Thursday, November 25, 2010

0
Komen
~ Zikir Terapi Ajaib? ~

Zikir penyeri kehidupan bagi mereka. Kita?

Salam bahagia buat rakan blogger sekalian.

Jom sama-sama kita berfikir mengenai zikir.

Kumulakan dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim.

Sebelum itu, ingin ditanya kepada anda. Best sangat ka zikir ni? Apa yang istimewa? Kelebihannya macam mana?

Untuk jawapannya pada saya..
Sangat istimewa. Ya, zikir mempunyai kedudukan yang sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, redha dan yakin kepada-Nya.

Kalau nak tahu, mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti kebersihan hati, keindahan beramal dan ketenangan jiwa. Firman Allah yang bermaksud:

(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)

Subhanallah.

Dalam kehidupan, kita seringkali berdepan dengan pelbagai cabaran, mehnah tribulasi dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa dan kegelisahan hati.

Mana yang gagal dalam peperiksaan mahupun pekerjaan. Mana yang keluarga mengalami kematian. Mana yang selalu disisih kawan-kawan. Mana yang selalu diejek, dikeji, dihina. Mana yang selalu ditimpa masalah kewangan. Mana yang selalu....macam-macamlah dugaan dan masalahnya.

Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat ' terapi ajaib ' yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia.

Alhamdulillah.

Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman. Keimanan yang sebenar-benarnya kepada Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Betul tak?

Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.

Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri:

 “Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini?” Lantas kata Hasan: “Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.”

Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzaab, ayat 35)

Allahuakhbar.

Kekuatan zikir

1. Akan mendapat keredhaan Allah dan memperolehi ketenangan pada hati serta dapat merasakan kelazatan iman di dalam jiwa.

2. Akan menimbulkan kejernihan, kemanisan pada hati dan wajah.

3. Akan mendapat kasih sayang, kecintaan serta keampunan dari Allah serta dimurahkan rezekinya.

4. Akan dapat merasakan betapa besar, agung, hebat dan berkuasanya kerajaan Allah.

5. Akan segera mendapat pembelaan dari Allah bila seseorang itu berada di dalam kesusahan dan kedukaan.

6. Akan mendapat penghormatan dan doa dari sekalian para malaikat.

7. Dapat menjadi pendinding dan juga perisai dari neraka jahannam.

8. Dapat mendekatkan diri kepada Allah untuk membuka pintu masuk segala kebaikan.

9. Dapat menghalau dan mematahkan gangguan syaitan terhadap dirinya.

10. Dapat membersihkan hatinya daripada segala jenis kotoran dan juga penyakit.

11. Dapat menghilangkan perasaan runsing yang bersarang di dalam hatinya.

( Rujukan kekuatan zikir di laman hikmah zikir )

Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup.

Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Berat untuk dibiasakan.

Halangan untuk berzikir

Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir tak lain tak bukan ialah disebabkan dosa yang dilakukan.Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir.

Faktor lain ialah seseorang itu dibelenggu sifat mazmumah yang merosakkan jika tidak dipandang serius seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.

Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.

Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan:

“Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup, tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya diri kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.

Macammana?

Rasa-rasa mujarab tak terapi zikir ni?

Nak tahu, jom sama-sama kita amal.

Tapi jangan lupa. Biar ikhlas kerana Allah. (",)

No comments:

Post a Comment