 |
Bertebaranlah kita menjejak ilmuNya.. |
Hari ini hampir dua minggu saya berada di negara orang iaitu Jordan. Sebuah negara arab yang banyak tempat bersejarah. Banyak tempat perlancongan. Tinggal, saya masih belum berkesempatan untuk melawat semua tempat itu. Tambah dengan takda duit juga sebenarnya. (",)
Tapi itu bukanlah satu keutamaan yang perlu saya fikir dan risaukan. Kerana menetapnya saya di sini punya misi dan tujuan yang perlu saya langsaikan. Hidup negara orang banyak cabarannya. Banyak dugaannya. Tidak ada tempat yang boleh kita letakkan pergantungan melainkan kepada Allah pencipta kita.
Saya bersyukur sangat-sangat. Impian saya untuk ke nagara orang tercapai juga akhirnya. Dan impian ini tidaklah semata-mata untuk saya merasai keseronokan, kebahagiaan dan juga kesenangan. Walaupun hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri kita.. rasa kasih dan cinta sebenarnya lebih kepada negara sendiri.
Tempat saya membesar. Tempat saya dilahirkan. Tempat saya mengenal erti kehidupan. Juga tempat tinggalnya kedua ibu bapa saya di sana.
Selepas empat hari berpisah dengan mereka. Tiba-tiba hari ini saya teringat akan mereka. Saya teringat akan gelak ketawa mereka. Saya rindu akan gurau canda mereka. Ya Allah. Rahmatilah mereka yang aku sayangi.
Teruja dengan hadiah yang Allah berikan
Saat tiba di Airport Queens Alia Amman hari itu, perasaan teruja yang amat sangat benar-benar merenjat diri ini. Betulkah aku ni? Aku dah sampai Jordan? Subhanallah. Hanya Allah yang tahu apa yang ada dalam hati ketika itu.
Andaikata kalau dahulu aku hanya bermimpi untuk sampai di sini, tetapi hari ini aku sudah berpijak di atas buminya. Melihat penduduknya. Menghayati malamnya yang berbayu. Sejuk, segar dan indah.
Melihat langit merenung diri. Kenapa aku perlu memberi sebab untuk tidak berterima kasih kepada Allah? Kenapa? Sedangkan aku sendiri tidak mampu membalas kebaikan Allah kepada diri yang lemah dan hina ini. Sedangkan aku sendiri tidak pernah menjangka begitu banyaknya hadiah yang Allah berikan tanpa pernah aku terlintas dan mengharapkan semuanya.
Berpijak di atas tanah ini. Berjalan meninggalkan jejak di atas bumi ini. Membuatkan hati yang ingin bersenang-senang dan berseronok berlebihan terbantut dek amanah yang dipertanggungjawabkan.
Aku teringat akan pesanan mereka.
“Pergi sana belajar sungguh-sungguh. Jangan main-main. Jangan tinggal sembahyang.”
“Pergi negara orang jangan sombong. Jangan pentingkan diri. Banyak tolong orang yang sentiasa perlukan bantuan.”
“Apabila sampai Jordan jangan lupa kesusahan ibu dan ayah yang mencari duit. Jangan lupa akan kesusahan mereka untuk melihat kita bahagia. Di Jordan tinggi pembiayaan. Belajar rajin-rajin.”
“Apabila sampai di Jordan, menuntutlah ilmu sungguh-sungguh. Jangan hanya sekadar mengejar sijil. Tapi carilah ilmu sebanyaknya. Nanti balik ke tanah air dapat bantu orang sini.”
“Jadilah manusia yang berjaya. Jadilah anak yang soleh. Ilmu yang kita ada bukan untuk dibanggakan. Jauhnya perjalanan menuntut ilmu bukan untuk ditunjuk kepada manusia lain yang kita belajar di luar negara. Bukan untuk mendabik dada dengan adik-beradik yang lain. Ingat tu!”
Ya Allah. Banyaknya harapan manusia kepada aku. Tingginya cita-cita mereka yang ingin melihat aku berjaya. Hingga pernah aku terdetik di dalam hati sanubari, mampukah untuk aku memenuhi cita-cita mereka? Mampukah aku membenarkan harapan mereka kepada aku? Mampukah untuk aku membumikan doa-doa mereka? Mampukah ini? Dan mampukah itu?
Kerana yang aku rasa, aku adalah biasa-biasa.
Bukan untuk takut tetapi sebagai batu loncatan
Apabila terlalu banyak yang mengharap dan yang mendoakan, akhirnya muncul satu perasaan yang saya sendiri tidak tahu dari mana asal usulnya.
Perasaan takut untuk meneruskan kehidupan di sini. Takut dan bersalah. Takut tidak mampu untuk membawa pulang kejayaan seperti mana yang diharapkan. Bersalah tidak mampu membawa balik harapan yang disandarkan ke atas diri ini.
Ya Allah. Dari mana datangnya perasaan ini. Tidakkah satu hari nanti perasaan ini akan mengganggu perjalanan hidupku? Tidakkah satu hari nanti perasaan ini akan melemahkan jiwa dan semangatku? Tidakkah perasaan ini akan mendatangkan bebanan kepada masa depanku?
Aku diam. Seorang diri berfikir. Seorang diri bertanya hati. Seorang diri melihat diri.
Akhirnya ‘senjata pembunuh’ yang ku jumpa adalah perasaan ini bukan untuk menakutkan tetapi sebagai cabaran untuk ku lebih kuat berusaha dan berusaha.
Walaupun kadang kala bermain kata itu lebih mudah berbanding ingin mengubah diri secara berkala, mahu atau tidak langkah harus diteguhkan, usaha perlu dipasakkan, ditambah doa yang berterusan, moga satu hari nanti aku pulang bukan dengan angan-angan, sebaliknya ilmu yang menyinari hati-hati insan.
Penutup : Semuanya Allah tahu tetapi ‘mereka’ tidak
Sedikit ingatan kepada diri dan para perantau. Hari ini kita tinggal berjauhan dengan kedua ibu bapa. Apa-apa yang kita lakukan di sini mereka langsung tidak tahu andaikata kita tidak mengkhabarkannya. Membawa maksud kita mampu melakukan apa sahaja tanpa mereka sedari.
Kita nak tinggal sembahyang? Kita tidak mahu belajar? Kita nak ponteng kuliyah? Kita nak lepak rumah kawan dua puluh empat jam? Kita nak bercinta dengan monyet? Kita nak kahwin diam-diam? Dan kita bla bla bla… Semuanya kita mampu lakukan. Sebab mereka bukan lagi orang yang memantau hidup kita. Kesimpulannya kita bebas!!
Jika itu yang saya dan anda fikirkan, ketahuilah sebenarnya kita sudah meletakkan diri kita di depan pintu-pintu kemusnahan. Tetapi tidak di depan pintu-pintu kebahagiaan. Kerana beriman bukan kepada ibu bapa sebaliknya kepada Allah. Kerana pulangnya kita nanti bukan kepada ibu bapa tetapi kepada Allah. Kerana sembunyikan dosa daripada manusia, kita mungkin berjaya tetapi dari penglihatan Allah semuanya sia-sia. Strike!!
P/s : Terima kasih yang tidak terhingga kepada Grup SPB Permai juga para seniors yang banyak membantu kami di sini. Moga segala urusan kalian ini Allah bayar dengan kasih dan rahmatNya. Buat Irbedians [Intake of 2011/2012], salam ukhwah diucapkan. ^^