Thursday, June 9, 2011

7
Komen
~ Puitis : Kasih Aku dan Kamu ~

Tidak mampu bergerak sendiri di lautan yang luas ini.
Dahulu.. Semuanya dahulu..

Aku dan kamu,
kita bukan sesiapa,
tidak pernah terlintas di hati,
yang kita akan bertemu,
tidak pernah terlintas di jiwa,
yang kita akan bersua,
namun catatan tidak bisa menipu,
yang hakikat insani adalah dariNya Yang Maha Menentu.

Aku dan kamu,
kita bukan satu keluarga,
apatah lagi hidup bersaudara,
dek gemersik kalbu terus bersuara,
antara kita tidak ada yang kena-mengena,
tidak ada yang perlu ditangiskan,
tidak ada yang perlu dirisaukan,
tidak ada yang perlu dititik beratkan,
hatta kebahagiaan dan juga keseronokan.

Namun takdir tidak mampu mendustakan,
kerana kamu adalah teman,
juga kamu adalah pelangi di sebalik awan,
yang sentiasa menyokong  lagak kekuatan,
dari setitis embun kepada ombak yang beralun,
yang sentiasa menyirna segala kelemahan,
dari sekelumit cahaya tersembunyi kepada cahaya mentari pagi.

Sehingga terdetik di dalam hati ini,
Siapa kamu padaku?
Kenapa kamu yang menjadi guruku?

Senyap, sunyi, kaku dan tidak berlagu,
lama-kelamaan ia pergi tanpa memberitahu,
dan yang mampu untuk ku laku,
berdoa dalam menanti berharap dalam menunggu.

Tetapi kini...

kamu kembali dengan satu harapan,
melihat aku bagaikan bulan,
untuk menerangi kehidupan insan dengan cahaya keimanan,
hinggakan diriku ini tersentak dari kealpaan,
hinggakan diriku ini terbangun dari lena yang berpanjangan.
dan kini juga ia menjadi permulaan,
yang akan ku cuba untuk buktikan,
harapanmu padaku bukan bayangan,
bukan juga sekadar bait-bait manisan,
tetapi lakaran cita-cita yang menjadi kenyataan.
Amin.


Sekian,
Pelaut Rabbani,
Puitis : Kasih aku dan kamu,
Khas buat seseorang yang bakal berangkat meninggalkan 'kami' buat sementara.
Moga Allah redha dengannya. 

7 comments: