Friday, March 30, 2012

5
Komen
~ Puitis : Cinta akan Datang Memujuk ~



Ada waktu jiwa dihimpit beban,
hingga dirasakan waktu yang bergerak,
terasa amat perlahan,
walaupun sabar acapkali bertapak,
ternyata perit dan jerihnya menuntut tangisan.

Akhirnya tumpah,
akhirnya menderas,
keluarnya air mata yang dahulu payah,
mengalir laju tanpa dipaksa keras.

Ada waktu juga jiwa dibelai bahagia,
hadirnya insan ramah bertegur sapa,
berkongsi rasa bertukar cerita,
membenam sengketa,
 menjunam samudera duka,
Itulah saat yang diimpi sentiasa,
oleh jiwa sang hamba biasa,
yang pernah dihimpit beban gelora.

Namun langit tinggi pengajaran,
begitu juga awan banyak menunjuk,
hidup adakala mendung adakala hujan,
cuaca adakala baik adakala buruk.

Tetapi percayalah!

 Akan satu lumrah kehidupan,
yang menangis tidak mustahil kerana merajuk,
yang dihimpit beban dan ujian,
tidak mustahil juga sinar cinta akan datang memujuk.



Sekian, 
Terima kasih,
Pelaut Rabbani.
Bermalam di bawah bayu Jordan.


Friday, March 23, 2012

10
Komen
~ Orang Kata Doktor Wakil Tuhan ~

Menjadi doktor hati kepada hati sendiiri. Jom!

Ikram sedang bersiap untuk ke hospital. Malam ini, gilirannya pula yang akan menjaga bilik kecemasan.

Baru sahaja ingin memasuki keretanya, tiba-tiba dia didatangi oleh dua orang lelaki berpakaian gelap, menutup muka, menghulurkan pisau. Memaksanya untuk menyerahkan telefon bimbitnya.

Risau nyawa melayang, dia pun terus menuruti kehendak perompak itu. Bila saja Ikram menyerahkan telefon bimbitnya, kedua-dua perompak itu pun terus bergegas pergi.

Dalam kekalutan itu, Ikram terpana. Ikram cuba mengingati sebanyak mungkin cirri-ciri yang ada pada perompak itu untuk proses pengecaman nanti.

Namun, apa yang Ikram ingat hanyalah tatu pada sebelah tangan kanan dan parut pada tepi mata kiri salah sorang lelaki itu. Seorang lagi lelaki, tidak ada satu pun ciri-ciri yang sempat terlintas di ingatan Ikram.

Kerana mengenangkan dia bertugas pada malam itu, dan dia tidak mahu kelewatan kerana risau tidak cukup kaki tangan kecemasan di hospital, apatah lagi pada malam minggu yang selalunya memang banyak kemalangan, Ikram terus gagah juga ke hospital tanpa pergi melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.

Sesampainya Ikram di hospital, dia agak lewat beberapa minit. Sewaktu itu sudah banyak kes kecemasan yang perlu diambil perhatian dan diuruskan.

“Kau ke mana? Lambat dah ni! Tidur ke? Kenapa aku call tak angkat-angkat? ” satu pertanyaan tegas oleh ketua jabatan yang turut ada bersamanya pada malam itu di bilik kecemasan tersebut.

“Maaflah tuan, saya tadi ada hal kecemasan. Telefon saya dicuri tadi,” jawab Ikram tanpa ragu-ragu.

“Dah, dah, cepat. Siap-siap, lepas tu terus masuk,” ketuanya memberi arahan jelas.

Malam itu, Ikram menguruskan kes seperti biasa. Malam minggu, memang sesak dari hari kerja.
Sehinggalah tiba-tiba datang ke pintu bilik kecemasan, satu kes yang menggamit perhatian Ikram.

“A 28 year-old male, Malay, trauma to the chest and both upper limbs, not known of HT or DM, was riding a motorcycle, had accident with a car ten minutes ago,” kata doktor yang mengiringi pesakit tersebut di atas pengusung.

“Insert central IV, need chest tube over here, suspected of tension pneumothorax,” suara-suara doktor lain yang cuba menyelamatkan lelaki itu.

Ikram tergamam seketika. Dilihatnya lelaki itu berpakaian jaket hitam, dan ada tatu di tangan kanan, dan juga ada parut di tepi mata kirinya. Terus saja Ikram mencapai poket seluar lelaki itu, dan memang ternyata, ada telefon bimbitnya, tapi sudah remuk.

Sebaliknya Ikram meneruskan kerjanya seperti biasa. Dia cuba merawat lelaki itu bersama doktor-doktor bertugas yang lain.

******

Di luar, hujan renyai-renyai. Lelaki yang kemalangan itu, kali ini terlantar di katil wad, merenung jauh renyai-renyai di luar jendela hospital.

“Macam mana keadaan sekarang? Semakin baik?” sapa seorang doktor yang bertugas membuat follow-up keadaan lelaki itu.

Lelaki itu hanya mengangguk perlahan, tanpa suara.

“Doktor, saya rasa menyesal sangat dengan apa yang saya buat pada malam saya kemalangan tu,” tiba-tiba lelaki itu meluahkan perasaanya.

“Yang pasal samun tu ke?” tanya doktor tersebut.

“Eh, macam mana doktor tahu?” tanya lelaki itu kehairanan.

“Dr. Ikram cerita. Dia kawan rapat saya. Dia yang rawat kamu pada malam kamu kemalangan tu. Dia ada kata nak ziarah kamu di wad ini,” jawab doktor tersebut selamba.

Bertambah berubah muka lelaki itu.

“Ha, tu pun dia datang,” kata doktor itu lagi, sambil menoleh ke pintu wad.

Ikram datang, senyum, salam dengan doktor tersebut, dan terus ke tepi katil lelaki itu. Raut wajah lelaki itu berubah-ubah. Terkejut dan pelik, ada juga raut kekesalan dan bersalah.

“Maafkan aku, wahai doktor! Maafkan aku!” terus saja lelaki itu teriak memohon kemaafan.

“Sudah, sudah,” kalau aku tak maafkan kau, aku tak rawat kau hari tu.

“Tapi kenapa? Kenapa kau tetap juga merawat walaupun kau tahu akulah lelaki yang telah menyamun kau?” tanya lelaki itu.

Sebab kami, doktor, diajar untuk meletakkan rahmat dahulu sebelum keadilan. Biarlah apa pun kesalahan pesakit, sejahat atau sebaik mana pun pesakit, tapi bukan tugas kami untuk menghukum siapa yang patut hidup lebih lama atau siapa yang patut mati awal. Itu semua kerja Tuhan” Beberapa minit kemudian, Ikram beredar dengan rakan doktornya.

Sambil berjalan di lorong keluar, rakannya berbisik perlahan, bertanya, “Kau tak mahu laporkan pada polis?”

Dengan mudah Ikram menjawab, “Tak perlulah. Sudah cukup berat ujian yang dia lalui. Rakannya mati, tangannya sudah tiada. Sudah cukup itu sebagai hukuman. Lagipun, aku memang berhajat nak beli telefon bimbit lain. Samsung Galaxy Note kan baru keluar.”


Akhir : Selamat menjadi Doktor yang baik

Secara jujur yang boleh saya ungkap daripada kisah ini adalah tugas seorang doktor adalah tugas yang sangat mulia. Umpama malaikat yang bertopengkan manusia. Berkot putih dengan stetoskop di leher. Membantu dan menolong dengan cara merawat insan yang lemah.

Segan untuk bercakap panjang dalam hal ini. Tinggal, sekadar berharap kepada kawan-kawan semua yang sedang mendalami dalam bidang ini, mahupun bidang yang berkaitan dengannya… selamat maju jaya.

Selamat menjadi doktor yang baik kepada umat manusia. Percayalah akan satu perkara bahawa bicara yang keluar daripada mulut seorang doktor adalah kalam yang sangat mudah untuk memecahkan ego pesakit-pesakitnya.

Asalkan doktor tersebut percaya bahawa Allah adalah sebaik-baik penyebuh. Sekian. Moga ada manfaat.

Nota sisi : Kudos to penulis cerpen sebenar, Saudara Hidayat Hasni. (Presiden PERMAI)

Wednesday, March 21, 2012

11
Komen
~ Kenapa awak tolak cinta saya? ~

Mengikut jejak langkah siapa?

Terlalu banyak persoalan yang timbul bagaikan tidak ada kesudahannya. Kenapa aku gagal dalam exam? Kenapa aku tidak jadi hebat macam dia? Kenapa aku selalu diuji begini? Kenapa aku selalu kena marah dengan cikgu? Kenapa perempuan tu tolak pinangan aku? Kenapa bahagia tidak muncul-muncul? Dan sebagainya.

Soalan-soalan berbaur kerunsingan terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan acapkali menjelma.

Tidak kira saat kita sedar siapa diri kita bahkan saat kita lupa yang kita hamba Allah.

Bisa saja tercipta ketidak puas hatian ini hingga kadang-kadang kita rasa diri kita adalah yang paling hina. Diri kita adalah yang paling malang. Hingga kadang-kadang kita rasa hidup kita adalah yang paling tidak bermakna.

Ya. Itulah perasaan kita. Dan di situlah kesilapan kita. Kerana kita bertanya dalam keadaan hati dan jiwa bukan untuk mencari jalan penyelesaian, tetapi untuk menyalahkan . Kerana kita menyoal dalam keadaan hati dan jiwa yang penuh keluhan, kononnya sebagai cara untuk menenangkan.

Sebaliknya semua itu merosakkan.

1 - Arrrghh!! Hujan! Menyusahkan betullah.
2 - Hujankan rahmat Allah. Tak baik mengeluh. Tanpa hujan semua makhluk tak hidup tau.
Nah! amik payung ni.
 


Mengeluh itu pasti muncul

Semua orang pasti pernah mengeluh. Jika ada yang tak pernah mengeluh, saya boleh katakan anda bukan manusia yang normal. Adalah amat mustahil apabila sepanjang kita hidup, kita tidak pernah mengeluh.

Dan ramai yang tidak tahu bahawa kita mengeluh itu adalah kerana kita tidak sabar. Setelah mana Allah mendatangkan ujian, cabaran, dan halangan… terus-menerus kita menyambutnya dengan tanggapan yang buruk, lalu kita merasakan lebih baik kita mati sahaja.

Bukan bercakap tentang manusia yang jauh, tetapi ayuh bersama-sama kita melihat diri sendiri. Wujudnya perasaan-perasaan yang tidak baik adalah bukti dan tanda yang kita melihat ini semua dengan kaca mata bebanan.

Jadi, tidak ada kaedah yang boleh kita rungkai akan masalah ini melainkan kena sama-sama ubah cara pandang kita terhadap satu-satu perkara yang menimpa.


Perlu belajar untuk belajar mencari hikmah

Yang pertama, sedarlah bahawa apa yang berlaku ada hikmah dan maksud yang tersendiri yang Allah ingin berikan kepada hambaNya. Maka, adalah tidak adil apabila kita sebagai seorang hambaNya sewenang-wenang menghukum setiap takdir yang menimpa adalah tanda Allah membenci dan sebagainya.

Perlu kita sedar juga bahawa ujian itu adalah untuk menguji. Dan perlu kita faham yang dimaksudkan ujian itu bukan hanya terpalit pada segala macam kesusahan, kesulitan, kesedihan, kegagalan, kelemahan dan yang buruk-buruk tentangnya.

Kerana tidak ajaib pun yang selalu bahagia, selalu gembira, selalu senang, lapang, mewah dan sekampung dengannya… itu semua juga adalah ujian. Tinggal, Allah adalah yang lebih tahu akan siapakah hambaNya yang terbaik untuk menerima bentuk-bentuk ujian itu.

Suka untuk diingatkan kepada semua termasuk diri ini… usahlah mengeluh dan menyalahkan itu adalah kenapa aku diuji, tetapi berusahalah untuk mencari hikmah yang tersembunyi di sebalik cabaran yang menghampiri.

Hikmah tidak ada garis penghujung untuk kita tahu. Kita juga tidak bisa untuk memastikan yang sebetulnya Allah nak beritahu kita apa… Namun, sebagai seorang hamba, sewajibnya kita kena percaya bahawa yang menimpa adalah teguran dari Allah.

Senang kata sangka baik itu adalah cara yang terbaik untuk kita semua selamat daripada mengeluh dan menyalahkan takdir Allah.


Kisah seorang raja

Seorang raja yang mempunyai bendahara yang sangat dipercayainya. Segala masalah yang dilalui dan perlukan keputusan untuk dibuat, pasti bendahara itulah yang menjadi rujukan. Tetapi, satu sifat yang ada pada bendahara ini adalah beliau selalu mengaitkan apa yang terjadi dengan hikmah.

Jika ditanya kenapa ini kenapa itu, jawapannya adalah – pasti ada hikmah.

Hingga satu ketika, raja mengalami luka yang panjang pada badan baginda kerana dicalarkan oleh isteri baginda sendiri sewaktu sedang bermain pedang. Lalu ditanya kepada bendahara, maka jawapan bendahara adalah sama iaitu - pasti ada hikmahnya.

Kerana terlalu marah dengan jawapan yang diberikan oleh bendahara, langsung tidak berbaloi dengan luka yang dialami, bendahara tersebut dibuang dan dilucutkan jawatan.

Sampai satu hari, saat raja terasa bosan hidup di istana, baginda membuat keputusan untuk keluar memburu binatang. Dalam perjalanan, raja ditangkap oleh sekumpulan orang asli berkulit hitam. Raja menjadi panik apabila mendapat tahu yang baginda akan dijadikan mangsa kepada upacara penyembahan.

Raja diikat pada sebatang pokok. Tangan disisipkan ke belakang. Baju dikoyak bagi memudahkan darah diambil. Namun, tanpa disangka raja tersebut dilepaskan begitu sahaja. Raja menjadi pelik. Lalu tanyalah raja kepada ketua orang asli tersebut.

Jawab ketua orang asli, mana mungkin mereka akan menghadiahkan seorang manusia yang punya calar pada badannya. Itu sangat mengaibkan. Sedangkan kepada tuhan, perlu beri hadiah yang terbaik.

Maka, bebaslah raja tersebut. Akhirnya raja mula sedar bahawa hikmah yang dikatakan bendaharanya tempoh hari benar-benar dilalui hari ini.


Akhir : Sekalipun awak tolak cinta saya, saya tetap ada Allah

Sepatutnya itulah yang kita nampak. Apa-apa yang berlaku kepada kita, pulanglah ke pangkal hati dan tanya pada diri, apa yang Allah ingin sampaikan sebenarnya.

Sekalipun Allah meletakkan ujian yang sangat menyulitkan, maka kenapa kita tidak meminta kepada Allah untuk dimudahkan segala kesulitan itu?

Sekalipun ujian yang datang kepada kita menyebabkan kita rasa dunia ini sudah tidak ada apa-apa lagi, bukankah Allah masih ada untuk kita?

Bukankah kepada Allah kita akan kembali? Kerana itu, kenapa masih sanggup berburuk sangka kepada Allah?

Ayuh teliti kembali kehidupan kita. Untuk apa kehidupan kita ini? Jika tidak untuk Allah.

Jadi, kenapa perlu mengeluh jika diujiNya? Allah tahu yang terbaik untuk kita. Bila ujian yang datang itu kita sabar menempuhnya, kita berbaik sangka kepada Allah maka di situlah kita akan menjumpai nikmat bahagia.

Dan yang pasti, bahagia itu adalah bahagia yang bukan dibuat-buat. Percayalah.

Friday, March 16, 2012

0
Komen
~ Bukan Darah Biasa ~

Ayuh! Cakna isu semasa.

Apa yang berlaku di Syria sebenarnya? Tiba-tiba heboh. Untuk menjawab persoalan itu, saya syorkan anda ke sini. Bukan Darah Biasa









Thursday, March 15, 2012

6
Komen
~ Tujuh Tahun Menanam Cinta ~

Dari kiri : Muhsin, Zulkarnain, NABIL, Saya, Senior Hilal, Senior Sahel. ^^


Kini, terdetik di hati untuk kembali melarikan jari-jemari di atas keyboard. Bersempena dengan genapnya umur seorang sahabat yang dikasihi iaitu Nabil Nordin. Sungguh, umur beliau sudah genap 20 tahun.

Seperti yang saya selalu ulang-ulangkan, apabila kita sudah menjejak ke umur 20 tahun, bermakna kita sudah meninggalkan umur belasan tahun. Tua tidaklah tua. Dewasa tidaklah terlalu dewasa. Dan nak kata besar, tidaklah besar sangat. Tinggal, bersedia atau tidak?

Itu sahaja persoalannya.

Saya sangat teruja apabila detik ini saya mampu menghasilkan sedikit bingkisan buat sahabat yang saya kasihi. Sungguh, sebelum ini tidak pula secara khusus bingkisan ini ditulis buat dia. Sedangkan sudah setahun lebih teratak Lautan Rabbani bertapak di alam maya.

Ok. Sementara catatan di bingkisan ini pergi jauh, suka untuk saya perkenalkan siapakah manusia di sebalik nama ‘Sahabat’ itu?


Bil. Itu panggilan manja saya padanya

Nama penuh adalah Ahmad Nabil Bin Nordin. Tahun ini adalah genapnya umur beliau 20 tahun. Tinggal di Perlis. Tempat tinggal negeri saya juga. Negeri di bawah cahaya matahari. Sebab panas. Kalau Sabah, negeri di bawah bayu.  

Saya mula kenal beliau ketika umur 13 tahun. Dan sangat-sangat rapat ketika umur 16 tahun. Waktu tu terasa sangat dekat. Terasa sangat akrab. Hingga segala apa yang saya lalui sekarang adalah hasil dari perbincangan dan keputusan kami bersama dahulu.

Antaranya, pemilihan kos pangajian yang sama iaitu Ekonomi Islam. Antaranya,  Universiti yang kami pilih sekarang iaitu University of Yarmouk Jordan. Antaranya, rumah baru kami di Jordan.

Semua itu, adalah percaturan kami pada umur 16 tahun dahulu. Dan Alhamdulillah.. segala-galanya berjalan seperti mana yang dirancang. Terima kasih Allah.

Sekitar umur 18 tahun, saya mula mengenali keluarga Nabil secara mendalam. Hinggakan pada umur itu, perihal keluarga Nabil, saya sendiri yang kongsikan kepada family saya. Entah kenapa, Nabil sudah saya anggap seperti adik-beradik saya sendiri.

Nabil merupakan anak ke-4 dari enam orang adik beradik. Memegang status sebagai seorang adik kepada seorang abang dan kakak. Juga memegang status sebagai seorang abang kepada adik perempuan dan adik lelaki.

Itu yang menyebabkan saya rasa Nabil seorang anak yang special. Kenapa?

Kita tidak bisa menafikan keistimewaan insan seperti ini. Nak sembang lebat tentang penyayang seorang kakak? Karisma seorang abang? Manja seorang adik lelaki? Dan santun seorang adik perempuan? Mereka adalah yang layak. Kerana bicara mereka adalah bicara berdasarkan pengalaman.

Bukan semua orang dapat keistimewaan seperti itu.


Kenapa anggap seperti adik-beradik?

Bunyi pelikkan? Adik beradik yang dah ada tak cukup lagi ke sampai nak kena anggap adik-beradik orang sebagai adik-beradik sendiri? Haha. Mungkin anda tak fikir macam tu. Tapi saya, itulah yang bermain di fikiran.

Sebenarnya, dalam kehidupan kita ini kita tidak dapat lari dari manusia yang baik dan dari manusia yang jahat. Ada rezeki kita akan jumpa yang baik. Tidak ada rezeki kita akan jumpa yang jahat. Hatta yang jahat adalah amat tidak mustahil mereka juga akan berjumpa dengan yang jahat.

Cuma di sini, bukan masalah saya ingin menceritakan tentang yang jahat. Sebaliknya berkisar yang baik. Saya bukanlah manusia yang sempurna untuk terus menghukum manusia itu jahat mahupun baik.

Tinggal, saya berasa selesa jika saya mampu menghukum beberapa orang yang saya kasihi itu adalah baik.

Contohnya dia yang saya layangkan bingkisan ini. Rata-rata manusia pasti pernah mempunyai seorang kawan atau sahabat yang dikaishi tak boleh blah. Begitu jugalah saya. Cuma, kenapa saya betul-betul kasihkan Nabil, kerana dia adalah manusia yang banyak membantu saya ketika saya sakit.

Itu adalah hujah saya yang paling-paling kukuh untuk mengatakan bahawa Nabil adalah seorang sahabat yang baik.

Peristiwa bersejarah iaitu kemalangan jalan raya setahun yang lalu. Banyak mengajar saya soal ini. Soal pemilihan sahabat yang tepat. Kerana itu kadang-kadang saya terpaksa menerima hakikat bahawa kawan-kawan yang selalu bersama ketika sihat belum tentu dia dapat menerima kita ketika kita sakit.

Kawan-kawan yang selalu bersama dengan kita ketika kita senang, belum tentu mereka akan tetap setia dengan kita ketika kita ditimpa kesusahan.

Alasan-alasan yang diberikan bukan tidak muhasabah, tetapi agak kurang tepat dengan pendirian yang mereka buat ketika kita tidak ditimpa kesakitan mahupun kasusahan. Itu yang membezakan siapa status kita dalam berhubungan. Tidak hanya pada manisnya tebu di mulut.

Sebaliknya Nabil, adalah jauh berbeza dari apa yang saya sangka. Turut rasa terharu yang amat sangat akan keprihatinan yang ditunjukkan ketika saya teruji dahulu. Sanggup temankan saya beberapa malam di hospital. Tolong itu tolong ini. Allah… Kerdil betul rasa diri.

Kalau sayalah di tempat dia, mampukah saya lakukan seperti apa yang dia lakukan kepada saya. Hmm…


Besday di Perantauan

Tadi ahli rumah ada buat sedikit perancangan. Kononnya nak buat surprise. Tapi kerana tidak berbakat dalam bidang lakonan, pengakhiran ceritanya tidaklah terlalu surprise. Haha. Memang lawaklah bila dah jadi macam tu.

Apa pun, itu bukanlah segala-galanya. Dan gimik itu bukanlah penentunya. Sekadar asam garam dalam menyambut Hari Jadi Nabil. Mudah-mudahan Allah sentiasa kuatkan hubungan ini.

Tidak terlepas juga, hadirnya senior Hilal Asyraf bersama-sama dengan kami. Pelbagai perkara yang dikongsikan membuatkan makan-makan kami tidaklah hanya terisi di perut, dalam masa yang sama banyak perkara yang kami fikir dan sembang.

Senang hati betul tadi. Genapnya umur sahabat saya membuatkan saya terfikir bahawa umur saya juga akan genap tidak lama lagi. Meningkat dari belasan ke puluhan. Kemudian terisi pula dengan bual-bicara seorang penulis muda.

Lebih kepada sembang-sembang tentang masa depan. Jujurnya, saya betul-betul puaslah tadi. Eh, kenapa saya pula? Padahal besday Nabil. Kih3.


Akhir : Jumpa di puncak kejayaan

Sebagai akhir kata, juga sebagai penutup kepada bingkisan ini, Selamat Hari Lahir diucapkan. Moga-moga genapnya umur ini membuatkan enta semakin kuat dan tabah mengharungi kehidupan.

Semakin dewasa dan matang dalam membina kejayaan. Diberkati dan dirahmati segala urusan. Diperteguhkan jiwa dan pendirian di atas jalan perjuangan.

Dicurahkan rezeki dari ruang dan peluang yang tidak disangka-sangka. Dan last, berjaya di dunia juga akhirat.

Hmm.. itu sahaja untuk catatan kali ini. Nanti ada yang kata, duduk satu rumah pun nak tulis kat blog ke?

Saya bukanlah manusia yang hebat. Bila difikirkan balik, tidak termampu untuk saya membalas segala kebaikan sahabat ini. Cukuplah sekadar teratak ini menjadi luahan hati saya lalu kita sama-sama mendoakan dia.

Sekian,
Dari seorang sahabat.
Qawiem Khairi.
Bingkisan buatmu teman.  





Tuesday, March 13, 2012

4
Komen
~ Dibakar Kelemahan Dahulu ~

Kebakaran itu meninggalkan kesan yang mendalam.

Sudah besar rupanya saya ini. Bila difikirkan kembali, umur saya hari ini hampir mencecah dua puluh tahun. Ini beerti saya akan meninnggalkan zaman belasan tahun.

Zaman saya berbaju sekolah. Zaman saya banyak tahu tentang kehidupan. Zaman saya belajar menghormati guru-guru. Zaman saya berusaha menjadi yang terbaik dalam yang terbaik. Zaman saya bercita-cita untuk menjadi seorang ketua kepada ketua. Zaman saya berjumpa dengan ramai orang. Zaman saya mencipta dan membuka satu demi satu bakat yang Allah anugerahkan.

Ya, itulah zaman belasan tahun saya. Banyak benda saya belajar pada zaman itu.

Tetapi akhirnya, Allah Maha Tahu. Zaman itu bakal pergi meninggalkan saya tidak lama lagi. Sebagai seorang manusia yang pernah melalui zaman sekolah rendah, saya sangat-sangat berbangga dengan apa yang saya dapat pada sekolah menengah.

Sebab apa? Di situlah telah berlakunya satu perubahan yang besar pada diri ini. Kadang-kadang, terlahir perasaan sedih yang amat sangat. Apabila saya mengingati kembali zaman sekolah rendah.

Dimarah guru, dirotan, disisihkan, dipulau, diejek itu ini, dibiar sepi bagaikan tidak ada nilai. Semua itu saya pernah rasai. Semua itu saya pernah alami. Dan semua itu saya pernah lalui. Hinggakan pernah terdetik dalam hati sanubari untuk menghilangkan diri jauh-jauh dari bumi ini.

Memang benar, kenakalan itu adalah puncanya. Kedegilan itu adalah jawapannya. Kebuasan itu adalah titik mulanya.

Dan kerana itu, saya seakan tahu bahawa wujudnya setengah guru yang pantang dilihat. Asal jumpa, mesti ada benda yang tak kena.

Itulah zaman sekolah rendah saya. Yang pastinya berbeza dengan zaman sekolah menengah.
Saya punya seorang kawan. Orangnya hebat ketika mana saya kenalnya dahulu di sekolah rendah.

Antara orang harapan guru-guru di sekolah itu. Dia seorang pengawas. Dia seorang scorer dalam peperiksaan. Dia seorang yang aktif dalam sukan. Dia seorang pelajar yang pernah mendapat anugerah pelajar terbaik sekolah.

Orangnya tidaklah terlalu tinggi. Tidaklah terlalu berisi. Sedang-sedang macam saya juga. Namun, kerana kepimpinan yang dia ada,dengan kemahiran yang dia ada, dengan kepandaian dan kerajinan yang dia ada, dengan bakat dan kebolehan yang dia ada, maka tersangat-sangat susah untuk saya berdiri sama tinggi dengannya.

Saya merasai itu ketika umur bergelar kanak-kanak. Antara kami berdua bagaikan wujudnya jurang yang sangat besar. Sedangkan, umurnya sama dengan umur saya. Sekolah kami juga sama tidak pula berbeza. Apatah kelas yang dia duduki, itulah kelas saya.

Ternyata, Allah adalah sebaik-baik penyusun. Maka, yang membezakan kami adalah dia pelajar yang selalu dipuji guru. Saya tidak bahkan seballiknya. Dia pelajar yang selalu mendapat anugerah kecermelangan. Saya tidak bahkan sebaliknya. Dia adalah pelajar yang punya kuasa di sekolah. Saya tidak bahkan sebaliknya.

Sungguh, wujud rasa dijiwa bahawa dia adalah manusia yang membuatkan saya tersangat-sangat cemburu. Teringin sangat untuk menjadi sepertinya. Tetapi yang sedih, saya tidak tahu di mana perlu saya cari kekuatan untuk menjadi sepertinya.

Di mana perlu saya mula untuk menjadi sepertinya?

 Saya tidak tahu. Akhirnya, berkampunglah saya keseorangan tanpa wujudnya manusia-manusia yang mampu merungkaikan semangat itu. Mampu membimbing keazaman itu. Mampu menggilap kehendak perubahan itu.

Hinggalah saya menjejakkan kaki di sebuah sekolah yang banyak mendidik dan mengetuk pintu jiwa. Sebuah sekolah yang punya manusia-manusia luar biasa. Dan yang luar biasa itulah guru-guru yang sentiasa membetulkan cara kehidupan saya. Dan yang luar biasa ituiah senior-senior yang banyak menunjukkan cohtoh yang baik kepada saya.

Benar, kehadiran mereka  antara punca saya ingin menjadi manusia yang dilayan seperti manusia. Dengan kehadiran merekalah, saya ingin menjadi insan yang dikasihi dan disayangi seperti seorang insan. Bukan seperti makhluk ganjil yang turun dari bulan.

Kerana itulah, saya suka untuk menegaskan bahawa zaman belasan tahun saya adalah bermula di sekolah menengah. Tidak di sekolah rendah. Walapun hakikatnya, umur sebelah tahun itu adalah di darjah lima.

Kini saya adalah saya yang dahulu. Cukuplah manusia kalau dahulu kamu lihat saya hina, hari ini saya datang dengan nama yang sama. Kalau dahulu kamu lihat saya simpati, hari ini saya lihat kamu bagaikan mentari. Dan kerana kamu, saya adalah saya hari ini.

Sekian,
Seorang manusia biasa yang bercita-cita untuk bahagia selama-lamanya.


Friday, March 9, 2012

1
Komen
~ Kembali Bernyawa [Eps. 7] ~

Ada masa bulan mampu menjadi saksi.



10 Tahun Kemudian.

Di Restauran Makanan Seafood. Tepi laut. Malam yang diterangi bulan purnama.


Atiqah : Ya Allah…… tak sangka dapat jumpa akak lagi. Setelah lama kita tak jumpa.

Nadia : Hmm… Atiqah pun dah nampak lain. Tambah-tambah dah jadi orang berjaya sekarang. So, macamna dengan kerja?

Atiqah : Macam tulah akak. Penat sikitla bila dah jadi doktor ni. Kadang-kadang tak cukup tangan nak buat semua benda.  Jus mangga yang dipesan disedut perlahan.

Nadia : Hehe… biasalah tu. Ujian sikit-sikit kena ada juga. Baru boleh jadi orang hebat. Bangga akak ada adik macam Tiqah. Pasni bolehla Tiqah tolong rawatkan akak.

Atiqah : Haha. Takda masalah kak. Akak punya pasal, Tiqah bagi rawatan percuma. Tapi, akak kena belanja Tiqah setiap malam macam ni lah. Ok? Haha.

Nadia : Oooo.. amik kesempatan ya.

Mereka ketawa keriangan. Bahagia mengusik jiwa saat bertemu kembali setelah berpisah sekian lama.

Irfan : Assalamualaikum. Hai, rancak sembang? Tegur seorang lelaki mengenakan kot hitam di badan berdiri tidak jauh dari meja mereka.

Serentak gelak-tawa mereka berhenti. Atiqah dan Nadia menjawab salam.

Atiqah : Sapa ni kak? Lain macam je dia senyum dekat akak.

Nadia : Entah. Akak pun tak tahu. Bibir Nadia dicebik ke depan.

Atiqah tidak sedap hati. Kalau diikutkan hati, mahu dicepuk lelaki yang berada di hadapannya. Geram menyelubungi diri apabila ada lelaki yang tidak dikenali lagak gaya seperti mahu mengorat kakak yang disayanginya.

Atiqah : Kau ni sapa?! Jangan ganggu kami!

Suara Atiqah tinggi. Sengaja untuk menarik perhatian manusia berdekatan. Agar mereka semua tahu yang dia dan Nadia sedang diganggu.

Nadia : Sabar Tiqah. Malu orang tengok kita ni. Akak gurau jelah. Ni Abang Irfan. Suami akak.

Irfan yang masih berdiri mengukir senyuman. Atiqah terkejut. Mukanya mula merah. Malu.

Atiqah : Akaaakkkk! Ya Allah… malunya Tiqah. Tadi akak kata tak kenal. Akak sengajakan nak usik Tiqah. Pastu kahwin tak bagitau kita. Eeeee… geramnya.

Bahu Nadia ditepuk. Jus tembikai di hadapannya dikacau laju. Lalu dihisap perlahan. Sekali-sekala Atiqah menjeling sekeliling. Menahan rasa malu kerana meninggikan suara sebentar tadi.

Nadia : Hahaha…. Terkejut akak tiba-tiba Atiqah terus nak marah Abang Irfan. Apa pula akak tak bagitau. Kan akak ada hantar mesej tiga tahun lepas jemput Tiqah datang majlis kahwin akak. Tapi dah tyem tu Tiqah kata sibuk klinikal. Akak pun tak mahulah ganggu. Lalu, Nadia mengalihkan pandangan ke arah suaminya tercinta. Duduk bang!

Atiqah : Owh… ingat-ingat. Hahaha. Series mesej tu Tiqah ingat akak main-main. Lagipun susahla nak balik tyem tu. Jordan dengan Malaysia kan jaauuhh.. Hehe.

Nadia : Haha. Ok. Akak faham. Dia orang Jordan. Mana layak nak datang majlis kahwin kita.

Atiqah mengangkat kening. Mukanya selamba apabila diperli Nadia. Jus tembikai masih diminumnya. Kadang-kadang segannya juga terasa saat Irfan hanya menjadi pendengar kepada perbualan mereka.

Atiqah : Well…

Nadia : Eh, Tiqah kata tak minat jus tembikai. Tu minum air akak sampai nak habis. Nak akak orderkan satu lagi?

Atiqah mula sedar. Rupa-rupanya dia tersilap minum. Semuanya kerana gara-gara dia cuba mengawal rasa segan tadi. Irfan dan Nadia tersenyum dengan reaksi Atiqah. Dia malu buat kali kedua.

Atiqah : Ya Allah.. maaf kak. Maaf. Tiqah langsung tak perasan. Dah nak habis dah air akak. Tersipu-sipu.

Nadia : Hehe… takpa-takpa. Jangan malu-malu. Minum sampai habis pun takpa. Terus-menerus Nadia mengusiknya.

Atiqah : Akaaakkk!

Mata Atiqah merenung tajam pada Nadia. Nadia tersenyum bahagia melihat adiknya bereaksi begitu. Comel. Tiba-tiba……

Waiter : Selamat datang ke Restauran Rabbani Seafood. Saya pemilik restauran ini. Ada apa-apa yang boleh saya bantu? Seorang lelaki dengan iPad di tangan bersuara. Ceria dan mesra.

Nadia, Atiqah dan Irfan Mengalihkan pandangan kepada pemilik suara. Lalu mereka semua terkejut.

Irfan : Kau…..?!


Bersambung.


---------------------------
Kembali Bernyawa [Eps. 6] 
  




Sunday, March 4, 2012

11
Komen
~ Warkah Cinta Buat Bonda ~

"Mama, I just want you to know I really love U." ~ Qawiem Khairi

Hari ini adalah hari yang membahagiakan dalam kehidupan saya. Siapa sangka, dengan adanya hari ini, maka adalah saya. Membesar dengan penuh kasih sayang. Dibelai dengan rasa kasih dan cinta. Diangkat menjadi seorang anak yang dilayan baik oleh ibu dan ayah. Inilah hari yang banyak memberi kesan dalam hidup saya.

Saya sentiasa yakin dan percaya bahawa kita semua mempunyai hari yang kita suka. Mempunyai tarikh yang kita cinta. Ada orang mengingati tarikh-tarikh sekian kerana pada tarikh itu adalah tarikh kelahirannya.

Ada orang lain pula mengingati tarikh-tarikh sekian kerana pada tarikh tersebut adalah tarikh kelahiran orang yang dicintai dan mencintainya. Ada satu pihak lagi mengingati tarikh-tarikh sekian kerana pada tarikh tersebut adalah tarikh perkahwinannya.

Hatta kadang-kadang, tarikh-tarikh tersebut diingati kerana berlakunya satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Mungkin berlakunya bala bencana. Mungkin berlakunya kesusahan. Mungkin juga berlakunya kematian dalam tarikh tersebut. Membuatkan kita yang bernama manusia biasa ini akan sentiasa terkenang pada tarikh-tarikh keramat tersebut.

Begitu juga saya. Dan saya juga seperti anda. Pasti akan terkenang pada tarikh-tarikh keramat itu. Yang banyak memberi pengajaran. Yang banyak menyentuh jiwa. Yang banyak membuatkan kita rasa dunia ini adalah tempat persinggahan semata-mata.  

Post kali ini, suka untuk bercerita tentang ibu kandung saya. Kerana pada hari ini adalah tarikh keramat buat ibu saya yang tercinta.


Cerita saya dan Bonda

Teringat pada mula-mula mendapat lesen memandu dahulu.

Bonda selalu berpesan kepada saya agar berhati-hati memandu. Tidak henti-henti. Tidak cukup hanya sekadar berpesan, hingga kadang-kadang menghalang saya memandu kereta.

Saya. Walaupun seorang anak, rasa tertanya-tanya kenapa tidak dibenarkan membawa kereta. Sedangkan mempunyai lesen. Sedangkan bukanlah memandu kereta dengan laju pun. Berhati-hati. Walaupun kadang-kadang laju juga. Hihi.

“Kenapa emak tak bagi Qawim bawa kereta? Qawim kan ada lesen. Mak janganlah risau.” Jiwa muda memberontak ketika itu. Bukan kerana dihalang, tetapi dipandang rendah. Itu tanggapan hati kecil.

“Mak tetap kena risau. Cuba tengok kawan Qawim yang eksiden baru-baru ni, mereka juga ada lesen kan? Tapi kenapa eksiden?” Balas bonda sederhana.

Tersentap. Ya, mereka juga ada lesen, tapi Allah menguji mereka dengan eksiden jalan raya. Otak saya seakan mengiakan apa yang dikatakan bonda. Tetapi kerana terlalu ghairah untuk memandu kereta, maka saya mencari jawapan balas agar bonda tetap melepaskan.

“Kalau macam tu rugilah duit emak. Penat-penat Qawim amik lesen, tapi tak boleh bawak kereta.” Senyum ke arah bonda. Berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

Bonda tenang. Lalu membalas. 

“Emak bukan tak bagi, tapi Qawim kena berhati-hati bila pandu kereta. Kena sentiasa beringat. Takut-takut jadi apa-apa nanti, mak ngan ayah juga yang risau.” Bersungguh bonda meluahkan.

Saya berlonjak keriangan. Itulah lampu hijau yang ditunjukkan bonda. Tetapi kerana tidak berfikir jauh akan maksud bonda, saya tidak nampak akan pengajaran dari kata-kata itu. Yang nampak adalah kebenaran untuk memandu. Itu sahaja.

Akhirnya keriangan itu tidak lama. Apabila apa yang dirisaukan bonda itu benar-benar terjadi kepada saya. Kemalangan jalan raya. Saya hanya mampu menginsafi kata-kata beliau. Sungguh, risau seorang ibu adalah risau yang istimewa. Sebagai seorang anak, kita wajib mengambil berat akannya.


Kembali seperti zaman kanak-kanak

Ya. Peristiwa kemalangan jalan raya. Saat kereta dari arah bertentangan terbang berlawanan jalan lalu menghempap ke atas kereta yang dipandu. Mula pada itu, hidup saya berulang tidak ubah seperti seorang kanak-kanak yang dahagakan belaian kasih sayang.

Mengalami kecederaan yang tidaklah terlalu serius. Patah sebelah kaki. Hampir pecah kedua-dua lutut. Berlaku sedikit kecacatan kekal sampai hari ini. Membuatkan sampai sekarang kenangan itu tidak akan mudah untuk saya lupakan.

Apa yang saya lihat, masa itu bonda adalah salah seorang manusia yang sangat-sangat risaukan. Terlantar di atas katil hospital seperti manusia yang diikat kaki dan tangan. Tidak lain dan tidak bukan, saya terpaksa dijaga seperti kanak-kanak yang tidak punya kekuatan dan keberanian.

Maka hadirlah bonda yang saya cinta. Sentiasa memberikan kata-kata semangat. Sentiasa mengingatkan kembali hikmah yang Allah ingin berikan. Hingga apa yang saya rasakan, bertuahnya mempunyai seorang ibu yang baik seperti bonda.

Sebaliknya, bonda tidak pernah untuk mengungkit pesanan-pesanannya yang telah lalu. Saya sedar bahawa apa yang dipesan bonda dahulu adalah benar-benar belaka. Tinggal saya yang tidak mempedulikan pesanan itu. Saya sayang bonda.

Kadang-kadang saya menangis seorang diri. Terfikir bagaimana nasib seorang anak yang tidak mempunyai ibu. Sekalipun ada ibu, sejauh mana ibu itu melayan anaknya? Adakah sekadar memberi makan minum? Adakah sekadar mencurahkan pendidikan dunia? Adakah sekadar memenuhi kehidupan anak seperti kehidupan anak-anak yang lain?

Tetapi saya? Boleh kata sempurna didikan bonda. Sentiasa meluangkan masa mendengar cerita. Sentiasa memenuhi kehendak saya untuk masak makanan kegemaran. Sentiasa memberikan pendidikan yang terbaik untuk saya belajar dan terus belajar. Bahkan jika saya salah, bonda adalah manusia yang akan membetulkan kesalahan.

Terima kasih bonda.


Hari ini adalah hari kelahiran Bonda Tercinta

Satu susuk tubuh yang tidak terlalu tinggi. Tidak pula terlalu rendah. Orangnya biasa-biasa. Tidak selalu kehadapan dan tidak pula terlalu ke belakang. Mudah mesra dan ceria orangnya. Itulah bonda.

Sepanjang umur saya, bonda adalah manusia yang saya cinta. Tidak ada alasan yang perlu saya berikan untuk menyangkal bahawa ibu saya adalah perempuan yang terbaik yang pernah saya jumpa.

Bonda terbaik bukan kerana ibu orang lain tidak baik. Tetapi kerana saya belum mengenal perempuan-perempuan yang saya jumpa selama ini secara mendekat. Itu sahaja. Jangan salah sangka ya.

“Bersempena dengan hari ini, hari lahir mak… Qawim mengucapkan Selamat Hari Lahir kepada emak. Qawim doakan moga Allah memberi kekuatan kepada emak dan ayah di Malaysia. Moga Allah menyayangi emak dan ayah seperti mana emak dan ayah menyayangi kami anak-anak.

Ya Allah, ringankanlah beban ibuku dari segala kesulitan untuk mendidikku. Tabahkanlah jiwanya dalam meneruskan kehidupan di dunia ini. Tenangkanlah hatinya dalam menyelesaikan masalah yang Engkau datangkan kepada ibuku.

Ya Allah ya Tuhanku, sungguh aku sangat sayang kepada satu-satunya ibu kandungku ini. Peliharalah ibuku dari dosa dan maksiat kepadaMu. Tetapkanlah ibu dan ayahku di syurgaMu yang kekal nan abadi nanti.

Aku berdoa kepadaMu, janganlah disebabkan kesalahan dan kesilapan kami anak-anak… menyebabkan kedua ibu bapaku tidak bisa masuk ke syurgaMu. Amin ya Rab.”

Buat pembaca sekalian, tolong doakan untuk ibu saya juga ya. Mudah-mudahan doa yang sama juga untuk anda.


Akhir : Emak, Qawim minta maaf

Kepada emak, Qawim minta maaf atas segala kekurangan juga kesalahan yang telah Qawim lakukan. Pasti, Qawim akan sentiasa merindui emak dan ayah di sana.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada emak dan ayah yang banyak berkorban dan bersusah payah demi kebahagiaan dan keselesaan kami anak-anak. Bermula dari Qawim kecil sehinggalah Qawim pada hari ini.

Sungguh, hari ini terasa sepeti ingin memeluk emak dan ayah. Sedih dan sayu. Jaga diri.

Qawim di sini juga akan jaga diri. Dan akan sentiasa ingat pesanan mak dan ayah.

Sekian,
Dari seorang anak.
Qawiem Khairi.
Warkah cinta buat bondaku tercinta.