Saturday, February 26, 2011

9
Komen
~ Aku adalah Aku !! ~

 Mampukah semua yang diperkatakan itu terlaksana? ~pictured by umar mita~

Tatkala dunia tersungkur lemah,
akan ku datang sebagai wakil pentafsir hikmah,
tatkala dunia berwajah hambar,
akan ku tampil sebagai penawar,
tatkala dunia berputus asa,
akan ku bakar semangatnya bak laksamana angkasa,


moga dengannya engkau tahu,
yang aku adalah aku,
 dilahirkan bukan untuk menjadi dungu,
 ada bukan untuk terus membeku,
 diam bukan bermakna aku kaku,
 bersembunyi tidak beerti aku malu,
kerna ku yakin pengislahan diri itu perlu,
demi mengawal nafsu yang satu.

Wahai Dunia !!
pelbagai ujian yang telah engkau sajikan,
pelbagai halangan yang telah engkau hamparkan,
pelbagai mehnah yang telah engkau bentangkan,
pelbagai tohmahan yang telah engkau taburkan,

tetapi kerana aku adalah aku,
dengan tekad juga impian,
berserta semangat juga harapan,
seiring usaha yang berterusan,
 akan ku ubah segala-galanya,
dari yang besar kepada debu yang berterbangan.


Sekian,
yang sentiasa mengharapkan doa kalian,
~ MQ ~

Wednesday, February 23, 2011

11
Komen
~ Berterima Kasihlah Kepada Allah ~

Jangan dihina mereka yang rendah keupayaannya dari kita kerana Allah tidak memandang kepada luarannya.


Assalamualaikum wbt.

Apa khabar wahai pembaca yang dikasihi?

Moga dalam keadaan sihat hendaknya.

Marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi rasa syukur kepada Allah kerana dengan kasih dan cintaNya, Allah memberi kita kesempatan untuk hidup di atas hamparan bumi ini dalam masa yang sama mampu menyentuh kelembutan nikmat yang dikurniakan.

Ingatlah saudaraku,

Nikmat yang ada tidak selalunya ada, nikmat yang dikurniakan tidak kekal selama-lamanya hatta sekecil-kecil nikmat sekali pun hargailah sebelum ia pergi dengan izinNya kerana semua itu adalah pinjaman semata.

Buat apa untuk kita angkuh deminya sedangkan itu semua bukan milik kita. Bahkan apa yang paling kita bimbang, kita menyalah gunakan kelebihan yang ada untuk menjauhkan diri dari Allah.

Dari dahulu sampai sekarang, saya benar-benar takut dengan fenomena ini. Fenomena umpama bermain "aci sembunyi" di padang pasir. Masakan mampu bersembunyi dari dilihat jika hijab atau benteng itu mampu ditembusi oleh Pemilik Akhirat.

Terkadang kita ini begitu asyik dengan kelebihan yang ada sehinggakan kita suka memperlekeh mereka yang rendah keupayaannya dari kita.

Apa kata kalau kita gunakan nikmat yang Allah bagi itu kearah menggapai keredhaanNya. Kan ada juga pahalanya?

Penulisan kita mempunyai aura yang mampu menyentuh hati insan, gunalah kearah mengajak manusia balik kepada Allah. Kata-kata kita mampu memukau para pendengar, gunalah kearah membawa mereka kenal kepada Sang pencipta. Rupa kita kacak, cantik dan sebagainya, janganlah kita guna kearah merosakkan nilai budi manusia lain kearah lembah kegelapan dan kemaksiatan. Barulah hidup kita terasa tenang dan mendamaikan. Allah juga suka. 

Macam-macam lagi kelebihan yang ada. Jika hendak disenaraikan semua, mungkin sampai tahun depan pun tidak habis kerana nikmat Allah itu tersangat meluas. Perasan tak akan perkara ini?

Firman Allah ;

“Jika kamu menghitung-menghitung nikmat Allah, niscaya kamu tidak akan dapat menentukan jumlahnya (menghitungnya). Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.” QS. An Nahl : 18.

Jadi, apa yang perlu kita buat?

Jawabnya, tak usahlah kita membuang masa dengan menghitung dan mengira jumlahnya kerana semua itu adalah bermimpi di siang hari.

Bersyukur, berterima kasih dan gunalah sebaik mungkin anugerah yang Allah bagi itu kearah menyahut redha Rabbula'lamin.

Tetapi berhati-hatilah wahai pembaca yang dikasihi, jangan sampai kita mengingkari arahan Allah dengan nikmat yang ada, takut-takut kita ini bukan lagi bergelar islam.

Firman Allah ;

“Mereka mengetahui nikmat Allah kemudian mereka mengingkarinya, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kafir.” QS. An Nahl : 83.

Fikir-fikirkan. (",)


Apa yang boleh disimpulkan dalam coretan kali ini?


Aha. Ini susah sikit. Kenapa?

Saya bagi analogi sebagai jawapan.

Sekarang adalah musim angin timur. Kita boleh lihat ramainya manusia dari yang kecil sampai ke besar tidak melepaskan peluang ini iaitu bermain permainan kesukaan mereka iaitu permainan layang-layang.

Cuba kita perhatikan ketika mereka ingin meninggikan layang-layang ke langit, kelihatan mudah dan gembiranya mereka merungkaikan tali belitan.

Tetapi apabila ingin menyimpul semula tali itu setelah dirungkai, yang pernah bermain sahaja yang akan merasai bertapa susah dan bosannya untuk melilit tali tersebut. Setuju tak?

Analogi ini bukan beerti saya bosan untuk menyimpul artikel yang ditulis, cuma agak susah bagi saya untuk merumuskan kesuluruhan isi sebagai kesimpulan. Takut-takut ada yang tersalah faham, tersalah tafsir dan sebagainya. Moga Allah membantu dalam urusan ini. (",)


Akhir kata ; Bersyukurlah kepada Allah atas anugerah yang diberikan.


Ya. Bersyukurlah. Bersyukurlah. Bersyukurlah.

Biasakanlah lidah dengan ucapan Alhamdulillah dan perbanyakkanlah amalan ibadah sebagai tanda terima kasihnya kita kepada Allah.

Hal ini kerana Allah sudah menyebut dalam Surah Ibrahim tentang siapa yang bersyukur, maka Allah akan tambahkan baginya nikmat. Kalau sebaliknya, Allah telah memberi amaran kepada kita bahawa azabNya sangat pedih.

Jadi, saya mengajak diri saya dan diri anda untuk kita sama-sama bersyukur kepada Allah. Menambah amalan kebaikan, mempertingkat kualiti amalan dari hari ke hari serta memperhamba diri sesungguh-sungguhnya kepada Allah.

Moga dengan usaha ini, Allah melimpah ruahkan nikmatNya kepada kita di samping meletakkan kita dalam golongan hamba yang bersyukur. Amin.

Wednesday, February 16, 2011

15
Komen
~ Ringkas ; PEMIKiR ada kekuatan tersendiri ~

Terima kasih Allah atas segala-galanya.

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah.

Saya bersyukur kepada Allah kerana dengan izinNya Allah masih lagi memberi kesempatan kepada saya untuk mengisi coloum ini.

Sebenarnya, untuk artikel kali ini tidaklah saya ingin memanjangkan bicara tetapi hanya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada yang terlibat dalam melaksanakan Program Usrah Minda Kreatif (PEMIKiR) yang dianjurkan pada 12 Rabiulawal bersempena Mari Maulud Nabi kita iaitu Rasul saw.

Apa itu PEMIKiR?

Ada saya nyatakan dalam artikel yang sebelum ini. Bagi mereka yang ingin tahu dengan lebih mendalam, mungkin anda boleh menggerakkan skrin ini ke bawah untuk melihat artikel yang sebelumnya.

Hari ini, jiwa saya terasa bahagia. Ceria dan seronok. Terasa rindu akan suasana yang membina ini. Walaupun program PEMIKiR ini berlansung selama setengah hari, saya yakin program ini sedikit sebanyak menusuk kemas ke dalam hati para peserta yang terlibat walau tak semua. Betul?

" abg salem ,fasi dan urusetia terima kasih kerana memberi nasihat kpd ana..yg paling ana syok sekali time forum tu memang rasa sangat keperibadian dan kesakitan pada RASULULLAH..PADA USTAZ MUHTAD..PUAN NORHASHIMAH...ADG FADLI..hohoho..memang terbaik perh..ana jadi insaf T_T..matlamat ana tulis ni kerana ingin habaq program ni memang' the best in the world'...jika ada program yg lain ana mesti ikut ..kerana ana tau abg salem mesti buat lagi mantop daripada PeMIKIR ataupun RiMBA..dan sebagainya..okelah sedikit sebanyak coretan daripada ana.okelah assalamualaikum..KITA JUMPA DI PROGRAM SETERUSNYA...TAKBIR...ALLAHHUAKHBAR..^_^ (PESERTA PEMIKIR / RIMBA 2010...sekarang umur thn 6(2011)..hihihi) "  - Ahmad' Hamzah

Ini adalah bukti atau komentar salah seorang peserta yang tidak terkecuali dalam melibatkan diri dalam program PEMIKiR.

Alhamdulillah. Inilah salah satu matlamat pihak penganjur menganjurkan program sebegini rupa. Moga apa yang para peserta dapat, walau tak banyak sikit pun takpa asalkan bermakna mudah-mudahan dengannya mampu diaplikasi dalam kehidupan dan amalan InsyaAllah.

Bermula pada pukul 8 pagi dengan sesi pendaftaran dan berakhir pada pukul 6 petang dengan sesi majlis perasmian penutupan, moga Allah kira sabagai satu amal soleh yang mampu membangkitkan lagi kemanisan iman dalam hati semua yang terlibat.

Di kesempatan ini, saya secara pribadi mengucapkan sesungguh-sungguh terima kasih kepada pihak penganjur yang memberi kepercayaan kepada saya untuk memegang jawatan Biro perhubungan dan protokol serta moderator forum pada hari tersebut. Kesilapan serta kekurangan yang timbul saya minta maaf banyak-banyak dan akan cuba sebaik mungkin di apisod yang datang.

Juga kepada yang terlibat dalam program ini, moga Allah mempertemukan kita lagi selepas ini. Amin.

Sebagai penutup, saya sajikan beberapa gambar untuk tatapan bersama.

Enjoy.


" Kenapa kita perlu mengambil Rasulullah sbg cth, bukan tokoh drp barat? ". Itulah yg diucapkn.


Barisan ahli panel forum


"Abg saleem." itulah panggilan manja para peserta buat komanden kem mereka.


Jujur dari hati kecil, suka akan penyampaian & keberaniannya. ~ adik taqiuddin.


Barisan Fasilitator lelaki yang menjayakan PEMIKiR


Barisan Fasilitator perempuan yang melancarkan PEMIKiR


Cg Ghazali ~ Gerak perancangannya luar biasa. Kagum.


" Kami kembali mbantu setelah bbrp bulan berehat. Betul x Salman? " (",)


para peserta yg hadir


perjalanan ke masjid ~ ceria



tatkala perut memanggil, maka inilah yg dimintanya (",)

Sekian terima kasih.
MQ

Saturday, February 12, 2011

3
Komen
~ PEMIKiR ; Jom Kita Meriahkan !! ~


Kelahiran Baginda menyinari alam seluruhnya



Assalamualaikum wbt.

Maha Suci Allah SWT yang mengurniakan kehidupan ini kepada kita.


Yang menghidupkan DIRI kita dan memberikan nikmat-nikmat yang pelbagai kepada kita semua.


Semoga kita ini, mampu bergerak menjadi hamba-Nya.



Hamba yang sebenar-benar hamba. 



Hamba Rabbani.


Yang mampu mengumpulkan segara kudrat yang ada untuk mematuhi dan mentaati-Nya dalam apa jua keadaan, sama ada susah, senang, payah, sukar, gembira, ceria dan sebagainya.



Apa itu PEMIKiR? 

Aha. PEMIKiR itu apa?

Secara zahirnya perkataan PEMIKiR seakan sama dengan perkataan PEMIKIR. Tetapi di sini, dua perkataan ini membawa maksud yang berbeza.

Pasti akan ada yang bertanyakan soal ini. 

Ringkas daripada saya. PEMIKIR itu bermaksud orang yang berfikir.

Tetapi PEMIKiR adalah singkatan daripada Program Usrah Minda Kreatif

Untuk menjelaskan dengan lebih mendalam apa itu PEMIKiR, maka saya sajikankan ini untuk anda. (",)





Tema : Rasulullah SAW Qudwah Hasanah
Tempat Program : Dewan politeknik Syed Sirajuddin Pauh, Perlis.
Hari : Selasa
Tarikh : 15 Februari 2011 
 ~ Hari kelahiran Junjungan Besar Rasulullah SAW ~



Tak kenal maka tak pergi, jadi saya memperkenalkan



Ini adalah 'goal' yang penganjur sasarkan



Perjalanan program pada hari Maulidur Rasul





Program ini terbuka kepada sesiapa yang berminat...

Daripada darjah lima hingga tingkatan lima..

Rebutlah peluang ini !!

Anda juga dapat mengikuti forum perdana daripada barisan ahli panel yang mantop !!

1. Ustaz Ahmad Muhtad bin Yusuf (pengetua Sek Mngh At-Toyyibah)
2. Puan Hashimah binti Abdul Wahid (pensyarah UiTM Arau)
3. Encik Fadhli bin Md Diah (pensyarah UUM)

Masih belum terlambat untuk mendaftar...

Bagi yang berhajat untuk menghantar anak, anak sedara, sepupu, adik, cucu, atau cicik.

Maka sila sahkan penyertaan mereka dengan menelofon atau menghantar mesej kpd no yang tertera di atas.

Tarikh tutup pengesahan ialah pada 14 februari 2011..

Moga kita bertemu di sana InsyaAllah !! 

Wednesday, February 9, 2011

4
Komen
~ Buatmu Teman ; Ukhwah Pelangi ~

Cebisan istimewa cuba kunukilkan, tanda persahabatan berpintal iman. (",)

Izinkan ku mengungkap kata,
agar diri terikat setia,
bersama bahagia penghancur duka,
dek kesusahan menghimpit jiwa,
lama sudah ku menanti,
saat waktu menggegar nurani,
akhirnya tiba ukhwah pelangi,
menusuk kemas terus ke hati,

Ketahuilah sahabat engkau penawar,
bermain kata juga nasihat,
tatkala diri disapa hambar,
engkau muncul bagaikan malaikat,
bertemu kita di suatu hari,
berpisah kita adalah pasti,
itulah sunnah kehidupan ini,
moga kita bersua nanti.


Khas buat teman-teman seperjuangan,
mudah-mudahan kalian dipermudah segala urusan.
Sekian.

selamanya mengharap doa,
~ MQ ~


Monday, February 7, 2011

8
Komen
~ Siapakah Syed Qutb ? ~

Penulisannya lebih tajam daripada mata pedang. Subhanallah.




Assalamualaikum wbt.


Apa khabar rakan-rakan sekalian?
Moga kita terus kuat mengharungi kehidupan ini dengan keimanan yang sebenar-benarnya.


Seperti mana yang kita tahu, dunia hari ini semakin pincang dengan satu gelombang yang mengejutkan. Gelombang yang terhasil atas dasar sedar dan peka terhadap calarnya fitrah kemanusiaan dari hari ke hari. 


Kezaliman serta penindasan bergerak perlahan seiring memperbodoh rakyat sehingga 'bom kesabaran' rakyat meletus meledak di beberapa buah tempat hinggakan dunia terut merasai bahangnya. 


Bermula di Tunisia, kemudian Mesir dan kini kegawatan sudah bermain di Yaman. 


Seterusnya di mana? 


Adakah di negara kita? 


Fikir-fikirkan.




Bintang kelahiran Mesir ; Syed Qutb


Di negeri anbiya' ini, pelbagai tokoh-tokoh islam adalah berasal daripadanya. 


Antaranya ialah Syed Qutb. 


Syed Qutb dilahirkan pada tahun 1906 di sebuah kampung dalam wilayah As-yut, Mesir. Keluarga beliau antara keluarga berada yang patuh kepada agama. Sejak di bangku sekolah rendah lagi, Syed Qutb telah menunjukkan kepintaran dan bakat yang luar biasa. Setelah tamat menghafaz Al-Quran ketika berumur 10 tahun, beliau meneruskan pengajiannya di Universiti Cairo sehingga tamat.


Beliau berminat dalam bidang penulisan dan sastera sejak di bangku sekolah rendah dan buku karangannya yang pertama berjaya diterbitkan ketika umurnya 25 tahun. 


Dalam bidang sastera, beliau mengagumi Al-Akkad, seorang pujangga Arab di abad ini. Kemudian beliau memilih alirannya sendiri sebagai seorang sasterawan dan pujangga islam hingga ke akhir hayat.


Syed Qutb telah meletakkan dirinya dalam anggota pertubuhan Al-Akhwanul Muslimun ( Ikhwanul Muslimin ) pada akhir tahun empat puluhan. Kemasukan beliau dalam pertubuhan ini adalah kerana mengagumi keperibadian dan perjalanan hidup pengasas dan pemimpin agung pertubuhan ini iaitu Sheikh Hasan Al-Banna yang telah ditembak mati oleh kakitangan Kerajaan Malik Faruk pada tahun 1948.


*********

Dia menerima hukuman itu dengan tenang. Sedikit pun dia tidak takut atau terkejut apabila Mahkamah Khas Tentera Mesir menjatuhkan hukuman gantung sehingga mati.

" Mati syahid", katanya perlahan dan sempat pula menguntum senyum kepada mereka yang bertanya tentang hukuman yang akan diterimanya. Itulah Asysyahid Syed Qutb yang akhirnya terkulai di tali gantung pada awal tahun 1965, setelah bertahun-tahun berjuang menegakkan kebenaran Allah.

Sebagai anggota pertubuhan Ikhwanul Muslimin, beliau tidak berasa takut atau ragu-ragu mengkritik para pemimpin yang bertentangan dengan kehendak Allah.

Terlalu tajam penanya ; sehingga pihak pemerintah berasa bimbang dan mengambil tindakan untuk memberhentikannya dari menulis. Maka pada tahun 1945, Qutb telah ditangkap dan dipaksa tinggal di dalam penjara selama 15 tahun atas tuduhan menyertai komplot membunuh Presiden Jamal Abdul Naseer.

Tetapi mengurungnya di dalam penjara tidak beerti menamatkan perjuangannya. Buku-buku yang ditulis beliau tersebar luas bukan sahaja di negara-negara Arab malah di seluruh dunia. Kini, beberapa tulisannya telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa.

Untuk pengetahuan para pembaca sekalian, salah satu buah tangan Syed Qutb yang berani adalah Ma'alim Fi-Ttariq yang sebahagiannya di tulis di dalam penjara - mendedahkan segala kepincangan yang dihadapi oleh umat Islam masa kini, gejala-gejala yang boleh meruntuhkan umat dan berbagai penyelewengan yang amat bertentangan dengan landasan Allah.


Kesimpulan ; Jom jadi seperti mereka




Hari ini saya memperkenal salah seorang penulis yang boleh kita jadikan sebagai idola. Penulisan yang membangkit roh jihad juga menyeru umat manusia untuk berfikir akan kehidupan ini indah jika disulami rasa perhambaan kepada Allah.

Mungkin banyak lagi yang kita tidak arif dengan tokoh penulisan ini. Oleh itu, bagi yang tahu sudi-sudilah berkongsi di sini. Moga dengan usaha kita berkongsi itu, dapat menambah lagi kefahaman serta kesedaran akan perjuangan yang di bawa oleh Asysyahid Syed Qutb.

Salah dan silap adalah dari saya dan saya mohon ampun kepada Allah dan minta maaf kepada kalian.

Mudah-mudahan Allah kasihkan kita. Amin.

P/s : Sumber rujukan - Ma'alim Fi Ttariq -

Friday, February 4, 2011

16
Komen
~ Saya dan Mereka ; Ironman ~

Saya dan ironman. Sama cuma tak serupa?  (",)

Baru-baru ini, saya berkesempatan berjumpa dengan doktor. Sudah menjadi lumrah, mereka yang sakit akan ke hospital atau klinik. Dengan kata lain akan bergerak ke tempat yang mampu mengubati kesakitan tersebut.

Begitulah dengan saya. Untuk melihat perkembangan diri samada semakin pulih atau tidak akan kondisi kaki, maka berjumpa doktor adalah salah satu anisiatif saya.

Melihat kepada penjelasan doktor, hati saya berbunga bahagia.

Alhamdulillah.

Adalah kalimah ringkas yang saya acapkali bicarakan sebagai tanda terima kasih kepada yang menyembuhkan.

Bila saya meneliti sendiri, rupa-rupanya saya adalah salah seorang daripada ramai-ramai manusia yang dimasukkan besi dan skru ke dalam tubuhnya. Cuma saya, tidaklah seteruk mereka yang besinya ada di tangan, kaki, dan sebagainya. Bak kata orang, sepenuh ironman.

Jadi, apabila pergi berjumpa doktor pada tarikh yang ditetapkan, di situ saya dapat melihat rakan-rakan ironman yang rata-ratanya pasti berbalut di sana sini.

Kesian, simpati dan sedih antara perasaan yang beriringan ketika berada bersama mereka. Kerana saya mampu membayang akan kepayahan serta kesusahan yang menjelma ketika mereka bergerak.

Biasalah, apabila diri pernah merasai maka segala-gala mudah memahami.


Berborak dengan ironman 


Di saat saya bersendirian, ketika menunggu doktor sebagai pesakit yang seterusnya, datang seorang lelaki awal 30an duduk di sebelah saya. Sebenarnya, dari jauh mata saya sudah menangkap kehadirannya. Cuma muka saya tidaklah berpaling melihatnya.

Kenapa?

Bukan kerana dia buruk di mata saya tetapi kerana keadaannya yang bersusah payah berjalan menggunakan kedua tongkat membuatkan saya rasa bersalah jika melihat tetapi tidak menolong. Sebetulnya saya tidak mampu untuk memimpin kerana diri juga tidak terpimpin.

Tatkala dia mahu duduk, segaris senyuman saya ukirkan sebagai tanda senang hati dengan kehadirannya. Terus dia bertanya akan keadaan saya. Jawab saya ringkas. Alhamdulillah.

Kemudian, saya pula yang mengatur soalan. Pendek.

" Abang kenapa? " Sambil jari telunjuk saya menghala kearah kakinya.

" Kemalangan motor. Kemalangan motor dengan lori. Pecah tempurung lutut. " Jawabnya dengan nada bersahaja. Kemudian dia menarik kaki seluarnya naik sampai ke paras lutut. Saya terkejut. Tersentak. Ya Allah. Begini rupanya apabila seseorang itu pecah tempurung lututnya.

Kelihatan satu bonjolan besar di sekitar lutut. Seperti dua biji bola goft ditanam dalamnya. Kesan-kesan pembedahan masih jelas kelihatan. Perit.

" Kenapa bengkak? " Tanya saya.

" Ada simen. Nak ganti tumpurung yang pecah. "

" Dah lama ka? " Soal saya lagi.

" Sepuluh bulan. "

" Sepuluh bulan? Lamanya. " Saya membalas jawapan abang itu spontan. Bagaimana perjalanan hidup selama tiga bulan yang saya lalui begitu payah apabila bertongkat. Sehingga ada beberapa ketika saya mengeluh sendiri. Rupa-rupanya ada yang lebih lama. Subhanallah. Saya malu dengan Allah.

" Abang tak boleh pijak lagi. Kalau pijiak, nanti lutut jadi lembik. Doktor pun tak tau lagi sama ada boleh jalan atau tak. Cuma doktor kata, kalau nak jalan juga kena buh besi. Tapi kaki akan straight seumur hidup. Lagi terukla." Dia menjelaskan panjang lebar. Bersemangat.

Saya memerhati mukanya dengan penuh minat.

Dalam hati, saya kagum dengan ketabahannya dan berterima kasih kepada Allah kerana masih memberi saya kesempatan untuk berjalan. Walhal saya juga ada tercedera di lutut. Tulang lutut saya serpih. Tinggal, tak pecah tempurung lutut bahkan sekarang saya sudah boleh berjalan. Alhamdulillah.

Melihat kepada risiko, tempurung lutut saya juga boleh pecah jika Allah mahu ketika saya tersepit sewaktu kemalangan tempoh hari. Tetapi yang tertulis adalah sebaliknya. Maka, saya selamat.

Perbualan kami terhenti di situ. Saya diam. Berfikir akan perkara yang selama ini saya tidak nampak. Jauh berlegar merentasi bilik ortopedik.

Saya dapat sesuatu. Ya, saya dapat sesuatu dari abang ironman itu.


Kesimpulan ; Apa yang saya dapat?


Pada saya, berbual dengan abang itu adalah jawapan yang Allah ingin berikan kepada soalan-soalan saya selama ini.

Entah kenapa saya selalu berfikir yang bukan-bukan. Apabila orang sekeliling saya bertanyakan kenapa saya tidak jalan macam orang normal jalan. Jawapan saya kaki masih sakit. Ya, memang hakikatnya kaki saya sakit.

Tapi sampai bila?

Hari ini saya mengerti. Ampunilah hambaMu ini ya Allah.

Sepatutnya saya bersyukur kerana ada yang lebih parah dari saya. Ada yang lebih susah. Tetapi kenapa saya tidak nampak yang itu? Yang saya nampak, bila nak sembuh? Lama lagi ka nak sembuh? Cemburu dan bermacam-macam lagi.

Betullah kata para ilmuan, kita ini suka melihat orang yang lebih tinggi keupayaannya dari kita. Sebab itulah kita susah untuk bersyukur dan berterima kasih. Cuba tengok yang paling rendah dari kita? Maka di situlah jawapannya.

Kita akan tahu.

Oleh itu, saya mengajak untuk kita sama-sama mengamati kehidupan kita. Moga-moga kita adalah hamba yang bersyukur. Amin.

P/s : Tolong doakan saya dan sahabat saya Salman Sukri boleh? Juga rakan-rakan ironman yang lain. Moga kami dipermudah segala urusan. Terima kasih. (",)

Tuesday, February 1, 2011

13
Komen
~ Penakluk Kota Konstantinopel ~



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah dengan izinNya kesihatan saya sudah semakin pulih. Tetapi batuk serta selesema seperti berat pula meninggal tubuh ini. Mudah-mudahan Allah memberi kekuatan.

Di kesempatan ini juga, saya ingin merakamkan selautan terima kasih kepada para pembaca yang sudi mendoakan saya. Malah ada yang meninggalkan jejaknya dengan memberi kata-kata semangat serta nasihat agar saya kembali seperti sediakala di entry yang lepas.

Tanpa rasa segan-silu bahkan terharu, saya memperkenalkan mereka ini kepada anda. Jika ada kelapangan, silalah layari ke teratak mereka. (",)

1) BroHamzah

2) Ashrafi ~ Satu Permulaan ~

3) [ n_akn ] ~ Mencari dan terus mencari ~

4) Syauqah Wardah ~ My Heart For Allah ~

5) Baei ~ Fikrah Islamiah ~

6) Nor Amira ~ Live (love Islam for ever)

7) Princessalie ~ Sesuci Cinta ~

8) Softlight ~ Permata hati Aminadin ~

9) BaiTil a'tiQa ~ Menantinya Rumah Tua ~

Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada kalian. Ketahuilah saya benar-benar menghargainya. Moga-moga Allah mempermudahkan segala urusan. Diberi keberkatan hidup serta berpeluang merasai kelazatan beribadah kepadaNya. Tidak saya khususkan doa ini kepada mereka sembilan orang saja, anda juga saya mendoakan. Amin.

Alhamdulillah, selesai juga part pertama.


Rasulullah sudah menyebut tentangnya


Hari ini, ingin saya menceritakan serba ringkas dengan semua para pembaca sekalian akan seorang pemuda yang pernah melakar sejarah Dunia Islam.

Dengan keimanan serta ketaqwaan yang tinggi kepada Allah, beliau berjaya meletakkan dirinya dalam hadith yang dimaksudkan oleh Rasulullah.

Hal ini juga menunjukkan bahawa kata-kata Rasulullah itu tidak ada dustaNya walhal ketika munculnya pemuda gagah itu, baginda sudah wafat.

Sabda Rasulullah yang bermaksud ;

"Kota Konstantinopel hanya jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik."


dan


"Sesungguhnya Konstantinopel itu pasti dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya. "


Siapakah sebaik-baik ketua yang dimaksudkan Rasulullah itu?

Jawapannya adalah Sultan Muhammad Al-fateh.

Kata seorang ulama' yang mmpunyai ilmu firasat yang tinggi iaitu Sheikh Syamsuddin al-Wali ;

" Wahai Sultan Murad, menurut firasat hamba bukan tuanku yang akan menawan Kota Konstantinopel, tetapi anak tuanku yang di dalam buaian ini. Dia diutuskan oleh Tuhan bagi menjadi pemimpin yang baik dengan pasukan tentera yang baik dan dibantu oleh rakyat yang baik."

Antara kelebihan serta kekuatan yang ada pada pemimpin terbaik ini adalah beliau mampu membawa berpuluh-puluh buah kapal perang merentasi daratan bukit.

Subhanallah.


Sebenarnya saya ingin mengajak anda semua


Apabila menyebut nama Sultan Muhammad Al-Fateh, pasti pelbagai cerita serta kisah yang membangkit jiwa tidak banyak kita ketahui. Betul atau tidak, jawapannya ada pada diri kita masing-masing.

Bagi saya, untuk mendalami serta mencontohi peminpin hebat ini adalah menjadi satu kewajipan untuk kita sebagai ummat islam. Terutama bagi golongan pemuda yang mana satu hari nanti tonggak kepimpinan negara akan mereka pikul.

Justeru, saya ingin mengajak rakan-rakan sekalian untuk kita mengikuti siaran langsung Halaqah dengan tajuknya Al-Fetih pada 01 Februari 2011 bersamaan hari Selasa. Jam 10-11 malam di TV 9 dekat di hatiku.

InsyaAllah, penceramah yang dijemput untuk mengulas tajuk ini adalah insan yang tidak asing lagi di mata kita iaitu Dr Danial Zainal Abidin. Jangan lupa tonton ya. (",)


Kesimpulan ; Saya bukan penasihat 25 percent


Haha. Seperti yang saya tulis di atas, saya bukanlah penasihat 25 percent macam dalam cerita Tiga Abdul. Tak dapat komisen pun apabila saya promosi ni.

Saya mengajak untuk kita sama-sama menonton adalah kerana saya rasa tajuk Al-Fetih yang akan dikupas oleh Dr Danial sangat penting untuk kita.

Kita boleh berada di depan screen laptop ini selama empat jam. Kadang-kadang lebih.

Kita boleh menonton drama melayu dan sebagainya selama dua jam. Kadang-kadang lebih.

Tetapi kenapa kita tidak boleh mengorbankan masa selama satu jam untuk mempelajari sesuatu yang baik untuk kita? (",)

Oleh itu, saya menyeru kepada diri dan anda semua untuk kita meluangkan masa pada malam ini mendengar sedikit kebaikan yang bakal disampaikan dalam siaran Halaqah dengan tema Akar Tradisi Ilmu.

Sekian,

~ MQ ~