Friday, January 27, 2012

9
Komen
~ Bukan Keluarga Malaikat ~

Keburukan yang ada harus cepat dipadam sebelum ia membesar sebagai pemusnah bahagia.


Hari ini, manusia seakan berubah menjadi makhluk yang tidak berperikemanusiaan. Semuanya berlaku seperti longkang yang tersumbat tidak ada jalan penyelesaiannya. Ibarat paip air yang bocor, semakin dibaiki semakin besar lompongnya.  Semakin dipeduli semakin menjadi-jadi kerosakannya.

Asal-usul manusia yang datang dari Allah. Dijadikan dari setitis air mani. Kelihatan kosong dan tidak bernilai. Buruk dan tidak bermaya. Apabila melalui proses kehidupan yang akhirnya bertukar menjadi seorang manusia yang mempunyai akal, pelbagai masalah yang timbul bagaikan cendawan tumbuh bukan pada musim hujan. Tetapi pada musim panas.

Bukankah ini satu benda yang pelik? Bukankah ini satu benda yang mustahil?

Hari ini juga kita tertanya-tanya, apakah manusia dengan binatang, binatang lebih mulia? Apakah binatang dengan manusia, manusia sudah buta?

Persoalan ini timbul bilamana seorang anak mampu membunuh ibunya dengan kejam. Persoalan ini bangkit bilamana seorang ayah mampu menjual anaknya pada kutu malam. Persoalan ini muncul bilamana seorang emak sudah hilang rasa kasihnya kepada anak kerana benci dan geram.

Apakah semua ini bisa terjadi? Dimanakah kebenaran istilah ‘rumahku syurgaku’? Sunyi. Tidak berjawapan.

Ayuh lihat semula!


Anak : Bukan kain putih

Apabila seorang bayi dilahirkan ke dunia, kita akan mengasihinya seluruh jiwa dan raga. Ketika itu, seorang ibu mampu berjaga malam demi keselesaan anak yang baru dilahirkan. Seorang ayah mampu berkerja lebihan masa, demi mencari nafkah yang halal buat si anak dan isteri.

Sewaktu bayi tersebut mula belajar merangkak dan berjalan, peranan ibu bapa dalam mencorak kain putih dan bersih itu tersangat penting dan mustahak. Bermula dengan asas yang kukuh, jika baik dan cantik ibubapa mencorak, maka baik dan cantiklah peribadi si anak.

Jika sebaliknya, maka buruk dan busuklah akhlak dan cara kehidupan si anak. Apa yang akan terjadi? Berlakulah masalah demi masalah yang tidak pernah dijangka dan diramal oleh kedua ibu bapa.

Jika pada awal kemunculan, kita mengumpamakan insan kerdil ini sebagai kain putih, bilamana besar, dia boleh berubah menjadi pedang yang tajam. Berbisa dan berbahaya. Kental dan bertenaga. Perubah dan pemusnah.

Kerana itulah, ibu bapa yang mementingkan soal kebajikan dan cara pemikiran anak-anak, mengasuh dalam mengenal nilai-nilai murni, mendidik dalam menjadi hamba sejati, satu hari nanti anak ini mampu melindungi.

Namun, andaikata ibu bapa hanya bertepuk sebelah tangan dalam mendidik, memandang sebelah mata dalam memberi kasih-sayang, tidak bersungguh dan sambil lewa, maka tidak hairanlah jika si anak yang diumpama pedang yang berbahaya dan berbisa itu, akan memakan ibu bapanya sendiri.


Ibu bapa : Bukan manusia biasa

Seorang anak yang hebat. Berdiri teguh dalam tampuk kepimpinan. Berhujah lantang dalam menegak kebenaran. Bergerak gagah dalam setiap langkahan. Kelihatan perwira buat orang bawahan. Akan tumpah jua air mata seorang anak dalam kesedihan, jika seorang ibu atau bapa yang baik ditimpa kecelakaan.

Inilah bukti rasa kasih dan cinta seorang anak kepada ibu dan bapanya. Menghargai segala pengorbanan, kesusahan, kerisauan, dan kepahitan kedua insan bertuah ini dalam membesarkan anak dalam cahaya keimanan.

Saya teringat satu kisah, bagaimana seorang anak yatim yang tidak dipedulikan nasibnya. Dibiar merempat di tepi jalan. Tidak dihirau akan kebajikan makan minumnya. Ditinggal kosong tanpa ada yang sudi membela. Malah, detik-detik kehidupan dirasakan bagai ada batu besar yang menghimpit jiwa.

Dengan izin Allah, datang sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak. Bertemu dan mengajak si anak yatim tersebut ke sebuah kedai makan berdekatan. Bertanya khabar dan berkongsi cerita. Sehinggalah sepasang suami isteri ini kesian, lalu mengambilnya menjadi anak angkat.

Di penghujung jalan cerita, membesarlah si anak dengan menjadi seorang usahawan yang berjaya. Disegani dan dihormati sebagai manusia yang bergaya dan kaya-raya. Sedangkan sejarahnya ketika kecil, manusia langsung tidak memandang dan menghiraukannya.

Apabila diminta untuk menceritakan sajarah kejayaan hidupnya, si anak ini ringkas memberi jawapan.

“Sewaktu saya kecil, telah datang kepada saya dua insan umpama Tuhan. Mereka menyelamatkan saya dari kehidupan yang penuh dengan kegelapan menuju kehidupan yang penuh kebahagiaan.” Maka, berbahagialah sepasang suami isteri yang dianggap luar biasa oleh si anak tersebut.

Lihat. Ibu bapa bukan manusia biasa. Boleh jadi dengan jasa dan bakti mereka, seorang anak mampu menggoncang dunia. Boleh jadi dengan air tangan mereka, seorang anak mampu mengubah peta dunia. Boleh jadi dengan keprihatinan mereka, seorang anak mampu mencipta nama di sisiNya.

Semuanya tidak mustahil dengan izinNya.


Akhir : Berbahagia hingga ke syurga

Sebagai insan yang mulia, kita semua percaya bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaanNya. Biarpun kita kata bunga itu cantik, sebenarnya manusia lagi cantik. Biarpun kita kata pokok itu unik, sebenarnya manusia lagi unik.

Senang cerita, manusia adalah yang terbaik dalam yang terbaik. Kadang-kadang, malaikat juga mampu tewas dengan kehebatan manusia.

Akan tetapi, manusia mampu tersungkur lebih hina dari binatang peliharaan apabila segala tindak-tanduk tidak menggambarkan Allah Maha Melihat. Tidak mempercayakan kehidupan yang sebenar adalah kehidupan akhirat.

Keluarga yang bahagia. Bukanlah satu ilusi yang direka-reka. Tetapi kita mampu kecapi, sekiranya kita benar-benar merasai akan kepentingannya. Bagi yang merasai semestinya kita akan berharap agar kebahagiaan ini tidak sahaja di dunia, tetapi berkekalan hingga ke syurga.

Ibu bapa harus percaya. Anak-anak harus akur dan terima. Ibu bapa adalah aset untuk mudah masuk syurga. Anak-anak pula adalah aset untuk mudah menjauhkan diri dari masuk api neraka.

Apabila masing-masing tahu dan memainkan peranan masing-masing, InsyaAllah bahagia di dunia mampu diteruskan hingga ke syurga yang kekal abadi.

Jadilah ibu bapa yang tidak mudah menyerah kalah. Jadilah anak-anak yang soleh dan solehah. Moga redha Allah mengiringi setiap langkah.

Sekian,
terima kasih.
Dari seorang anak.

P/s : Jika ada kesilapan pada mana-mana bingkisan di atas, mohon ditegur untuk dilakukan perubahan. 

   

9 comments:

  1. Assalamualaikum wbt..

    Alhamdulillah, perkongsian yang mantap.. teruskan.

    Ya, jadilah anak yang soleh dan solehah.. TEPAT SEKALI.

    Surah Al-Isra' 17:23
    Boleh rujuk.

    Mg Allah rahmati.

    ~permata yang dicari~

    ReplyDelete
    Replies
    1. waalaikumsalam.

      Alhamdulillah. mahu bagi teguran kepada diri ini juga sebenarnya.

      Delete
  2. Hg mmg styloq!

    Bila hg tulis pasal mak, bapa dan anak2, aku teringat forum kita time SPM dengan hg, Nabil, Afiq Nashiron & aku. Ha ha ha!

    Teruskan dengan medan bloggar ni.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tyem tu zaman masing-masing dah macam ahli panel terkemuka tanah air. Serius tak boleh dilupakan.

      InsyaAllah. Doalah untuk diri ini.

      Delete
  3. Assalamualaikum..

    sis got the message.

    ~moga Allah memberkati~

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum

    jenjalan time berkelapangan

    persoalan yang kengkadang tak tau kat mana nak mulakan perbaiki kelemahan tu

    ReplyDelete
  5. wassalam.

    ayuh mulakan dari sekarang. kenal pasti kelebihan dan kekurangan, naiklah setapak demi setapak.

    insyaAllah. sama-sama kita bergerak.

    ReplyDelete