Tuesday, November 2, 2010

0
Komen
~ Al-Quran Itu Memuliakan Kita ~

Petunjuk sepanjang zaman..
               
Assalamualaikum wbt.
Anda apa khabar? Moga dalam keadaan sihat sokmo. Insyaallah.

Untuk pengetahuan para pembaca dan saya, ummat Islam adalah satu-satunya ummat yang paling beruntung di dunia sekarang ini.

Kenapa?

Kerana kita memiliki wahyu Allah yang terpelihara dalam keadaan utuh dan dalam bentuk yang asli, bebas dari kekotoran dan campur tangan manusia. Setiap kata-kata yang ada di dalamnya masih tetap sama dengan waktu ia diturunkan kepada nabi yang kita sanjungi iaitu Rasulullah SAW.
Namun. sebahagian daripada kita juga merupakan ummat yang paling malang di dunia ini kerana walaupun kita mempunyai wahyu Allah tetapi tidak mendapat berkat dan manfaat wahyu tersebut.

Al-Quran diturunkan bukan sekadar untuk kita membacanya tetapi untuk kita memahami dan melaksanakan petunjuknya. Dengan pertolongan Al-Quran jugalah kita disuruh menegakkan pemerintahan di bumi Allah ini yang berfungsi sesuai dengan hukum Allah.

Malah Al-Quran datang untuk memberikan kebesaran, kekuasaan dan kemuliaan kepada ummat Muhammad disamping menjadikan kita wakil Allah yang sejati di atas muka bumi ini.

Bukankah itu jawapannya?


Jangan Di Kecilkan Zat Al-Quran.



Ayuh sama-sama renungkan.

Majoriti daripada kita sekadar menyimpan Al-Quran di rumah hanya sebagai pengusir jin-jin dan hantu.
Mencelup ayat-ayat Al-Quran ke dalam air untuk dijadikan penawar. Sekadar menjadikan Al-Quran sebagai salah satu dari seni hantaran kepada pasangan pengantin. Melaung-laung mengalunkan ayat suci Al-Quran dengan pelbagai lagu dan nada tanpa memahami ertinya bahkan menunjuk-nunjuk kemerduan suara. Lalu mengharapkan berkat dan rahmat daripadanya?

Bukan itu sahaja, setengah orang tidak lagi mencari petunjuk daripadanya untuk mengatur masalah-masalah kehidupan.Tidak lagi menjadikan Al-Quran sebagai pertimbangan untuk mengetahui apa yang harus kita percayai.

Maka tidak peliklah kenapa hati kita menjadi semakin keras. Bahkan hubungan kita dengan Allah terasa semakin menjauh.


Memahami Isi Al-Quran Adalah Wajib

Hah. Saya ingin mengajak para pembaca sekalian membayangkan suatu perkara.

Seandainya kita melihat orang yang sedang sakit membuka buku tentang pengubatan dan mengira
bahawa dengan membacanya, dia akan sembuh dari penyakitnya. Maka apa yang akan anda katakan kepada orang itu?

Tentu anda akan mengatakan bahawa orang itu tidak siuman bukan?

Ya. Akan tetapi tidakkah kita sedar bahawa kita sendiri melakukan hal yang sama kepada buku yang dikirimkan oleh Doktor terpandai untuk menyembuh penyakit-penyakit kita?

Kita hanya membacanya saja dan mengira bahawa dengan membacanya begitu saja, semua penyakit kita akan hilang. Kita juga beranggapan bahawa kita sudah cukup dengan membacanya saja tidak perlu untuk menuruti petunjuk-petunjuk yang terkandung di dalamnya disamping tidak  merasa kepentingan untuk menghindari bahaya seperti yang dikatakan di dalam Al-Quran.

Jadi,

Mengapa kita tidak memberikan penilaian yang sama kepada diri sendiri seperti yang kita berikan kepada orang yang mengira bahawa dengan membaca buku pengubatan saja adalah cukup untuk menyembuhkan penyakit?

Fikir-fikirkan.


Akhir : Kenapa Perlu Disisihkan?


Jawapannya hanya pada kita...

Kalau kita menerima surat dalam bahasa yang tidak difahami, sudah tentu kita akan mencari orang yang dapat memahami bahasa tersebut untuk mengetahui isinya. Yang pasti, kita tidak akan merasa tenang sebelum kita mengetahui isi surat tersebut apatah lagi surat itu datangnya dari seorang kekasih hati. Begitu jugalah yang kita lakukan terhadap surat-surat perniagaan yang mungkin memberikan keuntungan yang sedikit kepada kita tetapi kita bergelut untuk mencari apakah kandungannya. 

Akan tetapi surat yang dikirimkan oleh Penguasa dunia kepada saya dan anda yang menerangkan semua keuntungan kita dalam beragama, yang melibatkan kehidupan dunia dan akhirat tetapi kita menolaknya bulat-bulat begitu saja tanpa mencuba untuk memahami isinya.

Bahkan kita tidak memperlihatkan keinginan untuk mengetahui isinya.

Tidakkah itu menghairankan?

No comments:

Post a Comment