 |
Saya dan ironman. Sama cuma tak serupa? (",) |
Baru-baru ini, saya berkesempatan berjumpa dengan doktor. Sudah menjadi lumrah, mereka yang sakit akan ke hospital atau klinik. Dengan kata lain akan bergerak ke tempat yang mampu mengubati kesakitan tersebut.
Begitulah dengan saya. Untuk melihat perkembangan diri samada semakin pulih atau tidak akan kondisi kaki, maka berjumpa doktor adalah salah satu anisiatif saya.
Melihat kepada penjelasan doktor, hati saya berbunga bahagia.
Alhamdulillah.
Adalah kalimah ringkas yang saya acapkali bicarakan sebagai tanda terima kasih kepada yang menyembuhkan.
Bila saya meneliti sendiri, rupa-rupanya saya adalah salah seorang daripada ramai-ramai manusia yang dimasukkan besi dan skru ke dalam tubuhnya. Cuma saya, tidaklah seteruk mereka yang besinya ada di tangan, kaki, dan sebagainya. Bak kata orang, sepenuh ironman.
Jadi, apabila pergi berjumpa doktor pada tarikh yang ditetapkan, di situ saya dapat melihat rakan-rakan ironman yang rata-ratanya pasti berbalut di sana sini.
Kesian, simpati dan sedih antara perasaan yang beriringan ketika berada bersama mereka. Kerana saya mampu membayang akan kepayahan serta kesusahan yang menjelma ketika mereka bergerak.
Biasalah, apabila diri pernah merasai maka segala-gala mudah memahami.
Berborak dengan ironman
Di saat saya bersendirian, ketika menunggu doktor sebagai pesakit yang seterusnya, datang seorang lelaki awal 30an duduk di sebelah saya. Sebenarnya, dari jauh mata saya sudah menangkap kehadirannya. Cuma muka saya tidaklah berpaling melihatnya.
Kenapa?
Bukan kerana dia buruk di mata saya tetapi kerana keadaannya yang bersusah payah berjalan menggunakan kedua tongkat membuatkan saya rasa bersalah jika melihat tetapi tidak menolong. Sebetulnya saya tidak mampu untuk memimpin kerana diri juga tidak terpimpin.
Tatkala dia mahu duduk, segaris senyuman saya ukirkan sebagai tanda senang hati dengan kehadirannya. Terus dia bertanya akan keadaan saya. Jawab saya ringkas. Alhamdulillah.
Kemudian, saya pula yang mengatur soalan. Pendek.
" Abang kenapa? " Sambil jari telunjuk saya menghala kearah kakinya.
" Kemalangan motor. Kemalangan motor dengan lori. Pecah tempurung lutut. " Jawabnya dengan nada bersahaja. Kemudian dia menarik kaki seluarnya naik sampai ke paras lutut. Saya terkejut. Tersentak. Ya Allah. Begini rupanya apabila seseorang itu pecah tempurung lututnya.
Kelihatan satu bonjolan besar di sekitar lutut. Seperti dua biji bola goft ditanam dalamnya. Kesan-kesan pembedahan masih jelas kelihatan. Perit.
" Kenapa bengkak? " Tanya saya.
" Ada simen. Nak ganti tumpurung yang pecah. "
" Dah lama ka? " Soal saya lagi.
" Sepuluh bulan. "
" Sepuluh bulan? Lamanya. " Saya membalas jawapan abang itu spontan. Bagaimana perjalanan hidup selama tiga bulan yang saya lalui begitu payah apabila bertongkat. Sehingga ada beberapa ketika saya mengeluh sendiri. Rupa-rupanya ada yang lebih lama. Subhanallah. Saya malu dengan Allah.
" Abang tak boleh pijak lagi. Kalau pijiak, nanti lutut jadi lembik. Doktor pun tak tau lagi sama ada boleh jalan atau tak. Cuma doktor kata, kalau nak jalan juga kena buh besi. Tapi kaki akan straight seumur hidup. Lagi terukla." Dia menjelaskan panjang lebar. Bersemangat.
Saya memerhati mukanya dengan penuh minat.
Dalam hati, saya kagum dengan ketabahannya dan berterima kasih kepada Allah kerana masih memberi saya kesempatan untuk berjalan. Walhal saya juga ada tercedera di lutut. Tulang lutut saya serpih. Tinggal, tak pecah tempurung lutut bahkan sekarang saya sudah boleh berjalan. Alhamdulillah.
Melihat kepada risiko, tempurung lutut saya juga boleh pecah jika Allah mahu ketika saya tersepit sewaktu kemalangan tempoh hari. Tetapi yang tertulis adalah sebaliknya. Maka, saya selamat.
Perbualan kami terhenti di situ. Saya diam. Berfikir akan perkara yang selama ini saya tidak nampak. Jauh berlegar merentasi bilik ortopedik.
Saya dapat sesuatu. Ya, saya dapat sesuatu dari abang ironman itu.
Kesimpulan ; Apa yang saya dapat?
Pada saya, berbual dengan abang itu adalah jawapan yang Allah ingin berikan kepada soalan-soalan saya selama ini.
Entah kenapa saya selalu berfikir yang bukan-bukan. Apabila orang sekeliling saya bertanyakan kenapa saya tidak jalan macam orang normal jalan. Jawapan saya kaki masih sakit. Ya, memang hakikatnya kaki saya sakit.
Tapi sampai bila?
Hari ini saya mengerti. Ampunilah hambaMu ini ya Allah.
Sepatutnya saya bersyukur kerana ada yang lebih parah dari saya. Ada yang lebih susah. Tetapi kenapa saya tidak nampak yang itu? Yang saya nampak, bila nak sembuh? Lama lagi ka nak sembuh? Cemburu dan bermacam-macam lagi.
Betullah kata para ilmuan, kita ini suka melihat orang yang lebih tinggi keupayaannya dari kita. Sebab itulah kita susah untuk bersyukur dan berterima kasih. Cuba tengok yang paling rendah dari kita? Maka di situlah jawapannya.
Kita akan tahu.
Oleh itu, saya mengajak untuk kita sama-sama mengamati kehidupan kita. Moga-moga kita adalah hamba yang bersyukur. Amin.
P/s : Tolong doakan saya dan sahabat saya Salman Sukri boleh? Juga rakan-rakan ironman yang lain. Moga kami dipermudah segala urusan. Terima kasih. (",)