Showing posts with label Ramadhan. Show all posts
Showing posts with label Ramadhan. Show all posts

Wednesday, July 25, 2012

8
Komen
~ Ramadhan di Jordan ~


Yakinlah bulan yang mulia ini adlh bonus buat kita. :)


Alhamdulillah. Hari ini sudah masuk hari yang ke-enam saya berpuasa di Bumi Jordan. Satu pengalaman yang sangat berharga buat diri ini. Sayu rasa hati, terharu rasa di jiwa dengan pemilihan Allah ke atas diri ini.

Kadang-kadang saya mengimbau kembali zaman kanak-kanak. Teringat juga zaman remaja di sekolah menengah. Rata-rata yang saya jumpa ustaz-ustaz mahupun abang-abang yang menyambung pengajian di Timur Tengah selalu menceritakan perihal Ramadhan di tempat mereka..

Tidak kira di Mesir, Madinah, Mekah, Syria apatah lagi di tempat saya sekarang iaitu Jordan. Menyebabkan sebelum saya tiba di bumi Jordan lagi, saya sudah menyimpan impian untuk melihat bagaimana tetamu mulia ini disambut oleh orang Arab.

Nyata, pengharapan saya tidak sia-sia. Bahkan, cerita-cerita yang mereka sampaikan dahulu, benar-benar belaka. Tersenyum sendiri. Mengangguk dan mengiakan segalanya.

Dan apa yang diceritakan tatkala saya masih di bangku sekolah dahulu, sekarang saya sudah laluinya. Series teruja

Satu perkara yang saya suka buat apabila tiba di negara orang adalah memerhati. Rasanya semua orang begitu.

Kesannya, kita akan banyak belajar budaya hidup mereka terutama tentang bagaimana cara mereka menyambut Ramadhan yang sedang kita bicarakan sekarang.

Sungguh, orang Arab kebanyakannya memang memandang tinggi terhadap bulan yang mulia ini. Sambutan mereka terhadap bulan Ramadhan nyata mewujudkan suasana yang soleh.

Solat di tepi jalan itu biasa. Quran dibaca di mana-mana itu biasa. Biji tasbih sentiasa bermain di tangan itu biasa. Saling doa - mendoakan antara satu sama lain juga biasa. Dan Malaysia, masih jauh juga budaya ini di negara kita.

InsyaAllah, kalau Allah izin.. nanti saya akan buat satu Vlog berkenaan perbezaan ini. Nantikan !

Jangan salah sangka, suasana yang tidak soleh itu tetap ada.  Tinggal, segelintir cuma.


Qawiem Khairi | Semangat bergambar sebelum berbuka puasa. Haha. ^_^

Tadi saya ada berborak dengan seorang kawan dalam bilik kuliyah. Umurnya sebaya. Orangnya sentiasa menjaga penampilan. Tetapi sayang, kerap merokok.

“Kau puasa hari ini ?” Dia memulakan perbualan.

“InsyaAllah. Setiap hari dalam bulan ramadhan aku puasa.” Saya membalas.

“Bagus-bagus.”


“Kau tak merokok hari ni?” Giliran saya pula mengajukan soalan.

“Aku merokok lepas maghrib.”

“Kak rasa merokok tu baik untuk kesihatan tak?” Saja nak test soalan panas.

“Tak.” Dia menggeleng.

“Jadi, kenapa kau merokok? Kalau dah tahu bahaya untuk kesihatan. Aku dulu merokok juga waktu kecil sebab masa tu tak tahu apa-apa. Tapi aku merokok guna kertas.”

Panjang saya membalas. Walaupun saya cakap tak berapa lancar. Biasalah, cakap dalam bahasa Arab kot. Tapi dia faham kira oklah. Haha.

“Aku merokok sebab ketagih.” Jawapannya pendek. Terus saya terfikir sesuatu.

Saya setuju bila dia kata dia ketagih. Sebab banyak orang arab yang seusia dengan saya di Jordan lazimnya merokok. Tapi, hebatnya bulan Ramdhan sebagai bulan mulia.. mampu menyekat kemahuan perokok-perokok tegar untuk beraksi di siang hari.

Series sekarang bila saya pergi universiti sudah tidak bau asap rokok.

Kesannya, muncullah status-status di FB dari pelajar Malaysia yang belajar di Jordan dengan mengatakan bahawa udara di universiti lebih sihat berbanding sebelum datangnya Ramadhan.

Dan satu benda yang menarik, saya lihat di Jordan mereka menyambut kedatangan Ramadhan macam kita sambut Hari Raya. Jadi, tak pelik bila orang arab memasang lampu kelip-kelip di halaman rumah dan balkoni bermula awal Ramadhan.

Ya Allah, harmoninya Ramadhan kalau begitulah sambutannya di Malaysia. Tapi, saya sentiasa yakin dan percaya, usaha-usaha untuk mengharmoni dan menyuburkan hari-hari dalam bulan Ramadhan di negara kita tetap juga ada. Setuju ? Itu yang kita puji.

Hmm.. InsyaAllah, mungkin sampai di sini sahaja coretannya. Masih ada banyak lagi cerita perihal Ramadhan di Bumi Jordan. Nanti saya sambung di next episod. Kalau ada segala persoalan, boleh tinggal di ruang komentar.

Saya akan masukkan sekali jawapannya di next episod.

“ Entah kenapa dua tiga hari ni asyik teringat Char Koteaw. Haha.. berat nanang. “

Chekitdout  !


Sekian,
Pelaut Rabbani,
Irbid Jordan.



Thursday, August 4, 2011

16
Komen
~ Rintihan Ramadhan Dengan Sikap Kita ~

Dengarlah rintihan ini..
Aku menjengah ke langit dunia. Aku melihat anak-anak kecil sedang bergembira. Remajanya ramai yang sedang menikmati musim belajar di sekolah. Ibu bapa sibuk dengan kerjaya dan tidak kurang ada insan-insan yang sedang beribadah, tunduk dan menyerah diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Mataku tertarik untuk melihat suatu situasi di dalam kelas di sebuah kawasan sekolah yang dipagari pohon-pohon getah yang merimbun. 

Seorang guru sedang berbicara dengan pelajarnya tentang aku. Terasa bahagia menjamah hati. 


Tiba-tiba aku tersentak apabila mendengar kata-kata seorang pelajar, "Saya tidak tahu apa maksud Ramadhan, cikgu. Saya tidak merasa apa-apa pun". 

Rakan sekelasnya menunjukkan reaksi wajah kehairanan dan pelik. Namun si gadis itu membalas, "Kenapa? Salahkah?". Guru itu menggelengkan kepalanya dan mula menerangkan kebaikanku kepada semua anak muridnya di dalam kelas itu.

Dalam pada itu aku terasa sayu. Aku sangat pasti setelah ribuan tahun Rasulullah wafat, aku semakin dilupakan. Setelah zaman para sahabat, tabien dan salafussoleh berlalu, aku semakin tidak dihargai manusia. Zaman kini sangat berbeza dengan zaman di mana Rasulullah dan para sahabat gembira dengan kehadiranku.

Aku masih ingat ketika aku hadir, mereka melaung-laungkan kalimah Ahlan Ya Ramadhan. Para sahabat bersama Rasulullah berlumba-lumba melakukan kebaikan di dalamku. Mereka percaya akan kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku. Malaikat telah meluaskan sayap seluas-luasnya padaku. Allah telah membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka di dalamku.


Tetapi ramai yang tidak faham. Ramai yang tidak sedar.

Wahai manusia, sesungguhnya kalian telah diwajibkan berpuasa di dalamku bermula daripada cahaya terbesar yang terbit di negara Jepun sehingga cahaya matahari itu terbenam di arah kiblat umat Islam dan kamu harus corakkan ibadahmu dengan keimanan dan ketaqwaan agar diterima oleh Allah s.w.t. Puasa di dalamku hukumnya wajib. Tidakkah kalian rasakan itu suatu suruhan yang besar untukmu wahai penghuni muka bumi? 

Justeru mengapa terdapat dalam kalangan kalian yang tidak mengendahkan suruhan agung itu? 

Allah telah mengurniakan aku keistimewaan untuk kalian rebutkan. Rahmat Allah melimpah ruah padaku dan aku adalah bulan di mana alunan al-Quran akan mengetuk setiap gegendang telinga para pembaca dan pendengarnya. Pernahkah kalian memerhati?

Teringat aku pada Saidina Ali yang tidak jemu berdoa setiap tanggal 1 Ramadhan dengan doa yang berbunyi, " Ya Allah, masukkanlah bulan yang mulia ini kepada kami dengan aman daripada gangguan penyakit, longgar daripada pelbagai kesibukan dan berikanlah kepada kami kerelaan dan kepuasan untuk tidak banyak tidur di dalamnya…"

Sejuk hatiku saat doa itu berkumandang. Kini, saat dunia semakin canggih dan moden, maka semakin pudar doa-doa itu dipendengaranku. Mengapa? Aku tidak merasakan punca fenomena ini datang daripadaku. Aku adalah hamba Allah yang dijadikan sebagai tempat untuk kamu semua beroleh nikmat, rahmat dan puncak kasih Allah kepada kalian.

Tahukah kalian di awalku adalah rahmat? Dipertengahanku adalah maghfirah? Dan dipenghujungku adalah dijauhkan daripada azab api neraka? 

Sesudah mengetahuinya, apakah tindakan kalian hanya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga? Yang kemudianya kalian habiskan dengan bergembira ketika berbuka? Tanpa sedikit pun amal ibadat di dalamnya? Mengapa kalian mensia-siakan aku, manusia? 

Bagaimana biasa kalian tidak merasai keistimewaanku dan aku adalah peluang untuk kalian memperbaiki diri? Wahai manusia! Jawablah soalanku!!  

Aku sangat tidak faham dengan kerenahmu..

Wahai makhluk Allah yang telah dikurniakan akal. Sedarlah bahawa di dalamku doa kamu akan dimakbulkan oleh Allah. Di dalamku nanti terdapat suatu malam di mana padanya adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Mengapa kamu semua tidak berlumba-lumba mendapatkanya? 


Aku pasti kalian tahu bahawa setiap amalan sunat yang dilakukan adalah bersamaan pahalanya dengan amalan fardu manakala jika kamu melakukan amalan fardhu, pahalanya melonjak sehingga 70 kali ganda. Hebat tawaran Allah kepada kalian. 


Tetapi kalian benar-benar golongan yang tidak tahu bersyukur andai kalian tidak mempedulikan bonus yang Allah berikan ini!!

Zaman berlalu, aku semakin terasa sedih. Sayu saat aku menyedari bahawa manusia semakin melupakan kebaikan dan keistimewaan yang Allah kurniakan kepadaku. Bagaimana bisa manusia tidak menghargai aku?

Aku merintih saban malam agar manusia bangun dan beribadah, membaca al-Quran, menuturkan zikrullah. Qiyamullail dan berniat mencari malam Lailatul Qadar. Namun hanya sebahagian sahaja daripada umat manusia yang melawan hawa nafsu menyahut rintihanku. Bersusah payah bangun daripada pembaringan yang enak menuju ke tikar sembahnyang lantas sujud menyembah Tuhan yang Maha Satu.

Walau apapun sikap manusia, untuk Ramadhan kali ini aku berharap agar ada hati-hati insan yang tidak mensia-siakan aku lagi. Ketahuilah kalian aku sedang menunggu! Aku sedang menunggu untuk melihat!!
Siapakah yang akan terampun dosa-dosanya setelah aku berangkat pergi!? Siapa??


Aku sangat berharap agar kamu adalah salah seorang yang akan diampunkan dosa-dosanya. Moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa. Orang yang dikasihi Allah. Oleh itu, hargailah aku sebaiknya. sebelum aku pergi meninggalkan kamu tahun ini. Kerana aku takut, kita tidak akan berjumpa lagi pada tahun hadapan.




P/s : Ayuh kita melebarkan sayap ramadhan kita di taman ini. Moga beroleh sesuatu yang bermanfaat. Klik Ummu_Ammar - Impian Ramadhan

Tuesday, August 2, 2011

12
Komen
~ Malam Pertama Sudah Berlalu ~

Perubahan kearah baik pasti akan membuatkan yang tersayang terkejut dan tersenyum.


Sebelum Ramadhan, bermacam-macam perkara yang kita rancang. Semuanya demi kebaikan kepada diri dan orang yang kita sayang. 

Setiap saat yang berlalu dalam bulan Ramadhan seakan bonus yang datang untuk membahagiakan. Ia datang kepada kita sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan insan yang dahagakan belaian rahmat.

Dikala terdetiknya jarum jam menandakan sudah masuknya waktu maghrib, hampir kebanyakan daripada kita seakan tersenyum puas tatkala dapat menyentuh bulan ini. Ada yang sayu, ada yang sedih, ada yang teruja, ada yang bahagia dan bermacam-macam lagi perasaan yang bercampur baur. Subhanallah. Hebat sungguh rahmat bulan Ramadhan. 

Kerana itu, tidak pelik jika hamba-hamba Allah yang sejati sangat merindukannya. Semestinya mereka sangat mengharapkan sejuta macam pengertian. Dengan harapan, ia mampu menjadi bekalan untuk sebelas bulan yang lain. Maka di sini, pulanglah ke pangkal hati. Tanya pada diri, kita bagaimana?

Bagaimana keadaan diri kita?

Ya. Bagaimana keadaan diri kita? Jika sebelum ini kita sangat-sangat berharap untuk masuk ke bulan ini, sekarang kita sudah masuk, maka apa hasilnya? Bagaimana perjalanan detik kehidupan kita? Adakah semakin baik? 

Atau sama macam hari-hari dan bulan-bulan biasa?

Ayuh! Putar kembali saat kita mengharungi malam pertama kelmarin? Lihat kembali minit-minit waktu pada hari semalam? Sejauh mana ia benar-benar berkesan kepada diri dan hati yang dicemari dosa? Mudah-mudahan hari esok akan menjadi lebih berkualiti.


Sebelum subuh, sudahkah kita bangun untuk mendirikan solah malam? Mengambil masa beberapa minit untuk berhubung dengan Allah..

Pekerjaan kita sehari suntuk kelmarin.. adakah diselitkan dengan pembacaan Al-Quran dan maknanya?
Dalam kita belajar.. adakah menjadi lebih fokus?
Soal kesungguhan dan kerajinan.. adakah ia seakan sifat yang asing bagi kita apabila masuk bulan Ramadhan?

Solah jemaah di masjid.. Apa cerita? Solah sunat juga bagaimana?

Subhanallah. Banyak lagi sebenarnya yang perlu kita teliti dan ambil pngajaran.



Aha. Tentang bazar Ramadhan pula. Bagaimana hari pertama kita apabila tiba di bazar Ramadhan?

Melihat jualan dengan pandangan nafsu atau pandangan keperluan?
Andai pandangan nafsu yang menjadi rujukan, pasti pembaziran adalah pengakhiran.



Dan yang terakhir, sejauh mana kualiti satu Ramadhan saya dan anda? Target yang kita tetapkan iaitu Taqwa, mampukah kita meraihnya jika hari-hari selepas ini sama seperti hari di 'satu Ramadhan'. 
Jika malam-malam selepas ini sama seperti 'malam pertama' Ramadhan?


Akhir : Ayuh lakukan peningkatan

Jika tidak mampu, maka kita perlu lakukan peningkatan. Itulah kesimpulan dan 'main point' yang wajar sama-sama kita lihat dan sedar. 

Walaupun kita baru berada dalam sepuluh hari pertama, bukan bermakna yang kita boleh bermain-main dan memandangnya sebelah mata.

Jika enjin di hari mula sudah dilanda pelbagai penyakit, masakan hari-hari penghujungnya enjin tersebut mampu bertahan sebagai sumber jana kuasa. Takut-takut, ia akan merosakkan sistem pengendaliannya dari dalam tanpa yang luar sedari. 

Sungguh, itu lagi menyedihkan. =(

P/s : Terima kasih kepada NaZmi Studio. Moga Allah kasih dengan anda. =)

Sunday, July 31, 2011

7
Komen
~ Selamat Menyambut Ramadhan Al-mubarak ~

Moga Allah kasih dengan kita (",)
Memulakan entry kali ini dengan lafaz salam untuk anda seluruhnya. Assalamualaikum wbt. 

Alhamdulillah. Tidak ada kata yang dapat diungkapkan sebagai pemula ayat untuk menggambarkan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah atas kurniaan ruang dan peluang untuk saya menggerakkan bait-bait kata di laman Lautan Rabbani.

Sedar atau tidak, rupa-rupanya umur lautan ini hampir mencapai sembilan bulan. 

"Owh.. lama dahla Lautan Rabbani ditubuhkan."

"Eh.. yaka? Macam sudah dua tahun ja."

"Alamak bro.. baru sembilan bulan. Blog aku dah sepoloh tahun rileks ja."

" La.. sama dengan masa ibu ngandung."

Hehe. Apa pun kata anda.. hari ini saya bahagia. Kerana salah satu impian saya untuk menghasilkan komik di laman ini sudah tercapai. Alhamdulillah. 

Sebelum anda tanya saya, lebih baik saya sendiri yang menjawabnya dahulu.  (",)

Sebenarnya, besar harapan saya untuk menjadikan teduhan Lautan Rabbani sebagai tempat membangun jiwa. Banyak perkara yang saya belajar daripada mereka yang bergelar senior blogger, yang mampu menjadikan pondok atau teduhan mereka sebagai tempat merehatkan minda, meningkatkan iman, menghilangkan resah di hati, memberi hiburan secara sederhana sejurus melengkap alam maya ini sebagai salah satu cabang untuk mencapai redhaNya.

Untuk menjadi seperti mereka maka saya juga perlu berusaha. Perlu kreatif dan bersungguh dalam mengikut jejak dan anak tangga yang pernah meraka lalui dan 'dakaki'. InsyaAllah.

Komik ringkas ragam ramadhan dan raya.

Terimalah..

Yang mana lebih kita utamakan? Persediaan Ramadhan atau raya?


Taqwa adalah satu rahmat dan anugerah kepada mereka yang berusaha untuk mendapatkannya. Oleh sebab itu, kita yang menentukan sama ada mahu atau tidak.. (",)


Akhir : Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak

Ya. Ramadhan itu sudah berkunjung tiba. Kita bukan berada dalam bulatan mainan lagi. Kita bukan berada dalam impian dan angan-angan lagi. Semuanya akan dan telah kita tempuhi. Maka, bersempena di awal bulan Ramadhan ini, saya ingin mengucapkan Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Juga meminta maaf kepada anda semua sama ada kepada rakan-rakan blogger, silence reader, serta tetamu-tetamu yang seringkali menjengah ke laman ini. Tidak dilupakan juga buat warga 15 generations, warga keArah perlis dan sanak-saudara yang mengenali diri ini. 

Apa yang kita harapkan, bulan Ramadhan yang menjelma ini mampu memberi impak positif kepada kita untuk berubah dan berubah mengejar bintang.

Anggaplah Ramadhan yang kita tempuhi pada tahun ini sebagai Ramadhan yang terakhir. Motivasi mengingatkan dekatnya hari kematian akan menjadikan kita serius beramal ibadah dan serius berbuat kebajikan sebanyak-banyaknya.

Andai umur masih sempat melangkau Syawal, syukurlah banyak-banyak di atas usia bonus ini. Mudah-mudahan berkat didikan 'madrasah' Ramadhan kita kembali menjadi baik seiring bintang-bintang di langit. Amin.

P/s : Terima kasih kepada Nazmi Studio. Moga Allah kasih dengan anda.

Thursday, July 14, 2011

8
Komen
~ Ramadhan dan Secebis Tentangnya ~

Tak lama bulan purnama akan muncul, kemudian akan menjadi hilal kembali. (",)
Hari ini, dapatlah kita lihat ramainya manusia yang membicarakan perihal Ramadhan. Itu dan itu. Ini dan ini. Semuanya sebagai salah satu wadah atau usaha untuk kita sama-sama ber'warming-up' sebelum terjun ke dalam bulan yang dilipat gandakan ganjaran pahala.

Kita semua tahu yang bulan Ramadhan adalah bulan rahmah. Bulan yang ditutup pintu neraka dan menghadirkan bonus kepada kita dengan membuka pintu syurga seluas-luasnya.

Tinggal, bagaimana kita akan mengikhlaskan diri dan bersungguh-sungguh dalam memanfaat ibadah serta kelebihan yang dianugerahkan ini.

Menyebut tentang puasa. Pelbagai persepsi yang boleh saya dan anda katakan. Tetapi sebagai coretan permulaan di Lautan Rabbani berkenaan Ramadhan, maka suka untuk saya katakan yang ibadah puasa sangat akrab hubungannya dengan sucinya ikhlas. Kenapa? (",)
 
Kerana puasa merupakan ibadah yang paling hampir dengan makna keikhlasan bagi seseorang hamba.

Begini. Puasa merupakan rahsia antara seorang hamba dengan Tuhannya. Seseorang yang berpuasa boleh berbuka tanpa orang lain mengetahuinya tetapi kerana iman dan taqwa kpd Allah yang mengetahui keadaan zahir dan batinnya serta mengharapkan pahala dan keredhaan Allah maka seseorang itu tidak akan sanggup melakukannya.

Apatah lagi ingin 'melongkang'kannya. =)

Sebab itulah ibadah puasa ini merupakan ibadah yang sangat istimewa.  Bilamana ia tidak berpaksikan sifat ikhlas, takut-takut selitan bual bicara orang dulu-dulu sesuai untuk digunakan dalam situasi ini. Iaitu 'yang dikejar tak dapat, yang dikindong pula berciciran'. Strike!

Akhir kata daripada saya, satu soalan yang ingin saya ajukan kepada anda sebelum menutup 'post' kali ini. Apakah yang anda faham dengan perkataan 'terjun' dalam kenyataan ayat di atas? Sekadar ingin membuka minda. Silakan tinggalkan jejak. (",)