Wednesday, December 7, 2011

3
Komen
~ Ingin Jadi Jahat? ~

Teringat kisah dahulu di malam hari. Sementara menanti hari esok. ^^


Dalam kesejukan malam. Bertemankan bayu di tanah Arab. Yang menghembus lembut seluruh tubuh. Mendamaikan jiwa yang resah. Terasa tenang dibelai sedemikian. Yang akhirnya bisikan menutur perlahan. Tanda penghargaan buat Ar-Rahman. Alhamdulillah.

Sewaktu diri ini rancak berjalan kaki ke dewan kuliyah sebentar tadi, entah kenapa zaman kecil kenot kembali di ingatan. Zaman menganggap dunia adalah hiburan, merangkak laju bermain di fikiran. Zaman yang saya rasa, hidup ini tidak akan sempurna. Jika apa yang dilakukan itu tidak berakhir dengan keseronokan.

Bukanlah semua perkara yang saya lalui di zaman kanak-kanak dahulu datang semuanya. Maksud di sini, ulang tayang bagi beberapa kisah yang pernah saya lalui terasa diputarkan kembali ke alam dimensi ingatan.

Mengingatkan kisah-kisah dahulu membuatkan saya tersenyum dan bercakap seorang diri sepanjang perjalanan tadi. Tidak hairanlah kalau ada orang arab yang melihat pelik kepada saya. Tidak peliklah kalau ada orang arab yang tersenyum hairan kepada saya. Sebab itu adalah di luar kebiasaan manusia normal..

Sayu. Gembira. Sedih. Kecewa. Geram. Dan Bangga.

Adalah sebuah gelombang dan perasaan yang digaul serentak apabila mengingatkan cerita dahulu. Bila mengimbau saat disisih kawan-kawan, jiwa terus terasa kesayuan dan kesunyian. Bila mengimbau saat diri dianggap ketua oleh kawan-kawan, jiwa kembali berputik kebahagiaan.

Kemudian, teringat kembali zaman dimarah oleh guru, jiwa kembali kepada mendung kesedihan. Datang semula zaman diri menjadi rebutan rakan-rakan perempuan, maka tergelak seorang diri sewaktu melintas jalan. Haha.

Ya. Semua itu adalah cerita. Buat sang diri yang akan kekal sebagai nostalgia dan kenangan. Sebetulnya, anda juga begitukan? Ada sejarah sendiri. Ada kisah sendiri. Baik dari sudut perasaan mahupun lakaran kehidupan.


Dianggap Jahat Oleh Guru

Dalam hidup ini, saya tidak akan pernah melupakan satu kata-kata seorang teacher saya. Biarpun, mungkin padanya ayat itu sebagai kata-kata tanpa sengaja.. atau luahan seorang guru.. atau boleh juga dikatakan sebagai tindakan di luar kesedaran, tetapi kerana ayat itu benar-benar menusuk kalbu, maka saya terpaksa ingat walaupun tidak pinta.

Di ketika umur saya mencecah sebelas tahun, senang cerita darjah lima, alkisah masuklah saya di sebuah pusat tuisyen yang terkemuka di Bandaraya Kangar. Menjalani pembelajaraan sebagaimana kanak-kanak yang lain, tetapi mungkin disebabkan keaktifan yang melampau, membuatkan guru BI saya sendiri naik radang.

Huh. Umur itu. Mana saya tahu untuk memahami urusan hati manusia. Apatah lagi apabila saya sudah berseronok dengan rakan-rakan sepermainan.

Jatuh cinta? Malu pada perempuan? Surat layang? Kasih sayang? Love? Semuanya masih belum berputik di lubuk hati masa itu.

Akhirnya, riuh kelas apabila cikgu perempuan yang mengajar Bahasa Inggeris dirasa baik dipandangan. Saya menjerit-jerit di dalam kelas. Diselang-seli dengan ketawa bersama rakan-rakan. Sudah tidak ingat berkaitan isu apa yang dibualkan.

Jikalau Gunung Merapi mampu meletuskan larvanya, inikan pula manusia yang mempunyai tahap kesabarannya. Terus cikgu saya itu menengking dari hadapan.

“Diam semua!!!”

“Kenapa bising sangat ni Qawiem?!!” Merah muka cikgu. Semua mata yang wujud di dalam kelas turut memandang ke arah saya tiba-tiba. Diam seribu bahasa. Muka terasa panas. Tangan menjadi sejuk. Takut menguasai diri.   

Teacher rasa Qawiem ni bila dah besar nanti mesti jadi jahat!!”  Serius kata-kata cikgu.  

Prangh!!!

Seluruh tubuh seperti direnjat. Seakan peluru ditembak terus ke hulu hati. Walaupun jasad tidak disakiti, namun kata-kata yang berbaur harapan buruk itu terasa seakan sayalah budak yang malang dan dibenci. Namun, wajah tetap selamba. Menutup keaiban itu dengan senyuman tawar buat kawan-kawan yang masih memerhati.

Harghh.. dalam hati hanya bantal yang menjadi saksi di malam hari. Biasalah.. kenakalan tanpa kawalan mungkin. Sekali-sekala, ayat-ayat yang sebegitu mampu mengetuk pintu hati.


Mengambil yang Baik dari Sejarah   

Walaupun cerita ini adalah cerita lapan tahun dahulu, tetapi ia masih tersimpan kemas di kotak minda. Sebagai batu loncatan dan penggenggam azam di hari ini.

Balik kepada kisah-kisah yang menjengah di ingatan sepanjang perjalanan ke kuliyah tadi, inilah salah satu dari ceritanya. Sudah saya coretkan di atas. Maka, mode selepas itu.. gerak langkahan saya semakin laju. Semakin bersemangat. Untuk membuktikan bahawa saya bukanlah seperti manusia yang teacher tampalkan harapan.

Ya. Saya tahu sebenarnya, jauh di hati seorang guru inginkan pelajarnya menjadi manusia yang gagal. Menjadi manusia yang tidak berguna. Menjadi manusia yang jahat. Namun, mungkin disebalik kisah saya di atas, cikgu saya inginkan perubahan dan anjakan untuk menjadi yang lebih baik.

Di situlah kebaikan yang mampu saya tuai. Melihat maksud di sebalik ungkapan tajam lagi menghiris. Ada benarnya. Andaikata sikap seperti itu yang dibawa dalam kehidupan, sehingga sekarang, mana mungkin saya mampu menjadi insan yang baik. Insan yang mendapat berkat dalam menuntut ilmu.

Terang lagi bersuluh. Mahu keberkatan dalam belajar semestinya menjaga adab dengan guru. Jika sebaliknya, nantikan kehancuran dan juga kemusnahan di hari yang ke depan. Dan saya takut untuk itu. Oleh itu, melentur sewaktu rebung, walaupun menusuk ia tetap memberi kesan. Kerana saya sudah merasai bagaimana keberkesanannya. Subhanallah. Ngilunya tetap terasa sampai ke hari ini.

Apa pun, saya ingin meminta maaf kepada teacher saya. Andai Allah menggerakkan hatinya untuk membaca tulisan ini, ketahuilah anak muridmu ingin buktikan bahawa dia akan berusaha menjadi baik. Terima kasih juga buat teacher. Atas teguran yang bermakna buat muridmu yang masih belajar ini. Moga Allah merahmati.


Penutup : Kalau salah kita, ia tetap salah kita

Apabila guru memarahi disebabkan kesilapan dan kesalahan kita, buat apa lagi menuding jari kepada guru atau ustaz yang memarahi. Kerana ia memang sudah kesalahan kita.

Ramai yang terpedaya dengan keadaan ini. Bila diri melakukan kesalahan, kemudian guru atau cikgu memarahi atau menasihati, jari dituding kepada guru pula seribu kesalahan. Berlaku umpatan demi umpatan. Berlaku hinaan demi hinaan bersama rakan-rakan, maka ketahuilah yang ilmu yang dipelajari pastinya tidak akan mendapat berkat.

Teguran bukan untuk merendahkan, tetapi teguran untuk perubahan. Kritikan bukan untuk menjahanamkan, tetapi kritikan untuk penambah baikan. Marah seorang guru bukan untuk mencari kesalahan, tetapi marah untuk kita sebagai pelajar mencipta kejayaan. Betul tak para guru sekalian?  

Sayangilah dan kenangilah guru-guru anda. Walau dimana anda berpijak hari ini.

Sekian,
Terima kasih.


3 comments:

  1. Setuju. Kadang pelajar ni, bila kena kritik, dia hentam guru bukan main lagi.panggil cikgu dengan gelaran nama sahaja sebab geram dan sebagainya...tapi,bila dah kuar sekolah barulah rasa

    "Oh,kalaulah cikgu tak tegur aku dlu,tak la jadi macam ni"

    p/s : perasaan manusia kan... ^_^

    ReplyDelete
  2. > Ckin Kembaq

    Terima kasih sudi baca dan tinggalkan komen.
    Salam ceria.

    ReplyDelete