Friday, March 30, 2012

5
Komen
~ Puitis : Cinta akan Datang Memujuk ~



Ada waktu jiwa dihimpit beban,
hingga dirasakan waktu yang bergerak,
terasa amat perlahan,
walaupun sabar acapkali bertapak,
ternyata perit dan jerihnya menuntut tangisan.

Akhirnya tumpah,
akhirnya menderas,
keluarnya air mata yang dahulu payah,
mengalir laju tanpa dipaksa keras.

Ada waktu juga jiwa dibelai bahagia,
hadirnya insan ramah bertegur sapa,
berkongsi rasa bertukar cerita,
membenam sengketa,
 menjunam samudera duka,
Itulah saat yang diimpi sentiasa,
oleh jiwa sang hamba biasa,
yang pernah dihimpit beban gelora.

Namun langit tinggi pengajaran,
begitu juga awan banyak menunjuk,
hidup adakala mendung adakala hujan,
cuaca adakala baik adakala buruk.

Tetapi percayalah!

 Akan satu lumrah kehidupan,
yang menangis tidak mustahil kerana merajuk,
yang dihimpit beban dan ujian,
tidak mustahil juga sinar cinta akan datang memujuk.



Sekian, 
Terima kasih,
Pelaut Rabbani.
Bermalam di bawah bayu Jordan.


Friday, March 23, 2012

10
Komen
~ Orang Kata Doktor Wakil Tuhan ~

Menjadi doktor hati kepada hati sendiiri. Jom!

Ikram sedang bersiap untuk ke hospital. Malam ini, gilirannya pula yang akan menjaga bilik kecemasan.

Baru sahaja ingin memasuki keretanya, tiba-tiba dia didatangi oleh dua orang lelaki berpakaian gelap, menutup muka, menghulurkan pisau. Memaksanya untuk menyerahkan telefon bimbitnya.

Risau nyawa melayang, dia pun terus menuruti kehendak perompak itu. Bila saja Ikram menyerahkan telefon bimbitnya, kedua-dua perompak itu pun terus bergegas pergi.

Dalam kekalutan itu, Ikram terpana. Ikram cuba mengingati sebanyak mungkin cirri-ciri yang ada pada perompak itu untuk proses pengecaman nanti.

Namun, apa yang Ikram ingat hanyalah tatu pada sebelah tangan kanan dan parut pada tepi mata kiri salah sorang lelaki itu. Seorang lagi lelaki, tidak ada satu pun ciri-ciri yang sempat terlintas di ingatan Ikram.

Kerana mengenangkan dia bertugas pada malam itu, dan dia tidak mahu kelewatan kerana risau tidak cukup kaki tangan kecemasan di hospital, apatah lagi pada malam minggu yang selalunya memang banyak kemalangan, Ikram terus gagah juga ke hospital tanpa pergi melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Sesampainya Ikram di hospital, dia agak lewat beberapa minit. Sewaktu itu sudah banyak kes kecemasan yang perlu diambil perhatian dan diuruskan.

“Kau ke mana? Lambat dah ni! Tidur ke? Kenapa aku call tak angkat-angkat? ” satu pertanyaan tegas oleh ketua jabatan yang turut ada bersamanya pada malam itu di bilik kecemasan tersebut.

“Maaflah tuan, saya tadi ada hal kecemasan. Telefon saya dicuri tadi,” jawab Ikram tanpa ragu-ragu.

“Dah, dah, cepat. Siap-siap, lepas tu terus masuk,” ketuanya memberi arahan jelas.

Malam itu, Ikram menguruskan kes seperti biasa. Malam minggu, memang sesak dari hari kerja.
Sehinggalah tiba-tiba datang ke pintu bilik kecemasan, satu kes yang menggamit perhatian Ikram.

“A 28 year-old male, Malay, trauma to the chest and both upper limbs, not known of HT or DM, was riding a motorcycle, had accident with a car ten minutes ago,” kata doktor yang mengiringi pesakit tersebut di atas pengusung.

“Insert central IV, need chest tube over here, suspected of tension pneumothorax,” suara-suara doktor lain yang cuba menyelamatkan lelaki itu.

Ikram tergamam seketika. Dilihatnya lelaki itu berpakaian jaket hitam, dan ada tatu di tangan kanan, dan juga ada parut di tepi mata kirinya. Terus saja Ikram mencapai poket seluar lelaki itu, dan memang ternyata, ada telefon bimbitnya, tapi sudah remuk.

Sebaliknya Ikram meneruskan kerjanya seperti biasa. Dia cuba merawat lelaki itu bersama doktor-doktor bertugas yang lain.

******

Di luar, hujan renyai-renyai. Lelaki yang kemalangan itu, kali ini terlantar di katil wad, merenung jauh renyai-renyai di luar jendela hospital.

“Macam mana keadaan sekarang? Semakin baik?” sapa seorang doktor yang bertugas membuat follow-up keadaan lelaki itu.

Lelaki itu hanya mengangguk perlahan, tanpa suara.

“Doktor, saya rasa menyesal sangat dengan apa yang saya buat pada malam saya kemalangan tu,” tiba-tiba lelaki itu meluahkan perasaanya.

“Yang pasal samun tu ke?” tanya doktor tersebut.

“Eh, macam mana doktor tahu?” tanya lelaki itu kehairanan.

“Dr. Ikram cerita. Dia kawan rapat saya. Dia yang rawat kamu pada malam kamu kemalangan tu. Dia ada kata nak ziarah kamu di wad ini,” jawab doktor tersebut selamba.

Bertambah berubah muka lelaki itu.

“Ha, tu pun dia datang,” kata doktor itu lagi, sambil menoleh ke pintu wad.

Ikram datang, senyum, salam dengan doktor tersebut, dan terus ke tepi katil lelaki itu. Raut wajah lelaki itu berubah-ubah. Terkejut dan pelik, ada juga raut kekesalan dan bersalah.

“Maafkan aku, wahai doktor! Maafkan aku!” terus saja lelaki itu teriak memohon kemaafan.

“Sudah, sudah,” kalau aku tak maafkan kau, aku tak rawat kau hari tu.

“Tapi kenapa? Kenapa kau tetap juga merawat walaupun kau tahu akulah lelaki yang telah menyamun kau?” tanya lelaki itu.

“Sebab kami, doktor, diajar untuk meletakkan rahmat dahulu sebelum keadilan. Biarlah apa pun kesalahan pesakit, sejahat atau sebaik mana pun pesakit, tapi bukan tugas kami untuk menghukum siapa yang patut hidup lebih lama atau siapa yang patut mati awal. Itu semua kerja Tuhan” Beberapa minit kemudian, Ikram beredar dengan rakan doktornya.

Sambil berjalan di lorong keluar, rakannya berbisik perlahan, bertanya, “Kau tak mahu laporkan pada polis?”

Dengan mudah Ikram menjawab, “Tak perlulah. Sudah cukup berat ujian yang dia lalui. Rakannya mati, tangannya sudah tiada. Sudah cukup itu sebagai hukuman. Lagipun, aku memang berhajat nak beli telefon bimbit lain. Samsung Galaxy Note kan baru keluar.”


Akhir : Selamat menjadi Doktor yang baik

Secara jujur yang boleh saya ungkap daripada kisah ini adalah tugas seorang doktor adalah tugas yang sangat mulia. Umpama malaikat yang bertopengkan manusia. Berkot putih dengan stetoskop di leher. Membantu dan menolong dengan cara merawat insan yang lemah.

Segan untuk bercakap panjang dalam hal ini. Tinggal, sekadar berharap kepada kawan-kawan semua yang sedang mendalami dalam bidang ini, mahupun bidang yang berkaitan dengannya… selamat maju jaya.

Selamat menjadi doktor yang baik kepada umat manusia. Percayalah akan satu perkara bahawa bicara yang keluar daripada mulut seorang doktor adalah kalam yang sangat mudah untuk memecahkan ego pesakit-pesakitnya.

Asalkan doktor tersebut percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik penyebuh. Sekian. Moga ada manfaat.

Nota sisi : Kudos to penulis cerpen sebenar, Saudara Hidayat Hasni. (Presiden PERMAI)

Wednesday, March 21, 2012

11
Komen
~ Kenapa awak tolak cinta saya? ~

Mengikut jejak langkah siapa?

Terlalu banyak persoalan yang timbul bagaikan tidak ada kesudahannya. Kenapa aku gagal dalam exam? Kenapa aku tidak jadi hebat macam dia? Kenapa aku selalu diuji begini? Kenapa aku selalu kena marah dengan cikgu? Kenapa perempuan tu tolak pinangan aku? Kenapa bahagia tidak muncul-muncul? Dan sebagainya.

Soalan-soalan berbaur kerunsingan terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan acapkali menjelma.

Tidak kira saat kita sedar siapa diri kita bahkan saat kita lupa yang kita hamba Allah.

Bisa saja tercipta ketidak puas hatian ini hingga kadang-kadang kita rasa diri kita adalah yang paling hina. Diri kita adalah yang paling malang. Hingga kadang-kadang kita rasa hidup kita adalah yang paling tidak bermakna.

Ya. Itulah perasaan kita. Dan di situlah kesilapan kita. Kerana kita bertanya dalam keadaan hati dan jiwa bukan untuk mencari jalan penyelesaian, tetapi untuk menyalahkan . Kerana kita menyoal dalam keadaan hati dan jiwa yang penuh keluhan, kononnya sebagai cara untuk menenangkan.

Sebaliknya semua itu merosakkan.

1 - Arrrghh!! Hujan! Menyusahkan betullah.
2 - Hujankan rahmat Allah. Tak baik mengeluh. Tanpa hujan semua makhluk tak hidup tau.
Nah! amik payung ni.
 


Mengeluh itu pasti muncul

Semua orang pasti pernah mengeluh. Jika ada yang tak pernah mengeluh, saya boleh katakan anda bukan manusia yang normal. Adalah amat mustahil apabila sepanjang kita hidup, kita tidak pernah mengeluh.

Dan ramai yang tidak tahu bahawa kita mengeluh itu adalah kerana kita tidak sabar. Setelah mana Allah mendatangkan ujian, cabaran, dan halangan… terus-menerus kita menyambutnya dengan tanggapan yang buruk, lalu kita merasakan lebih baik kita mati sahaja.

Bukan bercakap tentang manusia yang jauh, tetapi ayuh bersama-sama kita melihat diri sendiri. Wujudnya perasaan-perasaan yang tidak baik adalah bukti dan tanda yang kita melihat ini semua dengan kaca mata bebanan.

Jadi, tidak ada kaedah yang boleh kita rungkai akan masalah ini melainkan kena sama-sama ubah cara pandang kita terhadap satu-satu perkara yang menimpa.


Perlu belajar untuk belajar mencari hikmah

Yang pertama, sedarlah bahawa apa yang berlaku ada hikmah dan maksud yang tersendiri yang Allah ingin berikan kepada hambaNya. Maka, adalah tidak adil apabila kita sebagai seorang hambaNya sewenang-wenang menghukum setiap takdir yang menimpa adalah tanda Allah membenci dan sebagainya.

Perlu kita sedar juga bahawa ujian itu adalah untuk menguji. Dan perlu kita faham yang dimaksudkan ujian itu bukan hanya terpalit pada segala macam kesusahan, kesulitan, kesedihan, kegagalan, kelemahan dan yang buruk-buruk tentangnya.

Kerana tidak ajaib pun yang selalu bahagia, selalu gembira, selalu senang, lapang, mewah dan sekampung dengannya… itu semua juga adalah ujian. Tinggal, Allah adalah yang lebih tahu akan siapakah hambaNya yang terbaik untuk menerima bentuk-bentuk ujian itu.

Suka untuk diingatkan kepada semua termasuk diri ini… usahlah mengeluh dan menyalahkan itu adalah kenapa aku diuji, tetapi berusahalah untuk mencari hikmah yang tersembunyi di sebalik cabaran yang menghampiri.

Hikmah tidak ada garis penghujung untuk kita tahu. Kita juga tidak bisa untuk memastikan yang sebetulnya Allah nak beritahu kita apa… Namun, sebagai seorang hamba, sewajibnya kita kena percaya bahawa yang menimpa adalah teguran dari Allah.

Senang kata sangka baik itu adalah cara yang terbaik untuk kita semua selamat daripada mengeluh dan menyalahkan takdir Allah.


Kisah seorang raja

Seorang raja yang mempunyai bendahara yang sangat dipercayainya. Segala masalah yang dilalui dan perlukan keputusan untuk dibuat, pasti bendahara itulah yang menjadi rujukan. Tetapi, satu sifat yang ada pada bendahara ini adalah beliau selalu mengaitkan apa yang terjadi dengan hikmah.

Jika ditanya kenapa ini kenapa itu, jawapannya adalah – pasti ada hikmah.

Hingga satu ketika, raja mengalami luka yang panjang pada badan baginda kerana dicalarkan oleh isteri baginda sendiri sewaktu sedang bermain pedang. Lalu ditanya kepada bendahara, maka jawapan bendahara adalah sama iaitu - pasti ada hikmahnya.

Kerana terlalu marah dengan jawapan yang diberikan oleh bendahara, langsung tidak berbaloi dengan luka yang dialami, bendahara tersebut dibuang dan dilucutkan jawatan.

Sampai satu hari, saat raja terasa bosan hidup di istana, baginda membuat keputusan untuk keluar memburu binatang. Dalam perjalanan, raja ditangkap oleh sekumpulan orang asli berkulit hitam. Raja menjadi panik apabila mendapat tahu yang baginda akan dijadikan mangsa kepada upacara penyembahan.

Raja diikat pada sebatang pokok. Tangan disisipkan ke belakang. Baju dikoyak bagi memudahkan darah diambil. Namun, tanpa disangka raja tersebut dilepaskan begitu sahaja. Raja menjadi pelik. Lalu tanyalah raja kepada ketua orang asli tersebut.

Jawab ketua orang asli, mana mungkin mereka akan menghadiahkan seorang manusia yang punya calar pada badannya. Itu sangat mengaibkan. Sedangkan kepada tuhan, perlu beri hadiah yang terbaik.

Maka, bebaslah raja tersebut. Akhirnya raja mula sedar bahawa hikmah yang dikatakan bendaharanya tempoh hari benar-benar dilalui hari ini.


Akhir : Sekalipun awak tolak cinta saya, saya tetap ada Allah

Sepatutnya itulah yang kita nampak. Apa-apa yang berlaku kepada kita, pulanglah ke pangkal hati dan tanya pada diri, apa yang Allah ingin sampaikan sebenarnya.

Sekalipun Allah meletakkan ujian yang sangat menyulitkan, maka kenapa kita tidak meminta kepada Allah untuk dimudahkan segala kesulitan itu?

Sekalipun ujian yang datang kepada kita menyebabkan kita rasa dunia ini sudah tidak ada apa-apa lagi, bukankah Allah masih ada untuk kita?

Bukankah kepada Allah kita akan kembali? Kerana itu, kenapa masih sanggup berburuk sangka kepada Allah?

Ayuh teliti kembali kehidupan kita. Untuk apa kehidupan kita ini? Jika tidak untuk Allah.

Jadi, kenapa perlu mengeluh jika diujiNya? Allah tahu yang terbaik untuk kita. Bila ujian yang datang itu kita sabar menempuhnya, kita berbaik sangka kepada Allah maka di situlah kita akan menjumpai nikmat bahagia.

Dan yang pasti, bahagia itu adalah bahagia yang bukan dibuat-buat. Percayalah.