Friday, April 20, 2012

4
Komen
~ Takut bertanya : Salah siapa? ~

Termenung dengan seribu macam persoalan yang tidak terungkai.

Setiap manusia di atas muka bumi ini sentiasa melakukan kesalahan. Tidak kurang yang inginkan perubahan tetapi tetap tidak mampu lari dari kesilapan. Itulah manusia. Punya kelemahan secara tak langsung menafikan seratus-peratus yang manusia itu Tuhan.

Tinggi kita belajar hatta di universiti terbaik dunia sekalipun, tetap ada yang koyak.

Jauh kita merantau hatta ke negeri cina sekalipun, tetap ada yang rosak. 

Panjangnya umur kita hingga mencecah tujuh ketururnan sekalipun, tetap ada yang dipijak.

Pantasnya kita bergerak, ke hulu ke hilir sekalipun, jangan kita lupa yang dahulu kita pernah merangkak.

Inilah yang dinamakan insan. Setinggi tujuh petala langit sekalipun kita mendapat pengiktirafan daripada manusia, jangan kita lupa yang kita adalah makhluk yang tidak dapat lari dari kelemahan.


Malu bertanya sesat jalan?

Bilamana kita bersifat seperti orang yang lemah atau bodoh, ramai yang memandang jelek dan menghina. Tersenyum sinis dan negatif. Walhal, ada masa bersifat seperti orang bodoh itu atas tujuan untuk menjadi hebat.

Pernah tak berlaku dalam kehidupan kita, apabila seorang pelajar bertanyakan soalan kepada gurunya. Kadang-kadang apa yang terjadi guru tersebut menghunus jawapan balas tanpa menghirau hati yang bertanya.

Ada pula yang selalu ungkap, malu bertanya sesat jalan. Tapi bila ditanya, banyak pula leterannya. Nak salahkan itu. Nak salahkan ini. Dan last, baru berikan jawapan.  

“La, tadikan cikgu dah terang. Itulah, waktu cikgu terang kamu main-main. Bla… bla… bla.. Jawapannya macam ni….”

“Apalah kamu ni. Soalan senang pun nak tanya. Bla… bla… Caranya macam ni…”

“Berapa kali cikgu nak ulang? Cuba tengok kawan kamu yang lain, semua paham je apa yang cikgu terang. Bla… Bla… ” Padahal kawan lain hanya jadi pak angguk je.

Lepas tu kita seringkali memomokkan dengan tips pelajar cemerlang, selalu bertanya kepada guru jika tidak faham. Bila ditanya, seringkali pula dipermainkan.

Hingga satu tahap, orang kita akan menjadi yang keterbelakang dalam soal ‘berani bertanya’. Sebab apa, orang kita akan mudah buat tanggapan negatif dan inferior walaupun belum bertanya.  

“Malaslah aku nak tanya, kawan-kawan asyik gelak.”

“Takutlah aku nak tanya. Nanti cikgu marah.”

“Buat apa aku tanya, nanti semua orang tahu aku ni bodoh.”

Sebagai seorang yang sedang belajar, pasti ada salahnya. Dan terciptanya satu-satu kejayaan itu adalah selepas berkali-kali kita bersua dengan kegagalan. Setengah orang bukan takut untuk gagal, tapi takut dengan pandangan dan ancaman orang apabila kita gagal.

Jadi, buat para guru janganlah mencampurkan penyelesaian kepada soalan yang ditanya dengan kemarahan.

Dan kita, janganlah merendah-rendahkan orang yang bertanya dengan melemparkan gelak-tawa dan kata-kata yang melemahkan semangat mereka. Senang kata, tolong jangan bajet pandai.


Kalau nak tahu tentang orang arab

Apabila saya berada di Jordan, macam-macam yang saya nampak. Mengenai gaya hidup orang arab yang jauh berbeza dengan gaya hidup orang melayu.

Orang melayu – kadang-kadang lebih baik lagi dari arab. Begitu juga sebaliknya.

Soal musyarakah (perbincangan dalam kelas, tanya soalan, dan aktif dalam kelas) menang Arab lagi dari melayu. Sebab apa? Kerana budaya mereka yang tidak takut salah. Tidak rasa hina jika bertanyakan soalan walaupun soalan itu mudah.

Mereka juga tidak memperlekehkan kawan-kawan yang bertanya. Bahkan siap tolong pensyarah lagi untuk memahamkan kawan mereka itu.

Itu yang perlu kita belajar daripada orang arab. Sekarang mungkin kita tidak merasai benda ini. Sebab kita berada dalam kepompong kita sahaja. Nanti, bila kita sudah keluar ke tempat orang, kita akan sedar bahawa kita ini rupa-rupanya jenis yang mandom di dalam kelas.

Sedangkan melayu, kemungkinan dua. Mungkin diam faham. Mungkin diam tak faham.


Akhir : Masing-masing kena berubah

Apa yang ingin dibincangkan sebenarnya kali ini? Saya mahu kita semua nampak bahawa sebagai seorang yang sedang belajar, sifat rajin bertanya wajib ada dalam diri kita.

Wajib tanya di sini bukan bermaksud sepanjang masa perlu bertanya. Tetapi tanya bila perlu dan sekiranya tidak tahu.

Begitu juga mereka yang ditanya. Sama ada Ibu bapa kepada anak-anak, guru kepada pelajarnya, abang dan kakak kepada adik-adik, doktor kepada pesakit dan selainnya… janganlah kita memandang orang yang bertanya dengan perasaan hina. Sebabnya, perlu wujudkan rasa berani bertanya itu sudah susah apatah lagi mahu bertanya.

Tiba-tiba dengan kesilapan kita sebagai ‘orang yang ditanya’ memberi jawapan dengan kasar dan benci. Sinis dan tajam. Bukankah semangat untuk bertanya tadi makin lama makin hilang?  

Begitu juga kita yang bertanya, ayuh sama-sama kita ubah sikap untuk menjadi manusia yang tidak takut bertanya demi ilmu. Tidak malu bertanya demi menjadi manusia berjaya. Itu sahaja.

Fikirkanlah dan beranilah untuk bertanya pada diri, aku mahu berjaya atau tidak?


4 comments:

  1. pasai kisah pak2 arab, selalu jugak ustaz2 kelulusan timur tengah cerita tentang keburukan org arab. tapi, dalam buruk2 diorang, ada jugak beberapa sikap yang elok kita contohi. (n_n)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Eh, semestinya ada. Tapi sayang orang suka ambil yang buruk berbanding yang baik.

      Delete
  2. salam kenal...kami sekarang menetap di jordan dalam tahun akhir. Semangat dalam kembara mencari ilmu di bumi anbiya' menjadi kekuatan dalam diri.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya salam kenal. Owh, Barakallah.
      Moga ketemu nanti.
      terima kasih ya.

      Delete