 |
Jagalah harga diri sebelum ia terbang pergi. |
Islam mengharamkan umatnya mendedahkan keburukan orang lain apatah lagi mendedahkan keaiban diri sendiri.
Masyarakat islam yang hakiki adalah masyarakat yang menjaga maruah idividu, menyembunyikan keaiban manusia dan menghormati hak serta keistimewaan sebagai makhluk yang paling mulia ciptaan Allah SWT.
Maruah peribadi diri sendiri dan individu lain merupakan satu hak anugerah Allah kepada setiap manusia yang tidak boleh sekali-kali diaibkan, dicerobohi dan didedahkan kepada umum.
Hanya manusia yang buruk akhlak, keji perilaku serta 'longkang' cara pemikiran sahaja yang sanggup mendedahkan maruah diri di hadapan orang ramai. Oleh sebab itulah islam mengharamkan mengumpat, mengeji, mencela dan merendah-rendahkan martabat orang lain.
" Ala.. Engkau cakap je kemas. Padahal engkau tu lebih teruk dari aku."
" Woi ustazah! Tak payahla nak nasihat-nasihat orang. Kau pun dua kali lima."
Wah. Lancang sungguh mulut kalian ya. Macam neraka itu ayah menakan kalian yang punya. Macam mati itu sudah diketahui bila masanya. Kesian. Wahai hati yang sakit, usahlah mendabik dada dengan nasihat yang dicurahkan. Usahlah membenteng ajakan kebaikan dengan ego yang berpanjangan. Kerana kita akan pulang satu hari nanti dengan amalan. Tidak takutkah wahai hati yang berjiwa insan?
Nampak macam kuman tetapi gajah
Adakah tentang kuman dan gajah yang akan kita bincangkan hari ini? Tidak sama sekali. Ia hanya sekadar analogi ringkas sebelum kita berlayar dengan lebih jauh.
Perasan atau tidak, orang yang mendedahkan aurat sama ada secara langsung atau dalam laman sosial umpama orang itu membuka keaibannya. Mendedahkan aurat dengan kata lain menayang keaiban maruah adalah dosa sedangkan Allah SWT memerintahkan kita menutupnya.
Sekalipun kita melihat perkara tersebut kecil, tetapi apabila membabitkan pelanggaran arahan Allah maka ia adalah perkara besar yang perlu diberi perhatian. Bukan perhatian anda. Bukan perhatian saya. Tetapi perhatian kita semua. (",)
Berapa banyak perkara yang dilihat sebagai enteng atau kecil oleh manusia namun di sisi Allah SWT adalah dosa besar.
Firman Allah SWT :
"Dan kamu pula menyangkanya perkara kecil padahal ia di sisi hukum Allah adalah perkara yang besar." - (An-nur : 15)
Nampak. Begitu jugalah seseorang yang menutup aurat daripada pandangan umum namun mendedahkan aurat melalui laman sosial atau sewaktu dengannya, lalu menganggap perbuatan sebegini tidak salah dalam masa yang sama mengharap syurga maka harapannya ibarat mengejar fatamorgana di gunung sehara.
Kerana salah dan dosa dikira sama sahaja hukumnya sama ada mendedahkan aurat secara terang-terangan atau dalam laman sesawang. Bahkan melalui laman sesawang juga kadang-kadang lebih menimbulkan fitnah dan membangkitkan nafsu syahwat.
Cuba kita tanya sendiri. Untuk apa kita meletakkan gambar kita dengan gaya serta style yang menggoda dan menarik perhatian ramai? Untuk minta pujian orang? Untuk menunjuk kepada semua bahawa kita adalah gadis melayu terakhir? Untuk membuktikan kesungguhan kita mensyukuri nikmat Allah? Atau inginkan populariti murahan dengan rupa yang mengujakan? Jawapan yang sebetulnya hanya anda yang tahu.
Cuma saya secara peribadi ingin mengkhabarkan satu perkara. Sedarlah bahawa 'kalian' yang memegang rupa paras sebagai seorang wanita juga menjalani setiap detik kehidupan sebagai kaum hawa, sebenarnya kualiti dan harga kalian tersangat-sangat mahal. Tidak mampu dibeli oleh mereka yang miskin akhlak dan iman. Tetapi mampu dimiliki oleh mereka yang kaya peribadi dan sejahtera ikatan pergantungan kepada Allah.
Yang kesiannya sekarang, ramai yang tidak faham akan hakikat fitrah ini.
Lihat pada epal teliti pada jam tangan
Berhenti sejenak ayuh fikir bersama. Buah epal yang manis dan berlemak. Tinggi di pucuk keberadaannya. Tersangat susah untuk digapai oleh mereka yang berjiwa kecil. Tersangat payah untuk dipetik oleh mereka yang bermalas-malasan berusaha. Tersangat rumit untuk dicapai oleh mereka yang tidak bersungguh-sungguh dan mempunyai keberanian yang jitu.
Tiba-tiba epal yang manis dan berlemak itu mengambil keputusan untuk menjatuhkan diri ke atas tanah. Dengan harapan senang untuk orang ramai mengutipnya. Tidak perlu susah-susahkan mereka yang mahu merasai kelazatannya. Tetapi bila dan jatuh, yang terjadi adalah sebaliknya. Buah tadi semakin lama semakin hambar. Kesegarannya hilang. Isinya sudah mula ditebuk satu persatu oleh ulat buah. Baunya sudah tidak menyelerakan lagi. Akhirnya adakah buah epal itu masih digilai ramai?
Maka, bersabarlah menanti pemuda yang akan menawan hati kamu. Oleh kerana tempat kamu tinggi, tidak bermakna tidak ada yang mahu, cuma yang perlu kamu yakini bahawa hati kamu akan ditawan oleh pemuda yang berakhlak tinggi. Kerana mereka sahaja yang mampu.
*****
Perhatikan pula pada jam tangan. Contoh terdekat, jam tangan yang anda sedang pakai sekarang. Masih ingat bagaimana keadaannya semasa anda membeli? Di manakah ia berada ketika itu? Berbungkus di dalam pelastik kecil lut sinar? Terbiar di atas meja? Disangkut pada penyangkut buatan tauke kedai? Di lekat pada dinding kedai? Atau di dalam cermin kaca?
Tahulah satu perkara yang mana jam tangan yang hanya berada ditempat terdedah mampu disentuh oleh orang ramai. Sama ada pelanggan itu ada duit, tidak ada duit, budak-budak, orang miskin, hatta pengemis jalanan sendiri mampu menyntuhnya. Kadang-kadang bukan setakat sentuh, malah disarung terus ke pergelangan tangan. Kononnya mahu mencuba. Walhal poket kosong.
Wah. Betapa murahnya kualiti dan harga jam itu ya. Boleh main 'touch and go' pula.
Tetapi cuba teman-teman perhatikan pada jam tangan yang ada di dalam cermin kaca. Bukan sahaja tertutup, bukan sahaja dijaga dengan rapi, bukan sahaja disapu dan digilap hingga berkilat secara berkala, bukan sahaja harganya mahal yang telah menjadi kemestian, tetapi jam itu juga dijeling-jeling oleh para hartawan. Diintai-intai oleh para jutawan.
Senang cerita bukan semua orang boleh memilikinya. Hanya yang mampu dan berkelayakan sahaja yang bisa mendapatkannya.
Amacam? Jika kita adalah jam tangan yang sedang dijual, di mana tempat kita agak-agak? Tepuk dada, tanya iman dan senyumlah.
Apa yang ditulis samalah seperti diucap
Kemajuan sains dan teknologi yang semakin pantas dengan berbagai-bagai peralatan moden sebagai penghubung kepada manusia merupakan suatu fenomena dan realiti yang perlu diakui. Semuanya seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Namun begitu, kebaikan dan keburukannya adalah bergantung kepada kita sebagai pengguna bukannya kepada peralatan itu sendiri. Kita tetap diberi ganjaran pahala sekiranya kita menggunakan kamajuan teknologi tersebut untuk manfaat serta kebaikan kepada orang lain.
Dalam masa yang sama, kita juga perlu tahu dan faham. Bahawa berdosa tetap berdosa jika sekiranya kemajuan teknologi ini digunakan sebagai perantaraan untuk menipu dan memanipulasi pemikiran menusia dengan berbagai-bagai bentuk penyebaran fitnah serta lucah.
Apa yang ditulis, dicatat serta diulas hukumnya tetap sama sebagaimana yang diungkap dan diucapkan dengan lidah.
"Tiada sebarang perkataan yang dilafazkan atau perbuatan yang dilakukan melainkan terdapat di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia menerima dan menulisnya." (Qaaf : 18)
Allahuakhbar. Bukan kata anda, saya sendiri juga senantiasa lupa akan hal ini. Moga Allah memberi kita peluang untuk berubah menjadi baik.
Balik pada perbincangan kita tadi. Apabila kita menyentuh soal laman sesawang, wajarlah untuk kita tahu bahawa setiap bunga-bunga bahasa, uslub yang diutarakan, cerita yang dikhabarkan, gaya bahasa yang dimainkan, gambar-gambar yang dipaparkan sesungguhnya melambangkan keperibadian serta pemikiran empunya diri itu sendiri.
Apa yang ditulis, itulah yang difikirkan. Apa yang dicatat maka itulah yang diyakini dan apa yang dipaparkan itulah bentuk pemikiran si penulis. Andai bahasanya 'hentam kromo', beerti si penulis itu tidak pandai mengurus diri. Andai cara dan kaedah susun atur ayat itu berbaur kelucahan maka ia mencerminkan 'keparitan' dan kekejian pemikiran empunya penulisan itu.
Sebab itu, saya sebagai penulis yang baru merangkak meningkat naik untuk menjadi penulis yang hebat senantiasa takut untuk meneruskan langkahan dalam bidang ini. Takut di sini bukan bermakna untuk saya menjadi seorang yang pengecut dan menghentikan penulisan, tetapi untuk saya lebih berjaga-jaga dengan bait-bait coretan yang dilakarkan.
Yalah. Yang pertama penulis itu pasti akan dipertanggungjawab akan apa yang ditulis. Akan ditanya Allah di sana nanti. Benar atau tidak apa yang ditulis? Untuk apa menjadi penulis? Semuanya akan disoal. Yang kedua, seperti yang saya katakan di atas dengan penulisan ini juga anda secara tidak langsung sudah mengenali diri saya. Di situ, anda sudah mampu menilai siapa saya dan bagaimana cara saya berfikir. Walaupun kita tidak pernah bersua dan berkenalan. Lihat.
Dua perkara ini sudah cukup untuk membuatkan saya senantiasa berhati-hati sebelum memaparkan sesuatu perkara. Itu belum dikira kemahiran menulis, ilmu di dada cukup atau tidak, tingkah laku di alam realiti dan sebagainya. Huh. Jangan pandang sebelah mata bidang ini.
Silap gaya boleh berperang dibuatnya. (",)
Akhir : Ia tidak berhenti di dunia malah akan ditanya di sana
Sebagai kata-kata akhir, sama-samalah kita menjaga diri dan maruah kita.
Individu yang menulis dalam apa jua bentuk penulisan sama ada buku, majalah, blog atau laman sosial yang lain tetap akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak. Semua yang ditulis dan ditatap oleh manusia sama ada kebenaran atau kepalsuan pastinya akan mendapat belasan pahala atau dosa, neraka atau syurga.
Orang beriman asasnya adalah akal sebelum lidah sementara orang munafik pula lidah sebelum akal.
Oleh itu, maruah diri harus diutamakan. Hal ini kerana kemuliaan keluarga bermula daripada akhlak peribadi individu manakala ketenteraman serta keharmonian masyarakat bertitik tolak di atas kesedaran dan keinsafan seluruh keluarga.
Untuk beramal dengan tuntutan islam maka seseorang individu Muslim seharusnya memiliki tiga perkara asas utama iaitu kefahaman, istiqamah dan juga kesabaran. Faham dengan agama yang dianuti bukan hanya mengikut, istiqamah yang berterusan dengan perintah dan larangan Allah serta sabar yang benar demi mengharapkan keredhaan Allah. Strike!
Alhamdulillah. Mungkin itu sahaja perkongsian untuk hari ini. Segala huruf yang tersusun rapi di atas jika ada kesalahan dan keterasaan hati, saya minta maaf dan mohon ampun kepada Yang Maha Esa. Mudah-mudahan setiap langkahan kita mendapat kebaikan dengan perubahan yang ingin kita lakukan. Berubahlah dengan keazaman. Yakinlah pengakhiran adalah kemanisan! (",)
Saya sangat-sangat syorkan untuk anda klik laman ini.
" Brohamzah : FB menguasai atau dikuasai