![]() |
Diingatan, ia kembali. |
Dalam kehidupan ini, atas dan bawah adalah asam garam roda yang berputar. Di waktu kita naik, selalunya disitulah kita akan merasai nostalgia bahagia. Merasai saat indah yang bukan boleh dibuat-buat. Kerana ia adalah carta hati yang terukir dengan kuntuman senyum, suka dan ceria.
Bilamana roda tadi berputar ke bawah, ramai dalam kalangan kita yang terenjat ketika itu. Seakan tidak percaya akan ujian yang menimpa. Akhirnya saat itulah yang dinamakan sebagai kenangan pahit. Sebuah kenangan yang mampu membina jati diri dan motivasi jika diambil hikmah seribu satu peluang.
Namun, ramai yang seringkali lupa akan satu perkara. Bahawa berada di atas bukan selamanya di atas. Berada di bawah juga bukan selamanya di bawah. Tinggal, yang perlu kita teropong dan teliti, bagaimana persediaan kita untuk menerima takdir Ilahi?
Hari ini adalah harinya
Hari ini saya teringat akan sesuatu. Sebuah cerita yang telah lalu. Ia bukan satu lakonan. Tetapi benar-benar berlaku dalam kehidupan saya.
"Tragedi Kemalangan." Menggugah jiwa.
Mengikut kiraan bulan islam, hari ini adalah hari yang bersejarah dalam hidup saya. Kemalangan yang menimpa satu tahun dulu benar-benar menggugah jiwa ini. Tidak ada daya dan kuasa untuk kita elak bilamana penyusunan Allah sudah tiba pada waktunya.
Cerita kali ini tidaklah saya ingin mengulang tragedi kemalangan itu secara 'detail'. Kerana saya sudah bercerita di sini. Diari : Kemalangan itu Satu Petanda. Cuma, sebagai pemberitahuan kepada yang belum tahu akan kesihatan saya, di waktu ini saya sudah mampu hidup sebagaimana manusia yang normal. Alhamdulillah.
Satu masa dulu, saya pernah menjalani kehidupan sebagai insan yang kurang upaya. Tidak mampu bergerak bebas seperti orang lain. Tidak dibenarkan makan apa yang orang lain boleh makan. Dan bermacam-macam perkara lain yang saya sendiri cemburu melihat mereka.
Maka di sini saya telah belajar satu perkara. Kesihatan yang baik adalah nikmat yang tidak dapat ditukar ganti. Satu nikmat yang teristimewa. Juga sebagai asas dalam kehidupan yang bahagia. Berkata-kata tidak sama dengan merasai. Apabila kita sudah merasai, baru kita tahu betapa beratnya untuk berkata-kata.
Ujian bukan Penyiksaan
Ujian yang datang bukan untuk menyusahkan. Bukan juga sebagai bebanan apatah lagi satu penyiksaan. Ramai yang tersilap akan perkara ini. Bahkan saya sendiri pernah terfikir seperti itu. Betapa sukarnya hidup apabila diuji. Terasa beban. Terasa seperti semua ini satu penyiksaan dalam ruang lingkup yang lain.
Tetapi apabila mereka yang menziarahi banyak menguatkan, di situ saya mula mletakkan neraca Allah sebagai timbangan. Dari hari ke hari saya dapat jawapannya. Ujian yang menimpa banyak mematangkan. Bahkan memecah tembok keangkuhan yang bersarang di hati ini.
Kerana itu, siapa yang diuji tetapi menyambut dengan kesabaran, pasti akan ada hikmah serta bonus yang bakal mendatangi.
Hanya Allah yang membalas jaza kalian
Sepanjang saya ditimpa kemalangan jalan raya itu, saya dapati ramai yang mengambil berat akan kesihatan diri saya. Banyak yang sentiasa mengikuti perkembangan diri ini baik keluarga, guru-guru mahupun sahabat-sahabat yang disenangi.
Begitu juga dengan tembakan demi tembakan doa dari semua yang mengenali diri ini. Dapat saya lihat melalui muka buku, blog, pesanan ringkas dan sebagainya.
Tidak dilupakan juga kepada semua insan bertuah yang menziarahi tidak kira besar hinggalah yang paling kecil. Tidak segan silu memberi kata-kata semangat. Tidak putus-putus mendorong saya untuk terus tabah. Tidak malu untuk menghulur tangan sebagai penawar kepada kelemahan diri ini.
Oleh yang demikian, jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kalian atas kesudian menghulurkan segala bentuk bantuan. Mudah-mudahan satu hari nanti, Allah permudahkan kalian bila mana dilanda ujian. Moga Allah kasih juga.
Terima kasih khusus juga kepada cg Osman Arof, cg Norizan sekeluarga, akhi Sahel Nordin, akhi Ali Irfan, akhi Nabil Nordin beserta Aakef Naufal, akhi Saleem Wahab, akhi Syafiq Akmal, akhi Fakhruddin, ukhti Nawal Kadir, dan ukhti Nailah Kadir. Semoga dilimpah rahmat dan kasih sayangNya. Amin.
Penutup : Mak dan Ayah
Yang sangat bimbang ketika itu adalah emak dan ayah saya. Yang paling runsing ketika itu adalah emak dan ayah saya. Yang banyak berkorban ketika itu adalah emak dan ayah saya. Yang banyak membimbing ketika itu adalah emak dan ayah saya. Yang banyak menjaga hati saya ketika itu adalah emak dan ayah saya. Dan di antara mereka adalah abang dan adik saya.
Meraka adalah mereka yang satu. Tidak ada tukar dan ganti. Tidak ada yang sama seperti mereka. Kerana mereka adalah permata hati. Kerana mereka juga adalah permata jiwa.
Harapannya, satu hari nanti saya dapat membahagiakan jiwa mereka. Saya dapat memberi kesenangan kepada mereka baik di dunia juga di akhirat. Ya Allah. Sayangilah kedua ibubapaku ini seperti mana mereka menyayangiku. Peliharalah kedua ibubapaku ini dari azab api neraka seperti mana mereka memeliharaku dari segala kecelakaan dan musibah di kalaku kecil dahulu. Amin.