Thursday, April 28, 2011

9
Komen
~ Aku dan kamu bukan Burung ~

Sebab itu tadabbur alam itu penting. 

Ku menghirup udara pada hari ini. 

Subhanallah. Ia adalah nikmat. Pastinya tidak akan disedari kewujudannya andai diri alpa dan lupa kepada Sang Pencipta. 

Bukan untuk berbicara panjang pada kali ini, sekadar ingin melontarkan satu Bicara Al-Quran. Agar dengannya kita sentiasa berfikir dan beringat.

Hayati.


“Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dapat terbang di angkasa dengan mudah.Tidak ada yang menahannya selain Allah. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang beriman”. (An-Nahl ayat 79) 


Lihat kepada burung, jiwa seakan cemburu dengan mereka. Pengakhiran mereka tidak akan dihijab oleh Allah tetapi kita? Tepuk dada tanya mata hati yang suci.

Ringkas yang boleh saya katakan selepas menghayati kalam ini - saya benar-benar malu dengan Allah.

dan ANDA!

Apa yang dirasakan?

Adakah hanya membaca tanpa perasaan?

Adakah hanya memahami tanpa kerelaan?

Atau bagaimana? 



Monday, April 25, 2011

12
Komen
~ Senyumlah Sahabat ~

Kebaikannya dirasai semua. 
Ku menyambung rantai ini kembali dengan memulakan ucapan salam buat kalian.

Assalamualaikum wbt.

Saudara-saudari sekalian, saya ingin mengajak sama-sama kita melihat hikmah. Satu hikmah yang Allah bawa dalam kehidupan sahabat saya. Yang kini saya juga merasainya. Walaupun bahangnya tidaklah tinggi 'volt' bergemerlapan dalam jiwa ini, tetapi tusukan demi tusukan seakan mengajar saya sesuatu yang berguna.

Jam. Andai ada bateri, pastinya ia sentiasa berjalan. Berputar dan berputar seiring terbitnya matahari dari sebelah timur dan terbenamnya di sebelah barat. Kesannya, dunia tidaklah sentiasa cerah dan gelap. Sisipan siang dan malam silih berganti menandakan ada kuasa yang mengawalnya. Itulah Allah Rabbul'alamin.

Hari demi hari berlalu. Bulan juga begitu. Tahun pula tidak selamanya baru. Menunjukkan kepada kita masa sentiasa bergerak bahkan terasa laju.

Di celah-celahnya, hikmah sering saja meniti. Kemusnahan, kegagalan, kesakitan, kesedihan, kematian, kecelakaan hatta sesuatu yang mendatangkan kebahagian juga tidak terkecuali. Semuanya umpama roda yang silih berganti.

Ayah Salim pergi dahulu dan kita akan menyusul


Untuk makluman semua, Pakcik Wahab iaitu ayah kepada sahabat saya saudara Salim telah kembali ke rahmatullah pada hari Sabtu yang lepas. Allah menjemput hambaNya ini pada pukul 5.30am di Hospital Tunku Fauziah Perlis.

Alhamdulillah. Pada malam itu, saya dan juga Salman kami tidur di hospital sebagai peneman kepada sahabat kami Salim. Satu perkara yang menjadi tanda tanya buat saya, kenapa Salim tidak tidur bersama kami di surau berhampiran sedangkan malam sebelumnya kami bersama?

Rupa-rupanya doktor sudah memberi petanda awal yang Pakcik Wahab akan menghembuskan nafas-nafas terakhir dalam masa yang terdekat pada siang Jumaat. Kata doktor, kuman yang dulu menyerang paru-paru telah merebak ke organ-organ penting dan telah merosakkan beberapa daripadanya.

Demi menjaga perasaan keluarganya, Salim tidak menceritakan perkara ini kepada ibu dan adik-adiknya. Hanya berkongsi dengan Salman sebagai luahan hati yang gemersik kesedihan dek laporan doktor yang mengejutkan.

Jadi sebagai langkah persediaan andaikata doktor ingin memberitahu sesuatu, maka Salim tidur di hadapan pintu bilik ICU yang menjadi perkara biasa dilakukan oleh keluarga pesakit yang dimasukkan ke wad ICU.

****
Kira-kira jam 5.15am, saya dan Salman sempat menghabiskan Surah Yasin sementara menunggu keluarga Salim yang sudah masuk berjumpa dengan tonggak keluarga mereka buat kali terakhir selepas mendapat tahu yang keadaan Pakcik Wahab sudah tenat. Tatkala kami menanti disaat yang mendebar-debarkan itu, Salim dan keluarganya keluar dengan tangisan air mata yang bergelinang.

Sempat Salim memberitahu kami yang ayahnya sudah tiada.

Ya Allah. Aku terkedu. Tidak ada kata-kata yang mampu ku ungkapkan melainkan menyebut nama Allah malah turut merasakan apa yang dirasai oleh keluarganya. Segala-galanya seperti membayangkan keadaan yang pastinya akan terjadi kepada keluargaku nanti. Moga aku setabah Salim.

Walaubagai pun, satu perkara yang cukup istimewa adalah jenazah Pakcik Wahab berwajah senyum. Dan ramai yang berpendapat seperti saya. Sikit sebanyak menjadi penawar buat keluarga Pakcik Wahab untuk terus kuat dan tabah.

Segala puji bagi Allah.

Hanya Dia yang tahu sedangkan kita tidak


Rata-rata yang berjumpa dengan saya sebagai kenalan rapat Salim pasti menyatakan rasa simpati mereka. Bahkan sedih dengan masa depan keluarga Salim yang disambar kejutan yang tidak disangka-sangka ini.

Kenapa simpati yang berbuku di hati?

Kerana seorang ayah yang selama ini menjadi kunci kepada kewangan keluarga sudah tiada. Macam mana mereka mahu cari duit untuk membiayai empat orang anak termasuk Salim? Salim juga masih muda. Mempunyai adik-adik yang masih bersekolah rendah? Emaknya pula tidak berkerja sebelum ini? Banyak persoalan yang diutarakan orang ramai sehingga saya sendiri turut memikirnya.

Tetapi dalam masa yang sama entah kenapa jiwa saya kuat mengatakan ada sesuatu yang istimewa sedang menanti mereka di hari yang kedepan. Juga tuan kepada kunci kewangan tersebut pasti tahu sedangkan kita tidak.

Ya. Jika kita melihat dari sudut logik akal, semestinya persoalan-persoalan itu yang akan timbul. Bagi yang melihat dari sudut hati, Allah yang Maha Tahu dan Allah tidak akan mensia-siakan hambanya adalah bicara yang akan terdetik. Bahkan itu adalah pasti.

Firman Allah :

"Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya,".                 (Surah Al-Baqarah :286)

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang Beriman. (Surah Ali-Imran :139)

Ya. Janji Allah buat mereka. 

Sehingga berkali-kali saya dihimpit rasa cemburu dengan ujian yang mendidik ini. Walaupun ia pahit Salim, tetapi manisnya akan dirasainya nanti. Itulah yang sentiasa bermain dalam fikiran ini. 

Salim ; Kata-katanya menyelinap kalbu


Petang Jumaat-sehari sebelum Pakcik Wahab kembali.

Aku duduk di sebelah Salim. Bertanyakan itu dan ini. Semuanya perihal keluarganya.Walaupun masanya tidak lama, tetapi dia sempat meluahkan beberapa perkara kepadaku.

Katanya, semua orang akan merasai apa yang dirasainya. Disaat seorang ayah sakit hatta seorang ayah akan pergi. Cuma yang membezakan adalah cepat atau lambat sahaja.

Ringkas dan pendek. Tetapi cukup berbekas dihati ini. Terus saya membayangkan ayah saya ketika itu. Insaf. Terasa nikmatnya ada seorang ayah. Mungkin satu hari nanti, saya pula yang akan merasai sepertinya. Sementara ayah masih hidup, hargailah. Itulah yang selalu saya berpesan kepada hati.

Apabila saya selalu berada bersama Salim dalam keadaan ini, banyak ibrah yang boleh saya dapat. Antaranya ingin menghargai ayah sebaiknya. Selalu juga saya melihat ayah dengan perasaan yang sayu. Terasa ingin menggembirakan hatinya sebelum Allah memanggilnya pulang.

Sungguh. Saya betul-betul terkesan dengan apa yang berlaku di depan mata saya ini.

Maha Suci Allah.

Akhir ; Saya tersenyum 


Salam..sahabat2,abg2,kakak2,adik2 smua.jazakumullah khair..jgn risau,ana kuat insyaAllah..Allah tak tinggal ana sendirian..terus doakn ana dberi kekuatan.. - Qalbun Saleem


Setelah membaca komen ini di 'wall fb' selepas pemergian ayahandanya, jiwa saya seakan gementar. Tersentuh dengan ketabahan yang ditunjukkan sahabat saya ini.

Salim. Satu perkara yang ingin ana beritahu. Enta amat beruntung. Enta amat bertuah. Sebab apa itu tidak akan ana beritahu sekarang. Lama-kelamaan enta akan tahu. Walau di mata orang nampak enta macam tidak mampu memandu keluarga seorang diri, tetapi ana yakin.

Yang anta ada kekuatan dariNya.

Teringat ana akan kata-kata teman kita yang lain. Ujian yang mendidik ini umpama kita mendaki bukit. Di awal pendakian, semestinya memaksa air mata mengalir dan mengalir akibat kesakitan dan kesusahannya. Tetapi apabila kita sudah sampai ke puncaknya. Pasti jiwa terasa bahagia. Manisnya menggamit rasa.

Beberapa perkara yang 'tidak mustahil' yang telah berlaku sangat-sangat menampakkan hikmah dari Allah. Tabahkan hati. Selami diri. Mudah-mudahan bahagia yang menanti. Amin.

Sekian dari sahabatmu,
~ mQ ~

P/s : Jutaan terima kasih juga buat kalian. Salman, Nabil, dan Hazwan yang banyak menemani. Hanif yang sudi berkongsi. Nazeer yang jauh menghubungi. ^^


Wednesday, April 20, 2011

3
Komen
~ TN ; Memikat Kalbu ~


Hari yang bahagia,
tenang dan ceria,
timbul rasa sedih,
itulah manusia. ^^

Assalamualaikum wbt.

Bertemu lagi kita di pondok mesra ini. Mesra bagi saya sebagai luahan rasa hati dan warna-warni yang diharungi sepanjang perjalanan. 

InsyaAllah. Kali ini saya ingin berkongsi satu TN buat anda semua. 

" TN tu apa? " tanya anda perlahan di dalam hati sambil menggerakkan anak mata membaca ayat seterusnya.

" Owh, lupa pulak nak kabo. TN adalah singkatan daripada perkataan Tontonan Nasihat yang menjadi salah satu 'point tunggal' di laman ini. Anda boleh lihat di kotak labels. TN juga merupakan inisiatif penulis kearah melempar jauh-jauh rasa jemu dan bosan para pembaca untuk datang ke pondok lautan rabbani. Cuma edisi TN kali ini, mungkin berbeza sikit. Lebih santai dengan kemerduan suara yang dinasyidkan. Jadi, sedialah 'accessory' anda yang berkaitan dengan bunyi sebaiknya." terang mQ panjang lebar sambil senyumannya meleret hingga ke telinga. ^^
  
Saya percaya pasti ada yang pernah mendengar nasyid ini. 

Oleh itu, izinkan saya men'kabo'kan satu perkara. Tidak menjadi satu kesalahan undang-undang di bawah mana-mana akta kerajaan sekalipun sekiranya anda mendengar nasyid ini berulang-ulang kali. (",)

Wokeh. 

Sediakan hati. Selamat menghayati.

Beautiful English Nasyeed by Kamal Uddin


Alhamdulillah.

Buat pertama kali saya mendengar nasyid ini, jiwa seakan tertarik. Tertarik untuk mendengar lagi dan lagi.

 Walaupun tidaklah saya faham kesemua liriknya, pasti ada yang istimewa disebalik intisari tersiratnya. Jutaan terima kasih kepada teman saya Salman yang memperkenalkan nasyid ini.

Anda?

Bagaimana?

Mudah-mudahan yang baik itu anda merasainya juga. Amin.


Tambahan : Pakcik Wahab - ayah kepada sahabat saya iaitu bro Salim masih tidak sedarkan diri dari koma. Cuma kata doktor keadaan beliau nampak semakin ok. Terus-meneruslah menembak doa. Moga doa yang sama juga malaikat tembakkan buat kita. Amin. 

Monday, April 18, 2011

8
Komen
~ Tabahkan jiwamu Sahabat ~

Langitkan kembali cerah sahabat. InsyaAllah.
Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah. 

Setinggi-tinggi rasa syukur kita rafa'kan kepada Allah Pencipta langit dan bumi kerana dengan keizinanNya mampu lagi kita merasai nikmat kehidupan pada masa ini. Dan esok? Semestinya belum tahu.

Untuk post kali ini. Saya benar-benar keliru. Tidak tahu mahu mula dari mana. Tapi yang pasti saya ingin sangat menulis perihal ini. Perihal sahabat yang lama menemani hidup saya. Yang selalu mengisi kekurangan saya. Yang selalu menceriakan hidup saya. Yang selalu membahagiakan jiwa saya. 

Dia.


Salim dengan Saya

Yang ceria selalu ~ Salim~
Saleem - Adalah nama 'glamour' bagi nama sahabat saya iaitu Saudara Abdul Salim b Abdul Wahab. Sembilan belas tahun adalah umurnya ketika ini. Berpendidikan di Ma'had Attarbiyah Al-islamiyah sama dengan saya ketika kami bersama-sama membesar sebagai pelajar sekolah menengah di situ.

Sahabat saya ini tinggalnya di Kuala Perlis. Bagi yang sentiasa mengikuti perkembangan di laman Lautan Rabbani, semestinya anda sudah tahu yang saya pernah melakarkan satu artikel mengenainya. Di sini 'Rehlah ke Rumah Salim'. Bacalah jika berkesempatan.

Salim dan saya. Kami bagaikan adik beradik. Itulah yang saya anggap. Menjalani detik-detik kehidupan di sekolah menengah bersama-sama sehingga ke tingkatan enam. Hubungan kami erat. Bahkan mesra dengan celoteh dan ragam masing-masing. Andai saya bersamanya, tentu pelbagai perbincangan dan gurau canda yang mengisi ruangan perbualan. 

Melanjutkan pelajaran di sekolah menengah iaitu Matri. Allah telah susunkan perjalanan hidup kami di hostel yang serupa. Bukan sahaja dari tingkatan satu, malah mencecah hingga ke penghujung usia kami di sekolah iaitu tingkatan enam. Oleh yang demikian, masakan air mata diriku tidak mampu mengalir jika keresahan dan kesedihan yang dihadapi oleh salim menganggu fikirannya.  

Saya teringat akan caknanya pada saya ketika saya berada dalam keadaan separa sihat. Ketika saya mengalami kemalangan jalan raya, salim seringkali menghubungi saya untuk bertanyakan khabar. Dalam masa yang sama, lawak jenaka yang berhikmah sedikit sebanyak mencuit kesunyian dan kesepian saya ketika itu.

Terlalu banyak tentang Salim yang boleh dan ingin saya ceritakan. Tetapi untuk post kali ini, cukup sekadar pengenalan awal sahaja. 


Pakcik Wahab aka ayah Salim sedang tenat
Kuatkan semangat Lim!!
Hari ini sahabat saya Salim menghadapi satu musibah. Walaupun musibah ini tidak secara langsung padanya, tetapi saya yakin yang dia juga turut terkesan dengan musibah yang menimpa. Semestinya musibah itu untuk mengangkat darjat seseorang. 

Untuk pengetahuan semua, Pakcik Wahab iaitu ayah salim telah dimasukkan ke wad kecemasan pada pagi tadi - hari Ahad. Bicara Salim sendiri, ayahnya dikatakan mengalami sesak nafas. Kesan daripada itu Pakcik Wahab masih dalam keadaan tidak sedarkan diri sehingga sekarang - 11.30pm. 

Jangkitan kuman di paru-paru adalah asbab kepada sesak nafas menurut doktor.

Tatkala saya membaca mesej Salim di 'wall facebook'nya, jiwa saya runtun hiba. Sedih seakan membayangkan ayahnya itu adalah ayah saya sendiri. 

" Salam sahabat2 suma..tolong doakan abah saya..tgh kritikal skrg! Wad ICU. jankitan kuman d paru-paru. saya mhon jasa baik tlg doakn ayah saya. moga Allah bls jasa. " - Qalbun Saleem

Siang tadi, saya berpeluang bersama-sama dengannya di wad kecemasan. Kelihatan Salim seperti seorang yang nampak sugul, letih dan sedih. Tetapi tabah, sabar dan kuat lebih tinggi bendera kemegahannya yang lahir dari jasad itu. 

Moga Allah kuatkanmu sahabat.


Akhir ; Bantulah saya dengan doa kalian

Ya. Bantulah saya dengan doa kalian. 

Bantulah saya. Bantulah saya. Bantulah saya.

Tidak ada kudrat yang mampu kita laksanakan akan apa yang dirancang melainkan semuanya dengan izin Allah. Tinggal, doa sahajalah senjata kita. Doa sahajalah sebagai usaha kita. Usaha kita dari kejauhan.

" Ya Allah. Kami memohon kepadaMu. Ampunkanlah segala dosa kami. Ampunkanlah segala dosa Salim. Ampunkanlah segala dosa Pakcik Wahab. Tidak ada daya dan upaya dari kami melainkan meminta pertolongan dari Mu Ar-Rahman. Sembuhkanlah penyakit yang dihadapi pakcik Wahab. Tabahkanlah keluarga Salim dalam menghadapi ujianMu. Mudah-mudahan terselitnya seribu satu hikmah dari penyusunanMu ya Allah. "

Amin.

" Salim, izinkan ana mengalirkan air mata ini. " = ( 

- mQ

Friday, April 15, 2011

13
Komen
~ Puitis ; Perbezaan Terselitnya Hikmah ~

Cuma yang benar-benar membezakan adalah iman dan taqwa. 


Barangkali persamaan itulah dipinta,
pastinya harapan umpama bayang di sebalik angkasa,
kerana yang jelas di mata,
sebab yang banyak ternyata,
adalah kelainan yang lebih berkuasa,

anggaplah ketidaksamaan itu,
sebagai satu muhasabah yang perlu,
walaupun ia mendesak kalbu,
memaksa air mata berderaian selalu,
tetapi ia sekian waktu,
kerana dunia pastinya berlalu,
bahkan akhirat senantiasa menunggu, 

Ingatlah wahai pencetus sengketa!

Setiap muslim itu bersaudara,
yang menjadikan Allah tuhan yang Esa,
yang meletakkan Rasul paling termulia,
kenapa perlu mengotori minda?
bukankah itu kerja gila?

perbezaan yang muncul bukan untuk dimarah,
kelainan yang timbul bukan untuk disumpah,
ketidaksamaan yang terzahir bukan beerti ia mehnah,
ketidakserasian yang terpancar bukan bermaksud ia masalah,

andai Rabbul'alamin tempat berserah,
pastinya seribu satu mata hati nampaknya hikmah.

Yakinlah !!

Sekian,
Yang memerlukan doa kalian untuk terus kuat,
~ Pelaut Rabbani ~

Tuesday, April 12, 2011

12
Komen
~ TN ; Sesuatu Yang Tak Boleh Dipelajari ~

Berjalanlah kita dalam perjalanan ini. Moga Allah sentiasa mengasihi.

" Iman kepada Allah,

kekhusyukan hati insan berhubung dengan Allah,

tak dapatlah kita nak fahamkan kepada orang melainkan dia itu sendiri menghayati makna berhubung dengan Allah,

makna agama,

seperti rasa sayang kepada agama,

sehingga dia rasa agama ini melindungi dia,

Bila iman masuk dalam hati,

bila islam itu melindungi hidup kita,

banyak pertimbangan kita jadi berbeza. "

******

Ayuh para pembaca yang budiman!

 Marilah sama-sama kita meluangkan masa seketika di sini,

mendengar nasihat ringkas buat sang hati,

moga dengannya ia kembali suci,

sementara tubuh masih belum terkunci.



Dr MAZA


Subhanallah.


Moga sikit yang disampaikan ini berguna buat kita.


Bagi saya sendiri, banyak mutiara sebenarnya yang boleh kita ambil.


Hanya terletak kepada diri samada memandang ia sebagai batu di tepi jalan atau permata di tengah lautan.


Akhirkata, terima kasih buat semua sudi meluangkan masa di sini.


Moga Allah sentiasa sayang pada kita.


Amin. 




"Hiba di hati pasti terukir,

saat indah itu lahir,

membuat diriku terus berfikir,

kenapa waktu cepat berakhir,

apakan daya itu semua takdir,


akhirnya pujian menjadi zikir."

Sekian,
~ mQ ~


Friday, April 8, 2011

11
Komen
~ Ringkas ; Bintang Buatmu Teman ~

Andai bintang mampu ku genggam. Pasti akan ku beri kepadamu sebagai pengganti ucapan terima kasih.

Assalamualaikum wbt.

Selamat datang saya ucapkan kepada tetamu Lautan Rabbani yang baru pertama kali ziarah ke sini. Kedatangan saudara-saudari sekalian sangat-sangat saya menghargainya.


Buat tetamu yang tidak jemu-jemu singgah di sini juga, saya doakan agar kalian sentiasa berada dalam ketenangan kehidupan walau di mana sahaja kalian berada. Amin.

Sebenarnya, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.


Terdetik hati ini ingin mencoret perihal seorang temanku yang dahulunya pernah bersama, kini berpisah dek masing-masing melanjutkan pelajaran di tempat pilihan. Sungguh, hari ini hati kecilku rindukan dia.Siapa?


Tak kenal maka tak cinta


Zaman hanip kecik. ^^

Aha. Dialah insan yang diberi nama Muhammad Hanif b Ahmad Tarmizi.


Rata-rata yang mengenalinya seperti saya lebih happy dengan nama kacaknya iaitu 'hanip'. Beralamatkan Taman Sri Serdang , 43300 Seri Kembangan Selangor adalah tempat di mana temanku ini dibesarkan.


Hanip. Sudah saya kenal ketika kami menduduki kelas yang sama sewaktu awal persekolahan di tingkatan satu. Juga saya mendengar cerita mengenainya daripada sahabat saya Salman yang merupakan satu usrah dengannya. Tinggal, kami tidaklah seakrab seperti saya dengan Salman. Mungkin sebab perbezaan penginapan asrama yang membataskan pergaulan kami.


Teringat kembali awal permulaan saya mula erat dengan Hanip. Semasa di tingkatan tiga, kami sama-sama ingin pergi ke kedai gunting rambut. Haha. Boleh dikatakan, segala-galanya bermula di sini.


Bersama-sama berjumpa warden asrama untuk meminta kebenaran keluar. Bertemankan basikal rakanku Nazeer yang tinggal di luar asrama, kami menjejak ke semua kedai gunting rambut yang berdekatan. Bukan disengajakan untuk melambatkan masa, tetapi setiap kedai gunting rambut yang kami kunjungi hampir kesemuanya tutup.


Sepanjang perjalanan, kami berkongsi pelbagai cerita suka dan ceria. Umpama kami baru sahaja bersua walhal kami menduduki kelas yang sama pada tahun itu ~ tahun PMR. Seketika itu, sayalah yang agak keletihan kerana saya yang mengayuh. Hanip hanya goyang kaki sahaja di tempat duduk belakang. Haha.


Cuma entah kenapa pada petang itu jiwa saya terasa bahagia. Bahagia yang bukan dibuat-buat. Bahagia yang lahir dari hati nurani yang dalam. Buktinya, nostalgia itu sudah berlalu hampir lima tahun yang lepas. Tapi, tika ini saya mampu membayanginya lagi.


Ya. Allah. Aku rindu detik itu.


Kenapa saya menceritakannya kepada ANDA tentang Hanif ?


Huh. Soalan 'killer' ni. Haha.


Sebabnya, sahabat saya hanif sekarang sedang menghadapi satu peperangan. Peperangan dalam arena akademik seminggu dua ini. Untuk pengetahuan semua pembaca sekalian, hanif adalah salah seorang siswa di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Mengambil jurusan asasi sains hayat sebagai medan untuk beraksi menggapai redha Allah.


Tatkala saya bertanya soal kerjaya pada masa hadapan kepadanya, ringkas tetapi padat. Untuk menjadi "daie sepanjang masa." Itulah yang dikejarnya.


Tatkala saya bertanya soal matlamat hidup, pendek tetapi bermakna. Untuk mendapat "redha Allah". Itulah yang diusahakannya.


Jujur yang mampu saya ungkapkan. Hanif adalah salah seorang contoh yang saya jadikan sebagai batu loncatan untuk saya belajar bersungguh-sungguh. Mungkin dia tidak pernah tahu tentang hal ini. Tetapi hari ini, saya membongkarkannya. ^ ^


Moga Allah redha denganmu sahabat.


Akhir : Tolong saya boleh?


Saya dengan rasa rendah diri ingin memohon pertolongan kalian.


Tolong tembakkan doa kalian buat sahabat yang saya kasihi ini boleh?. Seperti mana yang saya khabarkan di atas, dia sedang berada dalam minggu peperiksaan. Peperiksaan bagi semester akhir asasi sains hayat.


Mudah-mudahan Allah sentiasa membuka peluang untukmu Sahabat. Memberi kejayaan kepadamu di dunia dan akhirat. Dipermudah segala urusanmu di seketika saat. Juga perjalanan hidupmu moga sentiasa dicucuri rahmat.


Berkatalah amin wahai pembaca yang budiman. (",)

Monday, April 4, 2011

15
Komen
~ Naluri ; Tidak mampu untukku melupakan ~



Hatiku ini menangis basah,
tatkala mengenang kembali nostalgia sejarah,
yang kini bahagia dahulunya parah,
mengalir perit untaian mehnah,

Dahulu..

Marah adalah sinonim kehidupan,
air mata adalah peneman di kala kesunyian,
hinaan juga kejian laksana titisan hujan,
menimpa tubuh ini bagaikan ia satu kepuasan,
segala-salanya umpama aku datang dari bulan,

Dahulu..

Membolak jiwa ini ingin keluar dari landasan,
landasan kesepian di hempap peristiwa,
peristiwa aku bersama mereka,
yang ku yakin tidak mampu untuk melupakan,
walaupun ia sekecil kuman,

Dahulu juga..

Meronta tubuh ini ingin lari dari rantaian,
rantaian sindiran ibarat aku tiada harapan,
rantaian sinis seperti aku tiada hala tujuan,
sehingga hati kecil ini pernah mengadu,
satu hari nanti kalian semua akan tahu,

yang aku bukan sahaja berdiri di atas air yang tenang,
bahkan di atas deruan ombak yang menggoncang.


Sekian terima kasih,
Pelaut rabbani,
~ mQ ~

Friday, April 1, 2011

14
Komen
~ Santai ; Video Gimik di Koplit ~



Memulakan post kali ini dengan ucapan Assalamualaikum wbt.

Saya dan anda ; apa khabar ya diri kita ini?

Kalau saya - Alhamdulillah. Semakin sihat dan ceria. Cuma sentiasa memerlukan penawar buat rohani agar kesihatannya bergerak seimbang yang dengannya mampu menjangkau medium realiti. Anda bagaimana? Moga sihat juga.

Erm. Berfikir sejenak akan post kali ini. Tidaklah seperti artikel yang lepas, perlu membaca sahaja. Tetapi insyaAllah di post ini, tayangan video akan dipaparkan.

 Amacam?

Ok. Sebelum kita melihat video, sedikitlah perkenalan dan gambaran mengenainya. Bak kata pepatah tak kenal maka tak syoQ. Betul tak?

Video gimik ini dihasilkan ketika saya berada di Koperasi Perumahan Lepasan Institusi Pengajian Tinggi. Ringkasnya Koplit. Dekat-dekat dengan area kajang jugalah. Keberadaan saya di sana adalah kerana mengikuti satu bengkel khas yang dianjurkan pada 19 Mac yang lepas.

Mungkin itu saja gambaran awalnya.

Jom saksikan!!




" Ala, kenapa tak habis video ni? " Begitulah yang terdetik di hati anda kan? (",)

Sebabnya - nama pun video gimik. Kalau ceritanya habis, tak jadila gimik.

Cuma di sini, saya sekadar ingin memberitahu apa selanjutnya jalan cerita dalam video di atas.

Apa yang terjadi selepas itu?

Saya masuk ke dalam dewan dan berdiri di hadapan pintu. Lafaz salam diberikan tanda kehadiran saya muncul di belakang dewan. Macam biasa, respon ahli dewan sedikit tercuit dan gelak ketawa mengisi ruangan. Happy go lucky.

Kemudian, saya berjalan ke hadapan dewan dengan lagak Rosyam Nor dalam siaran Pilih Kasih. ^_^

Apabila tiba di hadapan, saya terus mengangkat satu pendrive yang kononnya barang yang saya bawa dari Perlis untuk diberikan kepada pihak penganjur bengkel. Terus saya serahkan pendrive itu kepada Saudara Nu'man Afifi yang mengawal sistem komputer.

Tatkala pendrive itu dimainkan, maka keluarlah satu video khas buat tatapan semua para peserta yang hadir selama dua hari di bengkel tersebut sebagai kenang-kenangan sebelum bersurai dan pulang. Alhamdulillah.

Hah. Macammana? Dapat gambaran? Andai masih ada yang kabur-kabur, jangan segan silu boleh terus bertanya di kotak komentar. =)



Dedikasi buat mereka


Ya. Dedikasi buat mereka yang menjayakan gimik ini. Bukan senang nak berlakon. Buktinya, banyak rakaman yang diambil terpaksa disingkirkan. (",)

Terima kasih daun keladi juga.

Pelakon I aka [pengantar barang] ~ Inche Qawiem b Khairi
Pelakon II aka [tukang kayu] ~ Inche Hanan b Khairul Anuar
Pelakon III aka [pakcik] ~  Inche Nabil b Nordin
Pelakon IV aka [makcik] ~ Puan Mardziah bt Said
Cemeraman pilihan ~ Inche Salman b Sukri
Editor pilihan ~ Inche Nabil b Nordin
Pemantau pilihan ~ Sis Nailah bt Abd Kadir

Alhamdulillah. Sekian sahaja coretan kali ini. Moga kesempatan ini, ruang ini Allah mengira sebagai satu amal kebaikan yang mampu memperkukuh kejernihan dan keputihan iman selari dengan kerendahan hati.

Akhir kata, segala komentar dan ulasan yang membina amat-amat diperlukan bagi meningkat mutu penghasilan video di episod yang mendatang. ^_^



"Hiba di hati pasti terukir,

saat indah itu lahir,

membuat diriku terus berfikir,

kenapa waktu cepat berakhir,

apakan daya itu semua takdir,


akhirnya pujian menjadi zikir."

Sekian,
Pelaut Rabbani,
~ mQ ~