 |
Tunggu ! ^_^ |
Assalamualaikum.
Apa khabar para pembaca sekalian? Moga sihat dan terus bergaya insyaAllah.
Agak lama juga teratak maya ini tidak diconteng. Saya minta maaf. Bukan sebab
tidak ada masa, tinggal malas yang acapkali membelengu jiwa.
Dalam kehidupan ini, kadang-kadang kita rasa Allah langsung tidak pandang kita.
Segala permintaan kita, kadang-kadang macam sia-sia. Hingga sampai satu tahap
kita akan kata kepada diri, adakah doa kita adalah doa yang tidak berkualiti ?
Adakah permintaan kita adalah permintaan yang tidak pernah didengari ?
Ya. Perasaan itu muncul. Bukan untuk menyalahkan Tuhan. Tetapi sebagai titik
muhasabah untuk menilai diri mungkin hati terlampau gelap dengan kekotoran.
Anjak diri pada masa lalu, ada setengah permintaan itu sampai sekarang Allah
belum makbulkan.
Melihat diri pada hari ini, ada pula sinar harapan yang belum bersedia untuk
kita buat permintaan, tetapi Allah sudah perkenankan.
Sebab itu, corak permainan Tuhan tidak ada yang boleh lawan. Hatta yang mengaku
tuhan atau yang dianggap tuhan, mereka juga adalah hamba kerdil yang tidak
pernah mencapai kemenangan.
Mungkin ada yang belum tahu, tahun ini umur saya akan
memasuki zaman dua puluhan. Tanggal genapnya 26hb Ogos, maka hilanglah ‘titile’
umur belasan.
Dan saya langsung tidak menyangka untuk hadiah hari lahir saya tahun ini, Allah
berikan hadiah yang tersangat istimewa. Walaupun pada tarikh tersebut saya
sudah pulang semula ke Jordan, namun pada bulan yang sama Allah bagi hadiah
yang insyaAllah saya berpeluang untuk berkunjung ke Mekah.
Bertuahnya rasa diri ini hingga saya pernah keluarkan status di FB. Ramai orang
bercita-cita untuk ke Haramain. Tetapi saya yang terpilih. Dan jalan itu dibuka
di hadapan mata.
Manusia punya banyak jalan cerita. Dan ada orang memilih seni tersendiri untuk
mengukir jalan cerita mereka. Kita tidak boleh memaksa agar jalan cerita orang lain mesti sama dengan
kita.
Saya dengan jalan cerita saya. Anda dengan jalan cerita anda. Dan jalan cerita
itu kita yang memilihnya. Jika terdapat persamaan di beberapa buah tempat, maka
itu adalah bonus buat kita.
Saya tidak kekok untuk memberitahu kepada umum yang saya akan ke Umrah. Saya
tidak rasa bersalah untuk mengkhabarkan peluang keemasan yang Allah bagi ini,
juga kepada anda.
Setengah orang tidak suka, tidak setuju…. dengan alasan takut niat lari, tidak
ikhlas, menyusahkan dan sebagainya. Kata mereka, dapat pergi umrah, pergi
jelah.
Dan saya memandang hujah mereka itu sebagai prinsip
mungkin. Maka, saya menghormatinya.
Tetapi bagi saya, dengan tujuan dan cara pandang tersendiri. Mudah-mudahan
sahabat-sahabat yang mengenali diri ini ataupun tidak, dapat panjang-panjangkan
doa untuk saya moga diberi kesejahteraan dalam perjalanan ke sana. Itu sahaja.
Apakah mesti orang yang akan ke umrah sahaja dikirim doa
?
Ramai orang mengirim doa. Mengharap nama mereka disebut
di sana. Macam-macam masalah yang mereka ceritakan. Tidak lain dan tidak bukan,
dengan harapan doa saya, Allah dengar dan masalah mereka itu disembuhkan.
Sebenarnya saya sendiri dibelengu rasa bersalah.
Berat-berat masalah mereka. Rasa kesihan dengan ujian yang menimpa mereka. Tapi,
mampukah doa itu didengari ? Jika yang memohon itu adalah saya ?
Ya Allah, ampunilah aku.
Dikesempatan ini juga saya ingin mengambil peluang untuk memohon maaf kepada
semua.
Sebelum saya berangkat ke sana, segala salah dan silap,
kesilapan-kesilapan kecil dan besar, terasa hati dengan coretan saya di sini
atau di FB, ataupun ada terkasar bahasa dalam kita berkenalan, maka saya
menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua.
Tolong doakan saya juga. Moga selamat pergi dan balik.
Selamat menunaikan ibadah dengan kesihatan yang baik.
Mudah-mudahan hadiah umrah ini adalah yang mampu
mempengaruhi kehidupan saya di masa akan datang.
Memandangkan hari raya kedua baru saya berangkat pulang dari sana dan ini sebagai
entry terakhir sebelum saya ke Tanah Suci, maka saya ingin mengambil peluang juga
untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir dan Batin.
“ Uhibbukumfillah. “
Sekian,
Terima kasih.
Pelaut Rabbani.
Sehari sebelum ke Umrah.