Tuesday, May 31, 2011

9
Komen
~ Ceria : Lautan Rabbani Kembali Bercahaya ~

Hati gembira. Jiwa senang hati. Senyum ceria. Kasih terus meniti. (",)

Assalamualaikum teman-teman sekalian.

Apa khabar kehidupan kita? Moga bahagia dan menangis sentiasa ya. ^^

Alhamdulillah. Selayaknya dipanjatkan tangga-tangga kesyukuran kepada Allah atas kesudian memberi lagi kesempatan buat saya melayarkan tinta di laut ini. Pejam celik pejam celik hampir tujuh hari Lautan Rabbani tidak pasang airnya.

Kemeriahan sedikit sebanyak pasti menurun. Maka para pelawat yang ingin mendapatkan sesuatu di laut ini mungkin tidak ada hasil yang mampu dibawa pulang. Kesannya, berkuranglah para pelancong, para pekunjung dan pendatang asing yang ingin bersantai dan berehat di sini.

Oleh itu, saya menyusun sepuluh jari dari yang kelingking kanan terus ke kelingking kiri memohon maaf kepada anda terutamanya yang tidak jemu-jemu untuk melayarkan 'page' Lautan Rabbani di hadapan skrin laptop anda.

Saya tahu.. setelah diamati dan diselami walaupun sudah enam hari lebih tidak di'update' tetapi masih ada insan-insan yang kesian akan saya. Mereka tetap berkunjung ke sini. Mereka tetap meninggalkan jejak di sini. Terharu gitu. Tembakan doa buat kalian. Moga Allah sayang.

Masalah apa sebenarnya?


Pasti ada yang bertanya.. apa masalahnya ni? Jadi bagi yang bertanya, ini jawapannya.

Sebenarnya bukanlah saya tidak mahu menghadirkan post baru, juga yang meninggalkan jejak. Bukan saya tidak mahu membalas jejakan anda, cuma saya tidak mampu berbuat demikian disebabkan saya sendiri tidak mampu mengawal laman ini.

Entah. Mungkin sebab 'tak pro' dalam bidang komputer menyebabkan saya sendiri tidak mampu 'sing in' Lautan Rabbani. Kena belajar banyak benda lagi nampak gayanya. Apapun dengan izinNya, hari ini ia akan kembali bercahaya.

Huh. Enggak usah dikerap-kerapkan problemnya. Bikin ngalir air mata gini. ^^

Akhir : Penghargaan kepada 'master'


Aha. Master apa ya?

Pada saya dia adalah master. Ringkas namanya Ahmad Nabil yang banyak membantu. Dalam mengatasi kekurangan laman Lautan Rabbani, Nabillah yang sentiasa mengajar itu dan ini kepada saya.

Kalau anda nak tahu juga, header Lautan Rabbani di atas teman saya inilah yang design. Walaupun kelihatan agak biasa tetapi bagi saya ia adalah noktah bidayah atau dalam bahasa 'Nujum Pak Belalang' titik permulaan untuk blog ini berlayar dengan lebih jauh. InsyaAllah.

Jadi terima kasih kepada Nabil. Jasamu sentiasa dikenang bro. Allah yubarikfik.

Sebagai penutup kata-kata saya di post ini, ingin saya mengkhabarkan sesuatu buat anda. "Mari mencari hikmah di sebalik kejadian yang menerjah". Sekian.

Tuesday, May 24, 2011

10
Komen
~ Santai : Belajar Jadi Penyantun ~

Ceria-ceria sahaja sementara ianya masih belum senja. ^^
Assalamualaikum buat tetamu Lautan Rabbani. Apa khabar? Moga sihat-sihat sokmo ya.

Aha. Kali ini tidak ada artikel yang perlu dibaca. Tidak ada tontonan nasihat yang perlu didengar. Juga tidak ada apa-apa yang perlu diperada-adakan.  

Cuma saya berhajat untuk belajar menjadi penyantun. Anda tahu apa itu penyantun?
Maksudnya orang yang mendeklamasikan pantun sama ada empat kerat, enam kerat atau beberapa kerat yang diinginkan oleh penyantun. - Hanya rekaan semata-mata. Haha. ^^ 

Oleh itu, izinkan saya berpantun. Sudah tidak sabar rasanya diri ini. Sambutlah...

Berlari-lari di tepi pantai,
singgah berteduh setelah penat,
di Lautan Rabbani irama santai,
menjual pantun buat yang berminat.

Tanam rambutan tumbuhnya kelapa,
terbit bunga pucuknya mati,
selautan terima kasih kepada anda,
yang sudi berteduh di Lautan Rabbani.

Terbang bebas si rama-rama,
disambar katak berbaju kemeja,
walaupun kita tidak bersua,
biarlah hati tetap bersama.

Bintang dipetik untuk kau simpan,
simpanlah ia di dalam taman,
kehadiran anda penyeri kehidupan,
walaupun datang tanpa senyuman.

Anak rusa turun berkubang,
terbang tinggi di atas awan,
andai bintang mampu ku pegang,
akan ku hadiah kepada kalian,

Tumbuh membesar ayam serama,
tidurnya sedap di dalam reban,
komenmu pembaca saya terima,
teguh bertakhta dalam ingatan.

Paku dulang pakunya berkarat,
mahu dibuang sudah terlambat,
saya bukan penulis hebat,
cuma ingin menjadi hebat.

Ayam berkokok di atas tanah,
cari makan di waktu hujan,
andai ada silap dan salah,
moga kalian sudi maafkan.

ulik mayang beralun sampan,
sampan di beli di kedai Pak Leman,
buat pembaca saya doakan,
moga Allah sayangkan kalian. 

Sekian.
~ Pelaut Rabbani ~

Hah. Anda bagaimana? 
Tidak mahu sambutkah pantun di atas?
Atau tidak pandai.. jangan tipu. Saya tahu anda lebih hebat dari saya. (",)
Jadi, silakan.. saya juga mahu mendengarnya. ^^ 

Sunday, May 22, 2011

21
Komen
~ Sahabat : Bingkisan Perpisahan ~

Kita akan bahagia bila kita di atas jalanNya sahabat. ^^
Adakalanya kita akan bersama. Begitulah sebaliknya. Perpisahan akan datang juga sebagai pengukuh ukhwah.

Hari yang sudah dijangka akan perpisahan itu bakal berkunjung tiba.Yang rasa akan manisnya pertemuan pasti tidak mahu menempuhnya.Tetapi kita bukanlah sesiapa. Yang mahu memutar alam ini mengikut kehendak peribadi. Dari yang sedih mahu sentiasa gembira. Dari yang sakit mahu sentiasa sihat. Hatta dari yang berpisah mahu sentiasa bersama.

Kerana ia adalah kitaran alam yang setiap kejadiannya diiringi hikmah pembias cara. 

Buat pembaca budiman, hari ini jiwa saya diulik rasa gelora. Akan perpisahan satu ikatan persaudaraan yang telah terbina atas dasar ukhwah. Sungguh, ia sangat memeritkan walaupun hanya beberapa seketika.

Salman : Sedikit tentangnya


Nama diberi Muhammad Salman B Sukri. Dengan panggilan Salman saya memanggilnya. Utan Aji Perlis adalah tempat teman saya ini membesar. Bersekolah di Ma`had Attarbiyah Al-islamiyah iaitu Matri jodoh kami dipertemukan.

Umurnya berapa bro? Jika melihat kepada haribulan, umurnya baru empat tahun. Sebab... tarikh lahir Salman adalah pada 29 Februari. Tetapi melihat kepada tahun, umurnya sudah mencecah sembilan belas.

Boleh dikatakan pembinaan Laman Lautan Rabbani ini mempunyai sumbangan dan jasa besar daripadanya. Cerita bermula seketika saya diuji dengan kemalangan jalan raya. Dialah manusia pertama yang saya khabarkan sebelum menjuruterakan blog ini.

Berbekal sokongan darinya, maka terhasillah Lautan Rabbani salah satu dari jutaan pondok yang wujud di alam maya ini. Alhamdulillah.

Semasa saya di tingkatan satu, Salmanlah antara insan yang paling akrab. Tercalonnya kami dalam ahli jawatan kuasa hostel dibawah biro yang sama, dilantik menjadi pengawas sekolah pada tahun yang sama hatta terlibatnya kemalangan jalan raya, yang terpilih adalah kami berdua ma.

Itulah yang orang selalu kata, jodoh pasti tak kemana. ^^

Kemalangan yang terjadi : persahabatan mesti abadi


Antara faktor pondok Lautan Rabbani diwujudkan adalah untuk mengisi masa lapang ketika saya tidak mampu bergerak bebas semasa sakit. Yang menjadi peneman setia katil sepanjang tempoh pemulihan. Subhanallah. Ia cukup membosankan, menjemukan dan meletihkan.

Dengan itu, tidaklah masa dipersia-siakan apabila laman ini lahir. Setiap apa yang dirasai pasti akan saya kongsikan sebagai luahan rasa hati. Maka Salman adalah pengkomen tegar yang banyak memberi nasihat dan sokongan di awal kelahiran Lautan Rabbani ketika itu.

Aneh kepada kemalangan yang menimpa - ramai yang bertanya apa hikmahnya? Jawab saya ringkas, ia adalah bonus bagi kami.

Terfikir juga sejenak beberapa kali dalam hidup saya. Kenapa mesti Allah takdirkan kemalangan itu adalah ketika saya bersama Salman? Sedangkan Sebelum itu sudah ramai teman-teman yang lain pernah saya tumpangkan.. Ada yang menjawab. Allah izin bro. Tetapi pada saya ia tetap ada hikmah.

Di situ saya seakan bertanya sendiri. Maka simpulan mati yang boleh saya katakan, mungkin Allah ingin menguji ukhwah kami setelah enam tahun bersama. Serta ukhwah kami dengan sahabat yang lain. Yalah, bila kita sihat ramai yang datang menghampiri.

Tetapi apabila kita sakit, siapa yang datang? Ketika kita ada masalah, siapa yang bimbang?

Di situ saya dapat jawapannya. Bahawa berukhwah serta bersahabat itu bukan manisnya pada mulut yang menuturkan, tetapi pada amal yang penuh pengorbanan.

Kenapa saya ceritakan tentang Salman?


Pembaca-pembaca sekalian,

Sebenarnya teman saya ini akan mendaftarkan dirinya di Kolej Matrikulasi Perlis pada 23 haribulan Mei 2011. Sepatutnya Salman sudah tamat pengajiannya di kolej itu beberapa bulan yang lepas. Tetapi akibat kemalangan yang menimpa, pengajiannya terpaksa ditangguh ke tahun seterusnya.

Dan tahun itu adalah pada tahun ini. Maka saya akan berpisah dengannya tidak lama lagi. Dia akan menerus langkahannya di arena akademik sebagai pelengkap kehidupan dengan ilmu di dada.

Tiba-tiba sedih seakan meronta. Sebak seakan meminta. Hiba seakan menikam hati ini. Itulah yang saya rasa. Kenapa?

Air mata hati mengalir.. terus dan terus.

Penangan ukhwahmu cukup berkuasa. Walaupun ketika bersua ia hanya biasa.

Jaga dirimu teman - jadi kumbang yang baik


Salman. Ingatlah akan perjalanan kita yang masih jauh. Disebabkan ia jauh, maka kita tidak tahu bagaimana penghujung kehidupan kita. Sama ada kita akan pergi sebagai singa yang melakar sejarah atau rusa yang tidak berpandu arah.

Penentunya adalah diri kita yang berhajatkan kepada sesuatu itu baik atau sebaliknya. Moga satu hari nanti enta keluar dari tempat itu sebagai seorang pemuda yang hebat. Yang meletakkan islam sebagai pakaian jasmani dan rohani. Amin.

Balik kepada kumbang yang baik. Itu juga perlu berhati-hati. Nikmat yang wujud pada enta di zaman muda ini adalah rupa yang tidak kalah. Berkali-kali pernah enta tanya pada ana tentang soalan ' itu ' apabila melihat cermin. Tetapi yakinlah yang baik itu ada apabila yang dalam itu baik juga. ^^

Gunalah kelebihan yang ada untuk mendekatkan diri pada Allah. Jangan dipersia-siakan keistimewaan yang Allah bagi itu untuk perkara yang tidak mengundang redhaNya.

Belajar bersungguh-sungguh. Jangan tinggal sembahyang. Jangan lupa kami. Begitu jugalah jangan sisihkan kami dari kehidupan enta. Kita tetap akan berjumpa selagi mana nyawa tidak dikerongkongan. InsyaAllah.

Mengenali enta adalah hadiah yang bermakna. Terima kasih Man.

Akhir : Minta maaf atas kekuranganku

Menyusun sepuluh jari meminta maaf kepadamu. Sepanjang peredaran kehidupan ini ada menyakitkan hati, tersilap bicara, terlebih garam dalam berjenaka dan yang berkaitan dengannya.

Moga dimaafkan kesilapan ini.

Wakil kepada sahabat-sahabat kita, minta maaf juga jika ada ketidak adilan semasa kita bersama. InsyaAllah satu hari nanti kita akan balik. Masing-masing akan balik selepas keluar bermusafir ilmu. Mudah-mudahan baliknya kita nanti lebih hebat dari sebelum berpisah. Amin.

Jaga dirimu sahabat.

Sekian,
Pelaut Rabbani