Saturday, November 26, 2011

8
Komen
~ Rumah Bujang yang Bersinar ~


Andai istana bujang sekalipun jika tidak ada keberkatan, pasti penghuninya tidak beroleh kebaikan dan kerahmatan.

Tersenyum seorang diri. Melihat kehidupan hari ini disambut dengan baik oleh ahli rumah. Semuanya seakan mempunyai hari yang ceria. Hari yang dimulakan dengan senyum dan gurau- senda. Moga hubungan ini bukan berakhir di atas pentas kehidupan dunia sahaja, tetapi berkekalan hingga ke syurga.

Rata-rata yang melihat, seakan pelik dengan keakraban kami. Kata mereka, kami ini dah macam adik-beradik. Yalah, jalan sekali, makan sekali, main sekali, senang cerita semua sekali. Itu kata mereka, tetapi hakikat yang sebenarnya hanya kami yang tahu.

Bukanlah semua perkara kami buat sekali, sebab yang boleh saya bagi, masing-masing ada perangai tersendiri. Masing-masing ada hati yang tersendiri. Namun, bila digabungkan semua itu.. boleh riuh jugak suasana rumah bujang ni.

Tertanya-tanya siapakah ahli rumah yang dimaksudkan?

Mereka tidak lain dan tidak bukan sudah saya anggap sebagai keluarga sendiri. Dan mereka jugalah yang telah saya anggapkan sebagai pelengkap kehidupan saya apabila berada di perantauan ini.

Bukan senang sebenarnya untuk menerapkan rasa kepercayaan tersebut. Tiba-tiba nak mengaku yang orang itu adik kita. Tiba-tiba nak mengaku yang manusia itu abang kita. Tiba-tiba nak kata yang tinggal dengan kita itu, adalah ahli keluarga angkat kita dan sebagainya.

Sudah pasti, ada kelebihan juga kebaikan yang dilakukan yang akhirnya menyebabkan kita sebagai seorang manusia, seorang insan yang mempunyai hati dan akal akan tertanya-tanya seorang diri. Mereka ini siapa pada kita? Ambil berat itu dan ini? Banyak bagi teguran itu dan ini? Nasihat itu dan ini? Hingga kelemahan kita mereka cuba ubah kepada kelebihan..

Maka, manusia mana yang suka melakukan semua ini?

Melainkan manusia itu adalah yang menyayangi kita. Melainkan manusia itu yang mengasihi kita. Yang tidak mahu melihat kita gagal. Yang tidak mahu melihat kita terkandas di tepi jalan kehidupan yang penuh dengan pancaroba.

Oleh itu, saya tampilkan mereka yang saya mengaku sebagai ahli keluarga baru di Jordan. Merangkap ahli rumah Bayt Sahel.

Muhammad Zulkarnain b Ahmad
Bidang Fiqh wa Usul Tahun 1
(Ketua Rumah)

Muhammad Sahel b Nordin
Ekonomi dan Perbankan Islam Tahun 4
(Bendahari rumah aka Penasihat)

Ahmad Nabil b Nordin
Ekonomi dan Perbankan Islam Tahun 1
(Biro Masakan)


Penulis
Ekonomi dan Perbankan Islam Tahun 1
(Biro Kebersihan)

 Alhamdulillah. Hidup bersama mereka, banyak benda dan perkara saya pelajari. Ya, memang kami satu sekolah. Menjalani kehidupan sebagai pelajar sekolah di tempat dan suasana yang sama. Tetapi kerana berlainan latar belakang serta keluarga, kami tidak lebih hanya sebagai teman untuk berkongsi cerita suka dan ceria.

Namun hari ini, semuanya berbeza. Zaman dahulu hanya tinggal kenangan. Zaman sekarang adalah penentu siapa kami pada masa hadapan. Kami tinggal bukan sahaja di negara perantauan yang sama, tetapi di bawah bumbung rumah yang serupa. Yang jauh dari keluarga yang disayangi seikhlas jiwa.

Betullah kata setengah pihak. Alam di asrama dan di kampung tidak sama dengan alam apabila tinggal di rumah bujang. Contohnya kalau dahulu kita antara pelajar yang mudah bangun Subuh, atas gesaan guru asrama mungkin. Tetapi hari ini apabila hidup di rumah bujang, sudah tidak ada lagi guru asrama yang akan mengganggu kehidupan kita.

Semuanya perlu pulang ke pangkal hati dengan menyoal untuk siapa selama ini aku solah Subuh? Mahu ditunjuk kepada siapa selama ini yang aku boleh disiplin pergi masjid berjemaah? Hah. Tanya jangan tak tanya. Jawapan yang selengkapnya dan setepatnya hanya ada pada diri kita masing-masing.

Begitu jugalah apabila kita berada di rumah sendiri. Terasa malas untuk belajar, kita masih ada ibu bapa untuk menasihati. Terlarut dengan kawan-kawan yang tidak sepatutnya, kita masih ada ahli keluarga yang mungkin boleh bagi penawar hati.

Sebaliknya apabila berjauhan dari guru asrama dan juga ibu bapa atau senang cerita manusia-manusia yang menyekat kebebasan itu tadi, maka kuasa penuh sudah terletak pada tangan kita.

Siapa kita? Apa yang kita mahu jadi? Apa yang kita mahu dapatkan? Apa yang bermain di fikiran kita? Perlu dilaksanakan atau tidak? Nak belajar? Nak solah atau tidak?

Semuanya bergantung di atas kekuatan rohani dan aqli kita. Sejauhmana kebaikan dan jugak kelebihan yang kita nampak, maka disitulah keputusan juga permintaan yang akan kita laksanakan.

Oleh itu, dapatlah saya lihat di sini bahawa mempunyai ahli rumah yang baik adalah satu permata yang tidak ada nilai dan taranya. Tidak mustahil, kerana mereka yang selalu memberi peringatan kepada kita hari ini, satu masa nanti kita adalah pemimpin yang mempunyai akhlak serta peribadi yang berkualiti.

Tetapi cuba bayangkan jika ahli rumah yang kita tinggal bersama itu hanya mementingkan hal sendiri.. Duit aku duit aku, duit kamu bukan duit aku. Hidup kamu bukan hidup aku, hidup aku usah kamu ambil tahu. Maka, tidak lain dan tidak bukan, bukan lagi kebiasaan jika kita yang menghuni rumah tersebut terasa seperti tinggal di dalam gua yang tidak bercahaya.

Mampukah hidup? Mampukah tersenyum? Mampukah bahagia?

Ia akan terjawab bilamana semua itu kita rasainya sendiri. Hidup negara orang bro… Bukan negara sendiri. Andai negara sendiri, masih boleh kalau nak cakap itu dan ini.

Maka, keterlibatan ahli rumah dalam membantu dan menyokong kejayaan kita hari ini dan masa depan adalah sangat penting terutama apabila kita sedang menjalani fatrah sebagai seorang pelajar.

Mahu berjaya, bukan berjaya seorang-seorang. Mahu bahagia bukan nak bahagia seorang-seorang. Andai sedih dan lara sekalipun, kalau boleh kita nak jalaninya sama-sama. Apatah lagi ahli rumah yang mempunyai jiwa yang merasai dan memahami.

Sungguh, alangkah bahagianya mereka yang mempunyai ahli rumah yang komited dan berwibawa ini. Yang sentiasa ambil berat. Yang sentiasa tersenyum dan memikirkan cara untuk menceriakan bilamana ditimpa kesusahan. Tidak lokek ilmu. Sudi berkongsi jika diminta untuk menasihati. Tidak berkira biarpun wang ringgit juga tenaga yang dikorbankan. Menjadi chef yang pandai memasak dan sebagainya.

Subhanallah. Hati siapa yang tidak tertawan dengan sifat dan sikap seperti ini? Sebab itulah, apa yang saya nampak, siapa yang bijak menyusun dan mengatur semua ini, kehidupannya akan bermula dengan senyuman ceria di pagi hari kemudian diakhiri dengan senyuman kesyukuran di malam hari. Bahkan orang sekelilingnya juga akan terasa bahagia hidup bersama mereka.

Jadi, setelah jauh saya terbang dan berjalan.. maka saya ingin balik kepada tujuan penulisan kali ini bahawa mempunyai ahli rumah yang baik adalah sangat-sangat membahagiakan dan itulah nikmat sebagai seorang pelajar yang merantau di negara orang.

Alhamdulillah. Segala kesyukuran dipanjatkan kerana Allah memberi nikmat itu kepada saya. Harapannya Allah meredhai rumah bujang kami.

Jujur saya katakan.. saya bukanlah ahli rumah yang baik. Tetapi kerana kebaikan ahli rumah saya yang lain, maka saya menulis artikel ini sebagai ucapan terima kasih juga doa buat mereka atas segala kebaikan juga kesabaran dalam bersama-sama menjalani kehidupan di lautan perantauan ini.

Salam ukhwah buat semua dan terima kasih.


Thursday, November 24, 2011

6
Komen
~ Maaf, saya terlalu sibuk! ~

Masa lapang sebelum sempit. Hargailah!



Apa khabar semua pembaca yang dikasihi? Harapnya semua sihat dan bahagia selalu. Pejam celik pejam celik, rupa-rupanya sudah lama blog ini tidak diupdate. Hinggakan ada yang pernah menghantar mesej personal kepada saya sebagai gesaan untuk mengupdate blog.

Tepuk dada tanya kembali hati. Bukankah dahulu, ketika awal penubuhan blog ini, salah satunya adalah wadah untuk menceritakan pengalaman serta kenangan baru yang ditimba dari . ‘perigi’.

Atau dengan kata lain Jordan. So, Apa yang telah terjadi?

Kenapa tidak terlaksana? Hanya berputar dalam bulatan tahi ayam sahajakah?

Atau hanya nak bagi bunyi sempoi sahaja? Aha.

Bila soalan itu yang menjunam ke pangkal hati, letusan gunung keegoaan mula goyah sedikit demi sedikit. Larvanya mula keluar tanda gunung tersebut bakal bergegar menghentam Lautan Rabbani.

Lihat. Inilah hasilnya. Anda sedang membaca kembali coretan dan lakaran kehidupan seorang pelaut kehidupan. T.T

Rata-rata yang saya jumpa, kebanyakan penulis khususnya kepada yang menulis blog – suka untuk menggunakan talian hayat ; “Oh, aku tidak ada masa nak menulis.” Atau “Aku sibuk sikit sekarang ni. Biasalah, PM orang katakan.” Talian hayat yang berbaur kesibukan. Talian hayat yang berbaur kemiskinan masa.

Namun, pada saya talian hayat tersebut adalah talian hayat yang palsu. Betul atau tidak itu kita yang bergelar penulis inilah sama-sama yang tahu.

Apabila medan penulisan atau blog sudah tidak diupdate beberapa lama, hinggakan pembaca setia yang datang berasa hampa disebabkan penulisan kita adalah penulisan yang basi, maka apabila kita kembali menulis, sudut pemikiran kita ketika itu tidak akan lari dengan memberi alasan ; “Maaf, saya terlalu sibuk!

Sedangkan pernahkah kita teliti.. masa kita yang ada benar-benarkah berkualiti? Kelapangan yang ada benar-benarkah diisi? Kekosongan yang ada, memang betul-betulkah dipenuhi? Andai sudah cukup semua itu sekalipun, kita kembali semula kepada soal insani, sejauh mana masa-masa kita yang dipenuhi tadi mampu menceriakan penjaga pintu mati?

Hah. Apa pulak ni? Tadi sentuh tentang penulisan. Selepas itu pergi kepada tidak ada masa untuk menulis. Tiba-tiba muncul pulak pintu mati. Apa yang dia nak sampaikan sebenarnya? Hidup pun sebagai pelaut, nak terjun dalam bidang penulisan. Patutlah berbelit bunyi ayat. Noktah.

Susunan-susunan ini sebenarnya berkait rapat. Kita tidak perasan bila kita tidak benar-benar teliti dan fahami. Dalam banyak-banyak amalan sebagai contoh dalam medan penulisan blog. Kita selalu memasinkan mulut kita dengan alasan - aku tidak ada masa. Sedangkan banyak sahaja masa yang terluang.

Sebab itu saya menyoal kembali tadi, andai kata kalau masa kita itu betul-betul ‘pack’. Tidak ada masa untuk menulis, benarkah masa kita tadi diisi dengan perkara-perkara yang mendatangkan faedah. Dengan perkara-perkara yang memang betul berkualiti. Yang boleh kita jadikan sebab kukuh ; aku mengutamakan parioriti.

Atau, kita hanya suka menggunakan istilah ; - aku tidak ada masa atau aku sibuk dan sebagainya, dalam masa yang sama kita ini adalah hamba kepada masa lapang.

Maka, dimanakah kayu pengukurnya yang mengatakan aku terlalu sibuk itu!?? Pranggg.. pecah kaca hati!

Timbul pula persoalan, apa kaitan penjaga pintu mati dengan penuhi masa lapang pula?

Begini. Terang-terang walau tidak pakai lampu suluh kita mengatakan bahawa masa yang ada telah kita penuhi. Masa yang ada memang betul-betul sesuai dengan parioriti atau dalam bahasa latinnya keutamaan. Disebalik maksud tersirat, kita adalah yang pakar dalam mengisi masa lapang.

Namun, seandainya penjaga pintu mati atau malaikat maut yang sedang mengintai-ngintai kita itu datang dengan bukan lagi sebagai intaian, tetapi sebagai hari tersebut memang betul hari kematian, adakah amalan kita yang terisi tadi mampu menceriakan malaikat maut yang datang sebagai pelaksana tugasan?

Lihat. Dalam kesibukan kita itu.. kita ada memfokuskan parioriti iaitu sebagai pelajar, aku akan belajar lima jam tanpa henti. Ya, memang betul kita mengisi masa kita dengan belajar. Masa yang berlalu, memang yakin berbaloi. Semua yang dihafal semuanya meresap. Semua yang dibaca semuanya mujarab. Semua yang diulang kaji semuanya berasap. Tiba-tiba, ditengah-tengah masa kita itu, tersangkut dengan waktu sembahyang Zohor.

Tetapi kerana mengejar kejayaan dunia, kita lebih mementingkan belajar. Sebab kukuh, belajar juga ibadah! Setelah tiba sahaja azan Asar, nyawa kita ketika itu adalah nyawa ‘byebye’, hembusan nafas waktu itu adalah hembusan nafas yang terakhir.

Maka, adakah penjaga kematian akan tersenyum semasa datang menyambut?

Disitulah kaitannya. Jelas?

Dan ringkasan kepada keseluruhannya, kita bukan tidak ada masa.. tetapi kita tidak pandai menyusun dan membahagi masa. Andaikata kita pandai menyusun masa sekalipun, lihat kembali keutamaannya.. menjurus ke arah dunia sahajakah atau menjurus ke arah dunia dan juga akhirat.

Isu ‘penulis’ atau isu ‘bidang penulisan’ yang saya jadikan sekapur sireh di pendahuluan tadi bukanlah perkara pokok yang ingin difokuskan, tetapi ia tidak lebih hanyalah analogi untuk sama-sama kita meneliti kehidupan yang sementara dan fana ini.

Kerana apa, kebanyakan contoh realiti.. ramai yang memberi sebab aku terlalu sibuk untuk ke majlis-majlis ilmu. Aku dah bosan dengan perkongsian-perkongsian agama, aku ada banyak lagi kerja yang lebih penting dan sebagainya.

Akhirnya kita tersadai di tepi pantai yang kita rasa pantai inilah tempat yang menenangkan, sebaliknya pantai yang seratus lebih baik itu terkabur dek kerana kelemahan kita untuk memahami parioriti akhirat yang berpanjangan.

Oleh itu seperti biasa, ambillah yang baik, tinggalkan yang buruk. Sama-masalah kita belajar untuk mengurus masa. Mengurus kehidupan dan mengurus rasa cinta kita kepada Tuhan yang Maha Kuasa.


Sambutlah salam riang dari seorang pelaut di tepi kali,
Pelaut Rabbani.
Sekian dan jumpa lagi. =)



Monday, November 14, 2011

3
Komen
~ Sambutan EidulAdha ~



Tanggal 11 November 2011 Dewan Al-Khindi sekali lagi menjadi saksi perhimpunan raksasa ahli PERMAI. Sambutan EidulAdha PERMAI kali ini dilihat mendapat sokongan yang sangat padu daripada semua ahlinya. Pada awalnya, seperti tidak dijangka dewan tersebut bakal dipenuhi, namun inilah impak pertambahan ahli PERMAI. Semuanya mampu bersatu.

Majlis ini telah menyaksikan ucapan-ucapan daripada Pengarah Dewan, Pengarah Ladang, Presiden PERMAI dan Pengarah Education Malaysia Jordan (EMJ) yang turut sudi memeriahkan majlis kami. Ucapan Presiden yang teratur dan diselitkan dengan pelbagai ‘quotes’ telah mendapat perhatian seluruh ahli dewan. 

Pada hakikatnya, pengorbanan itu satu perkara yang subjektif. Amat salah jika kita hanya memahami maksud pengorbanan bersempena EidulAdha ini. Sesuatu perkara yang indah itu, tidak akan kita dapat tanpa pengorbanan.

Selain itu, seluruh ahli PERMAI telah dihidangkan dengan pelbagai persembahan yang ceria dan sangat menghiburkan daripada pelajar-pelajar tahun 1. Persembahan berbalas-balas pantun telah mengenengahkan topik muraqib dan ikhtilat antara syabab dan akhawat. 

Barisan Pemantun yang memeriahkan dewan.
Dari kiri : Afza, Nasuha, Nadia, Faiz, Haikal, mQ, Ihsan
Sememangnya topik ini amat hangat dibincangkan dalam masyarakat PERMAI kini. Kedua-dua pihak sama ada syabab mahupun akhawat sangat kreatif mereka pantun masing-masing. 
Gaya moderator yang sangat bersahaja telah mampu menggelikan hati seluruh ahli dewan.


Barisan penyajak yang mantap.
Dari kiri : Akhi Hilal, Syafiq dan Amir Siddiq
Persembahan telah diteruskan dengan sebuah sketsa yang menceritakan mengenai pengorbanan seorang abang terhadap adik-adiknya. PERMAI bukan sahaja mempunyai ahli yang hebat dari segi akademik, malahan turut berbakat dalam bidang lakonan, nyanyian, dan sebagainya. 

Tidakkah kita rasakan betapa indahnya kepelbagaian yang terdapat dalam masyarakat PERMAI kini? Benarlah seperti apa yang dinasihatkan oleh Prof Azidan, Pengarah EMJ, walau apapun yang berlaku di dalam komuniti ini, kita wajib bersatu. - MultimediaPERMAI

Wednesday, November 2, 2011

9
Komen
~ Puitis : Biasa Dalam Jiwa Luar Biasa ~

Bersama sahabat yang biasa pada luarannya, tetapi padaku dia luar biasa - A. Nabil

Berbicara soal insan luar biasa. Makin hari ke hari makin ramai yang saya jumpa, luarannya biasa, tetapi dalam diam mereka ibarat anai-anai yang mencipta suasana. Tup.. tup.. meletop! Tup.. tup.. almari yang besar boleh runtuh! Begitulah ilustrasinya. Dan mereka ini, banyak membuka mata dan memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seperti mereka.

Kenapa? Sebabnya hanya satu kerana mereka manusia dan saya juga manusia. Tetapi kenapa mereka sahaja yang mampu menjadi luar biasa? Tidak saya? Dan kenapa tidak anda? Saya yakin.. Allah Maha Adil. Maka, ayuh sama-sama kita menjadi manusia yang luar biasa.

Kerana kagum kepada mereka, saya hasilkan puitis kepada anda. Minta maaf kalau tak faham. ^_^


Walaupun luarannya biasa,
mata yang tertutup sebenarnya terbuka,
tangan yang kecil sebenarnya ada kuasa,
hatta fikiran yang tidak nampak,
perancangannya berputar seluas angkasa.

Walaupun luarannya biasa,
kesan di hujung cerita,
ramai yang tidak jangka,
hatta yang selalu bersamanya,
seakan teruja melihat hasilnya.

Walaupun luarannya biasa,
darah yang mengalir di dalam tubuhnya,
bukan sahaja merah tetapi bercahaya,
tulang yang menjadi tunjangnya,
bukan sahaja keras tetapi bertenaga.

Maka langit menjadi saksi,
maka bumi bahagia dijejaki,
oleh mereka yang takutkan Ilahi,
oleh mereka yang hakikatnya luar biasa ini.

Yakinlah!

Yang luar biasa seperti ini,
tidak akan mudah berasa rugi,
walaupun seluruh manusia tidak pernah memahami,
walaupun seluruh manusia seringkali mencaci,
namun kerana pandangan Ilahi,
semua yang mendung menjadi indah bak pelangi.

Yakinlah!

Yang luar biasa seperti ini,
tidak akan mudah untuk menyesali,
walaupun dugaan yang datang lebat menghujani,
walaupun cobaan yang datang tajam berduri,
walaupun rintangan yang datang semasin laut mati,
tetapi kerana percaya kepada janji,
lautan api sekalipun pasti diredahi.


Sekian,
Terima kasih,
~ Puitis : Biasa Dalam Jiwa Luar Biasa ~
Menulis di bawah suhu 12 darjah celcius,
Bayt Sahel Urdun,
.:: Pelaut Rabbani ::.