Sunday, March 4, 2012

11
Komen
~ Warkah Cinta Buat Bonda ~

"Mama, I just want you to know I really love U." ~ Qawiem Khairi

Hari ini adalah hari yang membahagiakan dalam kehidupan saya. Siapa sangka, dengan adanya hari ini, maka adalah saya. Membesar dengan penuh kasih sayang. Dibelai dengan rasa kasih dan cinta. Diangkat menjadi seorang anak yang dilayan baik oleh ibu dan ayah. Inilah hari yang banyak memberi kesan dalam hidup saya.

Saya sentiasa yakin dan percaya bahawa kita semua mempunyai hari yang kita suka. Mempunyai tarikh yang kita cinta. Ada orang mengingati tarikh-tarikh sekian kerana pada tarikh itu adalah tarikh kelahirannya.

Ada orang lain pula mengingati tarikh-tarikh sekian kerana pada tarikh tersebut adalah tarikh kelahiran orang yang dicintai dan mencintainya. Ada satu pihak lagi mengingati tarikh-tarikh sekian kerana pada tarikh tersebut adalah tarikh perkahwinannya.

Hatta kadang-kadang, tarikh-tarikh tersebut diingati kerana berlakunya satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Mungkin berlakunya bala bencana. Mungkin berlakunya kesusahan. Mungkin juga berlakunya kematian dalam tarikh tersebut. Membuatkan kita yang bernama manusia biasa ini akan sentiasa terkenang pada tarikh-tarikh keramat tersebut.

Begitu juga saya. Dan saya juga seperti anda. Pasti akan terkenang pada tarikh-tarikh keramat itu. Yang banyak memberi pengajaran. Yang banyak menyentuh jiwa. Yang banyak membuatkan kita rasa dunia ini adalah tempat persinggahan semata-mata.  

Post kali ini, suka untuk bercerita tentang ibu kandung saya. Kerana pada hari ini adalah tarikh keramat buat ibu saya yang tercinta.


Cerita saya dan Bonda

Teringat pada mula-mula mendapat lesen memandu dahulu.

Bonda selalu berpesan kepada saya agar berhati-hati memandu. Tidak henti-henti. Tidak cukup hanya sekadar berpesan, hingga kadang-kadang menghalang saya memandu kereta.

Saya. Walaupun seorang anak, rasa tertanya-tanya kenapa tidak dibenarkan membawa kereta. Sedangkan mempunyai lesen. Sedangkan bukanlah memandu kereta dengan laju pun. Berhati-hati. Walaupun kadang-kadang laju juga. Hihi.

“Kenapa emak tak bagi Qawim bawa kereta? Qawim kan ada lesen. Mak janganlah risau.” Jiwa muda memberontak ketika itu. Bukan kerana dihalang, tetapi dipandang rendah. Itu tanggapan hati kecil.

“Mak tetap kena risau. Cuba tengok kawan Qawim yang eksiden baru-baru ni, mereka juga ada lesen kan? Tapi kenapa eksiden?” Balas bonda sederhana.

Tersentap. Ya, mereka juga ada lesen, tapi Allah menguji mereka dengan eksiden jalan raya. Otak saya seakan mengiakan apa yang dikatakan bonda. Tetapi kerana terlalu ghairah untuk memandu kereta, maka saya mencari jawapan balas agar bonda tetap melepaskan.

“Kalau macam tu rugilah duit emak. Penat-penat Qawim amik lesen, tapi tak boleh bawak kereta.” Senyum ke arah bonda. Berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

Bonda tenang. Lalu membalas. 

“Emak bukan tak bagi, tapi Qawim kena berhati-hati bila pandu kereta. Kena sentiasa beringat. Takut-takut jadi apa-apa nanti, mak ngan ayah juga yang risau.” Bersungguh bonda meluahkan.

Saya berlonjak keriangan. Itulah lampu hijau yang ditunjukkan bonda. Tetapi kerana tidak berfikir jauh akan maksud bonda, saya tidak nampak akan pengajaran dari kata-kata itu. Yang nampak adalah kebenaran untuk memandu. Itu sahaja.

Akhirnya keriangan itu tidak lama. Apabila apa yang dirisaukan bonda itu benar-benar terjadi kepada saya. Kemalangan jalan raya. Saya hanya mampu menginsafi kata-kata beliau. Sungguh, risau seorang ibu adalah risau yang istimewa. Sebagai seorang anak, kita wajib mengambil berat akannya.


Kembali seperti zaman kanak-kanak

Ya. Peristiwa kemalangan jalan raya. Saat kereta dari arah bertentangan terbang berlawanan jalan lalu menghempap ke atas kereta yang dipandu. Mula pada itu, hidup saya berulang tidak ubah seperti seorang kanak-kanak yang dahagakan belaian kasih sayang.

Mengalami kecederaan yang tidaklah terlalu serius. Patah sebelah kaki. Hampir pecah kedua-dua lutut. Berlaku sedikit kecacatan kekal sampai hari ini. Membuatkan sampai sekarang kenangan itu tidak akan mudah untuk saya lupakan.

Apa yang saya lihat, masa itu bonda adalah salah seorang manusia yang sangat-sangat risaukan. Terlantar di atas katil hospital seperti manusia yang diikat kaki dan tangan. Tidak lain dan tidak bukan, saya terpaksa dijaga seperti kanak-kanak yang tidak punya kekuatan dan keberanian.

Maka hadirlah bonda yang saya cinta. Sentiasa memberikan kata-kata semangat. Sentiasa mengingatkan kembali hikmah yang Allah ingin berikan. Hingga apa yang saya rasakan, bertuahnya mempunyai seorang ibu yang baik seperti bonda.

Sebaliknya, bonda tidak pernah untuk mengungkit pesanan-pesanannya yang telah lalu. Saya sedar bahawa apa yang dipesan bonda dahulu adalah benar-benar belaka. Tinggal saya yang tidak mempedulikan pesanan itu. Saya sayang bonda.

Kadang-kadang saya menangis seorang diri. Terfikir bagaimana nasib seorang anak yang tidak mempunyai ibu. Sekalipun ada ibu, sejauh mana ibu itu melayan anaknya? Adakah sekadar memberi makan minum? Adakah sekadar mencurahkan pendidikan dunia? Adakah sekadar memenuhi kehidupan anak seperti kehidupan anak-anak yang lain?

Tetapi saya? Boleh kata sempurna didikan bonda. Sentiasa meluangkan masa mendengar cerita. Sentiasa memenuhi kehendak saya untuk masak makanan kegemaran. Sentiasa memberikan pendidikan yang terbaik untuk saya belajar dan terus belajar. Bahkan jika saya salah, bonda adalah manusia yang akan membetulkan kesalahan.

Terima kasih bonda.


Hari ini adalah hari kelahiran Bonda Tercinta

Satu susuk tubuh yang tidak terlalu tinggi. Tidak pula terlalu rendah. Orangnya biasa-biasa. Tidak selalu kehadapan dan tidak pula terlalu ke belakang. Mudah mesra dan ceria orangnya. Itulah bonda.

Sepanjang umur saya, bonda adalah manusia yang saya cinta. Tidak ada alasan yang perlu saya berikan untuk menyangkal bahawa ibu saya adalah perempuan yang terbaik yang pernah saya jumpa.

Bonda terbaik bukan kerana ibu orang lain tidak baik. Tetapi kerana saya belum mengenal perempuan-perempuan yang saya jumpa selama ini secara mendekat. Itu sahaja. Jangan salah sangka ya.

“Bersempena dengan hari ini, hari lahir mak… Qawim mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada emak. Qawim doakan moga Allah memberi kekuatan kepada emak dan ayah di Malaysia. Moga Allah menyayangi emak dan ayah seperti mana emak dan ayah menyayangi kami anak-anak.

Ya Allah, ringankanlah beban ibuku dari segala kesulitan untuk mendidikku. Tabahkanlah jiwanya dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Tenangkanlah hatinya dalam menyelesaikan masalah yang Engkau datangkan kepada ibuku.

Ya Allah ya Tuhanku, sungguh aku sangat sayang kepada satu-satunya ibu kandungku ini. Peliharalah ibuku dari dosa dan maksiat kepadaMu. Tetapkanlah ibu dan ayahku di syurgaMu yang kekal nan abadi nanti.

Aku berdoa kepadaMu, janganlah disebabkan kesalahan dan kesilapan kami anak-anak… menyebabkan kedua ibu bapaku tidak bisa masuk ke syurgaMu. Amin ya Rab.”

Buat pembaca sekalian, tolong doakan untuk ibu saya juga ya. Mudah-mudahan doa yang sama juga untuk anda.


Akhir : Emak, Qawim minta maaf

Kepada emak, Qawim minta maaf atas segala kekurangan juga kesalahan yang telah Qawim lakukan. Pasti, Qawim akan sentiasa merindui emak dan ayah di sana.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada emak dan ayah yang banyak berkorban dan bersusah payah demi kebahagiaan dan keselesaan kami anak-anak. Bermula dari Qawim kecil sehinggalah Qawim pada hari ini.

Sungguh, hari ini terasa sepeti ingin memeluk emak dan ayah. Sedih dan sayu. Jaga diri.

Qawim di sini juga akan jaga diri. Dan akan sentiasa ingat pesanan mak dan ayah.

Sekian,
Dari seorang anak.
Qawiem Khairi.
Warkah cinta buat bondaku tercinta.



11 comments:

  1. sedih plak rase surat nie..btw, happy besday to ur mother. May Allah always bless her and grant her happiness and barakah in her life.Ameen :) *Miss my mom

    ReplyDelete
    Replies
    1. Jazakillah ya. Berbesar hati dengan komen yang ditinggalkan. :)

      Delete
  2. assalammualaikum

    ibu dan ayah tiada galang gantinya.

    Sanah helwah Bonda Qawim.

    -berkongsi tarikh lahir yang sama dgn ana,4 mac juga.

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumsalamn..

      ada yg sama tarikh lahir dgn mak ana.
      seronok. ^^

      Delete
  3. Bila berjauhan dengan keluarga baru terasanya nikmat rindu itu.
    Mg kita mampu menjadi penyejuk hati ibu bapa di dunia dan akhirat.

    Wallahu`alam.

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
    Replies
    1. Itu salah satu kelebihan yang baru ana perasan. Rasa rindu yang tidak berbelah bagi kepada keluarga di sana. Apatah lagi ibu dan ayah.

      Syukran lak.

      Delete
  4. Eidul Milad Ibu Qawiem...,,

    ReplyDelete
  5. assalamualaikum- kecintaan anda kepada bonda anda hanya akan terbukti bila anda dipuncak jaya dan ibu anda sedang mengalami fasa ketuaan yang memerlukan anda menjaga sebagaimana dia menjaga anda ketika kanak-kanak
    (masa pikun). wallahuallam.

    ReplyDelete