Friday, January 27, 2012

8
Komen
~ Bukan Keluarga Malaikat ~

Keburukan yang ada harus cepat dipadam sebelum ia membesar sebagai pemusnah bahagia.


Hari ini, manusia seakan berubah menjadi makhluk yang tidak berperikemanusiaan. Semuanya berlaku seperti longkang yang tersumbat tidak ada jalan penyelesaiannya. Ibarat paip air yang bocor, semakin dibaiki semakin besar lompongnya.  Semakin dipeduli semakin menjadi-jadi kerosakannya.

Asal-usul manusia yang datang dari Allah. Dijadikan dari setitis air mani. Kelihatan kosong dan tidak bernilai. Buruk dan tidak bermaya. Apabila melalui proses kehidupan yang akhirnya bertukar menjadi seorang manusia yang mempunyai akal, pelbagai masalah yang timbul bagaikan cendawan tumbuh bukan pada musim hujan. Tetapi pada musim panas.

Bukankah ini satu benda yang pelik? Bukankah ini satu benda yang mustahil?

Hari ini juga kita tertanya-tanya, apakah manusia dengan binatang, binatang lebih mulia? Apakah binatang dengan manusia, manusia sudah buta?

Persoalan ini timbul bilamana seorang anak mampu membunuh ibunya dengan kejam. Persoalan ini bangkit bilamana seorang ayah mampu menjual anaknya pada kutu malam. Persoalan ini muncul bilamana seorang emak sudah hilang rasa kasihnya kepada anak kerana benci dan geram.

Apakah semua ini bisa terjadi? Dimanakah kebenaran istilah ‘rumahku syurgaku’? Sunyi. Tidak berjawapan.

Ayuh lihat semula!


Anak : Bukan kain putih

Apabila seorang bayi dilahirkan ke dunia, kita akan mengasihinya seluruh jiwa dan raga. Ketika itu, seorang ibu mampu berjaga malam demi keselesaan anak yang baru dilahirkan. Seorang ayah mampu berkerja lebihan masa, demi mencari nafkah yang halal buat si anak dan isteri.

Sewaktu bayi tersebut mula belajar merangkak dan berjalan, peranan ibu bapa dalam mencorak kain putih dan bersih itu tersangat penting dan mustahak. Bermula dengan asas yang kukuh, jika baik dan cantik ibubapa mencorak, maka baik dan cantiklah peribadi si anak.

Jika sebaliknya, maka buruk dan busuklah akhlak dan cara kehidupan si anak. Apa yang akan terjadi? Berlakulah masalah demi masalah yang tidak pernah dijangka dan diramal oleh kedua ibu bapa.

Jika pada awal kemunculan, kita mengumpamakan insan kerdil ini sebagai kain putih, bilamana besar, dia boleh berubah menjadi pedang yang tajam. Berbisa dan berbahaya. Kental dan bertenaga. Perubah dan pemusnah.

Kerana itulah, ibu bapa yang mementingkan soal kebajikan dan cara pemikiran anak-anak, mengasuh dalam mengenal nilai-nilai murni, mendidik dalam menjadi hamba sejati, satu hari nanti anak ini mampu melindungi.

Namun, andaikata ibu bapa hanya bertepuk sebelah tangan dalam mendidik, memandang sebelah mata dalam memberi kasih-sayang, tidak bersungguh dan sambil lewa, maka tidak hairanlah jika si anak yang diumpama pedang yang berbahaya dan berbisa itu, akan memakan ibu bapanya sendiri.


Ibu bapa : Bukan manusia biasa

Seorang anak yang hebat. Berdiri teguh dalam tampuk kepimpinan. Berhujah lantang dalam menegak kebenaran. Bergerak gagah dalam setiap langkahan. Kelihatan perwira buat orang bawahan. Akan tumpah jua air mata seorang anak dalam kesedihan, jika seorang ibu atau bapa yang baik ditimpa kecelakaan.

Inilah bukti rasa kasih dan cinta seorang anak kepada ibu dan bapanya. Menghargai segala pengorbanan, kesusahan, kerisauan, dan kepahitan kedua insan bertuah ini dalam membesarkan anak dalam cahaya keimanan.

Saya teringat satu kisah, bagaimana seorang anak yatim yang tidak dipedulikan nasibnya. Dibiar merempat di tepi jalan. Tidak dihirau akan kebajikan makan minumnya. Ditinggal kosong tanpa ada yang sudi membela. Malah, detik-detik kehidupan dirasakan bagai ada batu besar yang menghimpit jiwa.

Dengan izin Allah, datang sepasang suami isteri yang tidak mempunyai anak. Bertemu dan mengajak si anak yatim tersebut ke sebuah kedai makan berdekatan. Bertanya khabar dan berkongsi cerita. Sehinggalah sepasang suami isteri ini kesian, lalu mengambilnya menjadi anak angkat.

Di penghujung jalan cerita, membesarlah si anak dengan menjadi seorang usahawan yang berjaya. Disegani dan dihormati sebagai manusia yang bergaya dan kaya-raya. Sedangkan sejarahnya ketika kecil, manusia langsung tidak memandang dan menghiraukannya.

Apabila diminta untuk menceritakan sajarah kejayaan hidupnya, si anak ini ringkas memberi jawapan.

“Sewaktu saya kecil, telah datang kepada saya dua insan umpama Tuhan. Mereka menyelamatkan saya dari kehidupan yang penuh dengan kegelapan menuju kehidupan yang penuh kebahagiaan.” Maka, berbahagialah sepasang suami isteri yang dianggap luar biasa oleh si anak tersebut.

Lihat. Ibu bapa bukan manusia biasa. Boleh jadi dengan jasa dan bakti mereka, seorang anak mampu menggoncang dunia. Boleh jadi dengan air tangan mereka, seorang anak mampu mengubah peta dunia. Boleh jadi dengan keprihatinan mereka, seorang anak mampu mencipta nama di sisiNya.

Semuanya tidak mustahil dengan izinNya.


Akhir : Berbahagia hingga ke syurga

Sebagai insan yang mulia, kita semua percaya bahawa manusia adalah sebaik-baik ciptaanNya. Biarpun kita kata bunga itu cantik, sebenarnya manusia lagi cantik. Biarpun kita kata pokok itu unik, sebenarnya manusia lagi unik.

Senang cerita, manusia adalah yang terbaik dalam yang terbaik. Kadang-kadang, malaikat juga mampu tewas dengan kehebatan manusia.

Akan tetapi, manusia mampu tersungkur lebih hina dari binatang peliharaan apabila segala tindak-tanduk tidak menggambarkan Allah Maha Melihat. Tidak mempercayakan kehidupan yang sebenar adalah kehidupan akhirat.

Keluarga yang bahagia. Bukanlah satu ilusi yang direka-reka. Tetapi kita mampu kecapi, sekiranya kita benar-benar merasai akan kepentingannya. Bagi yang merasai semestinya kita akan berharap agar kebahagiaan ini tidak sahaja di dunia, tetapi berkekalan hingga ke syurga.

Ibu bapa harus percaya. Anak-anak harus akur dan terima. Ibu bapa adalah aset untuk mudah masuk syurga. Anak-anak pula adalah aset untuk mudah menjauhkan diri dari masuk api neraka.

Apabila masing-masing tahu dan memainkan peranan masing-masing, InsyaAllah bahagia di dunia mampu diteruskan hingga ke syurga yang kekal abadi.

Jadilah ibu bapa yang tidak mudah menyerah kalah. Jadilah anak-anak yang soleh dan solehah. Moga redha Allah mengiringi setiap langkah.

Sekian,
terima kasih.
Dari seorang anak.

P/s : Jika ada kesilapan pada mana-mana bingkisan di atas, mohon ditegur untuk dilakukan perubahan. 

   

Wednesday, January 25, 2012

11
Komen
~ Wajah Baru di Lautan Rabbani ~

Cahaya baru muncul di lautan ini.


Pagi ini, macam biasa. Masih sejuk seperti hari-hari sebelumnya. Agak pelik jika penduduk di sini tidak mengenakan baju sejuk pada tubuh mereka. Sekali pun ada, pastinya dengan dua sebab. Satu, dia tidak berasal dari bumi tetapi berasal dari planet Pluto.  Dua, kerana makanan kegemarannya adalah daging kambing.

Untuk ruangan kali ini, suka untuk saya selaku pemilik blog Lautan Rabbani memberi penghargaan kepada beberapa orang. Alhamdulillah, kerana dengan bantuan mereka, pelayaran blog yang biasa ini masih berlayar seperti sedia kala.

Timbul rasa sebak di hati, dalam hidup ini kadang-kadang Allah mendatangkan manusia yang tidak pernah pun kita kenal waktu kecil. Waktu kita kanak-kanak. Tetapi setelah kita meningkat dewasa, Allah mempertemukan kita dengan mereka yang baik dan sentiasa memberi sokongan tidak kenal erti putus asa. Itulah yang saya rasa.

Secara jujurnya, mampu sahaja saya untuk memunculkan nama-nama mereka di sini sebagai makluman anda semua yang singgah. Tetapi kerana saya percaya, bukan ini adalah cara yang terbaik, maka cukuplah saya menembak doa dari jauh buat mereka.

Jikalau anda perasan, ‘header’ Lautan Rabbani sudah berubah wajah. Baik atau buruk, cantik atau tidak, gempak sangat, sempoi dan sebagainya, kuasa penilaian terletak pada tangan anda semua. Jika ada yang ingin memberi pandangan atau kementar mengenainya, jangan malu dan jangan segan. Terus sahaja meninggalkan komen di kotak komentar. Boleh ya? ^^


Di Belakang Tabir : Meniti Ombak Kehidupan?

Itu adalah tanda tanya mereka yang pertama kali melihat header saya. Sebelum persoalan ini dijawab, sedikit penjelasan tambahan agar tidak berlaku kecelaruan atau salah faham dalam mentafsir.

Sebenarnya, Meniti Ombak Kehidupan adalah tema yang saya pilih sebagai satu kata kunci bagi coretan dan juga penulisan yang sudah dan bakal mengisi ruangan blog ini.

Meniti Ombak Kehidupan tidak ada kaitan langsung dengan Filem Ombak Rindu. Terbinanya tema ini adalah selepas saya meneliti akan tema beberapa blog pilihan yang saya jadikan sebagai medan untuk meningkatkan kelebihan dalam berblog dan juga pembinaan blog itu sendiri.

Pada awal kemunculan Lautan Rabbani sebagai salah satu dari puluhan juta blog di laman sesawang, bukanlah satu keajaiban yang istimewa mahupun luar biasa. Sekadar berkongsi rasa hati dan luahan pengalaman selepas diri ini ditimpa kemalangan jalan raya pada setahun yang lalu.

Detik-detik cemas itu telah saya abadikan beberapa kisahnya dalam buku ini untuk tatapan para pembaca yang budiman. Namun, suka juga saya khabarkan satu perkara bahawa apa yang diceritakan adalah tidaklah sepenuhnya sama dengan apa yang saya rasa.

Kerisauan, kesakitan, pengorbanan, kesabaran, kecelakaan dan pelbagai lagi rasa hati yang menghimpit jiwa tidak mampu dan tidak bisa diri ini melakarkan kesemua cerita itu dalam tulisan yang tidak berperasaan dan tidak bernada ini.  

Mungkin bagi yang pernah melalui kemalangan dan kecelakaan seperti saya sahaja yang mampu menjiwai setiap watak dalam cerita yang dikarang.

Kita semua insan lemah. Adakalanya kita perlukan seseorang untuk meluahkan segala-galanya. Maka, saya tampilkan insan yang bernama Lautan Rabbani sebagai pendengar setia akan segala suka-duka yang dialami.

Walaubagaimana pun, saya tidak menyangkal bahawa sebaik-baik pendengar setia adalah Allah yang menyusun segala perjalanan hidup saya di atas hamparan bumiNya.


Maksud Meniti Ombak Kehidupan

Ya. Inilah tema dalam menjadi tunjang kesemua penulisan saya. Tidak saya kata penulisan saya adalah yang terbaik, best, menyentuh dan sebagainya. Tetapi inilah tunjang dan akar yang akan para pengunjung dapat apabila datang ke sini.

Sepertimana yang kita semua tahu, dalam hidup ini pelbagai cerita dan berita, pelbagai kisah dan sejarah, yang telah kita lalui sepanjang nafas dihembuskan umpama hujan yang turun dari langit. Lebat dan melimpah.

Maka, rasa rugi dan sayang sekiranya segala cerita, berita, kisah dan sejarah yang dilalui tidak diteliti akan hikmahnya. Tidak diambil akan pengajarannya. Tidak diteropong akan maksud tersirat dan tersurat disebaliknya.

Lalu, dengan tujuan untuk mengetahui dan mendalami saat-saat diri dilambung ombak, baik kesedihan, kekecewaan, kerugian, kebahagiaan mahupun perancangan masa hadapan, maka kesemuanya akan ditumpahkan  ke dalam blog ini sebagai pemangkin buat diri terutamanya.

Nanti, akan ada yang bertanya pula. Kenapa diguna perkataan ‘meniti’? ^^

Jelas ‘meniti’ yang saya faham adalah melalui jambatan atau titi dalam keadaan berhati-hati.

Oleh kerana itu, dengan konsep berhati-hati, maka bergeraklah kita dalam melihat hikmah dengan jiwa dan hati yang sentiasa lapang dan berwaspada agar sepatutnya hikmah pengajaran yang kita dapat adalah kebaikan, tetapi takut-takut berlaku perubahan. Kita melihat nikmat dan ujian dengan berperasaan buruk sangka kepada Tuhan. Nau’zubillah.

Oleh yang demikian, Ayuh! Selamilah hidup anda dengan melihat hikmahNya.



 Siapa Yang Buat Header Sebenarnya?

Rasa tidak layak untuk menceritakan tentang orangnya di sini. Cuma, saya selaku insan yang lebih muda daripada beliau, muda sikit ja, tak banyak pun, rasa bertuah apabila dapat mengenali insan ini.

Ceria dan mesra orangnya. Banyak memberi sokongan dan dokongan tanpa henti. Suka membantu dan tidak lokek ilmu.

Ok. Nama glamournya adalah Nazmi Studio. Umur baru mencecah dua puluhan. Ini beerti, saya lebih muda dari itu. Mempunyai minat dalam bidang ‘Art Madness’ dan segala tentangnya. Dan kata beliau, semua yang berkaitan dengan Art Madness adalah best-best belaka.

Bergerak pula kepada cita-cita beliau. Ingin menjadi arkitek yang berjaya tetapi keadaan tidak mengizinkan, maka kini menceburi diri dalam bidang perguruan. Sedangkan pada asalnya, tidak mahu menjadi guru. Apa pun kita mendoakan yang terbaik. Mungkin, bakat beliau di situ.

Tambah beliau lagi, ingin sangat bertemu umi buat selamanya. Jadi, perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk ke ‘sana’.

Gelaran yang berjaya disandang abad ini adalah ‘android tak berperasaan’. Tapi sebenarnya, beliau seorang yang baik hati budinya. Itu, saya sendiri mengakui.

Wah. Ini bunyi dah macam mempromosi. Hehe. Apapun, begitulah tentang beliau.

Berdoa agar Allah mempermudahkan segala urusannya. Memberi kekuatan untuk beliau bersama ahli keluarganya mencipta kebahagiaan di dunia juga akhirat. Berjaya dalam membina kerjaya. Cemerlang dalam membina peribadi yang mulia. 

Sentiasa dibukakan pintu hatinya dalam menimba hikmah-hikmah Allah. Moga diselamatkan juga dari fitnah-fitnah syaitan dan juga manusia. Buat anda yang membaca, tolong doakan juga buat pencipta header Lautan Rabbani ini ya. Doa yang sama juga untuk anda.

Buat yang ingin berkenalan dengan lebih mendalam, mungkin anda boleh bertemu dengan beliau di sini. Sebuah  pondok teduhan di alam maya. Klik NaZmi Studio.


Akhir : Sekalung bunga Terima Kasih

Kita bukan bercakap soal hidup di alam fantasi. Kita bukan bercakap soal hidup di alam mimpi. Tetapi kita berbicara soal hidup di alam realiti. Sudah menjadi adat dan adab kepada orang yang baik-baik, apabila mendapat sesuatu, sudah pasti akan mengucapkan terima kasih.

Saya juga mahu begitu. Menjadi orang yang baik-baik. Maka, sambutlah sekalung bunga terima kasih kepada semua yang sudi meluangkan masa di sini. Membaca tinta biasa ini hingga ke penghujungnya. Saya tidak ada kuasa untuk memaksa anda semua membaca sehingga akhir.

Oleh kerana itulah, tidak salah kiranya saya mengucap ribuan terima kasih sebagai tanda menghargai masa anda yang telah diluangkan.

Terima kasih khusus juga buat Nazmi Studio atas hadiah anda yang bermakna ini buat Lautan Rabbani. Sangat-sangat menghargainya. Alhamdulillah. Ya Allah, rahmatilah mereka yang baik-baik ini. Amin.

Sekian,
Terima kasih.

P/s : Dalam kesempatan ini juga, saya memohon kepada anda semua untuk mendoakan kesejahteraan ahli kluarga saya di Malaysia. Boleh ya? ^^




Tuesday, January 24, 2012

12
Komen
~ Saat Salji Turun ~

Qawiem Khairi | Setelah lama menanti dan berharap, hari ini Allah pertemukan jua. Alhamdulillah.


Aku menggumpal ais bulat-bulat. Ditekan biar kejap. Agar terbangnya mampu pergi jauh. Ais yang sebesar bola hoki itu terus ku longtarkan ke angkasa. Saat ia jatuh menjunam, kelihatan seorang pemuda berkaca mata turut serta melakukan hal yang sama sepertiku. Lalu, dia bergerak untuk membaling sekuat hati gumpalan aisnya ke arah langit jua. Sasarannya adalah aku. Pasti.

Namun, belum pun sempat aisnya bertukar tangan, senjataku yang masih di udara terus meluncur laju tanpa disedarinya.

Bush! Sasaran tepat! Strike!

Aku tergelak seorang diri. Tetapi gelak tawaku tidak lama, bertubi-tubi serangan balas dia dan kawan-kawan sekeliling menghujani tubuhku. Aku hanya mampu berlari. Cuba mengelak dari terkena gumpalan ais mereka.

Begitulah sedikit sebanyak keadaan kami apabila pertama kali menjejak kaki di Ajloun. Aku berbicara seorang diri, akan nikmat yang telah diberikan. Aku punya kaki dan sudah ke merata tempat aku jejaki. Sebaliknya hari ini, Allah membenar aku dan kawan-kawan yang lain sampai di satu tempat yang belum pernah kami tahu akan kewujudannya.

Bilamana menjejak di Jordan pada awal semester dahulu, bual-bicara senior-senior sebagai orang lama di sini mengatakan bahawa di Ajloun adalah salah satu tempat yang akan turun salji apabila tibanya musim sejuk. Dan dengan izinNya, hari ini aku melihat akan kebenarannya. Hari ini aku merasai akan segala-galanya.


Peta Ajloun. Perjalanan dari Amman (ibu negara Jordan) menuju ke Ajloun.

Ajloun. Sedikit tentangnya. Sebuah tempat yang menjanjikan pemandangan yang indah dan memukau buat para pengunjung. Di sini, pengunjung boleh melihat istana kawalan, contoh terbaik seni bina ketenteraan Islam di samping kewujudan terowong, tangga dan dewan-dewan untuk diterokai.


Kenapa di Ajloun turun salji? Persoalan ini terbongkar apabila saya dapat tahu bahawa Ajloun merupakan bukit hutan pine yang tertinggi di utara Jordan. Dan untuk pengetahuan semua, 32km dari utaranya terletak Bandar Irbid – tempat tinggal saya di Jordan yang dikenali dalam catatan sejarah sebagai Arbilla. 



Kami bertolak ke Ajloun sekitar pukul sembilan pagi. Seramai sepuluh orang. Meredah bayu sejuk dan segar tanpa mempedulikan rayuan nafsu tidur yang kepenatan. Biasalah, bangun pagi sekitar suhu 4 darjah celcius. Masakan tidak menggigil badan ini dibuatnya.


Setelah penat bermain. Rehat sebentar untuk sesi bergambar. 


Muhammad. Siap sedia untuk menyerang kembali. Lihat kepada rambut, sudah tahu beliau orang yang bersemangat. Jangan salah sangka ya. Itu bukan rambut, tetapi benang yang seakan rambut. ^^

Sedang membayangkan 'ais kacang' dan 'cendol pulut' di Malaysia. Tidak sangka, saya jumpa keturunan mereka di sini. ^^ 


Mukhlis. Bersama pokok pilihan hatinya. Juga merupakan ketua untuk expedisi kali ini. Kelihatan gambar ini begitu cantik. Kalau nak tahu, sayalah yang snap. =P


Uzair. Umurnya sama dengan umur saya, tetapi dia sudah tahun kedua. Dahulu, ketika saya di Malaysia, saya selalu menjengah ke facebooknya. Melihat gambar-gambar dia menjelajah bumi Jordan. Kini, saya berdiri bersebelah dengannya. Alhamdulillah.


Dua orang sahabat. Akhi Qawiem. Berbaju merah. Satu-satunya manusia yang sama namanya dengan saya. Tapi ternyata dia lebih hebat lagi dari saya. Bersama akhi Afdholul Rahman. Penulis Langit Ilahi dalam ruangan Himmah. ^^


Qawiem Khairi | Cuba untuk berenang tetapi tidak bergerak. =P


Zarrin. Yang mesra dan ceria. Senang hati apabila bersama dengannya. Sempat berkenalan ringkas dalam kereta tadi. Anak bongsu daripada enam orang adik beradik. Status, masih bujang. ^^


Sebelum itu, silalah tonton video di bawah. Sebuah bingkisan dari saya di bumi Ajloun Jordan.
Kerana ketidak puas hatian kawan-kawan yang lain akibat diserang oleh saya, mereka mengambil kesempatan ketika saya buat video ini untuk menyerang kembali. Haha. Ok. Selamat menonton!




Sebagai kesimpulan untuk artikel kali ini, saya ingin mengucap syukur yang tidak terhingga kepada Allah, atas kesempatan peluang dan ruang diri ini menjejakkan kaki di bumi salji. Telah menjadi impian saya dari kecil, untuk melihat bagaimana keadaan negara yang mengalami musim sejuk, menyambut kehadiran salji.

Hari ini, semua itu sudah saya lihat. Jika di Malaysia, kita ada musim panas diselang seli-seli dengan musim hujan, tetapi tidak di Jordan. Berlakunya empat musim dan yang paling ketara adalah musim panas dan musim sejuk.

Buat anda dan anda yang masih belum berpeluang untuk bermain salji, saya ucapkan selamat datang ke
Jordan. Penuhi citarasa anda untuk bermain gumpalan-gumpalan ais dan membina snowman.

Sepertimana yang telah saya kata dalam tayangan ringkas di atas, terima kasih sekali lagi buat semua para pelawat Lautan Rabbani di atas kesudian anda semua yang sudi singgah di sini. Moga Allah merahmati dan mengeratkan hubungan kita antara satu sama lain.

Buat yang baru pertama kali singgah di sini, sambutlah salam perkenalan dari saya.

Mungkin itu sahaja, sebagai luahan rasa hati dan perkongsian cerita, walaupun di Jordan, saljinya tidaklah seperti negara-negara yang lain, yang memang lebat ia turun, tetapi pada saya sudah cukup untuk berterima kasih kepada Allah. Alhamdulillah.

Sekian,
Salam Mahabbah.

P/s : Mohon pada semua untuk menembak doa kepada ibu bapa saya di kampung. Moga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada mereka. Tolong aminkan ya. Terima kasih.


Sunday, January 22, 2012

5
Komen
~ Teringatkan Ayah ~

Mendewasakan diri untuk menjadi seorang 'ayah' seperti ayah.


Ku mengintai ke luar jendela. Melihat cuaca pada hari ini mendung. Titisan hujan mencurah-curah dari langit. Jalan-jalan raya di hadapan rumahku dibasahi. Sekali-sekala beberapa buah kereta berderu laju di atasnya. Air memercik. Sejuk.

Aku. Masih di sini. Melihat dan terus melihat. Berfikir tentang bukan apa yang aku lihat. Tetapi berfikir akan sejarah lalu yang kembali ku ingat. Saat bersama dengan keluarga yang tercinta. Menjalani detik-detik bahagia, ceria dan mesra bersama mereka.

Wajah ayah datang. Membuatkan segala pesan ayah terus terngiang-ngiang di fikiranku. Aku akur. Percaya akan segala nasihat itu mempunyai maksud yang mendalam. Yang bukan untuk melihat masa depan aku menemui kegagalan. Tetapi sebuah kejayaan yang sebenar. Yang bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Aku teringat semua itu.

Sewaktu aku kecil, aku selalu dimarahi ayah. Kenapa tidak abang? Kenapa tidak adik? Dan kenapa aku? Hinggakan aku pernah berasa bahawa akulah anak yang malang dalam keluarga. Rasa bagaikan mahu lari dari rumah. Mahu ditinggal segala kesusahan dan musibah ini untuk pergi mencari kebebasan.

Sewaktu aku kecil, aku rasa bagaikan akulah punca segala-galanya. Kerana sikapku yang buas, aku tidak mampu mmbahagiakan guru-guru. Kerana sikapku yang tidak pernah memperdulikan perasaan guru, pelajaranku hanya berpusing di sekitar pelajar tercorot.

Kerana sikapku yang tidak mementingkan pelajaran, aku hanya mampu berbangga dengan keputusan kawan.

“Ayah! Azim tu, waktu periksa pertengahan tahun dia dapat nombor satu, waktu akhir tahun pun dia dapat nombor  satu.” Aku tersenyum bangga. Kerana Azim itu kawan baik aku di sekolah rendah.

Ayah diam lama. Kemudian bersuara.

Buat apa bangga dengan keputusan kawan kalau keputusan sendiri tidak cemerlang? Sepatutnya kena tanya.. kenapa keputusan kita tidak sama dengan keputusan Azim?” Kata ayah. Bersederhana tinggi suaranya.

Aku terdiam. Dan ketika itu aku sedar. Bahawa hati ayah rawan dengan sikapku. Dengan keputusan yang kuperolehi itu sudah cukup untuk membuktikan bahawa selama ini, aku langsung tidak memperdulikan pelajaran. Itulah salah satu pesanan ayah ketika umurku hampir mencecah sepuluh tahun.

Dewasa kini, aku kembali mengimbau semua itu. Marah ayah. Rotan ayah. Puji ayah. Gurau ayah. Perihatin ayah. Tanggungjawab ayah. Semuanya bersebab. Semuanya mempunyai tujuan. Semestinya untuk kebaikan diriku jua.

Tinggal kadang-kadang, aku sahaja terasa bahawa ayah tidak menyayangiku. Namun, sebaliknya.. aku adalah harapan kepada ayah! Moga satu hari, diri ini mampu membahagiakan ayah.

*****

Seorang ayah yang baik adalah tersangat penting dalam institusi sebuah keluarga.

Tersangat mustahak untuk menentukan kejayaan sebuah keluarga pada masa hadapan.

Berapa banyak keluarga yang runtuh, akibat seorang ‘ayah’ yang tidak memainkan peranannya? Berapa banyak keluarga yang bercerai-berai, kerana seorang ‘ayah’ yang tidak mempedulikan kesejahteraan ahli pimpinannya? Berapa banyak institusi keluarga yang dibina roboh walaupun anak sudah besar? Dan berapa banyak… bla.. bla..

Lihatlah. Persoalan-persoalan ini terbit bagaikan ingin menyalahkan seorang ayah. Namun, pada hakikatnya perlu kita semua tahu bahawa yang sebenarnya, seorang ayah itu tersangat berat tugasnya.

Ramai anak muda ingin berkahwin. Tetapi ramai yang tidak sanggup menjadi seorang ayah.

Kerana apa? Sebab ingin menjadi seorang ayah bukan hanya pada sedap kata-kata, tetapi pada kesungguhan dan pengorbanan yang perlu dilakukan untuk membawa bahtera keluarga menuju keredhaan Allah.

 Aku teringat sebuah kisah yang diceritakan oleh sahabatku dalam blog beliau. Bagaimana seorang Datuk yang berjaya dan berkerjaya, mempunyai lima orang anak yang berkelulusan, tetapi apabila ditanya siapakah dalam kelima-lima anak tersebut yang mampu mendoakannya di alam kubur nanti, Datuk itu hanya mampu menunduk kesal. Tidak ada seorang pun rupanya yang mampu mendoakannya. Bukankah itu satu kerugian?

Mendidik anak untuk mendapat dunia, ramai yang mampu. Itupun setelah melalui pelbagai kesulitan dan masalah. Tetapi, yang mendidik anak untuk mendapatkan akhirat? Ramai yang tidak sanggup. Kerana takut dengan masa depan anak yang susah mendapat kerja dan sebagainya.

Oh ayah. Begitu susah dan sukar tugasmu. Moga Allah merahmatimu. Sungguh, hari ini aku teringatkan ayah. Teringatkan gelak tawa ayah. Teringatkan gurau canda ayah. Teringatkan keperihatinan ayah dalam mendidikku. Mengajar itu dan ini kepadaku.

Ayah. Maafkan diri ini. Yang banyak menyusahkan. Yang banyak merisaukan. Terasa ingin memeluk dirimu hari ini.

Sekian.
Pelaut Rabbani.
Irbid Jordan.






Monday, January 9, 2012

5
Komen
~ Puitis : Di bawah Kelemahan ~

Kelemahan dan aku. | Qawiem Khairi


Bergerak dan bergerak,
kemudian berhenti,
melihat.

Kemudian aku menutup mata sendiri,
berjalan lalu aku berhenti.

Penat dalam kelemahan,

sebab alam bergerak tanpa adanya perlahan,
aku pula berjalan dengan wujudnya banyak kekotoran.


Berperang dengan nafsu,
berperang dengan diri,
berulang-alik di dunia tanpa arah dan hala tuju yang pasti,
berlari-lari di alam realiti,
tanpa kekuatan yang belum cukup kuat dan rapi.

Bersama perjalananku yang dirasa,
ku sedang memikul kelemahan seorang manusia,
tersungkur, merangkak, bangun kemudian tersungkur semula,
itulah resminya seorang hamba,
namun padaku ia bukan alasan yang perlu dibela,
kerna ku tahu nak masuk syurga tidak cukup bermain kata.


Sekian Terima kasih.
Tolong doakan untuk diri ini.
Agar dipermudahkan menjawab imtihan akhir nanti.
Salam mahabbah.