubatan.

Sungguh, tidak menyangka bahawa cerita yang dibawa dalam bulatan usrah tersebut bukan sahaja menyentuh hati adik-adik, tetapi memberi pengajaran yang besar kepada kita semua bahawa kejayaan bukan sahaja seratus-peratus pada usaha tetapi pada amal kebaikan yang mungkin telah kita lakukan di luar kebiasaan.

Bahkan rahsia Nazeer begitu.

Seperti mana yang kita tahu, Allah izin Nazeer mempunyai seorang adik yang ‘special’. Mawaddah nama diberi.

“ Telah menjadi rutin harian ana sewaktu tingkatan lima dahulu, bangun pagi untuk siap-siapkan Mawaddah. Lalu hantar pergi sekolah. Kemudian pada jam 12 tengah hari, diantara pertukaran kelas, ana akan keluar kelas sekejap untuk ambil adik ana dan bawa balik.” Kata sahabat ini.
                                                                                           
Bunyi macam mudah bukan? Tetapi yang melakukan pasti akan merasai kepayahan. Subhanallah. Bila mana sebegini macam pengorbanan yang telah dilakukan, terus terketuk pintu hati.. andai aku ada adik sebegitu rupa, adakah aku akan terus sabar untuk buat kerja ini? Kalau sehari dua tidak menjadi masalah sangat. Ini hampir setiap hari. Siap boleh jadi rutin.

Bom!! Runtuh benteng keangkuhan dalam diri ini.

“Ana rasa bila ana mudahkan kerja mak ana ini, mungkin Allah tolong. Dan Allah Maha Tahu.” Tambahnya lagi.

Subhanallah. Kagum dengan enta.

Nazeer dan Shukri. Berlatarkan Tasik Rayyan

Nazeer seorang pendengar yang setia. Setiap lantunan katanya umpama nasihat. Canda tawanya menghembus semangat. Sungguh! Dari persahabatan ini terpancar keikhlasan. Dari keihklasan ini berputik persefahaman. Dari persefahaman ini bersimpul kasih sayang. Moga sinergi ukhwah antara kita kekal sampai ke syurga.” (Shukri, Alex Mesir)


Kita ada Sejarah sebagai Rujukan

Ana tahu sahaja pasti ada yang akan kata itu semua cerita lama. Sekarang hidup dah lain. Apa kaitannya? Apa yang boleh diambil pengajaran? Waktu SPM bolehlah kalau nak sembang lebat. Sekarang masing-masing sudah masuk universiti. Tidak sama suasananya.

Bagi yang melihat sedemikian rupa, maka seharusnya kita melihat kembali kepada zaman kegemilangan Islam. Ketika mana Sultan Muhammad Al-Fateh ingin menggegarkan Kota Konstantinopel.. apa yang beliau lakukan sebagai persediaan awal?

Dicerita dalam sejarah Islam bahawa Sultan Muhammad telah membuat ‘postmortem’ terhadap kegagalan panglima-panglima Islam sebelum beliau. Kenapa kota yang begitu berstrategi dan berpotensi itu tidak mampu ditumbangkan? Sedangkan sudah wujud hampir sepuluh panglima Islam yang ingin menawan kota tersebut.

Persoalan ini dicari jawapan.  Dijadikan rujukan. Diambil pengajaran. Agar kesilapan-kesilapan kecil tidak kembali diulangkan. Kesannya, gelaran sebaik-baik ketua dan juga sebaik-baik tentera mampu dibuktikan.

 Oleh yang demikian, tidak ada alasan bagi kita yang mahu berjaya perlu singkirkan hikmah kejayaan mereka yang pernah berjaya. Setuju? Hmm..

Tetapi jangan silap, usaha tetap kena ada, lalu hasilnya serahkan kepada yang Esa.


Akhir : Selamat Maju Jaya Buat Semua

Bila sudah sampai kepada penutup, timbul pula rasa segan dan malu pada sahabat-sahabat sekalian.

Yalah, siapalah diri ini yang ingin mengharap anda semua untuk membaca coretan ana. Walhal, dahulu sewaktu di sekolah, ramai lagi yang hebat berkata-kata. Dalam masa yang sama mantap juga dalam arena penulisan.

Walaupun begitu, setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada semua kerana tetap sabar membaca sehingga ke penghujungnya. Catatan yang tidak sehebat mana ini, harapannya mampu memberi
seribu satu makna untuk kita lebih gigih dan kuat meneruskan langkahan yang telah dimulakan.

Ketahuilah sahabat, kita umpama keluarga besar. Lima tahun dahulu bersama, bukan belajar tentang dunia sahaja. Bahkan diasuh mengenal Allah yang Maha Pencipta. Dan hari ini, setelah keluar dari lubuk mutiara dan permata, takkan semudah itu kita mampu melupakan kesemuanya?   


******

Buat sahabat Nazeer Mukhlis, Selamat Hari Lahir diucapkan. Moga genapnya umur ini semakin mendewasakan enta sebagai seorang insan untuk meneruskan kehidupan. Moga kejayaan demi kejayaan tidak putus-putus mengunjungi enta. Selamat maju jaya. Dan minta maaf andai tulisan ini terlebih silap dan garamnya.

Sekian saja dari sahabat kalian. 


P/s : Sila tinggalkan kata-kata nasihat anda semua kepada diri ini juga ya.


Saturday, December 17, 2011

6
Komen
~ Puitis : Mereka dan Syurga ~

Cahaya yang dijanjikan dalam genggaman mereka

Hidup kerana dunia,
adakala bahagia adakala duka,
bila yang dikejar tidak berjaya,
maka timbul satu rasa,
bahawa kejayaan bukan milik kita,
akhirnya nyawa dianggap biasa.

Tetapi berlainan pula dengan mereka,
sekali lihat tidak ada beza,
yang jelas adalah mereka juga bercinta,
dan cinta mereka hingga ke syurga.

Mereka ini..

yang hidup kerana syurga,
adakala bahagia adakala duka,
bila yang dikejar tidak dapat,
maka timbul juga satu rasa,
mahukan kejayaan tidak cukup hanya berdoa,
sekalipun tidak berjaya.. Allah nilai usaha.

Bahkan kerana mereka,
langit yang mendung mampu ceria,
angin yang kencang membelai setia,
bahagianya terasa hingga ke jiwa.
Itudia..



Sekian Terima Kasih.
~ Puitis : Mereka dan Syurga ~
Pelaut Rabbani.
Sebelum terbang ke dunia mimpi. ^^ 


Monday, December 12, 2011

3
Komen
~ Namanya Menjadi Lagenda ~

Mampukah Al-Fateh II muncul lagi?


1400 tahun dahulu, Rasulullah saw pernah bersabda ketika menggali parit khandaq : “ Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera….” (Hadith riwayat Imam Ahmad).

Para sejarawan menulis bahawa pada ketika itu, Constantinople menjadi kota rebutan, lantaran kotanya yang begitu istimewa dan strategik. Ternyata janji-janji yang diungkapkan oleh Rasulullah saw telah menarik minat dan keazaman ramai pemimpin dan khalifah Islam selepasnya untuk menawan kota tersebut.

1453, janji Rasulullah saw terbukti apabila kota Constantinople dibuka oleh bala tentera pimpinan seorang raja yang bernama Sultan Muhammad Al-Fateh. Lima puluh hari mengharungi peperangan, tentera pimpinan beliau ternyata cukup ampuh untuk terus-menerus menyerang dan tidak sesekali mengalah.

Satu demi satu keajaiban perang dicetuskan oleh mereka. Bahkan suatu strategi yang tidak akan dilupakan oleh sejarawan Islam mahupun Barat adalah apabila tentera Muhammad Al-Fateh berjaya menarik tujuh puluh buah armada perang dari Pantai Besiktas ke Galata melalui banjaran bukit yang begitu tinggi dengan jarak melebihi tiga batu.

Pmuda Islam bernama Muhammad Al-fateh ini telah menawan Constantinople dalam usia 22 tahun, sekaligus membuktikan bahawa beliau adalah sebaik-baik raja yang disebut oleh Rasulullah saw.

Sudah tentu pemuda yang hebat seperti ini tidak lahir secara tidak disengajakan dan tanpa membuat apa-apa. Pemuda-pemudi yang hebat adalah mereka yang lahir dari acuan tarbiyah yang sebenar iaitu Al-Quran dan Sunnah.

Mereka lahir dari proses yang teliti dan teratur.

Mereka adalah yang sedar akan masa depan Islam berada di tangan mereka.


Sebaik-baik Raja dan sebaik-baik tentera.

Apa yang perlu diambil iktibar bukanlah hanya pada sebaik-baik raja yang dilafazkan oleh rasulullah bahkan juga pada sebaik-baik tentera.

Perlu kita ingat, peristiwa pembukaan kota Constantinople bukanlah kerja individu tetapi kerja berkumpulan!!

Ianya hasil daripada kekuatan persaudaraan, kerjasama, kesungguhan, dan semangat tentera islam yang dipimpin oleh Sultan Muhammad Al-Fateh.

Pada suatu masa ketika solat Jumaat hendak didirikan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam. Beliau mmerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya bangun lantas bertanya,

“Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu sila duduk!” Tiada seorang pun yang duduk. Kerana tidak ada seorang pun yang pernah meninggalkan solat fardhu.

Beliau bertanya lagi, “Siapa di antara kita sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solah sunat rawatib sila duduk!” Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian beliau bertanya lagi, Siapa di antara kamu semenjak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!” Kali ini semuanya duduk. Kecuali Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri.

Beliau tidak pernah meninggalkan solat fardhu, solat sunat rawatib dan solat tahajjud sejak baligh dan tentera-tenteranya pula tidak pernah meninggalkan solah fardhu.

Memikirkan tentang kehebatan Al-Fateh dan tenteranya…. Suatu ketika, dalam perjalanan menuju ke Constantinople, tentera Al-Fateh melalui sebuah kebun anggur yang besar dan buahnya sedang masak ranum.

Namun, sebelum melalui kebun tersebut, Al-Fateh telah mengingatkan tenteranya supaya jangan mengambil anggur tersebut walaupun sebiji. Perjalanan diteruskan hingga ke suatu tempat lalu mereka berehat.

Selepas mendirikan khemah, pembantu Al-Fateh keluar dari khemah dengan wajah yang sugul dan memanggil semua tentera berkumpul.

Para tentera diberitahu bahawa Al-fateh telah jatuh sakit. Setelah diteliti oleh tabib, ubat yang diperlukan adalah sebiji anggur. Maka dia bertanya kepada seluruh tentera, bahawa siapa yang mempunyai buah anggur, kerana jika tidak mungkin Al-Fateh akan terus sakit dan mati.

Malangnya tiada seorang pun tenteranya yang mempunyai buah anggur. Lalu, tahulah Al-Fateh bahawa tenteranya bukan sahaja kuat dari segi fizikal, malah rohani mereka juga. Benarlah, tidak seorang pun dari mereka yang mengingkari perintahnya.

Maka, keluarlah Al-Fateh dari khemahnya dan memuji mereka semua lalu menerangkan kepada mereka akan maksud sebenar.


Akhir : Perhati dan hayati

Kisah kehebatan tentera Al-Fateh sehingga Rasulullah melafazkan dalam hadith yang menyebut tentang beliau bukan sekadar untuk diketahui semata. Ia sepatutnya dihayati dan diambil iktibar.

Nilailah diri masing-masing layakkah dengan pengorbanan yang kita buat untuk islam, dengan taraf iman kita, dengan ibadat yang tidak seberapa mampu menawan dunia dengan Islam?

Sama-samalah kita memikirkan. Moga ada manfaat. Saya kongsikan juga talian ini. Kata Penamat Dari Al-Fateh! Silalah menjelajahinya. ^^

P/s : Doakan saya agar dapat menjejaki ke kota Instanbul ya. =D

Wednesday, December 7, 2011

3
Komen
~ Ingin Jadi Jahat? ~

Teringat kisah dahulu di malam hari. Sementara menanti hari esok. ^^


Dalam kesejukan malam. Bertemankan bayu di tanah Arab. Yang menghembus lembut seluruh tubuh. Mendamaikan jiwa yang resah. Terasa tenang dibelai sedemikian. Yang akhirnya bisikan menutur perlahan. Tanda penghargaan buat Ar-Rahman. Alhamdulillah.

Sewaktu diri ini rancak berjalan kaki ke dewan kuliyah sebentar tadi, entah kenapa zaman kecil kenot kembali di ingatan. Zaman menganggap dunia adalah hiburan, merangkak laju bermain di fikiran. Zaman yang saya rasa, hidup ini tidak akan sempurna. Jika apa yang dilakukan itu tidak berakhir dengan keseronokan.

Bukanlah semua perkara yang saya lalui di zaman kanak-kanak dahulu datang semuanya. Maksud di sini, ulang tayang bagi beberapa kisah yang pernah saya lalui terasa diputarkan kembali ke alam dimensi ingatan.

Mengingatkan kisah-kisah dahulu membuatkan saya tersenyum dan bercakap seorang diri sepanjang perjalanan tadi. Tidak hairanlah kalau ada orang arab yang melihat pelik kepada saya. Tidak peliklah kalau ada orang arab yang tersenyum hairan kepada saya. Sebab itu adalah di luar kebiasaan manusia normal..

Sayu. Gembira. Sedih. Kecewa. Geram. Dan Bangga.

Adalah sebuah gelombang dan perasaan yang digaul serentak apabila mengingatkan cerita dahulu. Bila mengimbau saat disisih kawan-kawan, jiwa terus terasa kesayuan dan kesunyian. Bila mengimbau saat diri dianggap ketua oleh kawan-kawan, jiwa kembali berputik kebahagiaan.

Kemudian, teringat kembali zaman dimarah oleh guru, jiwa kembali kepada mendung kesedihan. Datang semula zaman diri menjadi rebutan rakan-rakan perempuan, maka tergelak seorang diri sewaktu melintas jalan. Haha.

Ya. Semua itu adalah cerita. Buat sang diri yang akan kekal sebagai nostalgia dan kenangan. Sebetulnya, anda juga begitukan? Ada sejarah sendiri. Ada kisah sendiri. Baik dari sudut perasaan mahupun lakaran kehidupan.


Dianggap Jahat Oleh Guru

Dalam hidup ini, saya tidak akan pernah melupakan satu kata-kata seorang teacher saya. Biarpun, mungkin padanya ayat itu sebagai kata-kata tanpa sengaja.. atau luahan seorang guru.. atau boleh juga dikatakan sebagai tindakan di luar kesedaran, tetapi kerana ayat itu benar-benar menusuk kalbu, maka saya terpaksa ingat walaupun tidak pinta.

Di ketika umur saya mencecah sebelas tahun, senang cerita darjah lima, alkisah masuklah saya di sebuah pusat tuisyen yang terkemuka di Bandaraya Kangar. Menjalani pembelajaraan sebagaimana kanak-kanak yang lain, tetapi mungkin disebabkan keaktifan yang melampau, membuatkan guru BI saya sendiri naik radang.

Huh. Umur itu. Mana saya tahu untuk memahami urusan hati manusia. Apatah lagi apabila saya sudah berseronok dengan rakan-rakan sepermainan.

Jatuh cinta? Malu pada perempuan? Surat layang? Kasih sayang? Love? Semuanya masih belum berputik di lubuk hati masa itu.

Akhirnya, riuh kelas apabila cikgu perempuan yang mengajar Bahasa Inggeris dirasa baik dipandangan. Saya menjerit-jerit di dalam kelas. Diselang-seli dengan ketawa bersama rakan-rakan. Sudah tidak ingat berkaitan isu apa yang dibualkan.

Jikalau Gunung Merapi mampu meletuskan larvanya, inikan pula manusia yang mempunyai tahap kesabarannya. Terus cikgu saya itu menengking dari hadapan.

“Diam semua!!!”

“Kenapa bising sangat ni Qawiem?!!” Merah muka cikgu. Semua mata yang wujud di dalam kelas turut memandang ke arah saya tiba-tiba. Diam seribu bahasa. Muka terasa panas. Tangan menjadi sejuk. Takut menguasai diri.   

Teacher rasa Qawiem ni bila dah besar nanti mesti jadi jahat!!”  Serius kata-kata cikgu.  

Prangh!!!

Seluruh tubuh seperti direnjat. Seakan peluru ditembak terus ke hulu hati. Walaupun jasad tidak disakiti, namun kata-kata yang berbaur harapan buruk itu terasa seakan sayalah budak yang malang dan dibenci. Namun, wajah tetap selamba. Menutup keaiban itu dengan senyuman tawar buat kawan-kawan yang masih memerhati.

Harghh.. dalam hati hanya bantal yang menjadi saksi di malam hari. Biasalah.. kenakalan tanpa kawalan mungkin. Sekali-sekala, ayat-ayat yang sebegitu mampu mengetuk pintu hati.


Mengambil yang Baik dari Sejarah   

Walaupun cerita ini adalah cerita lapan tahun dahulu, tetapi ia masih tersimpan kemas di kotak minda. Sebagai batu loncatan dan penggenggam azam di hari ini.

Balik kepada kisah-kisah yang menjengah di ingatan sepanjang perjalanan ke kuliyah tadi, inilah salah satu dari ceritanya. Sudah saya coretkan di atas. Maka, mode selepas itu.. gerak langkahan saya semakin laju. Semakin bersemangat. Untuk membuktikan bahawa saya bukanlah seperti manusia yang teacher tampalkan harapan.

Ya. Saya tahu sebenarnya, jauh di hati seorang guru inginkan pelajarnya menjadi manusia yang gagal. Menjadi manusia yang tidak berguna. Menjadi manusia yang jahat. Namun, mungkin disebalik kisah saya di atas, cikgu saya inginkan perubahan dan anjakan untuk menjadi yang lebih baik.

Di situlah kebaikan yang mampu saya tuai. Melihat maksud di sebalik ungkapan tajam lagi menghiris. Ada benarnya. Andaikata sikap seperti itu yang dibawa dalam kehidupan, sehingga sekarang, mana mungkin saya mampu menjadi insan yang baik. Insan yang mendapat berkat dalam menuntut ilmu.

Terang lagi bersuluh. Mahu keberkatan dalam belajar semestinya menjaga adab dengan guru. Jika sebaliknya, nantikan kehancuran dan juga kemusnahan di hari yang ke depan. Dan saya takut untuk itu. Oleh itu, melentur sewaktu rebung, walaupun menusuk ia tetap memberi kesan. Kerana saya sudah merasai bagaimana keberkesanannya. Subhanallah. Ngilunya tetap terasa sampai ke hari ini.

Apa pun, saya ingin meminta maaf kepada teacher saya. Andai Allah menggerakkan hatinya untuk membaca tulisan ini, ketahuilah anak muridmu ingin buktikan bahawa dia akan berusaha menjadi baik. Terima kasih juga buat teacher. Atas teguran yang bermakna buat muridmu yang masih belajar ini. Moga Allah merahmati.


Penutup : Kalau salah kita, ia tetap salah kita

Apabila guru memarahi disebabkan kesilapan dan kesalahan kita, buat apa lagi menuding jari kepada guru atau ustaz yang memarahi. Kerana ia memang sudah kesalahan kita.

Ramai yang terpedaya dengan keadaan ini. Bila diri melakukan kesalahan, kemudian guru atau cikgu memarahi atau menasihati, jari dituding kepada guru pula seribu kesalahan. Berlaku umpatan demi umpatan. Berlaku hinaan demi hinaan bersama rakan-rakan, maka ketahuilah yang ilmu yang dipelajari pastinya tidak akan mendapat berkat.

Teguran bukan untuk merendahkan, tetapi teguran untuk perubahan. Kritikan bukan untuk menjahanamkan, tetapi kritikan untuk penambah baikan. Marah seorang guru bukan untuk mencari kesalahan, tetapi marah untuk kita sebagai pelajar mencipta kejayaan. Betul tak para guru sekalian?  

Sayangilah dan kenangilah guru-guru anda. Walau dimana anda berpijak hari ini.

Sekian,
Terima kasih.


Monday, December 5, 2011

10
Komen
~ Nasib Lu Baik Abang Long ~

Nasib baik tak boleh terbang. 


“Gila bapak argh Zul. Nasib baik tak pecah kepala aku tadi.” Cemas.

“Kenapa? Rileks Wan.. Cuba cerita slow-slow.” Bersahaja suara Zul tidak tahu kisah sebenar.

“Waktu aku balik dari kuliyah tadi. Macam biasa jalan kaki nak balik rumah. Waktu berjalan tu, perasan Azim lambai tangan panggil aku. Aku terus lintaslah. Macam mana entah Allah izin tak terdetik pun dalam hati aku nak tengok dulu belakang. Bila aku lintas, sekali ada satu kereta sport meluncur laju dari arah belakang.”

“Pastu?” Berkerut dahi Zul.

“Alhamdulillah bro tu tekan brek. Tapi, memang bahaya betullah. Aku betul-betul rasa nyawa dah sampai hujung tanduk tadi. Memang sikit sangat lagi. Kalau tak, kau dah tak nampak aku kat sini.” Bantal dihujung katil ditarik lalu diletak di atas riba. Wajah Wan muram. Teringat akan pesanan driver kereta tersebut sebelum beredar dari tempatnya.

“Sedikit kecuaian, nyawa sebagai gantian. Dan semua itu tidak mustahil. Lain kali hati-hati.”


******


Dalam kehidupan kita ini, bila diteliti secara mendalam, diingat kembali cerita dahulu, pasti jawapannya adalah… aku banyak bernasib baik.

Bahkan kadang-kadang kita sendiri tidak sedar yang kita banyak menyebut perkataan ‘nasib baik’.

Bercakap banyak pun tidak guna jika kita masing-masing tidak mengambil peduli setiap percakapan kita. Itu sebagai akar sebelum kita memanjat pokok.

Sewajarnya kita perlu memandang setiap bait-bait kata yang dituturkan. Kerana mungkin di situ terdapat  banyak kesalahan dan juga kesilapan tanpa kita sedari. Yang dengannya, hutang duit mungkin dibayar dengan nyawa. Yang dengannya, perselisihan mungkin berakhir dengan derita. Yang dengannya, kawan rapat mungkin menjadi musuh tanpa sengaja.

Hatta pembinaan keluarga yang bahagia juga mampu retak dan musnah andai tutur kata tidak dijaga.

Tetapi bukan itu sebenarnya yang ingin difokuskan untuk kali ini. Namun, kerana apa yang ingin dibicarakan adalah mengenai apa yang ingin disampaikan, maka saya mengeluarkan usul tersebut sebagai pendahuluan pembicaraan hari ini.

“Nasib baik aku tidak pijak paku tu. Kalau tidak... bla..bla.. ”

“Nasib baik aku sempat mengelak tamparan dia. Kalau tidak… bla.. bla..”

“Nasib baik aku tidak jatuh depan orang ramai. Kalau tidak… bla.. bla..”

“Nasib baik aku tidak gagal dalam exam. Kalau tidak… bla.. bla..”

“Nasib baik aku tak jadi anak pakcik tu. Kalau tidak… bla.. bla..”

Lihat. Betapa banyaknya ‘nasib baik’ yang dilalui oleh seseorang itu andai ayat ini yang selalu keluar daripada mulutnya. Saya dengan senang hati ingin mengajukan soalan cepumas kepada anda semua.

Benarkah nasib kita baik???

Atau ia adalah bukti bahawa Allah sayangkan kita? Di sini ramai yang tidak perasan bahawa dalam kehidupan kita, terdapat banyak teguran demi teguran daripada Allah kepada kita. Yang kita kata nasib baik itu hakikatnya adalah hadiah juga kebaikan yang wajib disyukuri dan dihargai.

Agar keburukannya tidak datang buat kali kedua dan ketiga. Sebaliknya bagi yang tidak merasai, mereka akan menganggap nasib baik itu adalah perkara biasa dalam hembusan nafas. Perkara lumrah dalam kerlipan mata.

Oleh itu, sampai bila-bila pun kita tidak akan merasai bahawa keterlepasan kita dari musibah adalah peluang dan ruang untuk kita kembali mengkoreksi diri dan hati. Melihat segala kesalahan dan dosa yang telah dilakukan.

Dengan ini, siapa yang pulang melihat diri, maka mereka adalah manusia yang luar biasa. Kerana apa? Kerana  mereka sudah melarikan diri dari kebanyakan orang. Kebanyakan orang yang sudah cukup bagi mereka dengan mengatakan..

“Owh.. nasib aku baik hari ini.”

Tetapi mereka yang luar biasa pula adalah mereka yang mengucapkan lafaz syukur lalu melakukan perubahan kepada diri dengan menjadi hamba Allah yang semakin taat. Di situlah perbezaan dan di situlah ketidak samaan.

Usah bermain dengan fantasi lagi, ayuh kembali berinteraksi dengan realiti.

Sekalipun lu abang long, lu juga banyak bernasib baik. Sekalipun lu ketua kumpulan kongsi gelap, lu juga banyak bernasib baik. Sekalipun kamu pentegar dosa, kamu turut serta bernasib baik.

Sebab utama yang boleh saya bagi, selagi nyawa tidak di kerongkongan, selagi itu pintu taubat belum dikunci. Selagi mana bala Allah belum diturunkan, maka bersegeralah merapatkan diri kepada Ilahi.

Tidak mustahil hari ini kita terlepas dari musibah, beerti selamanya kita tidak akan dilanda kesusahan. Tidak mustahil hari ini kita terlepas dari masalah, bermakna selamanya kita tidak akan diturunkan ujian. Sedangkan yang banyak terjadi, yang tidak bersalah dan tidak berdosa pun sentiasa diberi cubaan.

Oleh yang demikian, tidak ada kata putus yang boleh saya tutup untuk coretan pendek kali ini melainkan saya ingin memberitahu anda semua bahawa kita ini sudah banyak diberi peluang. 

Tinggal, kegelapan dan kekaratan hati yang menyebabkan kita tidak nampak akan peluang dan ruang tersebut.

Buat apa bersikap angkuh dan takbur jika terlepas musibah di dunia. Buat apa bersikap ujub dan bangga jika berjaya bersembunyi di sebalik pintu kenikmatan. Andai di akhirat peneman setia adalah penderitaan yang berpanjangan. Bukan menyuruh meminta musibah, tetapi mengajak untuk berfikir apa yang kita dapat disebalik hikmah. 

Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran dari ‘nasib baik’ kita selama ini untuk lebih berterima kasih kepada Allah dan beramal soleh. Moga-moga nasib yang baik itu tidak bertukar menjadi nasib yang tidak baik. Amin.

“Nasib baik coretan yang ditulis ni orang faham. Kalau tidak, penat saya nak bagi penjelasan di kotak komentar.”

Hatta saya sendiri, tidak mampu lari dari nasib baik. Maka, segala syukur atas kemudahan Allah kepada anda sebagai pembaca Lautan Rabbani mencerna isi serta ‘point’ yang ingin saya sampaikan. Alhamdulillah.

Sekian saja untuk kali ini. Moga bertemu lagi di apisod yang akan datang. Senyum dan ceria selalu. ^^

P/s : Tolong doakan saya agar dipermudahkan urusan belajar ya.. :)

Saturday, November 26, 2011

8
Komen
~ Rumah Bujang yang Bersinar ~


Andai istana bujang sekalipun jika tidak ada keberkatan, pasti penghuninya tidak beroleh kebaikan dan kerahmatan.

Tersenyum seorang diri. Melihat kehidupan hari ini disambut dengan baik oleh ahli rumah. Semuanya seakan mempunyai hari yang ceria. Hari yang dimulakan dengan senyum dan gurau- senda. Moga hubungan ini bukan berakhir di atas pentas kehidupan dunia sahaja, tetapi berkekalan hingga ke syurga.

Rata-rata yang melihat, seakan pelik dengan keakraban kami. Kata mereka, kami ini dah macam adik-beradik. Yalah, jalan sekali, makan sekali, main sekali, senang cerita semua sekali. Itu kata mereka, tetapi hakikat yang sebenarnya hanya kami yang tahu.

Bukanlah semua perkara kami buat sekali, sebab yang boleh saya bagi, masing-masing ada perangai tersendiri. Masing-masing ada hati yang tersendiri. Namun, bila digabungkan semua itu.. boleh riuh jugak suasana rumah bujang ni.

Tertanya-tanya siapakah ahli rumah yang dimaksudkan?

Mereka tidak lain dan tidak bukan sudah saya anggap sebagai keluarga sendiri. Dan mereka jugalah yang telah saya anggapkan sebagai pelengkap kehidupan saya apabila berada di perantauan ini.

Bukan senang sebenarnya untuk menerapkan rasa kepercayaan tersebut. Tiba-tiba nak mengaku yang orang itu adik kita. Tiba-tiba nak mengaku yang manusia itu abang kita. Tiba-tiba nak kata yang tinggal dengan kita itu, adalah ahli keluarga angkat kita dan sebagainya.

Sudah pasti, ada kelebihan juga kebaikan yang dilakukan yang akhirnya menyebabkan kita sebagai seorang manusia, seorang insan yang mempunyai hati dan akal akan tertanya-tanya seorang diri. Mereka ini siapa pada kita? Ambil berat itu dan ini? Banyak bagi teguran itu dan ini? Nasihat itu dan ini? Hingga kelemahan kita mereka cuba ubah kepada kelebihan..

Maka, manusia mana yang suka melakukan semua ini?

Melainkan manusia itu adalah yang menyayangi kita. Melainkan manusia itu yang mengasihi kita. Yang tidak mahu melihat kita gagal. Yang tidak mahu melihat kita terkandas di tepi jalan kehidupan yang penuh dengan pancaroba.

Oleh itu, saya tampilkan mereka yang saya mengaku sebagai ahli keluarga baru di Jordan. Merangkap ahli rumah Bayt Sahel.

Muhammad Zulkarnain b Ahmad
Bidang Fiqh wa Usul Tahun 1
(Ketua Rumah)

Muhammad Sahel b Nordin
Ekonomi dan Perbankan Islam Tahun 4
(Bendahari rumah aka Penasihat)

Ahmad Nabil b Nordin
Ekonomi dan Perbankan Islam Tahun 1
(Biro Masakan)


Penulis
Ekonomi dan Perbankan Islam Tahun 1
(Biro Kebersihan)

 Alhamdulillah. Hidup bersama mereka, banyak benda dan perkara saya pelajari. Ya, memang kami satu sekolah. Menjalani kehidupan sebagai pelajar sekolah di tempat dan suasana yang sama. Tetapi kerana berlainan latar belakang serta keluarga, kami tidak lebih hanya sebagai teman untuk berkongsi cerita suka dan ceria.

Namun hari ini, semuanya berbeza. Zaman dahulu hanya tinggal kenangan. Zaman sekarang adalah penentu siapa kami pada masa hadapan. Kami tinggal bukan sahaja di negara perantauan yang sama, tetapi di bawah bumbung rumah yang serupa. Yang jauh dari keluarga yang disayangi seikhlas jiwa.

Betullah kata setengah pihak. Alam di asrama dan di kampung tidak sama dengan alam apabila tinggal di rumah bujang. Contohnya kalau dahulu kita antara pelajar yang mudah bangun Subuh, atas gesaan guru asrama mungkin. Tetapi hari ini apabila hidup di rumah bujang, sudah tidak ada lagi guru asrama yang akan mengganggu kehidupan kita.

Semuanya perlu pulang ke pangkal hati dengan menyoal untuk siapa selama ini aku solah Subuh? Mahu ditunjuk kepada siapa selama ini yang aku boleh disiplin pergi masjid berjemaah? Hah. Tanya jangan tak tanya. Jawapan yang selengkapnya dan setepatnya hanya ada pada diri kita masing-masing.

Begitu jugalah apabila kita berada di rumah sendiri. Terasa malas untuk belajar, kita masih ada ibu bapa untuk menasihati. Terlarut dengan kawan-kawan yang tidak sepatutnya, kita masih ada ahli keluarga yang mungkin boleh bagi penawar hati.

Sebaliknya apabila berjauhan dari guru asrama dan juga ibu bapa atau senang cerita manusia-manusia yang menyekat kebebasan itu tadi, maka kuasa penuh sudah terletak pada tangan kita.

Siapa kita? Apa yang kita mahu jadi? Apa yang kita mahu dapatkan? Apa yang bermain di fikiran kita? Perlu dilaksanakan atau tidak? Nak belajar? Nak solah atau tidak?

Semuanya bergantung di atas kekuatan rohani dan aqli kita. Sejauhmana kebaikan dan jugak kelebihan yang kita nampak, maka disitulah keputusan juga permintaan yang akan kita laksanakan.

Oleh itu, dapatlah saya lihat di sini bahawa mempunyai ahli rumah yang baik adalah satu permata yang tidak ada nilai dan taranya. Tidak mustahil, kerana mereka yang selalu memberi peringatan kepada kita hari ini, satu masa nanti kita adalah pemimpin yang mempunyai akhlak serta peribadi yang berkualiti.

Tetapi cuba bayangkan jika ahli rumah yang kita tinggal bersama itu hanya mementingkan hal sendiri.. Duit aku duit aku, duit kamu bukan duit aku. Hidup kamu bukan hidup aku, hidup aku usah kamu ambil tahu. Maka, tidak lain dan tidak bukan, bukan lagi kebiasaan jika kita yang menghuni rumah tersebut terasa seperti tinggal di dalam gua yang tidak bercahaya.

Mampukah hidup? Mampukah tersenyum? Mampukah bahagia?

Ia akan terjawab bilamana semua itu kita rasainya sendiri. Hidup negara orang bro… Bukan negara sendiri. Andai negara sendiri, masih boleh kalau nak cakap itu dan ini.

Maka, keterlibatan ahli rumah dalam membantu dan menyokong kejayaan kita hari ini dan masa depan adalah sangat penting terutama apabila kita sedang menjalani fatrah sebagai seorang pelajar.

Mahu berjaya, bukan berjaya seorang-seorang. Mahu bahagia bukan nak bahagia seorang-seorang. Andai sedih dan lara sekalipun, kalau boleh kita nak jalaninya sama-sama. Apatah lagi ahli rumah yang mempunyai jiwa yang merasai dan memahami.

Sungguh, alangkah bahagianya mereka yang mempunyai ahli rumah yang komited dan berwibawa ini. Yang sentiasa ambil berat. Yang sentiasa tersenyum dan memikirkan cara untuk menceriakan bilamana ditimpa kesusahan. Tidak lokek ilmu. Sudi berkongsi jika diminta untuk menasihati. Tidak berkira biarpun wang ringgit juga tenaga yang dikorbankan. Menjadi chef yang pandai memasak dan sebagainya.

Subhanallah. Hati siapa yang tidak tertawan dengan sifat dan sikap seperti ini? Sebab itulah, apa yang saya nampak, siapa yang bijak menyusun dan mengatur semua ini, kehidupannya akan bermula dengan senyuman ceria di pagi hari kemudian diakhiri dengan senyuman kesyukuran di malam hari. Bahkan orang sekelilingnya juga akan terasa bahagia hidup bersama mereka.

Jadi, setelah jauh saya terbang dan berjalan.. maka saya ingin balik kepada tujuan penulisan kali ini bahawa mempunyai ahli rumah yang baik adalah sangat-sangat membahagiakan dan itulah nikmat sebagai seorang pelajar yang merantau di negara orang.

Alhamdulillah. Segala kesyukuran dipanjatkan kerana Allah memberi nikmat itu kepada saya. Harapannya Allah meredhai rumah bujang kami.

Jujur saya katakan.. saya bukanlah ahli rumah yang baik. Tetapi kerana kebaikan ahli rumah saya yang lain, maka saya menulis artikel ini sebagai ucapan terima kasih juga doa buat mereka atas segala kebaikan juga kesabaran dalam bersama-sama menjalani kehidupan di lautan perantauan ini.

Salam ukhwah buat semua dan terima kasih.


Thursday, November 24, 2011

6
Komen
~ Maaf, saya terlalu sibuk! ~

Masa lapang sebelum sempit. Hargailah!



Apa khabar semua pembaca yang dikasihi? Harapnya semua sihat dan bahagia selalu. Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah lama blog ini tidak diupdate. Hinggakan ada yang pernah menghantar mesej personal kepada saya sebagai gesaan untuk mengupdate blog.

Tepuk dada tanya kembali hati. Bukankah dahulu, ketika awal penubuhan blog ini, salah satunya adalah wadah untuk menceritakan pengalaman serta kenangan baru yang ditimba dari . ‘perigi’.

Atau dengan kata lain Jordan. So, Apa yang telah terjadi?

Kenapa tidak terlaksana? Hanya berputar dalam bulatan tahi ayam sahajakah?

Atau hanya nak bagi bunyi sempoi sahaja? Aha.

Bila soalan itu yang menjunam ke pangkal hati, letusan gunung keegoaan mula goyah sedikit demi sedikit. Larvanya mula keluar tanda gunung tersebut bakal bergegar menghentam Lautan Rabbani.

Lihat. Inilah hasilnya. Anda sedang membaca kembali coretan dan lakaran kehidupan seorang pelaut kehidupan. T.T

Rata-rata yang saya jumpa, kebanyakan penulis khususnya kepada yang menulis blog – suka untuk menggunakan talian hayat ; “Oh, aku tidak ada masa nak menulis.” Atau “Aku sibuk sikit sekarang ni. Biasalah, PM orang katakan.” Talian hayat yang berbaur kesibukan. Talian hayat yang berbaur kemiskinan masa.

Namun, pada saya talian hayat tersebut adalah talian hayat yang palsu. Betul atau tidak itu kita yang bergelar penulis inilah sama-sama yang tahu.

Apabila medan penulisan atau blog sudah tidak diupdate beberapa lama, hinggakan pembaca setia yang datang berasa hampa disebabkan penulisan kita adalah penulisan yang basi, maka apabila kita kembali menulis, sudut pemikiran kita ketika itu tidak akan lari dengan memberi alasan ; “Maaf, saya terlalu sibuk!

Sedangkan pernahkah kita teliti.. masa kita yang ada benar-benarkah berkualiti? Kelapangan yang ada benar-benarkah diisi? Kekosongan yang ada, memang betul-betulkah dipenuhi? Andai sudah cukup semua itu sekalipun, kita kembali semula kepada soal insani, sejauh mana masa-masa kita yang dipenuhi tadi mampu menceriakan penjaga pintu mati?

Hah. Apa pulak ni? Tadi sentuh tentang penulisan. Selepas itu pergi kepada tidak ada masa untuk menulis. Tiba-tiba muncul pulak pintu mati. Apa yang dia nak sampaikan sebenarnya? Hidup pun sebagai pelaut, nak terjun dalam bidang penulisan. Patutlah berbelit bunyi ayat. Noktah.

Susunan-susunan ini sebenarnya berkait rapat. Kita tidak perasan bila kita tidak benar-benar teliti dan fahami. Dalam banyak-banyak amalan sebagai contoh dalam medan penulisan blog. Kita selalu memasinkan mulut kita dengan alasan - aku tidak ada masa. Sedangkan banyak sahaja masa yang terluang.

Sebab itu saya menyoal kembali tadi, andai kata kalau masa kita itu betul-betul ‘pack’. Tidak ada masa untuk menulis, benarkah masa kita tadi diisi dengan perkara-perkara yang mendatangkan faedah. Dengan perkara-perkara yang memang betul berkualiti. Yang boleh kita jadikan sebab kukuh ; aku mengutamakan parioriti.

Atau, kita hanya suka menggunakan istilah ; - aku tidak ada masa atau aku sibuk dan sebagainya, dalam masa yang sama kita ini adalah hamba kepada masa lapang.

Maka, dimanakah kayu pengukurnya yang mengatakan aku terlalu sibuk itu!?? Pranggg.. pecah kaca hati!

Timbul pula persoalan, apa kaitan penjaga pintu mati dengan penuhi masa lapang pula?

Begini. Terang-terang walau tidak pakai lampu suluh kita mengatakan bahawa masa yang ada telah kita penuhi. Masa yang ada memang betul-betul sesuai dengan parioriti atau dalam bahasa latinnya keutamaan. Disebalik maksud tersirat, kita adalah yang pakar dalam mengisi masa lapang.

Namun, seandainya penjaga pintu mati atau malaikat maut yang sedang mengintai-ngintai kita itu datang dengan bukan lagi sebagai intaian, tetapi sebagai hari tersebut memang betul hari kematian, adakah amalan kita yang terisi tadi mampu menceriakan malaikat maut yang datang sebagai pelaksana tugasan?

Lihat. Dalam kesibukan kita itu.. kita ada memfokuskan parioriti iaitu sebagai pelajar, aku akan belajar lima jam tanpa henti. Ya, memang betul kita mengisi masa kita dengan belajar. Masa yang berlalu, memang yakin berbaloi. Semua yang dihafal semuanya meresap. Semua yang dibaca semuanya mujarab. Semua yang diulang kaji semuanya berasap. Tiba-tiba, ditengah-tengah masa kita itu, tersangkut dengan waktu sembahyang Zohor.

Tetapi kerana mengejar kejayaan dunia, kita lebih mementingkan belajar. Sebab kukuh, belajar juga ibadah! Setelah tiba sahaja azan Asar, nyawa kita ketika itu adalah nyawa ‘byebye’, hembusan nafas waktu itu adalah hembusan nafas yang terakhir.

Maka, adakah penjaga kematian akan tersenyum semasa datang menyambut?

Disitulah kaitannya. Jelas?

Dan ringkasan kepada keseluruhannya, kita bukan tidak ada masa.. tetapi kita tidak pandai menyusun dan membahagi masa. Andaikata kita pandai menyusun masa sekalipun, lihat kembali keutamaannya.. menjurus ke arah dunia sahajakah atau menjurus ke arah dunia dan juga akhirat.

Isu ‘penulis’ atau isu ‘bidang penulisan’ yang saya jadikan sekapur sireh di pendahuluan tadi bukanlah perkara pokok yang ingin difokuskan, tetapi ia tidak lebih hanyalah analogi untuk sama-sama kita meneliti kehidupan yang sementara dan fana ini.

Kerana apa, kebanyakan contoh realiti.. ramai yang memberi sebab aku terlalu sibuk untuk ke majlis-majlis ilmu. Aku dah bosan dengan perkongsian-perkongsian agama, aku ada banyak lagi kerja yang lebih penting dan sebagainya.

Akhirnya kita tersadai di tepi pantai yang kita rasa pantai inilah tempat yang menenangkan, sebaliknya pantai yang seratus lebih baik itu terkabur dek kerana kelemahan kita untuk memahami parioriti akhirat yang berpanjangan.

Oleh itu seperti biasa, ambillah yang baik, tinggalkan yang buruk. Sama-masalah kita belajar untuk mengurus masa. Mengurus kehidupan dan mengurus rasa cinta kita kepada Tuhan yang Maha Kuasa.


Sambutlah salam riang dari seorang pelaut di tepi kali,
Pelaut Rabbani.
Sekian dan jumpa lagi. =)