Sunday, October 16, 2011

4
Komen
~ Cerpen : Kuasa Serigala 1 ~

Tidak ada yang tahu kisah tentangnya.


Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Keinginan untuk menghasilkan cerpen berjaya disiapkan. Cerpen pertama yang bertajuk 'Kuasa Serigala'. Enjoy.. ^^




Pada malam itu, langit kelihatan mendung. Petir sabung-menyabung diselang-seli dengan dentuman guruh yang menganggu kesunyian malam. Di sebelah kiri sudut langit, bulan purnama sedikit malap akibat ditutupi awan-awan hitam. Tinggal, yang jelas kelihatan adalah sebutir bintang di penjuru bumbung banggunan Bayt Sahel.

“Kenapa mereka membenci aku? Apa salah aku kepada mereka?”

Suara itu merintih dari meja belajar yang bersepah buku-buku tebal di atasnya. Bunyi daun-daun kelapa di hadapan tingkap bersiul dikala angin deras membelah permukaan bumi. Sejuk dan menyeramkan. Tetapi tidak bagi dia.

Kamal. Seorang pemuda yang dilahirkan dalam keadaan malang. Itulah yang selalu membelengu dirinya sehingga dia sendiri beranggapan bahawa andai makhluk seperti anjing boleh berkata-kata, pasti anjing itu adalah lebih baik darinya. Kesian.

Orangnya sederhana tinggi. Tidak terlalu rendah tidak pula terlalu tinggi. Berambut kerinting dan serabut. Panjang menutupi telinga. Janggut yang tidak terurus ditambah misai yang tidak dijaga membuatkan dia tidak ubah seperti peminta sedekah di kaki lima masjid. Meloyakan.

Meja ditampar beberapa kali. Buku-buku di atas meja ditolak sederas ombak. Menyebabkan si lalat hijau yang menghurungi kepalanya berterbangan. Terkejut dengan riaksi mangsa yang mengamuk secara drastik.

“Hoi bodoh! Aku bukan seperti apa yang kalian sangkakan. Aku bukan seperti itu!!!”

Buku catatan setebal tiga ratus muka surat dicapai lalu dibaling laju ke arah dinding yang tergantung padanya sebuah bingkai gambar. Jatuh berkecai.

Dia terpana. Gambar seorang wanita tua yang pernah membelai dirinya dengan kasih sayang satu ketika dahulu tanpa sengaja telah dipecahkan sendiri olehnya. Menyesal.

Dalam hati, dia kembali menangis seiring basahnya bumi ditimpa hujan lebat di luar rumah. Sekali-sekala guruh memainkan peranan sebagai pemusnah kesunyian malam yang sepi.

Bilakah semua ini akan berakhir Tuhan? Makin lama aku tunggu, makin benci aku kepada mereka! Biar aku hancurkan sahaja mereka itu. Mereka ingat aku takut? Hatinya bermonolog sendiri.

Mata yang dipejam dari tadi terus dibuka, mengerling kearah bingkai gambar yang sudah berhamburan kaca di atasnya.

Akal ligat berfikir. Otak merencana perancangan. Tiba-tiba…

Hehehe.

Dalam diam, dia tersengih sendiri. Kemudian merenung tajam bulan purnama di luar jendela. Jari telunjuknya menghala kearah objek bulat tersebut. Mulutnya sedikit terbuka. Seperti berbicara sesuatu yang asing.

Prangghhh!!

Sekali lagi guruh berdentum. Tetapi kali ini lebih kuat dari sebelumnya.

Gelap.


*******


Suasana di hadapan bilik kuliyah Ekonomi ternyata lebih bising dari market di pasar borong. Manakan tidak, bilik kuliyah tersebut adalah jalan penghubung antara banggunan perpustakaan dan dewan kuliyah yang lain.

Pelbagai ragam manusia dapat dilihat. Ada yang sedang membaca surat khabar. Ada yang sedang bersama dengan pasangan merpati dua sejoli. Ada yang sedang berborak rancak dengan geng masing-masing. Ada yang berlari anak ke dewan kuliyah. Terlewat mungkin.

Tidak ketinggalan bagi mereka yang sedang menelaah buku di bangku rehat bertentangan tempat memarkir kereta.

Semuanya dengan hal sendiri. Senang cerita, dunia aku bukan dunia kamu. Dunia kamu bukan dunia aku.

Di satu penjuru yang lain, enam remaja dalam lingkungan 20-an sedikit terasing dengan pelajar-pelajar yang lain. Orang kata mereka ini pemusnah. Betulkah?

“Amacam planing kita hari ni Bad? Jadi?” Tanya Ijoy kepada ketuanya berbaju kasual lengan panjang.

“Eh! Engkau jangan tanya aku soalan yang kau dah tahu boleh tak? Aku kalau dan plan, lautan api pun aku sanggup rendah. Ini Badla.. sapa berani halang aku?” Tangan yang disilang ke dada terus dilepaskan ke bawah sambil tangan kirinya mencapai kotak rokok di dalam poket seluar.

Sebatang rokok dikeluarkan lalu diletakkan antara dua bibirnya. Pantas Muhsin menghalakan pemetik api yang dipegang ke mulut Bad. Seakan sudah memahami tugasnya jika rokok tersebut sudah berada di atas bibir ketuanya. Berasap.

“Tapi, aku macam kesianla dengan si kamal tu. Hari-hari kita buli dia. Nanti kalau dia bagitau ayah kau, boleh merana hidup kita.” Jelas Muhsin bersungguh walaupun dia tahu yang tindakannya itu akan membuatkan si Bad meradang. Namun, kerana keperimanusiaan yang masih ada dalam dirinya, mahu atau tidak dia terpaksa meluahkannya.

“Hoi bongok! Sejak bila kau pandai kesian dekat si dungu tu? Atau dia dah bomoh badan kau. Kalau kau takut, kau boleh belah dari kumpulan ni. Kecil-kecil tak mahu mati, bila besar kau nak menyusahkan aku?”

Dahi Bad berkerut seiring terangkatnya kening hitam yang dipotongnya nipis. Ganas. Mukanya mula merah.

Ijoy, Black, Tiger dan Izham hanya mampu berdiam diri. Tidak berani mencelah bila melihat ketua mereka sudah mendidih dipanas api.

Muhsin hanya mampu tunduk ke lantai. Tidak berani bertentangan mata dengan Bad. Takut benda yang tidak diingini terjadi kepadanya. Siapa tidak kenal Bad. Di dalam dewan kuliyah kelmarin pun dia berani menengking Kamal, inikan di luar kuliyah. Kerana otak Bad yang gila-gila itu, tidak mustahil dia akan diperlakukan seperti Kamal.

“Ok. Aku minta maaf. Aku tersalah cakap tadi.” Perlahan suara Muhsin kedengaran. Sikit sebanyak membuatkan tahap letupan Bad menurun bila mendengarnya.

“Aku tidak suka kalau korang pengecut. Apa guna korang jadi geng aku? Baik kawan dengan kambing.” Mendalam kata-kata Bad. Kawan-kawannya yang lain menggangguk faham.

“Eh, itu Kamalkan? Sebelah tu bukan Fareeza ke?” Reaksi pantas Izham menghalakan jari telunjuknya ke arah Kamal di hadapan pintu masuk utama membuatkan member-membernya yang lain turut melihat ke arah yang sama.

“Budak ni tak serik-serik lagi! Aku dah kata jangan kacau Fareeza, tu pun masih tak faham? Sial!!”

Suara Bad lantang membuatkan beberapa orang yang berdekatan dengan mereka mengalih perhatian ke arahnya. Namun, kerana hatinya yang kembali meletus, sudah tidak diendahkan lagi apa kata orang.

Kerana yang merasuk ketika itu, aku nak hancurkan muka si dungu tu!

Dia berjalan pantas sambil menolak tubuh-tubuh yang berada di hadapannya. Kasut jenama Bata bersaiz lapan yang dipakainya seakan sudah bersedia untuk menghentami muka Kamal. Rokok yang masih tersisip di bibir dihisap sedalam-dalam, lalu dilepaskan asapnya melalui rongga hidung. Lagak Aaron Aziz dalam filem KL Gangster.

Member-membernya yang lain hanya membuntuti dari belakang. Berjalan kemas mereka berenam kearah Kamal yang sedang berborak dengan Fareeza.

“Kenapa awak sentiasa menjauhi diri dari Iza, Kamal? Apa salah Iza?” Tanya gadis bertudung bidang, berbaju kurung zaman 80-an, mengenakan kasut sarung berserta stokin. Tidak ubah seperti gadis kampung.

Fareeza Natasya. Merupakan anak kepada salah seorang pensyarah di universiti tersebut iaitu Prof Roslan. Pakar dalam bidang sejarah tamadun tanah air. Orangnya biasa. Kecil dan tidak tinggi. Apabila wajah mengukir  senyuman, maka terserlahlah lesung pipit di sebelah pipi kirinya. Sikapnya yang sentiasa tenang dan ceria membuatkan siapa yang melihat pasti senang bersamanya.

“Hmm.. Awak takde salah pun dengan saya. Cuma… ”

Belum sempat Kamal menghabiskan kata-katanya, Bad sudah menjerit kearahnya dengan suara yang mengaum.

“Bila engkau nak insaf dungu? Aku dah pesan berkali-kali kepada engkau!” Bad berlari laju lalu terbang melayangkan penyepak sulungnya kearah dada Kamal. Kamal tidak sempat mengelak kemudian terpelanting ke belakang beberapa langkah. Buku yang dibawanya jatuh ke atas lantai.

Kesan daripada perbuatan itu, tingkat pertama Bangunan Himega menjadi senyap sunyi. Banyak mata-mata terarah kepada Bad dan Kamal. Menunggu nasib malang Kamal dikerjakan oleh Bad.

Yang sedihnya, tidak ada seorang pun yang berani menghalang pergaduhan tersebut. Mungkin kerana mereka semua tahu impak buruk jika menganggu urusan Bad dan gengnya.

“Bad! Apa kau buat ni?” Fareeza memarahi Bad sejurus bergerak kearah Kamal untuk membantu.

“Takpa Fareeza. Saya boleh bangun sendiri. Lagipun saya memang nak bersemuka dengan manusia yang saya benci selama ini di hadapan orang ramai.” Mulut Kamal mengariskan senyuman. Kedua tangannya terus menolak permukaan lantai untuk kembali berdiri sama tinggi dengan Bad.

Bad terkejut dengan sikap Kamal yang keluar dari kebiasaan. Sebelum ini jika diperlakukan seperti itu, sudah pasti Kamal akan cepat-cepat melarikan diri. Tetapi tidak pada hari ini. Apa yang sudah terjadi kepadanya? Pelik dan mustahil.


Bersambung......


4 comments:

  1. nice story...keep it up dude!..awesome,xD-salman

    ReplyDelete
  2. menanti sambungannya dengan penuh kesabaran~~

    ReplyDelete
  3. > Anonymous

    terima kasih man,
    selamat maju jaya..



    > [n_akn]

    wah.. terima kasih. insyaAllah akan publish sambungannya tidak lama lagi. :)



    > cik tikah

    mestilah. demi sesuatu yg ingin dikejat dan dicapai. =)

    ReplyDelete