Tuesday, May 31, 2011

9
Komen
~ Ceria : Lautan Rabbani Kembali Bercahaya ~

Hati gembira. Jiwa senang hati. Senyum ceria. Kasih terus meniti. (",)

Assalamualaikum teman-teman sekalian.

Apa khabar kehidupan kita? Moga bahagia dan menangis sentiasa ya. ^^

Alhamdulillah. Selayaknya dipanjatkan tangga-tangga kesyukuran kepada Allah atas kesudian memberi lagi kesempatan buat saya melayarkan tinta di laut ini. Pejam celik pejam celik hampir tujuh hari Lautan Rabbani tidak pasang airnya.

Kemeriahan sedikit sebanyak pasti menurun. Maka para pelawat yang ingin mendapatkan sesuatu di laut ini mungkin tidak ada hasil yang mampu dibawa pulang. Kesannya, berkuranglah para pelancong, para pekunjung dan pendatang asing yang ingin bersantai dan berehat di sini.

Oleh itu, saya menyusun sepuluh jari dari yang kelingking kanan terus ke kelingking kiri memohon maaf kepada anda terutamanya yang tidak jemu-jemu untuk melayarkan 'page' Lautan Rabbani di hadapan skrin laptop anda.

Saya tahu.. setelah diamati dan diselami walaupun sudah enam hari lebih tidak di'update' tetapi masih ada insan-insan yang kesian akan saya. Mereka tetap berkunjung ke sini. Mereka tetap meninggalkan jejak di sini. Terharu gitu. Tembakan doa buat kalian. Moga Allah sayang.

Masalah apa sebenarnya?


Pasti ada yang bertanya.. apa masalahnya ni? Jadi bagi yang bertanya, ini jawapannya.

Sebenarnya bukanlah saya tidak mahu menghadirkan post baru, juga yang meninggalkan jejak. Bukan saya tidak mahu membalas jejakan anda, cuma saya tidak mampu berbuat demikian disebabkan saya sendiri tidak mampu mengawal laman ini.

Entah. Mungkin sebab 'tak pro' dalam bidang komputer menyebabkan saya sendiri tidak mampu 'sing in' Lautan Rabbani. Kena belajar banyak benda lagi nampak gayanya. Apapun dengan izinNya, hari ini ia akan kembali bercahaya.

Huh. Enggak usah dikerap-kerapkan problemnya. Bikin ngalir air mata gini. ^^

Akhir : Penghargaan kepada 'master'


Aha. Master apa ya?

Pada saya dia adalah master. Ringkas namanya Ahmad Nabil yang banyak membantu. Dalam mengatasi kekurangan laman Lautan Rabbani, Nabillah yang sentiasa mengajar itu dan ini kepada saya.

Kalau anda nak tahu juga, header Lautan Rabbani di atas teman saya inilah yang design. Walaupun kelihatan agak biasa tetapi bagi saya ia adalah noktah bidayah atau dalam bahasa 'Nujum Pak Belalang' titik permulaan untuk blog ini berlayar dengan lebih jauh. InsyaAllah.

Jadi terima kasih kepada Nabil. Jasamu sentiasa dikenang bro. Allah yubarikfik.

Sebagai penutup kata-kata saya di post ini, ingin saya mengkhabarkan sesuatu buat anda. "Mari mencari hikmah di sebalik kejadian yang menerjah". Sekian.

Tuesday, May 24, 2011

10
Komen
~ Santai : Belajar Jadi Penyantun ~

Ceria-ceria sahaja sementara ianya masih belum senja. ^^
Assalamualaikum buat tetamu Lautan Rabbani. Apa khabar? Moga sihat-sihat sokmo ya.

Aha. Kali ini tidak ada artikel yang perlu dibaca. Tidak ada tontonan nasihat yang perlu didengar. Juga tidak ada apa-apa yang perlu diperada-adakan.  

Cuma saya berhajat untuk belajar menjadi penyantun. Anda tahu apa itu penyantun?
Maksudnya orang yang mendeklamasikan pantun sama ada empat kerat, enam kerat atau beberapa kerat yang diinginkan oleh penyantun. - Hanya rekaan semata-mata. Haha. ^^ 

Oleh itu, izinkan saya berpantun. Sudah tidak sabar rasanya diri ini. Sambutlah...

Berlari-lari di tepi pantai,
singgah berteduh setelah penat,
di Lautan Rabbani irama santai,
menjual pantun buat yang berminat.

Tanam rambutan tumbuhnya kelapa,
terbit bunga pucuknya mati,
selautan terima kasih kepada anda,
yang sudi berteduh di Lautan Rabbani.

Terbang bebas si rama-rama,
disambar katak berbaju kemeja,
walaupun kita tidak bersua,
biarlah hati tetap bersama.

Bintang dipetik untuk kau simpan,
simpanlah ia di dalam taman,
kehadiran anda penyeri kehidupan,
walaupun datang tanpa senyuman.

Anak rusa turun berkubang,
terbang tinggi di atas awan,
andai bintang mampu ku pegang,
akan ku hadiah kepada kalian,

Tumbuh membesar ayam serama,
tidurnya sedap di dalam reban,
komenmu pembaca saya terima,
teguh bertakhta dalam ingatan.

Paku dulang pakunya berkarat,
mahu dibuang sudah terlambat,
saya bukan penulis hebat,
cuma ingin menjadi hebat.

Ayam berkokok di atas tanah,
cari makan di waktu hujan,
andai ada silap dan salah,
moga kalian sudi maafkan.

ulik mayang beralun sampan,
sampan di beli di kedai Pak Leman,
buat pembaca saya doakan,
moga Allah sayangkan kalian. 

Sekian.
~ Pelaut Rabbani ~

Hah. Anda bagaimana? 
Tidak mahu sambutkah pantun di atas?
Atau tidak pandai.. jangan tipu. Saya tahu anda lebih hebat dari saya. (",)
Jadi, silakan.. saya juga mahu mendengarnya. ^^ 

Sunday, May 22, 2011

22
Komen
~ Sahabat : Bingkisan Perpisahan ~

Kita akan bahagia bila kita di atas jalanNya sahabat. ^^
Adakalanya kita akan bersama. Begitulah sebaliknya. Perpisahan akan datang juga sebagai pengukuh ukhwah.

Hari yang sudah dijangka akan perpisahan itu bakal berkunjung tiba.Yang rasa akan manisnya pertemuan pasti tidak mahu menempuhnya.Tetapi kita bukanlah sesiapa. Yang mahu memutar alam ini mengikut kehendak peribadi. Dari yang sedih mahu sentiasa gembira. Dari yang sakit mahu sentiasa sihat. Hatta dari yang berpisah mahu sentiasa bersama.

Kerana ia adalah kitaran alam yang setiap kejadiannya diiringi hikmah pembias cara. 

Buat pembaca budiman, hari ini jiwa saya diulik rasa gelora. Akan perpisahan satu ikatan persaudaraan yang telah terbina atas dasar ukhwah. Sungguh, ia sangat memeritkan walaupun hanya beberapa seketika.

Salman : Sedikit tentangnya


Nama diberi Muhammad Salman B Sukri. Dengan panggilan Salman saya memanggilnya. Utan Aji Perlis adalah tempat teman saya ini membesar. Bersekolah di Ma`had Attarbiyah Al-islamiyah iaitu Matri jodoh kami dipertemukan.

Umurnya berapa bro? Jika melihat kepada haribulan, umurnya baru empat tahun. Sebab... tarikh lahir Salman adalah pada 29 Februari. Tetapi melihat kepada tahun, umurnya sudah mencecah sembilan belas.

Boleh dikatakan pembinaan Laman Lautan Rabbani ini mempunyai sumbangan dan jasa besar daripadanya. Cerita bermula seketika saya diuji dengan kemalangan jalan raya. Dialah manusia pertama yang saya khabarkan sebelum menjuruterakan blog ini.

Berbekal sokongan darinya, maka terhasillah Lautan Rabbani salah satu dari jutaan pondok yang wujud di alam maya ini. Alhamdulillah.

Semasa saya di tingkatan satu, Salmanlah antara insan yang paling akrab. Tercalonnya kami dalam ahli jawatan kuasa hostel dibawah biro yang sama, dilantik menjadi pengawas sekolah pada tahun yang sama hatta terlibatnya kemalangan jalan raya, yang terpilih adalah kami berdua ma.

Itulah yang orang selalu kata, jodoh pasti tak kemana. ^^

Kemalangan yang terjadi : persahabatan mesti abadi


Antara faktor pondok Lautan Rabbani diwujudkan adalah untuk mengisi masa lapang ketika saya tidak mampu bergerak bebas semasa sakit. Yang menjadi peneman setia katil sepanjang tempoh pemulihan. Subhanallah. Ia cukup membosankan, menjemukan dan meletihkan.

Dengan itu, tidaklah masa dipersia-siakan apabila laman ini lahir. Setiap apa yang dirasai pasti akan saya kongsikan sebagai luahan rasa hati. Maka Salman adalah pengkomen tegar yang banyak memberi nasihat dan sokongan di awal kelahiran Lautan Rabbani ketika itu.

Aneh kepada kemalangan yang menimpa - ramai yang bertanya apa hikmahnya? Jawab saya ringkas, ia adalah bonus bagi kami.

Terfikir juga sejenak beberapa kali dalam hidup saya. Kenapa mesti Allah takdirkan kemalangan itu adalah ketika saya bersama Salman? Sedangkan Sebelum itu sudah ramai teman-teman yang lain pernah saya tumpangkan.. Ada yang menjawab. Allah izin bro. Tetapi pada saya ia tetap ada hikmah.

Di situ saya seakan bertanya sendiri. Maka simpulan mati yang boleh saya katakan, mungkin Allah ingin menguji ukhwah kami setelah enam tahun bersama. Serta ukhwah kami dengan sahabat yang lain. Yalah, bila kita sihat ramai yang datang menghampiri.

Tetapi apabila kita sakit, siapa yang datang? Ketika kita ada masalah, siapa yang bimbang?

Di situ saya dapat jawapannya. Bahawa berukhwah serta bersahabat itu bukan manisnya pada mulut yang menuturkan, tetapi pada amal yang penuh pengorbanan.

Kenapa saya ceritakan tentang Salman?


Pembaca-pembaca sekalian,

Sebenarnya teman saya ini akan mendaftarkan dirinya di Kolej Matrikulasi Perlis pada 23 haribulan Mei 2011. Sepatutnya Salman sudah tamat pengajiannya di kolej itu beberapa bulan yang lepas. Tetapi akibat kemalangan yang menimpa, pengajiannya terpaksa ditangguh ke tahun seterusnya.

Dan tahun itu adalah pada tahun ini. Maka saya akan berpisah dengannya tidak lama lagi. Dia akan menerus langkahannya di arena akademik sebagai pelengkap kehidupan dengan ilmu di dada.

Tiba-tiba sedih seakan meronta. Sebak seakan meminta. Hiba seakan menikam hati ini. Itulah yang saya rasa. Kenapa?

Air mata hati mengalir.. terus dan terus.

Penangan ukhwahmu cukup berkuasa. Walaupun ketika bersua ia hanya biasa.

Jaga dirimu teman - jadi kumbang yang baik


Salman. Ingatlah akan perjalanan kita yang masih jauh. Disebabkan ia jauh, maka kita tidak tahu bagaimana penghujung kehidupan kita. Sama ada kita akan pergi sebagai singa yang melakar sejarah atau rusa yang tidak berpandu arah.

Penentunya adalah diri kita yang berhajatkan kepada sesuatu itu baik atau sebaliknya. Moga satu hari nanti enta keluar dari tempat itu sebagai seorang pemuda yang hebat. Yang meletakkan islam sebagai pakaian jasmani dan rohani. Amin.

Balik kepada kumbang yang baik. Itu juga perlu berhati-hati. Nikmat yang wujud pada enta di zaman muda ini adalah rupa yang tidak kalah. Berkali-kali pernah enta tanya pada ana tentang soalan ' itu ' apabila melihat cermin. Tetapi yakinlah yang baik itu ada apabila yang dalam itu baik juga. ^^

Gunalah kelebihan yang ada untuk mendekatkan diri pada Allah. Jangan dipersia-siakan keistimewaan yang Allah bagi itu untuk perkara yang tidak mengundang redhaNya.

Belajar bersungguh-sungguh. Jangan tinggal sembahyang. Jangan lupa kami. Begitu jugalah jangan sisihkan kami dari kehidupan enta. Kita tetap akan berjumpa selagi mana nyawa tidak dikerongkongan. InsyaAllah.

Mengenali enta adalah hadiah yang bermakna. Terima kasih Man.

Akhir : Minta maaf atas kekuranganku

Menyusun sepuluh jari meminta maaf kepadamu. Sepanjang peredaran kehidupan ini ada menyakitkan hati, tersilap bicara, terlebih garam dalam berjenaka dan yang berkaitan dengannya.

Moga dimaafkan kesilapan ini.

Wakil kepada sahabat-sahabat kita, minta maaf juga jika ada ketidak adilan semasa kita bersama. InsyaAllah satu hari nanti kita akan balik. Masing-masing akan balik selepas keluar bermusafir ilmu. Mudah-mudahan baliknya kita nanti lebih hebat dari sebelum berpisah. Amin.

Jaga dirimu sahabat.

Sekian,
Pelaut Rabbani

Friday, May 20, 2011

22
Komen
~ Al-Fateh : Kata Penamat! ~

Currently reading ~ mengagumkan !

" Pulang kembali kepada rajamu. Khabarkan kepada rajamu Sultan Uthmaniah sekarang berbeza dengan datuk-datuknya yang terdahulu. Khabarkan kepadanya aku mempunyai keazaman yang dasyat. Mengatasi keazaman moyangku. Padaku juga ada kekuatan yang lebih kuat daripada kekuatan moyangku. Kesemua ini supaya aku menawan konstantinopel. Kamu semua boleh pulang sekarang dengan selamat. Aku tidak melayan sesiapapun lagi yang memujuk aku melainkan aku membunuh sahaja mereka. "

Kata-kata Sultan Muhammad Al-Fateh kepada utusan Maharaja Kostantine.

Keazaman yang dasyat itu - 70 buah armada perang mampu berlayar di atas daratan pergunungan. 

Sehingga terukir sendiri pujian daripada ahli sejarah Byzantine.
" Tidak pernah kami lihat ataupun dengar hal seajaib ini. Muhammad Al-Fateh menukar darat menjadi lautan dan melayar kapal di puncak gunung, bukannya di ombak lautan. Sungguh Muhammad Al-Fateh dan usahanya itu mengatasi Maharaja Dunia Alexender The Great. "

Subhanallah. 

Apabila sang bintang tahu akan kedudukan sebenarnya, pasti cahayanya memberi petunjuk.

Moga sedikit ungkapan hikmah yang dikongsikan ini mampu memberi kita keyakinan yang kita tidak keseorangan. Bahkan andai jalan ini yang kita ambil dan lalui sesungguh-sungguhnya, satu hari nanti kita akan  jumpa kemanisan bahagia yang mengasyikkan. 
Amin. 

Tuesday, May 17, 2011

16
Komen
~ Hati Dah Macam Longkang ~

Hati-hati dengan hati yang busuk. 


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum wbt.

Apa khabar rakan-rakan dan teman-teman sekalian? Bagaimana dengan hari-hari yang dilalui?
Mudah-mudahan perjalanan kita sentiasa dibawah naungan rahmat dan kasih sayangNya. Amin.

Melihat kepada entry yang lepas dengan tajuk menarik iaitu ' Sakit Hati Aku! ', bukanlah beerti tajuk itu menggambarkan tentang lahiriyah hati. Tetapi membawa maksud kesakitan hati yang secara batiniyahnya kita tidak nampak dengan kaca mata jasmani.

Segala-galanya kerana hati yang asalnya bersih, putih dan suci itu telah lemas dalam longkang maksiat yang tidak berpenghujungkan kebahagiaan yang hakiki. Bahkan ia diselimuti lumut-lumut dosa yang menjijikkan.

Oleh itu, timbul persoalan yang bertanyakan kepada saya. Bagaimana hendak membersih hati?

Agar kesegarannya kembali menyuburkan amalan kebaikan..

Bersihkan bintik-bintik hitam di hati


Setelah saya mencari di buku pilihan, ada beberapa yang mampu saya kongsikan sebagai 'sabun detol' dengan kata lain pencuci yang mampu mendapatkan hati yang bersih dan tetap hidup. ^^

Yang pertama - selalu berzikir kepada Allah.

" Alah, yang ni aku dah tahula bro! ".

Hah, kalau dah tahu amalkanlah. Barulah dinamakan pokok yang berbuah. Barulah dinamakan kereta yang berstereng. Kita ini kadang-kadang ilmu banyak. Tetapi dalam bentuk amalannya umpama basikal yang tidak beroda. Betul tak? (",)

Dengan berzikir hati terus-menerus mendapat kekuatan dari Allah. Jiwa seakan lapang dan jernih. Pahala juga menghampiri sedikit demi sedikit. Subhanallah. Saya juga masih memburunya. Moga Allah istiqamahkan amalan ini dalam kehidupan kita. Amin.

Sabda Nabi :

“ Tidaklah seseorang manusia mengamalkan satu amalan yang lebih menyelamatkan dirinya dari azab Allah iaitu dengan Zikrullah.” (Rujuk: Sahihul Jami’, no. 5644, oleh al-Albani)

Yang kedua - Merenung dan mengkaji kekuasaan Allah. 


Bagaimana caranya? Mudah sahaja. 


Izinkan saya membawa contoh. Pernahkah kita terfikir akan kekuasaan Allah menjadikan pokok-pokok di atas muka bumi ini dengan berlainan dan bermacam jenis daunnya. Saya berani kata bahawa daun-daun yang mekar di atas muka bumi ini tidak ada satu pun yang serupa. Walaupun ia datang dari pokok yang sama. Setuju?


Ya. Ada juga yang kadang-kadang kita nampak sama tetapi cuba lihat pada urat dan warnanya. pasti disitu akan timbulnya ketidaksamaan. 


Begitu juga dengan tubuh badan kita. Perhatikan pada gigi. Tumbuhnya ia ada maksimum. Tetapi kuku? Andai tidak dikerat pasti meleret dibuatnya. Bulu mata? Rambut? Apa yang anda boleh katakan untuk menunjukkan kehebatan Al-Khaliq? Dan banyak lagi.


Di situ secara tidak langsung hati kita seakan menterjemah hikmah daripada segala sesuatu di sekeliling. Dengan hikmah yang kita dapat itulah, hati akan sentiasa hidup dan bebas dari segala penyakit.


Saya tahu. Anda lebih hebat tentang hikmah-hikmah kejadian ini. Kongsi-kongsilah di sini. Agar kebaikannya dirasai semua. Bolehkan? ^^


Yang ketiga - beribadat dengan ibadat yang terbaik.


Apa maksudnya?

Begini. Sekalipun diri kita ini wajib menunaikan solah lima waktu, pernahkah kita terfikir untuk mengkhusyu'kannya? Kita baca Al-Quran. Pernahkah kita mentadabbur pengertiannya? Mengamalkannya?

Maknanya.. ibadat yang kita lakukan seharusnya ada peningkatan dari semasa ke semasa. Dari yang sekecil-kecil amal hinggalah ke sebesar-besar amal. Hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Bukan kata anda, saya sendiri juga masih susah untuk melakukannya. Apakan daya, kerana syurga itu kejadiannya dipagari dengan perkara yang tidak disukai syahwat. Adapun neraka senantiasa dipagari dengan perkara yang disukai syahwat.

Kerana itulah setelah Allah memerintahkan malaikat Jibrail melihat neraka, kata Jibrail aku khuatir tidak ada seorang pun yang mampu terlepas dari diseksa dalam azab api neraka. 

Jadi, sama-samalah kita tingkatkan kualiti ibadah kita. Dari satu tahap ke satu tahap yang lebih tinggi.

Akhir : Islam adalah Anugerah

Teman-teman pembaca budiman,

Islam dan iman yang bertapak di hati bagaikan tanaman yang tumbuh dan berkembang dengan baik. Seharusnya kita pelihara, pupuk dan jauhkan daripada pelbagai penyakit yang merosakkan. Apabila dibiarkan, kualiti kesuburan islam dan iman kita akan berkurang dan itulah yang banyak berlaku kepada sanak saudara kita.

Oleh itu, langkah-langkah memelihara, menyubur dan menjauhkan daripada pelbagai ancaman penyakit perlu konsisten dalam melaksanakannya. 

Mudah-mudahan kita mampu menjadi hamba Allah yang sejati, barulah akan bahagia di akhirat nanti.

Wallahu'alam. (",)

Mungkin sebagai tambahan, anda boleh berlayar di laman ini. Klik. - BroHamzah : Merotan Hati

P/s : Segala yang tercoret adalah untuk peringatan diri dan muhasabah. 

Sunday, May 15, 2011

10
Komen
~ Sakit hati Aku! ~

Bila bertanya soal hati, yang membicaranya adalah mulut. Benarkah ia lahir dari hati? ^^
Alhamdulillah.

Berkesempatan lagi untuk saya pada kali ini menulis.

Terasa lama tidak menulis membuatkan pergerakan jari-jemari yang mulus ni kelihatan lambat sedikit untuk menari. Haha. Tetapi tidak menjadi masalah pun. Sebab kata orang hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Betul tak? Saya tahu, anda lebih hebat lagi pasal peri-peri bahasa ni. ^^

'Actually' atau dalam bahasa melayunya 'sebenarnya', saya bukanlah tidak mahu menulis. Cuma bila saya hendak 'sign ini' blog laman Lautan Rabbani, terus keluar page 'blog service' apa entah. Jadi terpaksalah saya menunggu detik-detik yang diizinkan oleh Allah untuk meng'update' blog. 

Dan Alhamdulillah, detik-detik itu Allah perkenankan pada saat ini. 

Hati sama merah, rambut lain-lain

Inilah yang selalu orang sekarang ungkapkan. Yalah, hati sama merah rambut lain-lain. Ada orang rambutnya pacak. Ada orang rambutnya ada ekor. Senangkata semuanya ada 'style' tersendiri. Tidak lain dan tidak bukan dengan alasan - zaman moden kot. 

Saya hanya mampu tersenyum. Nanti katanya kita ini ketinggalan zaman pula. 

Sedar atau tidak apabila kita menyentuh tentang rambut, pernahkah kita terfikir yang semua itu adalah apa yang lahir dari hati. Yang dalamnya tersemat kemas cahaya keimanan andai tidak ditutupi bintik-bintik maksiat yang menjijikkan. 

Saudara dan saudari sekalian,

Kunci kejayaan dan kebahagian seseorang terletak pada hati. Tidak peliklah apabila kita seringkali menutur perkataan 'senang hati'. Apabila hati kita baik, maka baiklah seluruhnya dan begitu juga sebaliknya. Hati adalah penentu kualiti diri seseorang. Oleh kerana itu, bagi memperbaiki manusia secara keseluruhan terletak pada keberkesanan kebaikan hatinya.

Alangkah bahayanya apabila kita menghadapi orang yang gagah dan kuat tetapi hatinya jahat. Kita bersua dengan insan yang cantik dan kacak tetapi hatinya busuk. Kita bersama dengan manusia yang cerdik juga pintar tetapi hatinya dipenuhi dengan karat-karat perosak. 

Akhirnya, tidakkah pengakhiran bagi semua ini adalah kemusnahan dan kebencian?

Huh. Bagi yang melalui pasti merasai dan menjiwai akan keperitannya. 

Berhati-hatilah dengan hati yang sakit dan mati.

Ikhlas bukan lahir dari akal yang cerdas

Menjadi kewajipan untuk kita tahu tentang ikhlas. Kerana ia adalah penentu samada amalan itu tinggi kualitinya atau hanya serpihan debu yang berterbangan. Apa kaitan dengan hati? 

Akal cerdas. Sihat tubuh badan. Sekali pun ada kuasa seperti makhluk Allah yang bergelar 'Superman', belum tentu mempunyai tahap keikhlasan yang mapan. Kerana apa?

Kerana ikhlas bukan lahir dari akal yang cerdas, bukan lahir dari tubuh badan yang sihat dan sebagainya. Tetapi ikhlas akan menjadi pelangi yang indah di saat ia lahir dari hati yang sihat - putih, suci, bersih dan bebas dari kekotoran dosa.

Segala pekerjaan kita dinilai daripada amalan hati. Itulah kaitan amalan dengan pekerjaan hati. Apabila niat ikhlas hanya kerana Allah semata-mata, amalan kita tadi akan menjadi mahal di sisi Allah.
Apabila niat kita terpesong bukan kerana ingin mendapat keredhaan Allah tetapi untuk mendapat pujian ataupun bagi menyaingi orang lain, amalan kita sudah tidak ada nilai dan menjadi tidak beerti lagi.

Ketahuilah kewujudan niat itu terletak pada hati. Hati yang bersih akan menghasilkan niat yang ikhlas. Daripada niat yang ikhlas akan muncullah kekuatan yang begitu besar yang mana kekuatan syaitan sendiri tidak mampu mempengaruhinya.

Kekuatan orang yang ikhlas inilah yang perlu kita capai. Oleh itu berusahalah membersihkan hati. (",)

Akhir : Tersimpannya iman dalam laci HATI

Aha. Panjang-panjang yang anda baca, inilah yang mahu dikhabarkan. Bahawa hati adalah tempat tersimpannya iman.

Adapun hati kita bersih, maka cahaya iman dapat hidup kekal dan lama di dalamnya. Setelah subur di dalam bekas yang baik. 

Tetapi iman tidak mampu bertahan lama dan tidak dapat hadir pada hati yang kotor. Keimanan hanya kekal pada hati yang bersih. Segala-galanya bermula pada paksi yang bernama hati. Baik ia, baiklah semuanya. Kotor ia, kotorlah semuanya. Hati-hati. ^^

Sabda Nabi ;


"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati." (Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)

Jadi, bersihlah hati kita selalu. Inilah modal awal demi membuktikan yang kita orang muslim.

Mungkin setakat ini dulu coretan pada kali ini.

Semuanya tak lain dan tak bukan adalah untuk memberi kekuatan kepada diri sendiri agar terus kuat mengharungi badai kesenangan dan kemewahan dengan hati yang bersih, dalam masa yang sama ingin mengajak kita sama-sama tingkatkan diri.

P/s : Bila bertanya soal hati, yang membicaranya adalah mulut. Benarkah ia lahir dari hati?
Renungkan. (",)

Wednesday, May 11, 2011

4
Komen
~ TN ; Berubah Demi Kebahagian Yang Nyata ~





Assalamualaikum wbt. 

Shuakhbarak? 

Alhamdulillah kuwayyis. ^^

Sebenarnya hari ini ingin bersangatan saya membicarakan perihal bahagia dan gembira.

Kerana apa? Ayuh kita selami bersama di laut ini.

Sepertimana yang kita tahu, bahagia dan gembira adalah nikmat yang tidak boleh ditukar ganti dengan emas dan permata. Betul?

Justeru bersyukurlah dengan nikmat yang Allah berikan ini.

Berapa banyak ummat manusia yang hidupnya mewah. Duit ibarat terbang berlegar-legar di atas kepala. Sebagai tanda sudah bersedia untuk digunakan. 

Tetapi ketenangan di dalam hati terasa sunyi. Kenapa? ^^

Berapa ramai ummat manusia yang tinggi pangkatnya dalam sesebuah organisasi. Malah orang-orang pimpinannya mencecah ke serata negeri. 

Tetapi jiwa terasa hambar dengan kebahagian dan kedamaian. Kenapa? ^^

Berapa ramai ummat manusia yang hebat pengaruhnya. Menjadi orang yang disegani kerana ketokohan dan karismanya. Apabila berkata-kata seakan bermain-main dengan perasaan pendengar dan 'audience'nya.

Tetapi siapa tahu di dalam hatinya sendiri penuh dengan keresahan dan kerisauan. Kenapa? ^^

Berapa ramai ummat manusia yang dikelilingi gadis-gadis idaman, cantik dan perawan. 

Tetapi perasaan serba tidak kena lebih bermaharajalela berbanding perasaan serba ceria. Kenapa? ^^

Berapa ramai ummat manusia yang menjadi doktor bagi mereka yang ditimpa kesedihan dan kedukaan.
Menjadi pakar rujuk berkenaan soal jiwa dan perasaan.

Tetapi siapa sangka jiwa dan perasaannya sendiri sentiasa tidak tenteram. Kenapa? ^^

Berapa ramai ummat manusia yang ramai sanak saudara dan jiran tetangganya. Senang cerita, kemana sahaja dia pergi pasti ada yang menegurnya.

Tetapi rasa kesunyian dan kesepian itu umpama rasa yang tidak dapat dipisahkan dengan tubuh tuannya. Kenapa? ^^

Beberapa ramai ummat manusia yang tinggi darjat ilmunya. Mencangkupi segala bidang keilmuan dan kefalsafahan. 

Tetapi apabila menyentuh soal kebahagian dan kegembiraan. Diri terasa kaku dan asing dengan 'title' tersebut. Kenapa? ^^

Soalan-soalan ini saya biarkan ia terapung-apung di atas air fikiran. Mudah-mudahan suatu hari nanti ia akan terdampar di pulau hati pelaut kehidupan. 

Walaubagaimanapun, saya bukanlah seperti mereka yang menghadirkan sejuta satu persoalan tanpa jawapan. 
Masih ada kaedah dan seni yang boleh kita selerakkan sebagai kiblat petunjuk jalan.

Jadi, mari bersama saya. Kita menyelusuri satu bingkai kehidupan. Play.



Apa yang boleh kita pelajari dari tontonan ini?

Kalau saya, Abang Bob Lokman cuba berubah dari kegembiraan yang menipu kepada kegembiraan yang sebenar. Dari Kebahagian yang penuh sandiwara kepada kebahagian yang penuh barakah dariNya.

Anda bagaimana?

Silakan.. (",)

Saturday, May 7, 2011

16
Komen
~ Blog Aku Macam Haram!! ~

Yang buruk itu jangan disatukan. Barulah yang jernih tidak menjadi keroh. ^^


Assalamualaikum wbt.

Lafaz salam itu untuk anda. Sambutlah. ^^

Alhamdulillah. Hari ini seperti biasa Allah masih memberi kita peluang untuk terus hidup di atas hamparan bumiNya. Oleh itu, siapalah kita andai kelebihan yang kita ada langsung tidak dipandang oleh Pemilik dunia  akhirat ini.

Betul tak?

Wokeh. Selaku irama santai pada kali ini, ingin saya kembali kepada tujuan saya menghadirkan post 'Blog Aku Macam Haram'. Haha. Lihat pada tajuk bukan bermaksud -Aku- itu adalah saya. Tidak sama sekali.

Tetapi hanya sekadar saya mengambil kembali kata-kata beberapa orang blogger yang pernah bertanya ; kenapa blog aku macam haram? Itu sahaja.

Lapan bulan sudah Lautan Rabbani


Hari ini, ingin sangat saya mengimbau kembali zaman saya bergelar baby di alam maya. Menangis kaku dalam penulisan. Merangkak mencari para blogger yang hebat untuk dijadikan qudwah. Hatta memerhati satu persatu blog dan webside yang pada saya bukan sahaja menjadi medan mengisi masa lapang, tetapi medium mengajak ummat manusia kembali kepada Maha Pencipta.

Dengan merekalah saya belajar itu dan ini. Belajar dan terus belajar. Sungguh pun ia satu perkara yang kecil di mata segelintir kaum Adam dan Hawa.

Setelah memakai blazer yang tercatat padanya blogger selama lapan bulan, pelbagai gaya, seni, kaedah, cara,  peluang, dan teknik yang saya rasa ia adalah permata yang cukup berharga dalam kehidupan. Kerana apa?

Kerana bukan mudah untuk menjadi seorang blogger yang hebat. Malah hebat itu sendiri terbahagi kepada dua. Hebat di mata Allah dan hebat di mata manusia. Buat kita para blogger sekalian, kita hebat di mata siapa sebenarnya?

Jawablah di dalam hati.

Tolong bagi tips sikit boleh?


Setelah beberapa kali saya memikirkan soalan yang ditanya ini, mulut terasa dikunci. Bicara terasa kelat untuk  menuturnya. Lidah kelu tanpa suara. Akhirnya bibir meleret senyuman. Bukan sinis tapi simpati. Simpati sebab tidak dapat menolong mereka yang berhajatkan pada jawapan.

Saya bukanlah seorang yang pakar dalam bidang ini. Bahkan lebih ramai yang berbakat dan berpotensi tinggi. Cuma dalam langkahan kita ingin menjadi hamba Allah yang sejati, tidak salah untuk kita guna blog kita kearah mengejar redhaNya.

Aha. Macam mana nak kejar redha Allah? (",)

Bacalah yang selanjutnya.

Cebisan dari Blog Brohamzah sebagai kompas


(1) Niat dan cetusan hati

Perkara utama yang harus diselidiki dan cermati dalam berblog ini ialah NIAT asal kita. Soal diri dengan jujur, ikhlas dan tanpa berpura-pura.

“ Wahai diri, untuk tujuan apakah aku berblog ini?,” Bermonologlah dengan diri dengan sebenar-benarnya. Pertanyaan ini sangat penting, agar kita benar-benar jelas akan matlamat, tujuan dan objektif kita membina, membuat dan berblog.

“ Alah, benda-benda macam ini pun hendak kena berniat baik ke?,”

“ Remeh temeh je ini,”

Saudara, kerana perkara remeh temeh la ramai yang tersasar jauh. Indahnya Islam, soal niat yang kecil ini menjadi perkara utama dan asas dalam beramal.

Ayuh saudara saudari, kita buat satu anjakan yang baru. Kita niatkan dan tajdidikan niat kita semuanya. Jika kita punyai blog, website dan apa jua platform di alam maya ini semuanya adalah untuk dijadikan ubudiyah kepada Allah SWT. Semoga amalan ini didepani dengan nilaian syara. Dalam soal ini, motto hidup saya tidak akan pernah berubah buat selama-lamanya iaitu : “ Syara sentiasa dihadapan, Allah is number One!,”

(2) Konsep dan Tema blog kita

Baik, seterusnya kita sembang-sembang pula soal yang tidak kurang pentingnya iaitu konsep dan tema blog kita. Inilah sebenarnya kekuatan blog seseorang.

Konsep dan tema yang diketengahkan. Ada orang, tema blognya ialah perkongsian dan catatan kehidupan sehariannya. Ada pula, menjadikan blognya medan untuknya membuat analisis isu-isu semasa, malah ada juga tempat ia berkongsi resipi-resipi masakan. Terpulanglah kepada kita. Yang penting, kita selesa, tenang dan suka akan konsep serta tema yang kita bawakan itu.

Banyak sebenarnya yang boleh kita kongsikan dalam blog : Hasil karya penulisan kita seperti cerpen, puisi, sajak dan sebagainya. Gambar-gambar yang ditangkap secara kreatif, catatan pengalaman kembara, kisah-kisah kehidupan yang membangkitkan motivasi diri, berita-berita dunia dan fakta-fakta yang jarang-jarang diketahui umum.

Nah, anda macamana pula? Sudah ada konsep dan tema blog anda?

(3) Rekabentuk, susunatur dan antaramuka Blog

Selalu kita dengar, fisrt impression atau pandangan pertama itu akan memberikan satu persepsi terhadap sesuatu yang kita lihat. Hal ini, sama dengan blog kita. Tidak dapat dinafikan, rekabentuk atau interface blog kita memainkan peranan yang sangat-sangat penting agar ia kelihatan menarik, smart dan memberikan satu impak yang berbekas pada pandangan seseorang.

Begini, blog kita ini umpama rumah kita. Seumpama pondok tempat kita berteduh dan berehat. Bayangkan kalau pondok kita yang kita diami itu kemas, cantik, selesa dan indah. Tentu, kita suka bertandang dan tinggal di situ walaupun kadar tempoh yang lama. Bak kata orang , “kalau hati sudah terpikat, tinggal selama-lamanya pun tidak mengapa.”

Saya selalu menjelajah dan melayari ke alam maya untuk melihat blog-blog yang ada. Di sana, terdapat berpuluhan ribu malah mungkin jutaan blog yang pelbagai. Dengan template serta warna dan corak yang pelbagai – dunia maya ini dihiasi dengan blog-blog yang berbeza dari segi rekabentuk, konsep, susunatur dan sebagainya.

Bagi saya, blog yang baik adalah blog yang sedap mata memandang. Simple, kemas, pemilihan warna yang baik, tulisan yang mudah dibaca, mesra pengguna dan wujudnya interaktif antara pemilik blog dan pembacanya.


(4) Penggunaan bahasa , intipati dan prinsip asas

Seterusnya, aspek yang penting ialah penggunaan bahasa yang menjadi medium perantaraan antara penulis blog dan pembaca blog. Bagi saya, tulisan yang dipamerkan harus tulisan yang menggunakan bahasa baku yang tinggi. Maknanya, betul dari segi penggunaan bahasanya dan tidak terlalu “pasar” corak penggunaanya.

Jika boleh, elakan penggunaan bahasa pendek atau ringkasan yang sukar difahami. Kekadang, bahasa-bahasa sebegini akan menjemukan dan membosankan sesiapa sahaja untuk membacanya. Latihlah diri untuk menggunakan perkataan yang penuh ejaannya dan bahasa yang betul. Saya yakin, kita akan berpuas hati dengan perkongsian dan tulisan yang kita gunakan dalam blog nanti.

Di samping itu, kita nukilkanlah ia dengan bahasa jiwa dan bahasa hati. Tulislah dari lubuk hati dengan kerelaan hati dan kongsikan ia dengan jujur dan ikhlas. Inilah kekuatan bahasa yang tiada tandingannya.

Bak kata orang, tulisan yang ditulis dari hati akan jatuh menyimbah ke hati jua. (‘’,)

Intipati dan pengisian blog harus menjadikan Al-Quran dan As Sunnah sebagai rujukan utama. Ini adalah soal prinsip, pegangan dan maruah kita sebagai seorang muslim mukmin. Tidak dapat tidak. Ajakan kepada kebaikan, kebenaran dan kesolehah harus mendominasi seluruh artikel-artikel, video-video, kata-kata hikmah dan apa jua yang kita letakkan di blog kita.

Sehinggakan apa yang kita sembangkan juga sekiranya boleh, kita tarbawikannya sehingga ia menjadi indah, membahagiakan dan molek pada pandangan sisi syara’. InsyaAllah, jika inilah yang kita lakukan – masyaAllah – rahmat Allah SWT ke atas kalian.

(5) Sentiasa konsisten dan istiqamah
Selalu juga, kita menyebut : “ Mudah sahaja untuk memulakan sesuatu, tetapi hendak kekalkan ia untuk satu tempoh yang lama adalah cabaran yang sangat besar dan tinggi.”

Begitu juga dalam soal memaintainkan blog ini. Mudah sahaja untuk membuat blog, tidak sampai sejam pun. Tut..tut sudah siap. Yang sukarnya ialah untuk mengekalkan kadar pengisian blog kita secara berkala.

“ Tiada masa”
“ Sibuk memanjang”
“ Banyak kerja”

Inilah jawapan kegemaran saya dan kita semua apabila berhadapan dengan sesuatu yang menuntut komitmen peribadi. Memang dah tersedia jawapan ini sejak dahulu lagi, namun adakah ini sahaja jawapan yang kita sediakan untuk melakukan sesuatu yang akan menjadi bekalan amalan soleh kita?

Jika matlamat, objektif dan tujuan kita jelas, maka tunggu apa lagi? Kitalah yang akan berusaha mencari masa dan waktu untuk memberikan usaha yang terbaik. Semuanya kembali kepada kita. 


*****

Itulah sedikit sebanyak petunjuk buat kita yang bergelar blogger. Untuk pengetahuan semua, saya sendiri masih memburu nasihat ini. Mengejar bersungguh-sungguh atas alasan semua usaha ini tidak menjadi debu yang berterbangan.

Jemput-jemputlah ke blog ini untuk mengetahui dengan lebih mendalam. Brohamzah - Tips berblog

Terima kasih buat Brohamzah. Moga Allah redha denganmu. (",)

Akhir ; Selamat berblog teman-temanku


Setelah saya mengkaji dan mengamati nasihat yang diberikan oleh Brohamzah, sungguh sesuatu blog itu akan menjadi hebat dan berkualiti apabila bersulamkan redha Allah.

Harapannya agar tidak ada lagi selepas ini yang akan berkata 'blog aku macam haram', sudi-sudilah mengamalkan tips ni ya. Buat para blogger yang meningkat naik seperti saya juga, ayuh kita amalkannya dalam kehidupan kita sebagai blogger.

Mudah-mudahan masa kita bukan sahaja dihabiskan dengan terisinya masa lapang, bahkan terisinya poket kita dengan pahala-pahala dari Allah untuk dibawa pulang.

Amin.

Selamat mencuba. ^^



Wednesday, May 4, 2011

18
Komen
~ Puitis ; Bangunlah dari kekecewaan ~

Allah itu ada dan adaNya itu bukan untuk membiarkan. Percayalah!!

Saban hari dugaan datang menyelubungi diri,
menggesa air mata menangis sendiri,
sehingga terdetik di dalam hati,
bilakah ujian ini akan pergi?

Tetapi akalku kuat mengatakan,
yang hadir adalah pelangi kehidupan,
yang bukan untuk membinasakan,
yang bukan untuk mengecewakan,
yang bukan untuk merendahkan,
sungguh pun ia sangat membebankan.

Kadangkala..

Terjatuh lemah aku sendirian,
menagih simpati buat yang perasan,
malangnya yang celik itu bayangan,
akhirnya terkampung aku keseorangan.

Kegagalan itu aku,
kecelakaan itu aku,
keburukan itu aku,
segala-gala yang kurang itu aku,
pantas terdetik untukku tahu,
kenapa semuanya mesti berlaku?

Walau hati mengucap sabar,
walau bibir mengukir senyuman,
walau happy orang menggelar,
walau muka seindah taman,
kepedihan nurani tetap menjalar,
kerana gegaran tetap gegaran.

Terkadang itu..

Aku juga bertanya sendiri,
untuk apa perlu dikesali asam garam ini?
Sedangkan ia takdir ilahi,
hikmah seribu satu adalah janji.

Usahlah melayan kedukaan terpatri,
bangunlah berdiri menjadi matahari,
yakinlah syurga tukarnya ganti,
barulah kehidupan berwarna-warni.


Santai di bawah bayu,
Puitis : Bangunlah dari kekecewaan,
Pelaut Rabbani,
~ mQ ~




Monday, May 2, 2011

11
Komen
~ Matilah kita dalam Kebaikan ~

Kita akan kembali berjalan. Itu adalah pasti.
Salam bahagia buat pembaca budiman.

Pernah tak kita berfikir bahawa kita bagaikan perantau yang sedang merantau ke satu tempat?

Yang mana tempat itu merupakan tempat penentu. Samada kita akan mendapat keuntungan atau kerugian. Kegembiraan atau kesedihan. Kebahagiaan atau kekecewaan. Bersenang-lenang atau bersusah payah malah penentu sama ada kita benar-benar ikhlas atau sebaliknya di 'dunia' ini.

Dunia yang penuh tipu daya. Yang penuh dengan lakonan. Yang penuh dengan keseronokan dan keceriaan fatamorgana yang kita kata indah tetapi merosakkan bahkan menghancurkan andai tersilap cara dan kaedahnya.

Bahaya betul andai tidak merasai dan memikir soal ini.

Suatu hari kita akan berangkat saudaraku. Ya, satu hari yang pasti. Kita akan menuju ke dimensi akhirat selepas kita bersimpuh sebentar di bawah pohonan yang bernama ' DUNIA '.


“ Maka apabila telah tiba ajal mereka (waktu yang telah ditentukan), tidaklah mereka dapat mengundurkannya sesaat pun dan tidak pula mereka dapat mempercepatkannya. ” (An-Nahl: 61)


Hakikatnya, tiada yang kekal di dunia ini. Semuanya pasti bernokhtah. 


Setiap saat akan ada manusia yang menemui Penciptanya. Ia tidak mengira umur, sebab hatta masa dan ketikanya juga tidak boleh dirancang.



"Setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan hanya pada hari kiamat sajalah disempurnakan balasanmu. Barangsiapa yang dijauhkan daripada api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia telah berjaya. Dan tidaklah kehidupan dunia itu melainkan kesenangan yang memperdayakan." ( Surah Ali Imran, ayat 185)


Sungguh kematian bukanlah bererti penamat bahkan ianya merupakan permulaan bagi sebuah kehidupan baru yang kekal.

Bunuh diri sebab dah tak tahan

Tidak benar bagi mereka yang mengingkari wujudnya kehidupan selepas mati dengan mengatakan dunia inilah segala-galanya dan apabila mati maka manusia hanya akan menjadi tanah. Seterusnya hilang dari muka bumi - tamatlah segala perkara dan sengsara.

Mereka yang tidak beriman dengan kehidupan selepas mati maka mereka inilah yang apabila menghadapi tekanan dan penderitaan maka segera memutuskan nyawa dengan membunuh diri.

Ramai yang tersilap dan terpedaya.

Menyangka membunuh diri sendiri dapat menamatkan penderitaan sedangkan ia sebaliknya bahkan secara tak langsung menambah derita apabila diseksa dan diazab di alam kehidupan selepas mati yang kekal dek abadi.

Moga kita tidak tergolong dalam golongan ini.

Akhir : Pengakhiran yang baik buat kita

Ya, semestinya yang major itu mengimpikannya.

Oleh itu, perbanyakkanlah ibadah kita. Moga dengannya Allah izin kita pergi di kala iman yang terang - benderang.

Ketahuilah bahawa mati hanyalah permulaan kepada kehidupan yang sebenar - kekal, abadi dan hakiki adapun dunia ini hanyalah ibarat tempat permusafiran sementara dan tempat ujian. Betul tak?

Jadi, sama-samalah kita meminta kepada Allah agar Allah memberikan kita pengakhiran yang baik.

Amin.

P/s : Doakan hambo juga. ^^