Friday, December 23, 2011

5
Komen
~ Zaman Berbaju Sekolah ~

Sungguh, 'dia' akan tetap berjalan tanpa henti. 

Sebelum coretan ini dikayuh dengan lebih mendalam, marilah sama-sama kita merafa’kan setinggi-tinggi rasa syukur kepada Allah yang Maha Menyusun.

Dengan penyusunanNya, hari ini kita tidaklah seteruk mereka yang sangat cinta kepada kemungkaran. Hari ini kita tidaklah sebodoh mereka yang melihat kehidupan sebagai hiburan. Hari ini kita tidaklah sebusuk mereka yang tidak ada tujuan kehidupan. Bahkan, dengan penyusunanNya, hari ini kita masih lagi diberi dua nikmat yang terbesar iaitu nikmat Islam dan Iman.

Buat pembaca setia Lautan rabbani, saya dengan senang hati ingin memberitahu kalian bahawa artikel kali ini khas buat sahabat-sahabat di sekolah lama saya dahulu. Mereka 15th generations. Dan coretan kali ini juga sebagai surat layang saya sebagai seorang sahabat kepada mereka yang sudah memulakan perjalanan kehidupan mengikut bidang pengajian serta kerjaya masing-masing.

Cepat masa yang berlalu membuatkan kita tidak sedar. Dahulu kita masih bergelar pelajar sekolah. Pakaian kita tidak lain dan tidak bukan adalah pakaian wajib - berbaju putih dan berseluar hijau.

Andaikata mahu dihitung perkiraan jam dinding selama lima tahun, sudah pasti pakaian sekolah adalah pakaian yang paling lama kita kenakan pada tubuh. Bermula dari pukul 7.40am hinggalah ke pukul 4.00pm. Hampir setengah hari.

Namun, zaman itu sudah berlalu. Dan kita bukan lagi berada pada zaman itu. Segala duka ceria sudah sama-sama kita lalui. Lima tahun. Sekejap bukan?


Bercerita tentang dia.

Nazeer Mukhlis. Satu nama yang tidak asing lagi dalam batch kita, seorang yang hebat dalam akademik dan peribadinya. Walaupun umur adalah lebih muda daripada kita semua, namun perjuangan, kematangan, pemikiran kadang-kadang adalah jauh lebih kehadapan berbanding… tuut..

Sewaktu kehidupan kita berada di penghujung alam persekolahan, ana seringkali berkata kepada diri, bahawa sahabat-sahabat yang bersama hari ini tidak mustahil adalah yang akan memegang tampuk kepimpinan negara satu masa nanti. Tidak mustahil adalah yang disegani dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.

Tidak mustahil adalah tempat rujukan masyarakat tentang ilmu-ilmu agama, soal hukum-hakam, soal hadis dan Al-Quran. Dan segala-galanya adalah tidak mustahil bagi mereka yang melibatkan diri secara bersungguh-sungguh dalam bidang yang masing-masing.

Begitu juga yang menceburi bidang perubatan dan sebagainya. Walaupun semasa di sekolah dahalu kalian bukan siapa-siapa. Tidak menggalas mana-mana jawatan. Tidak menonjol seperti sahabat-sahabat lain yang melibatkan diri dalam kepimpinan. Tidak menjadi ‘scorrer’ dalam setiap peperiksaan, Namun.. kerana percaya kepada janji bahawa siapa yang berusaha dia akan dapat, maka di situ ana terbayang wajah-wajah anda semua dengan kejayaan yang dikecapi.

Untuk yang pertama. Itu yang ingin ana sebut. Dan apa kaitan dengan Nazeer?

Sebagai seorang sahabat, sudah pasti kita berbangga dengan keputusan Nazeer mendapat 12A sewaktu SPM, tetapi sebagai manusia.. pasti timbul satu persoalan dalam diri kita bagaimana Nazeer boleh dapat ‘straight’ A?

Sedangkan sewaktu belajar dia juga belajar dengan kita. Sewaktu main, dia juga turun main dengan kita. Sewaktu tidur? Aha.. lain sikit. Dia tidur rumah. Kita tidur asrama. Dan kerana itu, pada ana bukan satu jawapan utama kepada persoalan yang timbul.

Maka, apa jawapannya? Hah! Kalau ada dalam kalangan kita yang langsung tidak pernah mencari hikmah akan kejayaan ini, itu ana tak tahulah.

Pada ana, kalau boleh ana nak tahu apa rahsia kejayaan mereka yang menyebabkan Allah permudahkan sedemikian rupa. Macam Zul, Ridha, Hanif, Shuk, Amad, Peng, Salim, Walip dan lain-lain.


Hikmah Itu Ada Bagi yang Berpandangan Jauh

Waktu ana ditimpa kemalangan setahun yang lalu, tidak ada seorang pun yang menyangka. Tidak ada seorang pun yang dapat meneka. Hatta yang sering bersama ana. Seperti Salim dan Nabil.

Sudahlah tersepit dalam kereta, tidak pengsan pulak.. sungguh di luar jangkaan. Dan apa yang dialami itu, sungguh ana sendiri merasai akan kemanisan dan kepahitannya. Betul-betul menggegarkan. Maka, kebanyakan yang berkunjung dan menziarahi tidak lekang dengan soalan – Apa hikmah yang enta dapat?

Jawapan ana ketika itu.. dapat sakit!

Tetapi sekarang, apabila sakit sudah berlalu pergi, barulah rasional yang menjadi paksi penilaian diri. Dan keputusan, terbitnya hikmah satu demi satu. Bahkan, perjalanan kehidupan di bumi Jordan ini juga sebenarnya ada hikmah dengan kemalangan tersebut.

Bukan nak kata yang ana berpandangan jauh sebab nampak hikmah. Tetapi itulah lumrah musibah. Perlu nampak hikmah. Barulah hidup selepas itu menjadi tenang dan mudah.

“Eh. Nak cerita tentang siapa ni? Tadi nak cerita tentang Nazeer.. sekarang cerita tentang diri dia pulak!”

Haha. Ok.. kita balik kepada cerita asal. Ana just nak cerita hikmah yang ana dapat dari apa yang ana lalui. Dan sebenarnya ada kaitan dengan cerita Nazeer. Tudia.. cover rapat.


Memudahkan kerja seorang Ibu

Sebenarnya ana tidak tahupun akan cerita ini. Tetapi apabila menyambung di tingkatan enam sebagai pelajar senior, lalu diberi amanah sebagai pemegang usrah kepada adik-adik, maka ana menjemput Nazeer untuk memberi sedikit ucapan berbaur nasihat dalam bulatan tersebut.

Ketika itu, Nazeer masih menunggu tawaran untuk ke IKIP di Pahang - persediaan iaitu Kursus Intensif Bahasa Arab sebelum menjejak kaki ke Mesir sebagai mahasiswa di bawah tajaan MARA dalam bidang perubatan.

Sungguh, tidak menyangka bahawa cerita yang dibawa dalam bulatan usrah tersebut bukan sahaja menyentuh hati adik-adik, tetapi memberi pengajaran yang besar kepada kita semua bahawa kejayaan bukan sahaja seratus-peratus pada usaha tetapi pada amal kebaikan yang mungkin telah kita lakukan di luar kebiasaan.

Bahkan rahsia Nazeer begitu.

Seperti mana yang kita tahu, Allah izin Nazeer mempunyai seorang adik yang ‘special’. Mawaddah nama diberi.

“ Telah menjadi rutin harian ana sewaktu tingkatan lima dahulu, bangun pagi untuk siap-siapkan Mawaddah. Lalu hantar pergi sekolah. Kemudian pada jam 12 tengah hari, diantara pertukaran kelas, ana akan keluar kelas sekejap untuk ambil adik ana dan bawa balik.” Kata sahabat ini.
                                                                                           
Bunyi macam mudah bukan? Tetapi yang melakukan pasti akan merasai kepayahan. Subhanallah. Bila mana sebegini macam pengorbanan yang telah dilakukan, terus terketuk pintu hati.. andai aku ada adik sebegitu rupa, adakah aku akan terus sabar untuk buat kerja ini? Kalau sehari dua tidak menjadi masalah sangat. Ini hampir setiap hari. Siap boleh jadi rutin.

Bom!! Runtuh benteng keangkuhan dalam diri ini.

“Ana rasa bila ana mudahkan kerja mak ana ini, mungkin Allah tolong. Dan Allah Maha Tahu.” Tambahnya lagi.

Subhanallah. Kagum dengan enta.

Nazeer dan Shukri. Berlatarkan Tasik Rayyan

Nazeer seorang pendengar yang setia. Setiap lantunan katanya umpama nasihat. Canda tawanya menghembus semangat. Sungguh! Dari persahabatan ini terpancar keikhlasan. Dari keihklasan ini berputik persefahaman. Dari persefahaman ini bersimpul kasih sayang. Moga sinergi ukhwah antara kita kekal sampai ke syurga.” (Shukri, Alex Mesir)


Kita ada Sejarah sebagai Rujukan

Ana tahu sahaja pasti ada yang akan kata itu semua cerita lama. Sekarang hidup dah lain. Apa kaitannya? Apa yang boleh diambil pengajaran? Waktu SPM bolehlah kalau nak sembang lebat. Sekarang masing-masing sudah masuk universiti. Tidak sama suasananya.

Bagi yang melihat sedemikian rupa, maka seharusnya kita melihat kembali kepada zaman kegemilangan Islam. Ketika mana Sultan Muhammad Al-Fateh ingin menggegarkan Kota Konstantinopel.. apa yang beliau lakukan sebagai persediaan awal?

Dicerita dalam sejarah Islam bahawa Sultan Muhammad telah membuat ‘postmortem’ terhadap kegagalan panglima-panglima Islam sebelum beliau. Kenapa kota yang begitu berstrategi dan berpotensi itu tidak mampu ditumbangkan? Sedangkan sudah wujud hampir sepuluh panglima Islam yang ingin menawan kota tersebut.

Persoalan ini dicari jawapan.  Dijadikan rujukan. Diambil pengajaran. Agar kesilapan-kesilapan kecil tidak kembali diulangkan. Kesannya, gelaran sebaik-baik ketua dan juga sebaik-baik tentera mampu dibuktikan.

 Oleh yang demikian, tidak ada alasan bagi kita yang mahu berjaya perlu singkirkan hikmah kejayaan mereka yang pernah berjaya. Setuju? Hmm..

Tetapi jangan silap, usaha tetap kena ada, lalu hasilnya serahkan kepada yang Esa.


Akhir : Selamat Maju Jaya Buat Semua

Bila sudah sampai kepada penutup, timbul pula rasa segan dan malu pada sahabat-sahabat sekalian.

Yalah, siapalah diri ini yang ingin mengharap anda semua untuk membaca coretan ana. Walhal, dahulu sewaktu di sekolah, ramai lagi yang hebat berkata-kata. Dalam masa yang sama mantap juga dalam arena penulisan.

Walaupun begitu, setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada semua kerana tetap sabar membaca sehingga ke penghujungnya. Catatan yang tidak sehebat mana ini, harapannya mampu memberi
seribu satu makna untuk kita lebih gigih dan kuat meneruskan langkahan yang telah dimulakan.

Ketahuilah sahabat, kita umpama keluarga besar. Lima tahun dahulu bersama, bukan belajar tentang dunia sahaja. Bahkan diasuh mengenal Allah yang Maha Pencipta. Dan hari ini, setelah keluar dari lubuk mutiara dan permata, takkan semudah itu kita mampu melupakan kesemuanya?   


******

Buat sahabat Nazeer Mukhlis, Selamat Hari Lahir diucapkan. Moga genapnya umur ini semakin mendewasakan enta sebagai seorang insan untuk meneruskan kehidupan. Moga kejayaan demi kejayaan tidak putus-putus mengunjungi enta. Selamat maju jaya. Dan minta maaf andai tulisan ini terlebih silap dan garamnya.

Sekian saja dari sahabat kalian. 


P/s : Sila tinggalkan kata-kata nasihat anda semua kepada diri ini juga ya.


5 comments:

  1. Mashallah,
    Qawiem,
    sentiasa hebat lantunan bicara dan gaya bahasanya.

    Teringat pesan Ustaz Khairul time SPM dulu:
    "Kita jangan memandang rendah pada setiap kebaikan, kecil mahupun besar, kerana kita tidak tahu dari kebaikan mana Allah akan kurniakan kejayaan kepada kita"

    Ini konklusi yang ana dapat dari kisah ini !

    ReplyDelete
  2. > Zul-FaQaR

    Tidak ada yang perlu ana tambah Zul,

    Sebab konklusi yang enta buat rasanya dah sangat tepat dengan tujuan artikel kali ini. Terima kasih.

    InsyaAllah. Ada kesempatan ana buat tentang enta pula. =D

    ReplyDelete
  3. subhanallah...cerita insan yang hebat,

    Mawaddah tentu sangat merindui abangnya yg seorang ini..yg rajin meladeni kehendak dan keinginan adik istimewa ini.. (ana smpt berhq bersama cg norizan dan smpt juga melayani Mawaddah)

    UA sentiasa ingat pesanan seseorang yg sgt bermakna dalam hidup;

    "kalau kita permudahkan urusan orang lain, Allah akan mempermudahkan urusan kita"

    Yakinlah dengan Allah...

    ReplyDelete
  4. > Ummu_ammar

    Alhamdulillah. Kadang-kadang bukan susah Allah nak bagi teguran. Dengan kehidupan sahabat yang lain pun Allah boleh selitkan pedoman. (Nasihat untuk sendiri)

    Semestinya mawaddah rindu. Betul tak Nazeer? :=.=:


    > Anonymous

    :)tQ

    ReplyDelete