Wednesday, June 29, 2011

8
Komen
~ Puitis : Dosa Semalam ~

Andai tidak dipadam dosa semalam, sampai bila-bila ia tidak akan hilang.
Sejauh mana perjalanan hidup,
di situlah penuhnya jerat dan perangkap,
udara segar terus dihirup,
teringat memori yang banyak menyingkap.

Jendela hidup kian meluput,
Inginku basuh segala makna,
Memori semalam menggugah rasa,
Betapa aku banyak berdosa.

Penyesalan..
Kekecewaan..
Kepahitan..
Kesakitan dalaman..

Semuanya atas sebab dosa,
yang menggesa aku teringat segera,
akan hilangnya igauan basah tidak lama,
pejam mata namun tetap tidak lena,
sehingga tertanya tanpa bicara.

Syurga itu mampukah untuk aku memiliki?

Duduk tidak tentu lalu berdiri,
aku ke depan juga terhenti,
undur ke belakang langsung tidak jadi,
Maka kemana lagi yang harus ku pergi?

Terduduk aku bertemankan sepi,
di kala malam terasa sunyi,
terus memohon kepada Rabbul-izzati,
bersama air mata deras menangisi,
yang tiada henti meminta simpati,
kepada Tuhan pencipta bumi.
agar terampun bintik-bintik hitam di dalam hati.

Ya Allah Ya Rahman,
Suluhkanlah lorong keimanan,
Teguhkanlah panji kesabaran,
benarkanlah segala kebaikan,
moga aku redha dengan segala dugaan.
yang menghimpit badan tidak bertepian.


Sekian,
Terasa sunyi, sepi dan keseorangan,
~ Puitis : Dosa Semalam ~
Pelaut Rabbani

Monday, June 27, 2011

12
Komen
~ Maruah Aku Masih Wangi Atau Sudah Busuk ~

Jagalah harga diri sebelum ia terbang pergi.
Islam mengharamkan umatnya mendedahkan keburukan orang lain apatah lagi mendedahkan keaiban diri sendiri.

Masyarakat islam yang hakiki adalah masyarakat yang menjaga maruah idividu, menyembunyikan keaiban manusia dan menghormati hak serta keistimewaan sebagai makhluk yang paling mulia ciptaan Allah SWT.

Maruah peribadi diri sendiri dan individu lain merupakan satu hak anugerah Allah kepada setiap manusia yang tidak boleh sekali-kali diaibkan, dicerobohi dan didedahkan kepada umum.

Hanya manusia yang buruk akhlak, keji perilaku serta 'longkang' cara pemikiran sahaja yang sanggup mendedahkan maruah diri di hadapan orang ramai. Oleh sebab itulah islam mengharamkan mengumpat, mengeji, mencela dan merendah-rendahkan martabat orang lain.

" Ala.. Engkau cakap je kemas. Padahal engkau tu lebih teruk dari aku."

" Woi ustazah! Tak payahla nak nasihat-nasihat orang. Kau pun dua kali lima."

Wah. Lancang sungguh mulut kalian ya. Macam neraka itu ayah menakan kalian yang punya. Macam mati itu sudah diketahui bila masanya. Kesian. Wahai hati yang sakit, usahlah mendabik dada dengan nasihat yang dicurahkan. Usahlah membenteng ajakan kebaikan dengan ego yang berpanjangan. Kerana kita akan pulang satu hari nanti dengan amalan. Tidak takutkah wahai hati yang berjiwa insan?

Nampak macam kuman tetapi gajah 


Adakah tentang kuman dan gajah yang akan kita bincangkan hari ini? Tidak sama sekali. Ia hanya sekadar analogi ringkas sebelum kita berlayar dengan lebih jauh.

Perasan atau tidak, orang yang mendedahkan aurat sama ada secara langsung atau dalam laman sosial umpama orang itu membuka keaibannya. Mendedahkan aurat dengan kata lain menayang keaiban maruah adalah dosa sedangkan Allah SWT memerintahkan kita menutupnya.

Sekalipun kita melihat perkara tersebut kecil, tetapi apabila membabitkan pelanggaran arahan Allah maka ia adalah perkara besar yang perlu diberi perhatian. Bukan perhatian anda. Bukan perhatian saya. Tetapi perhatian kita semua. (",)

Berapa banyak perkara yang dilihat sebagai enteng atau kecil oleh manusia namun di sisi Allah SWT adalah dosa besar.

Firman Allah SWT :

"Dan kamu pula menyangkanya perkara kecil padahal ia di sisi hukum Allah adalah perkara yang besar." - (An-nur : 15)

Nampak. Begitu jugalah seseorang yang menutup aurat daripada pandangan umum namun mendedahkan aurat melalui laman sosial atau sewaktu dengannya, lalu menganggap perbuatan sebegini tidak salah dalam masa yang sama mengharap syurga maka harapannya ibarat mengejar fatamorgana di gunung sehara.

Kerana salah dan dosa dikira sama sahaja hukumnya sama ada mendedahkan aurat secara terang-terangan atau dalam laman sesawang. Bahkan melalui laman sesawang juga kadang-kadang lebih menimbulkan fitnah dan membangkitkan nafsu syahwat.

Cuba kita tanya sendiri. Untuk apa kita meletakkan gambar kita dengan gaya serta style yang menggoda dan menarik perhatian ramai? Untuk minta pujian orang? Untuk menunjuk kepada semua bahawa kita adalah gadis melayu terakhir? Untuk membuktikan kesungguhan kita mensyukuri nikmat Allah? Atau inginkan populariti murahan dengan rupa yang mengujakan? Jawapan yang sebetulnya hanya anda yang tahu.

Cuma saya secara peribadi ingin mengkhabarkan satu perkara. Sedarlah bahawa 'kalian' yang memegang rupa paras sebagai seorang wanita juga menjalani setiap detik kehidupan sebagai kaum hawa, sebenarnya kualiti dan harga kalian tersangat-sangat mahal. Tidak mampu dibeli oleh mereka yang miskin akhlak dan iman. Tetapi mampu dimiliki oleh mereka yang kaya peribadi dan sejahtera ikatan pergantungan kepada Allah.

Yang kesiannya sekarang, ramai yang tidak faham akan hakikat fitrah ini.

Lihat pada epal teliti pada jam tangan

Berhenti sejenak ayuh fikir bersama. Buah epal yang manis dan berlemak. Tinggi di pucuk keberadaannya. Tersangat susah untuk digapai oleh mereka yang berjiwa kecil. Tersangat payah untuk dipetik oleh mereka yang bermalas-malasan berusaha. Tersangat rumit untuk dicapai oleh mereka yang tidak bersungguh-sungguh dan mempunyai keberanian yang jitu.

Tiba-tiba epal yang manis dan berlemak itu mengambil keputusan untuk menjatuhkan diri ke atas tanah. Dengan harapan senang untuk orang ramai mengutipnya. Tidak perlu susah-susahkan mereka yang mahu merasai kelazatannya. Tetapi bila dan jatuh, yang terjadi adalah sebaliknya. Buah tadi semakin lama semakin hambar. Kesegarannya hilang. Isinya sudah mula ditebuk satu persatu oleh ulat buah. Baunya sudah tidak menyelerakan lagi. Akhirnya adakah buah epal itu masih digilai ramai?

Maka, bersabarlah menanti pemuda yang akan menawan hati kamu. Oleh kerana tempat kamu tinggi, tidak bermakna tidak ada yang mahu, cuma yang perlu kamu yakini bahawa hati kamu akan ditawan oleh pemuda yang berakhlak tinggi. Kerana mereka sahaja yang mampu.

*****

Perhatikan pula pada jam tangan. Contoh terdekat, jam tangan yang anda sedang pakai sekarang. Masih ingat bagaimana keadaannya semasa anda membeli? Di manakah ia berada ketika itu? Berbungkus di dalam pelastik kecil lut sinar? Terbiar di atas meja? Disangkut pada penyangkut buatan tauke kedai? Di lekat pada dinding kedai? Atau di dalam cermin kaca? 

Tahulah satu perkara yang mana jam tangan yang hanya berada ditempat terdedah mampu disentuh oleh orang ramai. Sama ada pelanggan itu ada duit, tidak ada duit, budak-budak, orang miskin, hatta pengemis jalanan sendiri mampu menyntuhnya. Kadang-kadang bukan setakat sentuh, malah disarung terus ke pergelangan tangan. Kononnya mahu mencuba. Walhal poket kosong.

Wah. Betapa murahnya kualiti dan harga jam itu ya. Boleh main 'touch and go' pula.

Tetapi cuba teman-teman perhatikan pada jam tangan yang ada di dalam cermin kaca. Bukan sahaja tertutup, bukan sahaja dijaga dengan rapi, bukan sahaja disapu dan digilap hingga berkilat secara berkala, bukan sahaja harganya mahal yang telah menjadi kemestian, tetapi jam itu juga dijeling-jeling oleh para hartawan. Diintai-intai oleh para jutawan. 

Senang cerita bukan semua orang boleh memilikinya. Hanya yang mampu dan berkelayakan sahaja yang bisa mendapatkannya. 

Amacam? Jika kita adalah jam tangan yang sedang dijual, di mana tempat kita agak-agak? Tepuk dada, tanya iman dan senyumlah.

Apa yang ditulis samalah seperti diucap


Kemajuan sains dan teknologi yang semakin pantas dengan berbagai-bagai peralatan moden sebagai penghubung kepada manusia merupakan suatu fenomena dan realiti yang perlu diakui. Semuanya seperti cendawan tumbuh selepas hujan.

Namun begitu, kebaikan dan keburukannya adalah bergantung kepada kita sebagai pengguna bukannya kepada peralatan itu sendiri. Kita tetap diberi ganjaran pahala sekiranya kita menggunakan kamajuan teknologi tersebut untuk manfaat serta kebaikan kepada orang lain.

Dalam masa yang sama, kita juga perlu tahu dan faham. Bahawa berdosa tetap berdosa jika sekiranya kemajuan teknologi ini digunakan sebagai perantaraan untuk menipu dan memanipulasi pemikiran menusia dengan berbagai-bagai bentuk penyebaran fitnah serta lucah.

Apa yang ditulis, dicatat serta diulas hukumnya tetap sama sebagaimana yang diungkap dan diucapkan dengan lidah.

"Tiada sebarang perkataan yang dilafazkan atau perbuatan yang dilakukan melainkan terdapat di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia menerima dan menulisnya." (Qaaf : 18)

Allahuakhbar. Bukan kata anda, saya sendiri juga senantiasa lupa akan hal ini. Moga Allah memberi kita peluang untuk berubah menjadi baik.

Balik pada perbincangan kita tadi. Apabila kita menyentuh soal laman sesawang, wajarlah untuk kita tahu bahawa setiap bunga-bunga bahasa, uslub yang diutarakan, cerita yang dikhabarkan, gaya bahasa yang dimainkan, gambar-gambar yang dipaparkan sesungguhnya melambangkan keperibadian serta pemikiran empunya diri itu sendiri.

Apa yang ditulis, itulah yang difikirkan. Apa yang dicatat maka itulah yang diyakini dan apa yang dipaparkan itulah bentuk pemikiran si penulis. Andai bahasanya 'hentam kromo', beerti si penulis itu tidak pandai mengurus diri. Andai cara dan kaedah susun atur ayat itu berbaur kelucahan maka ia mencerminkan 'keparitan' dan kekejian pemikiran empunya penulisan itu.

Sebab itu, saya sebagai penulis yang baru merangkak meningkat naik untuk menjadi penulis yang hebat senantiasa takut untuk meneruskan langkahan dalam bidang ini. Takut di sini bukan bermakna untuk saya menjadi seorang yang pengecut dan menghentikan penulisan, tetapi untuk saya lebih berjaga-jaga dengan bait-bait coretan yang dilakarkan.

Yalah. Yang pertama penulis itu pasti akan dipertanggungjawab akan apa yang ditulis. Akan ditanya Allah di sana nanti. Benar atau tidak apa yang ditulis? Untuk apa menjadi penulis? Semuanya akan disoal. Yang kedua, seperti yang saya katakan di atas dengan penulisan ini juga anda secara tidak langsung sudah mengenali diri saya. Di situ, anda sudah mampu menilai siapa saya dan bagaimana cara saya berfikir. Walaupun kita tidak pernah bersua dan berkenalan. Lihat.

Dua perkara ini sudah cukup untuk membuatkan saya senantiasa berhati-hati sebelum memaparkan sesuatu perkara. Itu belum dikira kemahiran menulis, ilmu di dada cukup atau tidak, tingkah laku di alam realiti dan sebagainya. Huh. Jangan pandang sebelah mata bidang ini.

Silap gaya boleh berperang dibuatnya. (",)

Akhir : Ia tidak berhenti di dunia malah akan ditanya di sana


Sebagai kata-kata akhir, sama-samalah kita menjaga diri dan maruah kita.

Individu yang menulis dalam apa jua bentuk penulisan sama ada buku, majalah, blog atau laman sosial yang lain tetap akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak. Semua yang ditulis dan ditatap oleh manusia sama ada kebenaran atau kepalsuan pastinya akan mendapat belasan pahala atau dosa, neraka atau syurga.

Orang beriman asasnya adalah akal sebelum lidah sementara orang munafik pula lidah sebelum akal.

Oleh itu, maruah diri harus diutamakan. Hal ini kerana kemuliaan keluarga bermula daripada akhlak peribadi individu manakala ketenteraman serta keharmonian masyarakat bertitik tolak di atas kesedaran dan keinsafan seluruh keluarga.

Untuk beramal dengan tuntutan islam maka seseorang individu Muslim seharusnya memiliki tiga perkara asas utama iaitu kefahaman, istiqamah dan juga kesabaran. Faham dengan agama yang dianuti bukan hanya mengikut, istiqamah yang berterusan dengan perintah dan larangan Allah serta sabar yang benar demi mengharapkan keredhaan Allah. Strike!

Alhamdulillah. Mungkin itu sahaja perkongsian untuk hari ini. Segala huruf yang tersusun rapi di atas jika ada kesalahan dan keterasaan hati, saya minta maaf dan mohon ampun kepada Yang Maha Esa. Mudah-mudahan setiap langkahan kita mendapat kebaikan dengan perubahan yang ingin kita lakukan. Berubahlah dengan keazaman. Yakinlah pengakhiran adalah kemanisan! (",)

Saya sangat-sangat syorkan untuk anda klik laman ini. " Brohamzah : FB menguasai atau dikuasai

Wednesday, June 22, 2011

15
Komen
~ Puitis : Bulan Cinta ~

Jika langit hendak runtuh, bagaimana jari hendak menahannya?
Jiwa remaja yang penuh idealistik,
sangat bergelora membina azam dan cita-cita,

Ah. Ramadhan itu,
tawaran demi tawaran kau sajikan,
buat perindumu yang beriman,
bilamana dibentang samudera keampunan,
 bernaunglah kasih tiada tepian.


Dikala itu,
pelbagai azam yang dipasakkan,
pelbagai amalan yang diketengahkan,
pelbagai kebaikan yang direncanakan,
hatta yang buruk hajat dihapuskan,
semuanya adalah untuk diri yang dahagakan kesucian.

Segala yang mulia semuanya kuinginkan,
kuingin bertahajud setiap malam,
kuingin iktikaf sepanjang Ramadhan,
kuingin tadabbur al-Quran,
kuingin khatam al-Quran,
kuingin gandakan amalan sunat,
kuingin putihkan hati yang berkarat,
kuingin...
kuingin...

Wah, bila diteliti dan diperinci,
banyak pula amalan yang ingin ku penuhi,
banyak pula sasaran yang ingin ku tepati,
tambah-tambah untuk Ramadhan kali ini.
Sungguh pun ia belum muncul lagi.

Namun ku sedar,
keinginan tanpa usaha hanyalah suatu angan-angan,
angan-angan umpama debu di jalanan,
apabila bayu menerjah,
 terbanglah ia tanpa ujian,
maka di situ engkau perlu berusaha dan mujahadah.


Sekian terima kasih,
Menulis gemersik harapan,
~  Bulan Cinta ~
Pelaut Rabbani.


Sunday, June 19, 2011

16
Komen
~ Santai : Cerita dalam Cerita ~

Wah! Sedapnya. Huhu.
Assalamualaikum teman-teman sekalian.

Apa khabar? Moga sihat dan ceria selalu. Hari ini, satu cabaran menanti anda. menanti dan menanti buat mereka yang bijak menganalisis dan mencatur.

Dengan berpandukan beberapa jalan cerita, siapakah yang bisa mengalunkan irama dan muziknya mengikut rentak dan melodi yang dia ada dan fahami. Ada faham?

Jom. Hayati dahulu irama dan muziknya. Santai. (",)


Cerita dalam cerita : Kulit Pisang

Seorang lelaki separuh umur kelihatan sedang ketawa seorang diri sambil memandang kulit pisang yang terbuang di tengah jalan. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya dan kemudian tertawa lagi. Begitulah kelihatannya berulang-ulang kali.

Perbuatannya diperhatikan oleh seorang remaja dari jauh. Orangnya segak, kemas dan bergaya. Mengenakan kaca mata hitam dengan lagak seorang korporat. Berambut panjang menutupi pangkal leher. Tersikat rapi dengan minyak rambut yang diadun bersama.

Untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku, dia terus menghampiri pakcik tersebut lalu bertanya : " Pakcik, kenapa pakcik ketawa?"

"Pakcik ketawa sebab tengok kulit pisang itu nak..."

"Apa yang pelik dengan kulit pisang itu?" Sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

Pakcik itu terus ketawa dan berkata : "Begini. Sejak tadi pakcik perhatikan telah lima enam orang jatuh tergelincir kerana terpijakkan kulit pisang itu. Tapi tiada seorang pun yang mengutip dan membuangkannya ke dalam tong sampah. Agar setiap orang yang lalu tidak tergelincir lagi."

Setelah pakcik itu menghabiskan kata-kata terakhir, anak muda itu turut tersenyum meraikan ketawa yang bersunguh-sunguh dari pakcik tersebut.

Namun, tidak lama kemudian dia bangun dan mengutip kulit pisang yang dimaksudkan lalu membuangnya ke dalam tong sampah.

"Eh... nak, kenapa kamu buang?"

"Saya tidak mahu terus ketawa melihat orang lain jatuh!" jawab pemuda itu dengan lagak selamba. Kali ini pakcik itu pula yang termenung. Ketawanya hilang tiba-tiba.

Tamat.

Cerita dalam cerita : Biji Burian


"Ustaz, nampaknya setiap kali ustaz bercerita, ustaz akan biarkan sahaja tanpa kesimpulan dan tanpa rumusan. kami tahu mesti ada yang tersirat disebalik sesuatu cerita tu..." kata seorang anak murid kepada ustaznya.

Anak-anak murid yang lain mengangguk tanda mempersetujui hemat kawan mereka. Si ustaz diam sahaja. Seperti ada sesuatu yang menganggu kedamaian jiwanya.

Esoknya, sekali lagi ustaz bercerita tanpa memberi sebarang kesimpulan. Rasa tidak puas hati semakin bersarang dalam diri anak muridnya.

Sebelum pulang, ustaz sempat berpesan kepada anak didiknya, "Esok, ustaz harap kamu semua sudi bersama ustaz untuk makan buah durian. Ada seorang tetamu yang ustaz jemput..." Wah-wah. Semua anak muridnya kelihatan begitu gembira sekali. Perasaan tidak sabar jelas terpancar melalui raut wajah mereka.

Pada keesokan hari, tetamu yang dinantikan sudah tiba. Rupa-rupanya ia adalah tuan guru kepada ustaz mereka itu.

Sebelum memulai jamuan, si ustaz bertanya dengan wajah senang hati. Seperti sudah tahu akan jawapan yang bakal dijawab oleh gurunya. "Tuan guru, murid-murid saya ini sebenarnya tidak berpuas hati dengan saya. Kata mereka saya selalu bercerita tanpa memberikan kesimpulan atau rumusannya. Bagaimana untuk saya memahamkan mereka?" kata-kata akhir ustaz itu disulami dengan senyuman meleret.

Lalu, tok guru menyingsing lengan bajunya seraya berkata, "Oh, itu mudah sahaja. Saya makan dulu ya?" kata tok guru.

Dengan bismillah, tok guru mengambil seulas durian lalu dikunyah-kunyahnya. Murid-murid dan si ustaz hanya memerhatikan tanpa berkata apa-apa. Kemudian durian yang sudah dikunyah itu diluahkan semula di tapak tangannya.

"Siapa yang nak makan ini?"

Ee. jijik sungguh. Siapa yang nak makan? Begitulah bisik hati murid-murid. Mereka semua terpinga-pinga. Lain yang dipinta lain pula yang dibuat oleh tok guru.

Melihat kepada riak wajah anak didiknya yang terasa pelik dengan tingkah lakunya, tok guru lantas berkata,

"Nampaknya tidak ada seorang pun yang mahu. Inilah jawapannya wahai anak muridku. Sebuah cerita yang dijelaskan rumusan atau pengajarannya samalah seperti durian yang telah dikunyah dan dimamah oleh orang lain. Tiada siapa yang suka menjamahnya apatah lagi memakannya." Para pelajar yang dari tadi berdiam diri semakin tertarik dengan penjelasan Tok Guru mereka.

"Ustaz kamu hakikatnya mengajar kamu untuk berfikir dan menganalisis sendiri. Itu satu tahap yang lebih tinggi dari sebelumnya. Kalau kamu semua masih mahu menunggu ustaz kamu yang membuat kesimpulan, sampai bila kamu mahu mula berfikir sendiri. Maka, kamu semua harus gembira kerana mendapat seorang ustaz yang berkaliber." Tambah tok guru panjang lebar.

Tamat.

Akhir : Ia satu cabaran buat anda

Jalan cerita dah baca. Tengok tajuk di atas nampak macam menarik - cerita dalam cerita. Bila baca rasa macam biasa saja. Apa yang 'best'? 

Aha. Apa yang 'best'? Andai soalan ini yang terdetik di minda anda, saya sangat bahagia. Kerana anda sudah masuk dalam jerangkap samar yang saya pasang. Bermula dengan cerita 'kulit pisang' dan diikuti dengan cerita 'biji durian' seperti yang dilakarkan diatas, perasankah anda yang saya langsung tidak menghadirkan rumusan dan kesimpulannya.

Saya hanya membentuk bingkai ceritanya sahaja. Tetapi rumusan dan kesimpulan? Saya biarkan ia seperti seulas durian yang masing-masing belum dijamah dan dimakan oleh sesiapa. Kurang enaklah andai saya yang menyimpulkan setiap cerita yang saya bawa. Dengan kata lain anda makan ulas durian yang sudah saya jamah.

Namun begitu, jujur daripada hati yang dalam saya mahu melihat siapakah dalam kalangan anda yang ingin menjamah dan merasai kelazatan durian ini? Adakah anda? Buktikan! Sila simpulkan dua jalan cerita di atas. Jika tidak mampu, satu sudah memadai.  (",)

Wednesday, June 15, 2011

29
Komen
~ Sudah Terpikat Dengan Wajah Itu ~

Melihat bulan di malam itu. Adakah aku setaranya.. 
Wajah oh wajah. Andai kamu cantik, pasti akulah orang yang paling bahagia. Wajah-oh wajah. Andai kamu hensem, pasti akulah orang yang paling bertuah. Benarkah ia dinilai dari sudut itu?

Wah-wah. Kalau begitu, teramat rugilah orang yang hodoh dan tidak memenuhi ciri-ciri kecantikan dan ketampanan. Yadak?

Hari ini saya ingin membawa anda semua untuk kita selami satu perkara. Saya yakin bahawa ia sangat berkaitan dengan anda dan juga saya. Bersedia? Jom..

Perasankah kita bahawa persepsi kita terhadap orang yang kita temui bergantung kepada wajahnya. Namun, tidak bermakna bahawa orang yang cantik baik amalannya. Tidak bermakna pula orang yang hensem suci hatinya. Tidak bermakna juga orang yang cacat pada wajahnya selekeh peribadi dan pekertinya.

Walaupun wajah manusia ini memang berbeza daripada rupa paras tetapi perasaan kepada seseorang itu lahir dari dalam sanubari kita. Apabila bertemu dengan seseorang, kita akan membuat penilaian menerusi perasaan kita terhadapnya seperti suka, rasa mesra, segan silu, manis, lembut, ayu, sombong dan sebagainya. Apakah yang akan mempengaruhi perasaan kita terhadap seseorang itu?

Bagaimana ingin mendapatkan wajah yang menyenangkan?


Aha. Sejuk mata yang memandang. Ceria diri yang bertandang. Adakah ia boleh dibuat-buat? Contoh mudah yang boleh saya bawakan, bilamana kita bertemu dengan seseorang yang bergelar ulama', automatik kita akan kata wajah mereka ini lembut, berseri, indah dan jernih. Saya tidak tahulah kalau ada juga dalam kalangan kita yang berkata mereka ini berwajah seperti biasa atau lebih teruk.

Soalnya sekarang. Bagaimana untuk mendapatkan wajah yang menyenangkan hati orang yang melihat kita? Perlukan penawar herbakah? Perlukan pembedahan plastikkah? Atau susukkah?

Niat yang Ikhlas


Ya. Niat yang ikhlas. Sebagai langkah mula. Ia adalah pertama dan utama yang perlu kita teropong secara mendalam. Ala.. Macam kita berblog juga.. Macammana nak menjadikan amalan berblog ini bermanfaat kepada kehidupan insani juga diterima sebagai amal soleh? Semestinya yang terawal adalah niat yang terang-benderang keranaNya.

Apabila kita menyentuh soal niat yang ikhlas maka tidak lain dan tidak bukan apa yang kita mahu adalah ganjaran pahala daripada Allah. Agar apa yang dilakukan tidak menjadi debu-debu yang berterbangan dibawa deruan angin takabbur, ria', ujub dan sepenampilan dengannya.

Secara saintifik juga, orang yang berniat baik ini akan mengeluarkan tenaga dalaman berbentuk positif yang terpancar melalui getaran atau gelombang yang hanya dirasai dengan gerak hati atau intuisi. Kesannya, wajah orang yang positif ini dirasakan menarik, bersih, manis dan sebagainya. Orang yang mendampinginya akan merasai aura itu. Oleh sebab itu, jagalah niat kita apabila bertemu dengan seseorang - nasihat untuk diri. (",)

Senyum-senyum


" Senyumlah. Senyumlah. Alahai cik mek molek.. " Dipetik dari lagu...

Senyuman juga tidak kurang pentingnya. Sebab itulah senyuman yang tulus ikhlas dapat menghangatkan jiwa yang dahagakan belaian kasih sayang bahkan menyejukkan gelora jiwa yang dirunsing seribu satu masalah. Ia boleh menjadi penawar dan ibadah malah turut menceriakan wajah kita.

Senyuman juga mampu menjadi penawar kepada penyakit rohani yang kronik. Mengikut kajian, orang yang selalu senyum akan mengeluarkan endorphin dalam badan yang mampu menimbulkan rasa lega, selesa dan ceria. Lalu, impak dari senyuman ini akan memancarkan rasa gembira kepada orang yang melihatnya.

Bahkan senyuman yang ikhlas akan meresap kemas ke dalam kalbu yang paling dalam. Senyumlah. (",)

Wajah ceria


Pertamanya kita kena tahu bahawa keceriaan adalah anugerah Allah yang tidak terhingga kepada kita. Ia berpunca dari lubuk hati yang putih, suci dan bersih. Maka rasa senang dan bahagia bisa menimbulkan rasa ceria yang mana sejenis citarasa yang tidak mampu dibuat-buat.

Ia merupakan satu kebaikan yang perlu diambil perhatian sebagaimana sabda nabi :

"Janganlah kamu memandang remeh terhadap segala kebaikan, walaupun hanya sekadar kamu berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang ceria." - Riwayat Muslim

Kita juga begitu bukan? Suka akan manusia-manusia yang berada disekeliling kita sentiasa berwajah ceria. Atau anda suka dengan wajah orang yang sentiasa dalam keadaan masam, kelat dan sepuluh sen?

Maka, kita juga haruslah berwajah ceria. (",)

Tutur kata yang menyenangkan


Begini. Menjadi lumrah kepada kita sebagai manusia normal yang ada naluri lapar, dahaga, mengantuk, cinta dan bermacam-macam lagi naluri, suka akan kata-kata yang menyenangkan. Maksudnya kata-kata yang berbaur pujian, penghargaan, harapan, sokongan dan yang mendatangkan kebaikan. Kerana apa?

Kerana semua itu sedikit sebanyak mampu memotivasikan kita. Tetapi jangan disalah erti ya teman-teman. Bukan bermakna 'memotivasikan' itu hanya berpusing dalam serampang pujian, penghargaan, harapan dan sokongan sahaja. Kritikan, komen, teguran dan nasihat juga adalah serampang untuk 'memotivasikan' juga.

Apapun biarlah semuanya dilafazkan dengan tutur kata yang menyenangkan. Barulah dikatakan serampang dua mata dengan tujuan untuk mengembalikan kesedaran orang yang mendengar.

Akhirnya, mereka juga dengan senang hati mendengar pujian dan kritikan kita. Itulah yang dikatakan ucapan yang baik mampu memikat hati orang yang mendengar. Beruntungnya orang yang pandai berkata-kata ni ya. Dengan kata lain 'pandai perayat'. Nasihatnya perayatlah kerana Allah. ^^

Oleh sebab itu, orang yang hebat ialah orang yang dapat mengeluarkan kata-kata yang menyenangkan. Agak-agak kata-kata kita bagaimana ya? (",)

Penampilan yang menarik dan sederhana


Rata-rata daripada kita banyak yang tidak sedar akan hal ini. Yang kita tahu adalah sempoi, moden dan berstyle. Menarik dan sederhana? hanya dipandang sebelah mata. Itu pun acuh tak acuh. Kesian.

Sebenarnya, persepsi orang yang melihat kita banyak bergantung kepada pakaian kita kerana 95% daripada badan orang Muslim diliputi oleh pakaian. Jadi, identiti seseorang banyak bergantung pada cara mereka berpakaian.

Cuba kita buat perbandingan pakaian seorang korporat dengan seorang imam masjid. Pakaian seorang chef masakan di hotel lima bintang dengan penjual burger di tepi jalan. Tentunya jelas kepada kita bahawa pakaian jelas mempengaruhi nilai pandang orang terhadap kita. Manusia sangat suka dan senang kepada kecantikan.
Apatah lagi harum dan wangi.

Oleh sebab itu, pilihlah pakaian yang menarik yang sesuai dengan keadaan dan suasana tempat yang kita kunjungi. Tetapi ingat - syara' mesti di hadapan.

Akhir : Harus kita usaha untuk mendapatkannya.

Untuk apa kita ingin wajah yang menyenangkan orang yang melihat kita? Untuk apa kita sedaya upaya untuk mencuba dan beramal dengan kaedah yang sedemikian rupa? Untuk apa? Untuk tunjuk kepada manusia yang kita ini ada wajah yang menyenangkan? Untuk menjadi orang yang disayangi rakan-rakan sekeliling? Untuk tarik perhatian orang yang kita cinta? Atau untuk kebaikan semua terutamanya islam?

Setelah kita terbang tinggi ke angkasa, sedarlah apabila kita mengajukan soalan-soalan ini mahu atau tidak kita kena pulang ke lubuk hati yang dalam. Tanyalah ia pada hati. Apakah tujuan semua ini? Hanya suka-suka? Hanya ingin mencuba? Di dalam hati itulah jawapannya.

Namun, di luar kesedaran andai hajat kita ini disulami dan diselimuti dengan rasa ingin memberi manfaat kepada islam apabila ada wajah yang menyenangkan, yakinlah satu hari nanti Allah pasti mengurniakan.

Buat teman-teman dan rakan-rakan seperjuangan, benarlah akan satu perkara yang wajah nabi kita bercahaya lebih terang dari bulan. Sungguh, wajah yang baik dan menyenangkan sedikit sebanyak mampu membantu menyelesaikan masalah sendiri mahupun orang lain tanpa kita sedari.

Akhir kata, ayuh tanya pada diri.. wajah aku menyenangkan orang atau memuntahkan orang? Tidak perlukan jawapan.. biarlah ia bersemadi di dalam hati masing-masing. Yang baik dari Allah, lemah dan kurang semestinya dari diri ini dan saya minta maaf kepada semua.

P/s : Mode - saya sudah terpikat dengan seseorang yang memiliki wajah itu. (",)

Monday, June 13, 2011

14
Komen
~ Pengucapan Awam Yang Berkesan ~

"Wah. Ramainya manusia. Takutnyaa.."
Suatu kajian peringkat kebangsaan yang pernah dibuat di Amerika Syarikat yang mendapati ketakutan nombor satu dalam kalangan rakyat Amerika dewasa ialah berucap di hadapan khalayak ramai.

Takut berucap adalah perkara normal dan biasa. Semua orang takut berucap. Kalau tidak banyak, sedikit mesti ada rasa takut. Takut berucap yang sederhana ada baiknya. Ia mendorong kita berlatih lebih kuat sebelum berucap.

Antaranya berlatih mengawal dan menguasai kejelasan dan kepadatan suara. Bagaimana? Jom.

Belajar berucap kadar suara yang baik.

Kebanyakan penbentang, pemidato dan pendebat tahu bahawa penjagaan kualiti suara adalah penting dalam pembentangan hujah mereka.

Gaya intonasi yang baik adalah kelebihan dalam persembahan yang memikat. Begitu jugalah percakapan yang dinamik lebih disukai audiens dan mereka akan lebih menumpu perhatian kepada mesej yang ingin disampaikan.

Apakah yang dimaksudkan dengan kualiti suara yang baik?

1. Kawal kelajuan percakapan.

Ya. Yang pertamanya semestinya kita kena tentukan dimana dan bila kita perlu meninggikan suara dan memperlahankan kelajuan suara. Perlahankan kelajuan percakapan kita pada fakta-fakta yang penting. Sekiranya perlu diulang maka ulanglah supaya audiens dapat menyerap fakta tersebut.

Untuk pengetahuan semua, jalan terbaik untuk mengawal kelajuan percakapan semasa pembentangan adalah dengan cara bertenang. Cara ini dapat mengurangkan ketakutan sekaligus menenangkan rasa gumuruh di jiwa.

Susun atur ayat dan percakapan yang ingin diucapkan. Jangan tergopoh-gapah ingin menghabiskan ayat dalam satu nafas sahaja. Bikin semput anda nanti!

2. Kawal 'volume' suara.

Bayangkan suara kita seolah-olah sistem amplifier yang boleh tentukan dan kawal kadar kekuatan suara. Ada masanya kita perlu tinggikan suara dan ada kalanya kita perlu merendahkannya. Sekiranya kita bercakap dengan nada yang sama sepanjang pembentangan, ia akan menjadi bosan.

Bermain dengan intonasi suara ia adalah cara terbaik. Kuatkan suara pada fakta yang penting, rendahkan suara pada perkara yang sedih atau yang memerlukan penghayatan. Seorang pendebat atau pemidato selalunya akan bermain untuk menarik perhatian pendengar dan meyakinkan hakim.

3. Nilai kualiti suara anda semasa latihan.

Rakam dahulu suara kita semasa sesi latihan samada melalui pita rakaman atau sebagainya. Aha. Jangan dipandang remeh ya teman-teman akan perkara ini. Kesannya akan kita dapat selepas kita mendengar kembali apa yang dituturkan sebelumnya. Suaranya jelas atau tidak? Banyak tersasulkah? Banyak merapukah? Semuanya akan diulang kembali.

Disitulah sedikit sebanyak penyampaian kita akan tertingkat semasa sesi pembentangan yang sebenar berlaku.  Kenapa? Kerana setelah kita sudah mendengar kesilapan kita semasa sesi latihan, semestinya kesilapan dan kesalahan itu sedaya-upaya untuk kita kurangkan sewaktu sesi penyampaian yang sebenar.

Bukankah hasilnya adalah yang terbaik? (",)

4. Hindari 'nonvocalized' atau 'vocalized pauses'.

Yang ni juga penting.

Pastikan kita tidak selalu mengulangi nonvocalized pauses seperti "umm", "uhh", "kan" dan yang seteman dengannya. Begitu juga dengan vocalized pauses seperti "okey","tapi", "betul tak," "makna kata" dan lain-lain lagi.

Kebanyakan pembentang kadang kala tidak menyedari yang mereka selalu dan kerapkali menyebut perkataan-perkataan tersebut. Sehingga apabila tamat sahaja sesi pembentangan, bukan isi dan kesedaran yang audiens dapat tetapi perkataan-perkataan serba ejekan ini yang dibawa pulang.

Bukan itu sahaja, malah akan membawa gambaran negatif kepada para pendengar sejurus meletakkan 'mind set' seperti - "ala.. ustaz ni tak bestla..", "macam ni ke pakar motivasi?", "lambatnya masa berjalan", "bila nak habis ni?" dan bermacam-macam lagi istilah yang berbaur kebosanan dan ketidak puasan. Pernah anda alaminya dalam kehidupan? (",)

5. Jadilah diri anda

Bercakaplah dengan selesa. Apa yang saya baca dalam satu buku motivasi, tidak perlu kita bersusah payah meniru gaya pemidato yang hebat. Hal ini kerana ia akan membebankan jiwa dan konsentrasi kita semasa berucap.

Yalah. Mahu difikirkan gaya serta kemahiran pemidato yang kita minat dalam masa yang sama sesi pembentangan atau pengucapan awam sedang berlaku. Takut-takut apa yang ingin disampaikan langsung berterabur, apa yang ingin ditiru tidak menjadi bahkan menjadi bahan jenaka audiens itu sendiri. Umpama ejekan diminta-minta.

Tetapi jangan salah faham, tidak bermakna kita tidak boleh meniru seratus-peratus. Kerana meniru mereka yang hebat-hebat dan berjaya bagaikan langkah awal untuk terbang menggapai awan kejayaan. Namun, harus kita sedar bahawa tahap seseorang langsung tidak sama. Andai mampu meniru semuanya, silakan. Andai tidak mampu, jadilah diri anda. Sungguh, ia bukan sia-sia. (",)

Akhir : Bukan untuk para guru dan ustaz sahaja.


"Ala. Rileks sudaa.. Bukan penting pun untuk aku."

"Hang bagi seratus tips sekali pun, ada aku kisah."

"Asyik-asyik benda ni ja. Dah jemula.."

Andai itu yang terdetik di hati anda. Maka saya hanya mampu tersenyum. Tersenyum dan suka hati dengan keterbukaan jiwa dan hati anda. Ingat akan satu perkara buat mereka yang terdetik sedemikian.

Setiap yang baru tidak selamanya baru. Setiap mereka yang hebat tidak semuanya berilmu. Namun, yang melakar sejarah hanya mereka yang tahu. Bahawa usaha tidak pernah kenal erti jemu. Yang panduan tidak cukup hanya seribu.

Sebenarnya rakan-rakan sekalian, tidaklah coretan kali ini dikhususkan kepada mereka yang bergelar pengajar, pendidik, dan pensyarah sahaja. Tetapi ianya ditulis kepada semua termasuk anda yang ingin menjadi seseorang yang berpengaruh. Yang saya kongsikan mungkin lima, jika ada yang ingin menambah silakan dengan senang hati. (",)

Apapun, sama-samalah kita tingkatkan diri dari semasa ke semasa dengan menjadi manusia yang sentiasa berkualiti dan bermanfaat. Dalam masa yang sama kita berusaha untuk menjadi seperti mereka yang berbicara menggunakan hati. Amin.

Sekian,
Pelaut Rabbani.

P/s : Sebagai tambahan dari artikel ini, saya syorkan untuk anda ke laman ini. Ia benar-benar memberangsangkan saya. Klik - 'Brohamzah : Medan Menjadi Khatib'.

Friday, June 10, 2011

14
Komen
~ Korban Cinta Balasannya Syurga ~

Cinta yang kamu faham sebenarnya bagaimana?
Petang itu cuaca agak mendung. Awan-awan hitam mundar-mandir di dada langit. Memberi petanda awal buat penduduk berdekatan yang bumi akan disimbah hujan. Burung-burung yang dari tadi bising dengan nyanyian sudah pulang ke teratak masing-masing. Berkata mereka di dalam hati, tidur ketika itu adalah waktu yang sangat menyelerakan. 

Angin yang pada asalnya hanya sepoi-sepoi bahasa bertukar kepada deruan udara yang laju. Deras membelah langit. Hingga menerbangkan beberapa ekor semut yang sedang bersiar-siar di laman dapur restoran. Lalu, menangislah sang anak apabila melihat sang bapa terapung-apung dibawa angin.

Dalam pada itu, kebanyakan kedai makan sudah mula berkemas. Melakukan persediaan awal sebelum hujan lebat membasahi. 

Namun, di penjuru restoran tersebut masih bersantai dua orang jejaka idaman. Berborak itu dan ini, bergurau canda ibarat dunia aku yang punya. Masing-masing tidak hairan dengan cuaca yang sudah semakin gelap dek tutupan awan hitam yang gebu tersusun rapi. Sepertinya mereka ini sedang membincangkan sesuatu yang serius bahkan diselik juga gurau-canda yang akhirnya gelak ketawa yang mengisi ruangan.

Comel giler. Tetapi kau kata buruk?

"Eh, kau tahu aku tengok awek tu cun giler. Memang berkenanla aku tengok muka dia. Tambah-tambah bila dia senyum kat aku tadi. Peerggh.. mcm nak rak ar jantung aku ni." Adu Amran kepada Nabil bersungguh.

"Sapa dia awek tu? Aku kenal tak? Cita sikit. Aku nak kenal gak." Nabil mengaju soalan tanda meraikan temannya. Tetapi monolog dalamannya berbicara sendiri. Siapala gadis yang malang itu.

"Ala. Kau ingat tak yang aku angkat tangan kat dia tadi. Pastu dia senyum-senyum kat aku. Yang tu la. Lagi pun aku tengok dia tu tak la teruk sangat perangai. Boleh makan samanla." Amran melemparkan pandangannya ke luar restoran. Sambil memerhatikan renyai-renyai hujan membasahi jalan.

"Hah! Wei kau biar batul. Perempuan yang hitam tu? Mana sesuai dengan kau. Kau putih dia hitam, bikin jadi taik cicak aku tengok korang berdua ni nanti. Hahaha." Gelak. Tidak tertahan Nabil apabila melihat citarasa temannya yang meminati perempuan berkulit hitam.

"Apa kau ni? Hitam ar comel. Nampak sexy bro. Kau apa tahu? Kau pun takde orang yang minat. Sedap je gelakkan aku. Bukan nak sokong member-member." Muka lima puluh sen Amran ditarik menjadi muka sepuluh sen apabila citarasanya dipermainkan.

" Ok-ok. Aku bukan tak sokong. Tapi aku rasa awek tu tak secocokla. Rugi bro kalau kau minat perempuan macam tu. Kau ada rupa. Hensem pun hensem. Kaya lagi. Hidup berstyle. Perempuan tu? Dahla bertudung macam ustazah. Hitam. Kelat. Pekat. Dari pelusuk Nigeria manala dia boleh tersesat kat sini. Eee.. tak kuasa aku melayan." Gerakan badan Nabil seperti lipas kudung membuatkan Amran tergelak sendiri.

"Hahahaha. Lepak ar bil.. Gelabah apesal? Itu kata kau. Ni, kata hati aku ni dah jatuh cinta. Selama aku hidup, belum pernah aku jumpa awek semanis dia. Mana la tau kalau-kalau ada rezeki satu hari kami dipersatukan. Hahaha." 

Mereka berdua tergelak serentak apabila Amran mengakhirkan kata-katanya yang agak mustahil di mata Nabil. Sungguh pun ia hanya angan-angan yang tidak berpenghujung cita-cita.

Korban cinta. Andai tidak, ia pasti buta.

Ya. Rata-rata yang terjadi kepada kita apabila mengambil cinta dunia melebihi cinta kita kepada Allah. Akhirnya jadilah seperti mereka yang dikejar tak dapat, yang dikindong berciciran. Apa yang dikejar tak dapat? Dan apa pula yang dikindong berciciran?

Korban cinta. Andai tidak, ia pasti buta. Bagaimanakah?

Saya bawakan ini sebagai jawapan. Pastikan anda tidak terlepas menontonnya. Diskusinya panjang. Tetapi saya yakin ia tidak merugikan.



Terima kasih atas kesudian meluangkan masa di sini. Menonton dengan tekun dan sabar. Mudah-mudahan Allah redha dengan cinta kita yang berputik atas dasar kasih dan sayang padaNya.

Salam cinta dari saya,
Pelaut Rabbani.

Thursday, June 9, 2011

7
Komen
~ Puitis : Kasih Aku dan Kamu ~

Tidak mampu bergerak sendiri di lautan yang luas ini.
Dahulu.. Semuanya dahulu..

Aku dan kamu,
kita bukan sesiapa,
tidak pernah terlintas di hati,
yang kita akan bertemu,
tidak pernah terlintas di jiwa,
yang kita akan bersua,
namun catatan tidak bisa menipu,
yang hakikat insani adalah dariNya Yang Maha Menentu.

Aku dan kamu,
kita bukan satu keluarga,
apatah lagi hidup bersaudara,
dek gemersik kalbu terus bersuara,
antara kita tidak ada yang kena-mengena,
tidak ada yang perlu ditangiskan,
tidak ada yang perlu dirisaukan,
tidak ada yang perlu dititik beratkan,
hatta kebahagiaan dan juga keseronokan.

Namun takdir tidak mampu mendustakan,
kerana kamu adalah teman,
juga kamu adalah pelangi di sebalik awan,
yang sentiasa menyokong  lagak kekuatan,
dari setitis embun kepada ombak yang beralun,
yang sentiasa menyirna segala kelemahan,
dari sekelumit cahaya tersembunyi kepada cahaya mentari pagi.

Sehingga terdetik di dalam hati ini,
Siapa kamu padaku?
Kenapa kamu yang menjadi guruku?

Senyap, sunyi, kaku dan tidak berlagu,
lama-kelamaan ia pergi tanpa memberitahu,
dan yang mampu untuk ku laku,
berdoa dalam menanti berharap dalam menunggu.

Tetapi kini...

kamu kembali dengan satu harapan,
melihat aku bagaikan bulan,
untuk menerangi kehidupan insan dengan cahaya keimanan,
hinggakan diriku ini tersentak dari kealpaan,
hinggakan diriku ini terbangun dari lena yang berpanjangan.
dan kini juga ia menjadi permulaan,
yang akan ku cuba untuk buktikan,
harapanmu padaku bukan bayangan,
bukan juga sekadar bait-bait manisan,
tetapi lakaran cita-cita yang menjadi kenyataan.
Amin.


Sekian,
Pelaut Rabbani,
Puitis : Kasih aku dan kamu,
Khas buat seseorang yang bakal berangkat meninggalkan 'kami' buat sementara.
Moga Allah redha dengannya.