Sunday, July 31, 2011

7
Komen
~ Selamat Menyambut Ramadhan Al-mubarak ~

Moga Allah kasih dengan kita (",)
Memulakan entry kali ini dengan lafaz salam untuk anda seluruhnya. Assalamualaikum wbt. 

Alhamdulillah. Tidak ada kata yang dapat diungkapkan sebagai pemula ayat untuk menggambarkan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah atas kurniaan ruang dan peluang untuk saya menggerakkan bait-bait kata di laman Lautan Rabbani.

Sedar atau tidak, rupa-rupanya umur lautan ini hampir mencapai sembilan bulan. 

"Owh.. lama dahla Lautan Rabbani ditubuhkan."

"Eh.. yaka? Macam sudah dua tahun ja."

"Alamak bro.. baru sembilan bulan. Blog aku dah sepoloh tahun rileks ja."

" La.. sama dengan masa ibu ngandung."

Hehe. Apa pun kata anda.. hari ini saya bahagia. Kerana salah satu impian saya untuk menghasilkan komik di laman ini sudah tercapai. Alhamdulillah. 

Sebelum anda tanya saya, lebih baik saya sendiri yang menjawabnya dahulu.  (",)

Sebenarnya, besar harapan saya untuk menjadikan teduhan Lautan Rabbani sebagai tempat membangun jiwa. Banyak perkara yang saya belajar daripada mereka yang bergelar senior blogger, yang mampu menjadikan pondok atau teduhan mereka sebagai tempat merehatkan minda, meningkatkan iman, menghilangkan resah di hati, memberi hiburan secara sederhana sejurus melengkap alam maya ini sebagai salah satu cabang untuk mencapai redhaNya.

Untuk menjadi seperti mereka maka saya juga perlu berusaha. Perlu kreatif dan bersungguh dalam mengikut jejak dan anak tangga yang pernah meraka lalui dan 'dakaki'. InsyaAllah.

Komik ringkas ragam ramadhan dan raya.

Terimalah..

Yang mana lebih kita utamakan? Persediaan Ramadhan atau raya?


Taqwa adalah satu rahmat dan anugerah kepada mereka yang berusaha untuk mendapatkannya. Oleh sebab itu, kita yang menentukan sama ada mahu atau tidak.. (",)


Akhir : Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak

Ya. Ramadhan itu sudah berkunjung tiba. Kita bukan berada dalam bulatan mainan lagi. Kita bukan berada dalam impian dan angan-angan lagi. Semuanya akan dan telah kita tempuhi. Maka, bersempena di awal bulan Ramadhan ini, saya ingin mengucapkan Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Juga meminta maaf kepada anda semua sama ada kepada rakan-rakan blogger, silence reader, serta tetamu-tetamu yang seringkali menjengah ke laman ini. Tidak dilupakan juga buat warga 15 generations, warga keArah perlis dan sanak-saudara yang mengenali diri ini. 

Apa yang kita harapkan, bulan Ramadhan yang menjelma ini mampu memberi impak positif kepada kita untuk berubah dan berubah mengejar bintang.

Anggaplah Ramadhan yang kita tempuhi pada tahun ini sebagai Ramadhan yang terakhir. Motivasi mengingatkan dekatnya hari kematian akan menjadikan kita serius beramal ibadah dan serius berbuat kebajikan sebanyak-banyaknya.

Andai umur masih sempat melangkau Syawal, syukurlah banyak-banyak di atas usia bonus ini. Mudah-mudahan berkat didikan 'madrasah' Ramadhan kita kembali menjadi baik seiring bintang-bintang di langit. Amin.

P/s : Terima kasih kepada Nazmi Studio. Moga Allah kasih dengan anda.

Friday, July 29, 2011

15
Komen
~ Penangan 'Air Tangan' ~

"Alamak, rosak lagi masakan aku.. Adakah ini petanda aku tidak sayangkan dia lagi??" (",)
Masakan ibu ialah masakan yang paling sedap. Begitulah selalunya dikatakan orang. Realitinya pun begitu. Percayalah seorang anak pasti akan merindui masakan ibunya setelah lama berpisah.

Rindu masakan ibu seringkali melanda anak-anak. Itu kata saya. Kalau anda, saya tak pasti. (",)
Walaupun si anak mungkin pernah menjamah makanan yang lebih mahal, esklusif dan sebagainya tetapi manakan sama masakan ibu. Mengapa?

"Sebab kalau ibu masak, sah-sahla dijamin bersih."

"Sebab ibu suka masak dalam kuali buruk."

"Sebab ibu tukang masak hotel lima bintang."

"Sebab ibu ambil kursus seni kulinara waktu muda dulu."

"Sebab hanya ibu yang tahu makanan kegemaranku."

Eh. Macam gitukah sebabnya? Owh.. tidak sama sekali.

Kalau nak tahu itulah penangan "air tangan". Begini. Cuba kita teliti bagaimana cara untuk menghasilkan satu-satunya makanan laut.. ia melalui pelbagai proses daripada menyiang, membasuh, menggaul, menguli dan lain-lain aktiviti yang kebanyakannya melibatkan sentuhan tangan secara langsung. Tangan tukang masaklah yang paling banyak menyentuh makanan.

Jadi dalam masakan ibu, air tangannyalah yang paling banyak 'terlarut' bersama bahan-bahan masakan. Cuma yang menjadi tanda tanya adalah betulkah air tangan itu yang memberi kelazatan kepada makanan? Betulkah begitu?

Pada hakikat itu bukan sebabnya. Air tangan yang dimaksudkan bukanlah "air" dalam erti kata yang fizikal dan material. Air tangan sebenarnya ialah aliran kasih sayang, kesungguhan, keceriaan dan ketulusan hati seseorang ibu yang memasak untuk anaknya. Hati itulah yang mengalirkan "air tangan". Maka air tangan di sini hakikatnya ialah aliran kasih sayang semasa ibu memasak untuk anaknya.

Kerana itulah kebanyakan pakar motivasi sepakat menegaskan bahawa orang yang melakukan satu kerja dengan penuh kasih sayang, ceria dan tulus, maka hasil kerjanya akan berkualiti. Dorongan kerjanya bukan untuk "mendapat" tetapi untuk "memberi".

Seorang ibu yang memasak didorong untuk memberi kasih sayang kepada anaknya. Berbanding seorang chef yang memasak atas dorongan ganjaran komersial. Inilah faktor yang menyedapkan masakannya.

Justeru semakin ikhlas, ceria dan kasih seseorang pada pekerjaannya dan kepada siapa dia tujukan atas kerjanya itu maka semakin tinggilah kualiti kerja tersebut. Andai kata pekerjaan itu kurang keikhlasannya, keceriaannya, berserta kasihnya, maka semakin rendahlah kualiti dan produktiviti kerja tersebut.

Satu persoalan yang timbul, kenapa bincang tentang Penangan Air Tangan? Maka jawapannya sebab ini.. Realitinya, "air tangan" bukan hanya ada pada kerja memasak. Tetapi ia ada dalam setiap jenis pekerjaan. (",)

Ia adalah aliran kasih sayang dan kecintaan yang seharusnya mengalir dalam setiap pemimpin, guru, doktor, jurutera, blogger sehinggalah buruh kasar sekalipun.

Seseorang yang paling kasihkan Allah, dialah yang paling kasihkan manusia dan orang seperti inilah yang paling tinggi kualiti kerjanya. "Air tangannya" akan sentiasa mengalir untuk memberi bakti yang terbaik dan sempurna.

Akhirnya, tidak hairanlah penulisan Asyahid Syed Qutb ditakuti musuh-musuh islam. Sehingga ada yang mengatakan penulisannya lebih tajam daripada mata pedang. Subhanallah.

Tidak peliklah Sultan Muhammad Al-Fatih berjaya melayarkan tujuh puluh buah armada perang melalui daratan pergunungan dengan harapan islam tersebar ke suluruh dunia sehingga menggeruni dan mengegarkan jiwa musuh-musuh islam. Subhanallah.

Tidak mustahil jugalah Imam Bukhari dan Imam Muslim mampu menghafaz beratu-ratus ribu matan dan sanad hadith dalam masa yang sama menjadi sumber rujukan kepada ummah seluruhnya. Subhanallah.

Dan kita? Sejauh mana kita terbang memutar alam ini dengan 'air tangan' kita? Sejauh mana keberkesanan penangan 'air tangan' kita ini membuka mata dunia? Atau kita hanya berjalan di atas gelora air dengan harapan tidak tenggelam? Ya Allah.. kerdilnya terasa diri ini. Erm..

Monday, July 25, 2011

13
Komen
~ Hakikat Memberi Indah Bahagia ~

Pahalanya berjalan bagaikan sungai yang mengalir.
Ku menyusun sepuluh jari meminta ampun pada Allah atas segala salah dan silapku. Ya Allah, sepanjang kehidupan ini sudah terlalu banyak Engkau berikan nikmat dan kelebihan yang tidak terhingga kepada ku. Hinggakan banyaknya nikmat yang Engkau berikan itu belum pun sempat untukku minta padaMu. Alhamdulillah. Segala puji bagiMu ya Allah.

Kelebihan itu dan ini. Semuanya adalah pinjaman buat kita. Tidak ada daya dan upaya yang mampu kita gencarkan andaikata semua ini bukan lagi dipinjamkan kepada kita. Kita hanya biasa. Bahkan ingin menjadi luar biasa pun adalah dengan izin dari Allah.

Saya. Anda. Kita. Sejauh mana kita menghargai nikmatNya. Sedarlah wahai diri yang sentiasa lupa dan alpa. Allah memberi untuk kita memberi. Bukan untuk kita guna kebolehan yang kita ada itu untuk mengangkat diri, dijulang menjadi perwira dunia, diiktiraf menjadi ketua pada segala-galanya dan meletakkan diri kita sebagai orang yang paling berkuasa semata-mata.

Yang sedihnya, ramai yang tidak merasai dan memahami akan hakikat ini. - teguran untuk hati.

Yang paling bahagia. Memberi atau menerima?

Jika mahu dihitung akan nikmat Allah kepada kita, nescaya tidaklah mampu dengan daya dan upaya setitik air laut cuma. Namun, sejauh mana kita menghargai nikmat yang Allah bagi kepada kita dengan memberi kebaikan kepada orang lain?

Siapa yang lebih cinta maka dialah yang lebih banyak memberi. Dengan ini orang yang kurang memberi, itu petanda 'kurang'nya cinta. Apabila kurangnya rasa cinta, tergugatlah persaudaraan dan rengganglah persahabatan.

Oleh sebab itu, hidup ini hanya akan harmoni apabila kita banyak memberi bukan menerima. Kita manusia telah memikul banyak peranan sebagai hamba Allah. Tugas hamba Allah yang sejati adalah untuk memberi kebaikan - buat diri sendiri, orang lain hatta persekitaran.

Malangnya, dalam hidup ini ramai manusia mementingkan bagaimana untuk mendapat, bukan memberi. Mendapat pada sangkaan mereka akan membahagiakan. 

Maka berlakulah persaingan malah perebutan. Tidak kiralah dalam keadaan kita inginkan ganjaran dunia mahupun pangkat yang menipu daya.

Padahal hidup ini bukan untuk bersaing tetapi saling berkongsi. Begitu juga dengan diri saya dan anda. Bukan untuk bertanding, tetapi untuk kita lengkap-melengkapi antara satu sama lain. 

Kekayaan sebenar bukan pada banyak memiliki

Ya. Pasti ramai yang tidak akan setuju akan hal ini. Masakan mampu menjadi kaya jika apa yang kita ada diberikan kepada orang lain. Ada lima ringgit. Disedekahkan kepada fakir miskin tiga ringgit. Bakinya sudah pasti dua ringgit. Ia tidak akan menjadi lapan ringgit. Betul tak? Jadi, dimana untungnya? 

Untuk menjawab persoalan itu, ayuh sama-sama kita selusuri satu-persatu dengan kebersihan hati. Moga ada manfaatnya.

Kekayaan sebenar bukanlah kerana banyaknya 'memiliki' tetapi kerana banyaknya 'memberi'. Inilah hakikat sebenar yang perlu saya dan anda terima dan sedar. Kerana kadang-kadang hakikat ini tidak mampu kita lihat dengan pancaindera mata tetapi mampu dibaca dengan mata hati sanubari. 

Justeru, Allah itulah zat yang Maha Kaya, kerana Dia-lah yang paling banyak memberi. Jika kita banyak memberi sedar atau tidak kita telah meningkatkan kualiti jiwa. Jika kita hanya menerima, kita hanya meningkat kualiti harta. Kualiti jiwa itu matlamat, kuantiti harta itu cuma alat. Maka, jangan kita mudah tertipu dan tertukar antara alat dan matlamat.

Intailah hari-hari yang berlalu dalam kehidupan seharian kita. Pada hari yang ceria dan gembira itulah hari yang kita lebih banyak memberi berbanding menerima. Tidak kiralah samada memberi harta, nasihat serta sokongan, pertolongan, bantuan bahkan senyuman. Perhatilah..

Kita akan gembira bila kaya jiwa

Berapa ramai orang yang kaya hartanya tetapi miskin gembiranya? Berapa ramai orang yang kaya anak-pinaknya tetapi miskin keceriaan rumah tangganya? Berapa ramai yang kaya pangkatnya tetapi miskin ketaatan orang bawahannya? 

Berapa ramai orang yang kaya makan minumnya tetapi miskin kesihatannya. Berapa ramai orang yang kaya kawan-kawannya tetapi miskin senyumannya? Berapa ramai orang yang kaya pengetahuannya tetapi miskin peribadinya?

Kenapa semua ini boleh terjadi? Bukankah mereka juga tergolong dalam golongan orang yang 'kaya'? Maka jawapannya hanya satu.. mereka tidak kaya pada tempat sebenar. Tempat sebenar yang bernama jiwa. Disitulah lubuk kegembiraan yang sebenar. 

Bagaimana kita ingin menjadi orang yang kaya jiwa? Semestinya banyak cara. Salah satunya kita membahagiakan orang yang berada di sekeliling kita. Sebab orang yang sentiasa berfikir untuk menggembirakan orang lain insyaAllah akan sentiasa dibukakan pintu kegembiraan buatnya oleh Allah.

Saya tertarik dengan satu kata-kata para cendiakawan. Mereka mengingatkan bahawa kita tidak akan bahagia selagi orang yang berada di samping kita tidak bahagia. Ertinya, Kebahagiaan kita hanya apabila kita berusaha membahagiakan orang lain.

Akhir : Berikanlah apa yang Allah beri kepada kita

Erm.. Sewajarnya kita sama-sama hamba perlu berfikir bagaimana untuk memberi. Tidak kisah samada melalui penulisan nasihat, pengucapan awam, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, senyuman ceria, pertolongan mahupun bantuan, kasih sayang dan sebagainya. Asalkan kita sedaya-upaya memberi.

Berikanlah apa yang Allah beri kepada kita kerana di sana ada hak orang lain yang diamanahkan kepada kita.  Jangan jadi seperti Qarun yang mengganggap kekayaan diri adalah miliknya. Kesannya bukankah kemusnahan adalah pengakhirannya?

Ya kita yang memerah keringat. Kita yang penat berfikir. Kita yang berusaha dan merancang sesungguh-sungguhnya. Tetapi perlu juga kita bertanya kepada hati. Dengan tenaga siapa kita berusaha? Tangan, kaki, bahu dan segala pancaindera hakikatnya milik siapa?

Wahai teman-temanku,

Semua itu bukan milik kita. Bukan milik kita... segala-galanya milik Allah. Kita bukan pemilik. Kita hanya peminjam sahaja. Justeru, bisakah kita masih berlagak sombong dan angkuh? Bisakah kita mampu berjalan di atas muka bumi ini dengan melupakan 'semut' di tanah? Ya Allah.. banyaknya kesilapan dan kesalahan diri kami. Ampunkan kami ya Allah.

Jemput singgah ke laman ini. Anda akan setuju dengan apa yang saya kata. Klik Teroka Khazanah Rahsia : Memberi tidak pernah Rugi.

P/s : Penulisan ini bukan untuk anda. Tetapi untuk kita seluruhnya. Maafkan saya jika mencalarkan hati.


Sunday, July 24, 2011

9
Komen
~ Kerana Aku Adalah Semut ~

Senyum pada alam, lihatlah keajaibannya.
Buku berkulit nipis itu diselak satu-persatu. Sekadar melayan kerenah mata yang masih segar sebelum tidur malam. Diantara dua selakan buku itu, mataku sempat mengerling ke arah jam dinding yang terlekat kemas bersebelahan almari baju. Pukul 12.35 malam.

Dalam pada itu, selimut yang menutupi badan diselak ke tepi. Lalu ku mencapai alat kawalan jauh di sebelah bantal dengan menekan punat 'on'. Penghawa dingin yang masih tidur dari pagi terus terjaga dengan kejutan itu. Sebentar kemudian ia melemparkan kata-kata pujian dan terima kasih dengan mengeluarkan bayu sejuk dari tubuhnya. Nyaman. 

Belek punya belek rupa-rupanya sudah habis satu buku yang aku terokai. Selamba dan tidak berminat. Menguap. 

Belum sempat untuk ku menutup buku itu, anak mata hitam yang layu tadi menangkap satu ruangan 'puisi' ringkas yang menarik di belakang kulit buku terakhir. "Keranaku semut..." Wah! Ia umpama satu lontaran luahan bahasa hati semut untuk mengetuk hati kita yang bernama insan.

Maka di sini, saya ingin berkongsi. Mudah-mudahan yang baik itu kita pelopori dalam kehidupan.
Terimalah..

Keranaku 'SEMUT'.

Kerana siddiq,
aku tidak kazib untuk sesuap nasi,
kerana sesuap akan mendarah daging.

Kerana amanah,
aku tidak khianat... tidak tinggalkan tanah,
aku pekerja yang melindungi sarang.

Kerana tawadhuk,
aku tidak takabbur... bisanya sengat tetapi tunduk,
aku hamba yang kecil cuma.

Syukur Allah...
keranaku 'SEMUT'

Aku sebut... di dalam al-Furqan,
Aku diingati... didoakan Sulaiman,
akan kesyukuran dan kesejahteraan.

Tapi...
Dalam ku tulus dan ikhlas,
yang bernama insan,
penuh hasutan dan hasadan.

Katanya..
"Keranamu 'Semut' perosak kemanisan dan pengganggu keharmonian"

Yang bernama insan...
penuh kesombongan.

Wahai insan..
ingatlah!
Kala mata, telinga, kaki dan tangan,
memberikan penyaksian di hari pembalasan,
Manakah mulia.. SEMUT atau INSAN?

kau kan tahu..
Sakitnya gigitan bisanya sengatan!


Huh. Saya tidak pasti apa yang anda faham dengan kata-kata di atas. Tetapi apa yang saya nampak, andai semut yang kecil mempunyai sihat-sifat hamba kepada Maha Pencipta, kita yang berpakaian insan ini bagaimana? Sungguh. Saya sangat-sangat terkesan dengan puisi ini. Allahuakhbar.

Wednesday, July 20, 2011

37
Komen
~ Apabila diri ini dilamun Cinta ~

Hati berbunga-bunga bahagia. =D
Assalamualaikum semua. 
Rasanya sudah lama saya tidak bermain kata di Lautan Rabbani. Jadi, hari ini terasa rindu pulak untuk berbuat demikian. Cuma pelik dengan 'mode' yang dirasakan.  
Akhirnya 'puitis' yang dihasilkan terjadi sedemikian. 
Alahai..

Duhai cinta hatiku,
buatmu, cebisan istimewa ini kunukilkan,
Tanda pencintaan berpintal iman,
lantaran tak dapat kusembunyi,
apa yang melingkar di hati ini,
adalah cintaku padamu tidak terperi,
juga terhampar luas tidak bertepi.

Duhai cinta sejatiku,
masihkah kau bersemadi di minda?
bahawa kasih yang terjalin antara kita,
adalah cinta tulus bersulam mesra,
yang akan ku doakan sentiasa,
moga menjadi lambang keangungan cinta.

Duhai cinta kasihku,
aku dan kamu kita tidak sama,
kamu dan aku kita juga berbeza,
berulit suka berlainan cerita,
namun kerana kasihNya,
aku dan kamu kita bercinta,
kamu dan aku moga berkekalan hingga ke syurga.

Ya. Ketahuilah sayang,
cinta kita ada yang derita,
cinta kita ada yang cemburu buta,
cinta kita ada nestapa,
cinta kita ada yang tidak selesa,
cinta kita ada yang bahagia,
cinta kita juga ada yang menembak doa,
akan tetapi semuanya adalah saksi dan tanda,
yang cinta kita bukan cinta biasa.

Oleh itu wahai sayang,
ayuh kita renungi cawan,
jika tidak dituang air,
molekul udara pasti memenuhinya,
begitulah juga diri kita,
jika tidak diisi iman,
masuklah syaitan bermaharajalela.

Oh bidadariku,
walaupun hari ini kita tidak bersama,
moga satu hari nanti kita tetap setia,
walaupun hari ini kita berjauhan,
mudahan ikatan ini teguh berkekalan,
walaupun hari ini, 
pungguk merindukan bulan,
harapannya satu hari nanti,
pertemuan kita mengundang kebahagiaan.
Amin.


Sekian,
Pelaut Rabbani,
Puitis : Apabila diri ini dilamun Cinta,
P/s : Kepada abang-abang dan kakak-kakak sekalian, bersegeralah 'membina masjid' kerana giliranku akan berkunjung tiba tidak lama lagi. Tudia. Haha. ^_^"

Sunday, July 17, 2011

16
Komen
~ Kenangan itu buat aku Tersenyum ~

Ada sejarah tersendiri.
Pada malam itu bulan tidaklah terlalu purnama. Cahayanya tidaklah terlalu terang untuk menyinari kegelapan malam. Awan-awan gebu juga masih segak berkeliaran. Terbang bebas umpama gumpalan kapas ditiup angin mengikut alunan bayu sutera.

Burung-burung nan letih mencari rezeki sehari suntuk, sudah kembali ke chalet masing-masing. Deretan bangunan kedai sudah mula menutup tirai.

Cuma yang tinggal beberapa ekor kucing yang masih berpeleseran di tepi longkang dengan sesi renggangan. Saki-baki tulang ikan dibiarkan sendiri. Tidak dijamah atau dimakan. Mungkin disimpan untuk juadah sahur pada hari esok. (",)

Dalam pada itu, sebuah kereta Honda City berwarna silver memecut laju dalam kota raya Kangar. Suasana sedikit ceria dan cerah dengan lampu-lampu hiasan jalan. Ditambah pula dengan pasar malam yang berhampiran membuatkan keadaan lalu lintas dibelengu sesak nafas.

Santai dengan angin malam yang dingin menyapa rambutku melalui cermin kereta. Tangan yang sedang memegang kopiah diangkat lalu disinsing rambut ke belakang. Kemas.

Perjalanan untuk sampai ke rumah mengambil masa lebih kurang lima belas minit. Maka, pelbagai isu yang dibicarakan oleh ahli keluargaku semasa dalam perjalanan. Antara isu yang menjadi pilihan adalah ceramah yang disampaikan oleh seorang ustaz semasa di kuliyah Maghrib tadi. Menyentuh soal agama sebagai modul untuk mengulang kaji sesama kami.

Aku yang berada di tempat duduk belakang hanya mendiamkan diri. Sekadar mendengar ulasan lanjut dari encik ayah dan cik emak membuat kesimpulan. Kadangkala gelak ketawa mengisi ruangan apabila encik ayah mengeluarkan celotehnya secara spontan. Tidak kering gusi dibuatnya.

Dengan muka sepuluh sen, aku melemparkan pandangan ke luar jendela kereta. Memerhati telatah manusia dengan ragam beraneka macam rupa. Ada yang sedang membonceng motor, bercakap telepon sambil memandu, melepak bersama teman-teman di kaki lima kedai dan ada juga yang sedang menternak lemak di restoran kesukaan masing-masing. Di luar sedar, tanganku sudah memegang perut. Ya Allah, laparnya.. getus hatiku.

Sampai sahaja di halaman parkir kereta, ayah mematikan enjin. Aku mencapai kunci rumah yang tersisip di dalam poket baju lalu mengatur langkah ke pintu rumah. Berbekalkan ilmu yang sedikit, aku memulas punat kunci dengan berhati-hati. Kemudian menolak pintu perlahan seiring mulut mengukir salam. Ternyata salam ku dibalas.

Meow...  Meow...  Meow...

Aik? Bila masa pulak kucing ni ada kat sini? Keningku terangkat spontan.

"Mak! Tompok memang ada dalam rumah kita dari petang tadi ka?" Aku bertanya acuh tak acuh.

"Laa.. Kenapa tak keluarkan sebelum pi kuliyah Maghrib tadi? Satgi dia 'berak' letihla mak nak basuh." Balas emak bersungguh.

"Takpa mak. Kucing ni baik. Dia tak macam kucing-kucing yang lain. Rumah kita kan ada empat tandas. Dia boleh pilih mana yang dia selesa. Kalau dia nak berak, dia boleh masuk tandas terus. Mak janganla risau sangat." Pujuk aku sambil mengusap-usap leher Tompok yang manja.

Tiba-tiba dari satu sudut yang lain abang aku bersuara, "Apa yang bau masam ni?" Aku menoleh. Kelihatan abang sedang menunjuk ke arah bilik aku. Dahinya sedikit berkerut.

Hai. Ini sudah lebih. Bilik macam istana Rom dikatakan bau masam. Aku terus meluru ke bilik kesayanganku dengan meninggalkan Tompok sendirian. Tiba sahaja di hadapan bilik, aku terus terbatuk. Pancaindera bau telah menangkap bau yang kurang enak.

"Eh. Ini bukan bau biasa. Lain macam ja masamnya. Bila pulak yang aku beli perfume ni? Ala-ala strawberry basi tu."

Abang aku yang masih tercegat di depan pintu sudah mula gelak besar. Dan aku seakan mengerti gelaknya. Kureng. Tunduk bawah katil, cari punya cari masih tidak ada. Buka pula pintu almari, juga tidak jumpa. Lalu tangan aku mencapai pula selimut di atas katil, "Subhanallah! Makaroni sapa pulak yang tumpah atas katil aku ni??"

"Tompokk!!"

Dasar perangai macam binatang. Katil aku juga yang engkau selesa ya. Maka pada malam itu tidurlah aku di ruang tamu seorang diri. Namun, disebalik ujian yang menimpa itu aku berfikir sendiri.

Beruntungnya manusia dianugerahkan akal. Bagaimanalah kalau manusia juga tidak dikurniakan akal? Erm..
Malam itu aku tidur dalam senyuman. Senyuman sayang kepada Tompok terutamanya.

Jika anda tidak mahu basuh tilam, asuhlah kittie anda dengan sebaiknya. ^_^"

Akhir kata daripada saya, jomlah sama-sama kita terbang ke laman ini. Sebuah cerita tentang pendakian kehidupan. Saya yakin ia sangat bermakna buat kita.

Klik : Memori Tasbih : Kenangan itu buat aku Tersenyum.

Tajuk seakan sama dengan post ini, tetapi jalan ceritanya adalah lebih bermakna. =)

Sekian,
Terima kasih.

Thursday, July 14, 2011

8
Komen
~ Ramadhan dan Secebis Tentangnya ~

Tak lama bulan purnama akan muncul, kemudian akan menjadi hilal kembali. (",)
Hari ini, dapatlah kita lihat ramainya manusia yang membicarakan perihal Ramadhan. Itu dan itu. Ini dan ini. Semuanya sebagai salah satu wadah atau usaha untuk kita sama-sama ber'warming-up' sebelum terjun ke dalam bulan yang dilipat gandakan ganjaran pahala.

Kita semua tahu yang bulan Ramadhan adalah bulan rahmah. Bulan yang ditutup pintu neraka dan menghadirkan bonus kepada kita dengan membuka pintu syurga seluas-luasnya.

Tinggal, bagaimana kita akan mengikhlaskan diri dan bersungguh-sungguh dalam memanfaat ibadah serta kelebihan yang dianugerahkan ini.

Menyebut tentang puasa. Pelbagai persepsi yang boleh saya dan anda katakan. Tetapi sebagai coretan permulaan di Lautan Rabbani berkenaan Ramadhan, maka suka untuk saya katakan yang ibadah puasa sangat akrab hubungannya dengan sucinya ikhlas. Kenapa? (",)
 
Kerana puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seseorang hamba.

Begini. Puasa merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya. Seseorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa orang lain mengetahuinya tetapi kerana iman dan taqwa kpd Allah yang mengetahui keadaan zahir dan batinnya serta mengharapkan pahala dan keredhaan Allah maka seseorang itu tidak akan sanggup melakukannya.

Apatah lagi ingin 'melongkang'kannya. =)

Sebab itulah ibadah puasa ini merupakan ibadah yang sangat istimewa.  Bilamana ia tidak berpaksikan sifat ikhlas, takut-takut selitan bual bicara orang dulu-dulu sesuai untuk digunakan dalam situasi ini. Iaitu 'yang dikejar tak dapat, yang dikindong pula berciciran'. Strike!

Akhir kata daripada saya, satu soalan yang ingin saya ajukan kepada anda sebelum menutup 'post' kali ini. Apakah yang anda faham dengan perkataan 'terjun' dalam kenyataan ayat di atas? Sekadar ingin membuka minda. Silakan tinggalkan jejak. (",)

Monday, July 11, 2011

16
Komen
~ Hebatnya Kopi Bukan Sekadar Hitam ~

Bukan sahaja hitam dan pahit, tetapi kuat jatidirinya. =)
Saleem hampir putus asa dengan masalah demi masalah yang menimpa hidupnya. Satu masalah berlalu, masalah lain pula datang bertalu-talu. Perasaan marah, malu, sedih, meluat, geram, benci... sebut apa juga perasaan yang menghimpit sanubari, semuanya pernah dirasai.

Sehingga Saleem berasakan diri dan deritanya di dalam satu bulatan yang sama. Kemana sahaja dia bergerak mahu atau tidak perasaan-perasaan itu pasti akan menemuinya.

Apabila tiba malam yang hening, Saleem terus mendapatkan ibunya. Jiwa pemudanya seakan lemah. Dia menangis ibarat bayi yang baru dilahirkan. Teresak-esak tengisannya membuatkan hati seorang ibu yang putih, bersih dan jernih terasa sayu, sebak dan simpati. Saleem meluahkan segala isi hatinya tanpa rasa kekok atau segan. 

Semuanya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mencari penawar bagi kegelapan dan kegelisahan jiwanya yang semakin merosak andai tidak ditemui jalan penyelesaian.

Renungi lobak merah, telur dan kopi

Selepas Saleem mengakhiri kata-katanya yang terakhir, ibu mengajak Saleem untuk ke dapur dengan pujukan dan alasan ada sesuatu yang ingin ditunjukkkan. Sampai sahaja di dapur, ibu terus mendidih tiga periuk air kosong.

Setelah air telah dididihkan ibu memasukkan lobak merah, telur, dan serbuk kopi asli ke dalam periuk berasingan. Semuanya dibiarkan mendidih beberapa lama. Selepas itu ibu mengeluarkan lobak merah dan telur dari periuk serta meletakkan kedua-duanya di dalam mangkuk. Periuk yang diisi kopi juga tidak ketinggalan lalu dituang ke dalam mengkuk juga.

Kemudian si ibu menoleh kepada Saleem sambil berkata, "Apa yang Saleem nampak?"

"Lobak merah, telur dan kopi." 

"Dekat lagi. Cuba pegang lobak ini. Bagaimana keadaannya?" Saleem menurut sahaja, lalu menjawab selamba, "lembik."

Ambil telur itu dan pecahkan. Tengok bagaimana keadaan di dalamnya," pinta si ibu.

Saleem tidak membantah. Dia melakukan apa yang diminta oleh ibunya. 

"Sekarang cuba hidu dan rasa bau kopi ini." Satu lagi permintaan si ibu dan Saleem juga menurut. 

"Wanginya! Aroma dan rasa kopi.. Tapi apa makna semua ini, ibu? Apa kena-mengena semua ini dengan Saleem?" Saleem inginkan penjelasan.

" Semua ini... lobak merah, telur dan kopi telah dididihkan dengan cara dan jangka masa yang sama, kan?"

" Ya.. betul! Jadi?"

Si ibu hanya tersenyum. 

Yang mana lebih hebat?

" Lobak merah mulanya keras. Tetapi setelah dimasukkan ke dalam air mendidih ia menjadi lembik. Telur pula sebelum dimasukkan ke dalam air mendidih, kulitnya rapuh melindungi isi lembut. Namun selepas itu isi telur menjadi keras dan beku berbanding sebelumnya."

Ibu Saleem mula menjelaskan. 

" Serbuk kopi ini lain. Tak sama lobak dan telur. Sebelum dikisar menjadi serbuk, ia sangat keras. Setelah menjadi serbuk, ia dengan mudah larut ke dalam air panas yang mendidih. Sifat pepejal luarannya hilang. Ia larut seolah-olah kalah pada air panas, namun ia berjaya mengubah warna, rasa dan bau air panas mendidih. 

Air yang jernih telah menjadi air kopi. Jati diri kopi tidak berubah walaupun ia larut dalam air panas bahkan ia mengubah air kosong panas menjadi air kopi. Lihat!"

Saleem merenung jauh ke dalam diri apabila ibu memegang kedua bahunya. Renungan mata ibu tenang, lembut dan bersinar bertemu mata Saleem yang lesu. Dengan penuh kasih sayang dari lubuk hati, si ibu bertanya, "Mana satu hatimu anakku? Lobak, telur atau kopi?"

Andai soalan terakhir ini ditujukan kepada kita, apa jawapannya yang kita ada?

Kita lobak merah atau telur?

Adakah kita seperti lobak merah yang keras dengan warna yang gemilang, menjadi lemah dan lembik luar dan dalam apabila dilanda ujian serta cabaran kehidupan.. meratap sepanjang hidup atas 'malangnya' nasib yang menimpa diri?

Tercari-cari siapa yang patut dipersalahkan atas 'panasnya' penderitaan yang melanda?

Atau kita ini seperti telur yang bermula dengan memiliki hati yang lembut, menjadi keras hati apabila menghadapi ujian dan cabaran kehidupan? 

Luarnya seperti tidak berubah tetapi dalamannya menjadi keras. Tercari-cari kepada siapa dendam hendak dibalas atas 'panasnya' penderitaan yang melanda? Mengukur-ukur berapa tebal tembok yang perlu dibina antara diri dengan 'penjahat-penjahat' yang membuat hidup kita susah? (",)

Kesannya, bukankah pengakhiran semua ini adalah kerosakan?

Akhir : Yang seperti kopi itu sedikit

Aha. Tadi kita dah bersembang-sembang tentang lobak merah dan telur. Apakata kita selusuri pula serbuk kopi asli. 

Tanya ada diri.. adakah kita seperti kopi? Yang tidak pernah hilang jatidiri walaupun telah dikisar dan dimasukkan pula ke dalam air yang mendidih sehingga hilang sifat luarannya. Cabaran dan ujian yang dihadapi tidak mengubah jatidiri. 

Kepasrahannya menerima apa jua yang mendatang tidak membunuh prinsip dan nilai kebenaran serta tidak menjauhkan dari matlamat kehidupan sebagai hamba Allah di muka bumi. Lebih banyak cabaran dan rintangan, ketehuilah lebih matang dan membesar potensi diri terus berkembang sehingga mampu memberi inspirasi kepada orang lain.

Dari pengalaman menghadapi 'kepanasan', mampu pula membimbing orang lain. Tidakkah kita melihat semua ini? Yang tidak buta pasti akan mengiakan. (",)

Cuma yang sedih, insan seperti kopi ini terlalu sedikit. =(

Sekian,
Pelaut Rabbani.

P/s : Pagi tadi saya telah mendapat berita yang sangat menggembirakan. Sungguh, saya benar-benar bersyukur kepadaNya.

Thursday, July 7, 2011

11
Komen
~ Berjalan di Atas Air ~

Berjalan di atas air, terbang di dada langit.
Ramai yang tersalah tafsir akan hal ini. 
Oleh sebab itu, Tontonan Nasihat kali ini membawa kita semua untuk mendengar penjelasan lanjut tentang wali dalam kalangan makhluk.

Ia bukan tentang kumpulan Wali Band.
Ia juga bukan tentang Wali yang ada dalam rukun dan syarat sah nikah.
Tetapi ia berkisarkan Wali yang dicampakkan karamah kepada mereka.



Sementara menunggu video di atas 'loading', saya sangat-sangat syorkan untuk anda klik laman ini. Brohamzah dan Blog. Penting bagi kita yang bergelar blogger. Tidak kiralah pangkat kita famous, paling popular atau otai di alam maya, ia tetap untuk kita.

Terima kasih atas kunjungan anda ke sini.
Moga bertemu lagi. (",)

Sekian terima kasih,
~ Pelaut Rabbani ~

Monday, July 4, 2011

16
Komen
~ Sham Kamikaze Pemusnah Tembok ~

Dikatakan tembok keangkuhan itu ia bukan tembok biasa
Bercakap tentang seseorang pada hari ini. Dahulu beliau hebat dengan style dan kemahirannya yang tersendiri. Kini beliau juga tetap hebat dengan cara dan penampilannya yang menyejuk hati.

Semakin tinggi akal menjejaki, semakin kerdil terasa diri. Melihat semuanya bagaikan mimpi. Tetapi ia bukannya mustahil. Kerana penyusunan itu adalah yang terbaik bilamana kita tahu bahawa yang penyusunnya adalah Dia Rabbula'lamin.

Melihat kepada kehidupan yang penuh dengan seribu macam perbezaan, disitulah akan nampaknya hikmah sejuta macam pengertian. Satu persatu - apabila diteliti, jawapannya pasti menyentuh hati. Tidak nampak bukan bermakna kita buta tetapi cara kita melihat adalah tidak sama. Yang saya nampak mungkin begini. Namun, yang anda nampak mungkin begitu. Bukankah perbezaan ini ada hikmahnya?

Yang tidak buta itu pasti akan mengiakannya. (",)

Bro Sham Kamikaze

Siapa Sham Kamikaze?


Ok. Saya tahu pasti ada yang tidak kenal dengan Sham Kamikaze. Sebab saya pun tidak pernah kenal siapa Sham dan siapa pula Kamikaze satu ketika dahulu.

Tetapi hari ini saya sudah kenal walaupun bukan dalam jarak yang dekat. Beliau adalah salah seorang yang terpilih sebagai pemusnah tembok keangkuhan. (",)


Sedikit tentang beliau. Sham Kamikaze merupakan pemain gitar utama kumpulan Kamikaze dan pernah menghasilkan sebuah album berjudul Kontroversi. Pada peringkat Anugerah Industri Muzik, Sham pernah mencapai pengiktirafan yang diidamkan apabila album Kontroversi memenangi Anugerah Album Rock Terbaik di AIM 2001.
Sham kerap mengiringi persembahan artis-artis ternama seperti Siti Nurhaliza, Misha Omar, Syafinaz dan bintang Akademi Fantasia baik di pertunjukan dan persembahan terbuka atau pun di stesen-stesen TV. Dia juga mencurahkan pengalaman muziknya di Akademi Seni Kebangsaan. 
Antara tugasan yang pernah dipikulnya termasuklah sebagai Pengarah Muzik untuk program konsert terbitan Astro iaitu Dari Studio Satu Anugerah Seri Angkasa 2006, Konsert Misi Suara Hati dan Konsert Akhir AF3.
Bertemu dengannya

Alhamdulillah. Allah memberi keizinan kepada saya untuk bertemu dengan Abg Sham Kamikaze baru-baru ini. Kalau tidak silap pada 24 Jun 2011 bersamaan hari Jumaat di Masjid Ma'had Tahfiz Al-imam An-Nanawi (MATIN), Abi Padang Machang Perlis.

Turut hadir pada malam itu juga Ustaz Zulkifli Ahmad merupakan pendakwah di Negeri Selangor. Memegang watak sebagai ahli panel kedua pada malam bual bicara hidayah bersama Abg Sham. Kalau anda nak tahu, malam itu juga lagu Luhur kumpulan Kamikaze telah dinyanyikan oleh ustaz Zulkifli. Dalam masa yang sama Abg Sham yang memegang watak ahli panel pertama mengadunkan lagu itu dengan memainkan peranannya sebagai gitaris yang menakjubkan. 

Kelihatan anak muda dan anak tua yang hadir terkesima dan teruja saat itu. (",)

Saya sempat bergambar. Cuma gambar blur da..

Sebenarnya, ada satu kisah yang Abg Sham kongsikan. Timbulnya kesedaran tika mana beliau bertemu dengan Imam besar Masjidil Haram, Dr Abdul Rahman As-Sudais di Masjid Alwi, Kangar. Pertemuan yang Allah izinkan ini adalah pertemuan yang tanpa dirancang. 


Mungkin dengan pertemuan inilah terdetik satu perubahan yang besar dalam jiwa beliau. Disusuli dengan bantuan dan buku-buku yang beliau baca untuk memahami islam.



Subhanallah, dengan bertemu orang soleh Allah campakkan hidayah kepada beliau. 

Mungkin ada yang belum mendengar luahan Abg Sham selepas mendapat hidayah, anda boleh ke link ini untuk mendengarnya. Silakan. Bicara Hidayah. (",)

Dari kiri : Ust Yussaine, Bro Sham, Ust Zulkifli
Akhir : Kita jangan sombong


Ya. Jom lihat akan kehidupan kita. Pernahkah kita bersyukur sesungguh-sungguhnya setelah Allah mencampakkan cahaya keimanan kepada kita? Pernahkah kita menghargai setiap detik yang berjalan adalah di bawah kesejahteraan agama islam yang kita anuti? Beramal dengan rasa ingin berterima kasih kepada Allah kerana memilih kita sebagai umat rasulNya?

Atau kita masih sombong dengan ajaran yang ditunjukkan oleh Nabi petunjuk sepanjang zaman? Atau kita masih mahu mensia-siakan peluang yang Allah kurniakan? Andai kita tahu dan sedar bahawa nikmat iman dan islam itu adalah nikmat yang terbesar, pasti kita tidak akan memandangnya sebelah mata.

Sedarlah teman-teman sekalian, Allah itu Maha Kuasa. Tidak takutkah kita jika Allah menarik balik hidayah yang dikurniakan? Ketika itu siapalah kita di sisiNya? Pasti berlayarnya kita tidak bertepian. Allah mampu memberi hidayah. Allah juga mampu menariknya kembali. Berhati-hatilah. (",)

P/s : Terima kasih kepada Ust Yussaine yang sudi menganjurkan Forum Bual Bicara Hidayah bersama abg Sham kamikaze. Moga Allah kasihkan ustaz. Amin.

Friday, July 1, 2011

24
Komen
~ Bila Senang Hidup Sekali Bila Susah? ~

Sahabat yang anda faham bagaimana?
"Jam tangan saya hilang. Ada sesiapa ternampak tak?" Nurul bertanya kepada housematesnya yang sedang berbual-bual di ruang tamu. Nurul kelam kabut, kelasnya akan bermula sepuluh minit dari sekarang, tetapi jam tangannya pula hilang.

"Tak ada lah pulak." Shahira membalas ringkas sebelum menyambung semula ceritanya.

"Dalam bilik air dah tengok?" Giliran Ain pula bersuara.

"Takde, tengok dah. Takpelah," Nurul meninggalkan enam orang teman-temannya. Mereka lantas meneruskan perbualan sementara Nurul berlalu ke bilik untuk meneruskan pencariannya. Sendirian. Sedangkan baru semalam mereka menghadiahinya kad ucapan ulangtahun kelahiran yang ke-20 dan tersemat di dalamnya "uhibbik fillah ya ukhti Nurul" .

Lihatlah kehidupan mereka

Situasi di atas pernah berlaku ratusan tahun dahulu, dalam sebuah peperangan menentang musuh Islam. Tatkala itu seorang tentera berkuda Islam kehilangan bekas minuman di pingir pantai.

"Anta (kamu) cari apa?" Seorang sahabat bertanya apabila menyedari saudaranya turun dari kuda dan terbongkok-bongkok mencari sesuatu.

"Bekas minuman ana (saya) hilang."

Sepantas kilat sahabat tadi turut serta turun dari kudanya. Dia juga terbongkok-bongkok mencari bekas minuman itu di celah-celah kesibukan tentera berkuda itu.

"Mereka cari apa tu?"

"Aah, mereka cari apa ya?"

Hingga akhirnya seluruh tentera berkuda turun mencari sebekas minuman sahaja. Kesannya keganjilan ini disedari pula oleh sang panglima tentera. Maka sebelum dia juga membantu mencarinya, dia mengarahkan seluruh tentera Islam untuk turun mencari.

Perisik musuh yang mengintip terkejut dengan syakhsiah yang ditonjolkan oleh tentera Muslimin. Yang hilang cuma sebekas minuman yang tidak mustahil boleh diganti dan nilainya tidaklah seberapa. Kalau hanya sebekas minuman sahabat mereka hilang seluruh tentera Islam mencarinya, apatah lagi seandainya seorang dari mereka hilang, tentu habis kita dikerjakan selumat-lumatnya. 

Peristiwa ini mengecutkan kaki musuh dan akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan. Beginilah signifikasinya ukhwah Islamiyyah ; menggugurkan kekuatan musuh dan menyuburkan kemenangan ummah.

Inilah juga resipi perjuangan jihad Rasulullah. Tiada kalimah jihad selagi mana tidak hadirnya iman kerana dari iman tumbuhnya ukhwah. Maka dari ukhwah wujudlah kesatuan dan kerjasama. Selepas selesai masalah iman, aqidah dan ukhwah barulah seruan jihad di Badar dilaungkan.

Sabda Nabi SAW :

"Tidak beriman salah seorang dari kalian sehingga mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri." (HR.Bukhari)

Ukhwah pengukur pasang surut iman

Ukhwah adalah barometer pengukur pasang surutnya keimanan. Semakin teguh ikatan persaudaraan fillah, semakin hampirlah untuk menjadi mukmin yang sejati (mu'minul al haq). Maka sudah tentunya figur manusia yang berukhwah adalah figur insan yang hidupnya basah dengan limpahan iman. 

Mereka memburu satu cita-cita yang satu yakni mengejar redha Allah dan berlumba-lumba dalam kebaikan. Mereka menjadi kelompok manusia yang bersatu dalam kepedihan, kepenatan, keresahan, kegembiraan, kejayaan dan bersama-sama merasai kepedihan derita ummat.

Seorang ulama' salaf berkata : "Jika seekor lalat hinggap di tubuh sahabatku, aku benar-benar tidak boleh berduduk diam."

Saban hari, kita sudah terlalu mendengar kalimat 'Uhibbik fillah'. Sahabat-sahabat Rasulullah telah membuktikan 'uhibbik fillah' mereka dalam rentetan sejarah yang sering kita baca. 

Namun, kita bagaimana? (",)

Dulu.... mereka tiada kemudahan handphone untuk mengkhabarkan uhibbik fillah kepada teman rapat mereka. Realiti hari ini pula adalah sebaliknya. Paling kurang setiap bulan kita selalu menerima SMS dari teman di kejauhan menyatakan kasih mereka kepada kita, tetapi sejauh mana kita menunaikan hak ukhwah yang tertanggung di atas bahu kita?

Akhir : Yang mulut itu lebih manis dari madu

Kita selalu mengungkapkan bicara manis seperti engkaulah sahabat aku dunia akhirat, engkaulah insan pilihan yang sesuai untuk menjadi sahabat, engkaulah yang aku iktiraf sebagai sahabat, ukhwah antara kita harapnya kekal hingga ke syurga dan sebagainya. 

Namun, pernahkah kita bertanya sendiri? Yang kita kata sahabat itu atas dasar apa? Yang kita kata ukhwah itu dinilai dari sudut mana? Sebab yang perlu kita teropong, sejauh mana 'kekencangan' serta 'keberapian' ungkapan kita itu diterjemah dalam bentuk amalan. Pun begitu, bersahabat tidak salah ya tetapi perlu dicermati, diteliti, dan dibaiki niatnya agar tidak terpesong. 

Waduh. Macam bercakap untuk diri sendiri pulak. Hehe. (",)

Mungkin itu dulu untuk post kali ini. Untuk pengetahuan semua, coretan yang dikongsikan adalah hasil semaian dari blog ini. Klik ~ Mencari dan Terus Mencari ~ . Penulisnya adalah saudari Nailah Kadir dengan nama tintanya n_akn. Jemputlah singgah dan jangan lupa untuk tinggalkan jejak di lamannya. Moga beroleh sesuatu ya kawan-kawan. (",)

Buat kalian "The famous four". Moga manisnya ukhwah kita bukan pada mulut yang menuturkan tetapi pada pengorbanan yang dilakukan. Terima kasih SAHABAT.

P/s : Buat anda yang mempunyai sahabat dan juga jalinan ukhwah bersama rakan-rakan, silalah kongsikan artikel ini kepada mereka. Kita doakan agar kebaikannya dirasai semua. 

Salam ukhwah juga untuk ANDA. (",)