Thursday, December 30, 2010

9
Komen
~ Melengkap Laut Rabbani ~

Terima Kasih Buat Mereka Yang Menyokong.

Seorang pakcik berkaca mata dengan tongkat di sisi datang bertemu prof(seorang pakar motivasi). 

Dia bertanya kepada prof tersebut satu soalan. 

Soalan yang baginya amat penting untuk perubahan diri.

" Assalamualaikum prof. " Salam diberikan sebagai tanda pembuka bicara.

" Waalaikumsalam. " Jawab prof sederhana kuat.

" Prof, sebenarnya pakcik ada satu soalan yang ingin ditanyakan kepada prof. Apa yang pakcik tahu, salah satu cara untuk meningkat kualiti diri agar menjadi lebih baik adalah dengan bersedia menerima teguran atau kritikan dari manusia yang berada di sekeliling kita. Betul tak cara tu? "

" Betul pakcik. " Balas prof ringkas. 

"Tetapi masalahnya prof, kadang-kadang pakcik malu apabila kawan-kawan atau orang sekeliling menegur pakcik tanpa hikmah. Malah ada waktunya pakcik rasa benci dengan teguran mereka walaupun teguran mereka itu betul." Keluh lelaki separuh abad itu tidak puas hati.

Prof itu hanya tersenyum. Seperti sudah bersedia menutur jawapan.

" Ok, beginilah pakcik. Bayangkan pakcik pergi ke sebuah gerai makanan yang ramai orang sedang menjamu selera di dalamnya. Lalu pakcik duduk di atas satu kerusi sambil memegang tongkat. Tanpa pakcik sedari, ada seekor ular berbisa sedang menjalar di bawah kerusi pakcik. Kemudian, orang di sekeliling menjerit kepada pakcik dengan kata-kata yang menyakitkan hati."

" Woi! Tak nampak ka ular kat bawah kerusi tu? "

" Takkan nak tunggu kena patuk baru nak blah? "

" Ada ular bawah kerusi tu. Tak takut mati ka? Dah bosan hidup? "

"Pelbagai kata-kata mereka yang pedih didengari tapi apa yang mereka katakan itu benar. Memang betul ada ular."

" Jadi, ketika itu apakah tindakan pakcik? Adakah pakcik akan pukul ular itu atau pukul orang sekeliling yang menegur pakcik dengan kasar? " 

Tanya prof itu sambil mengangkat kening. Senyumannya terukir di bibir.

Lelaki separuh abad itu diam. Kelu tanpa jawapan. Dia seakan faham dengan mesej yang cuba disampaikan oleh prof tersebut.

" Buat apa kita pukul orang sekeliling hanya kerana mereka menegur kita demi kebaikan walaupun dengan teguran yang kasar? Sedangkan ular yang berhampiran itu hanya menunggu masa untuk mematuk kita. "

Berfikirlah wahai insan.


Saya tidak mahu dipatuk ular, bantulah saya.


Kesimpulannya, kelmarin bersamaan 29 Disember 2010, Blog Lautan Rabbani ini sudah genap dua bulan kewujudannya.

Banyak kelemahan dan kekurangan yang harus saya perbaiki agar blog ini dapat bermanfaat buat semua. Lahirnya Lautan Rabbani tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengajak kita semua membina impian. Impian bagi segala impian iaitu syurga Allah SWT.

Oleh itu, saya dengan serba kekurangan berharap agar para pembaca sekalian sudi memberi teguran dan kritikan terhadap pondok ini. Baik dari segi penulisannya hinggalah ke susun atur intisarinya.

Mudah-mudahan teguran dan kritikan kalian terhadap pondok ini memberi seribu satu manfaat kepada semua khususnya buat diri saya juga. 

Pesan saya, jangan malu dan jangan segan untuk menegur. Saya lebih rela menerima teguran anda berbanding di patuk ular. (",)

Salam mahabbah dari saya.


Sekian. (",) 



Tuesday, December 28, 2010

3
Komen
~ Ceria ; Akhlak Mereka Indah ~


Mereka seperti datang dari dunia yang lain di zaman ini.



Akhlak mereka indah,

Mendamaikan fikiran yang resah,

Melembutkan jiwa merekah,

Menghancurkan seribu satu masalah,

Penawar buat hati yang kian parah,

Seiring cemburu nafsu amarah,

yang mengharapkan dunia tiada noktah.




Akhlak mereka indah,

Semuanya kerana Allah,

 Yang mereka jadikan sebagai penunjuk arah,

Di saat diri terjatuh lemah,

Dari melakukan kerja dakwah,


Dari membumikan sifat tarbiyah,

Maka mulut sentiasa basah,


Dengan berdoa kepada Allah,


Agar urusan terus dipermudah.


Sekian (",)


Sunday, December 26, 2010

12
Komen
~ Santai ; Akan kembali menjejak ~


Keluar dari kepompong rumah. Allahuakhbar !!


Satu perkara yang ingin artikel kali ini kongsikan di sini adalah mengenai keadaan diri penulis. 

Empat bulan yang lepas, satu kemalangan telah terjadi kepada diri ini. Telah tercoret di Kemalangan itu satu petanda. Andai belum baca, sudi2lah klik.

Ya. Kemalangan, yang dengannya pelbagai pengalaman dan kenangan dicampur sekali. Kesakitan yang dirasai, keperitan yang dihadapi, kesedihan yang menjelma, kebembiraan yang menyenangkan, dan keceriaan yang membahagiakan ibarat perencah yang digaul bersama tak lain dan tak bukan adalah untuk melazatkan pengalaman dan kenangan tersebut.

Hasilnya, air mata mengalir tanda syukur kepada Allah. 

Hikmah berterbangan seiring mata hati melihat. 

Pengajaran yang mentarbiyah diri seakan membasahi serta melembutkan jiwa yang gersang. 

Kesedaran juga keinsafan seperti berbicara pada diri bahawa engkau hamba yang kerdil. Tidak ada yang perlu dibanggakan. Kini ku faham, apa yang terjadi adalah tanda bahawa Allah mahu mendidik hati. 

Alhamdulillah.


Kaki itu hadiah yang istimewa

Akibat dari kemalangan itu, kesakitan dan kepayahan yang banyak merencat perjalanan hidupku ini adalah ketika kakiku patah. Subhanallah. 

Tidak sama sebenarnya.

Bagi mereka yang berkata kaki itu nikmat yang mengasyikan, dalam masa yang sama dia tidak mengelami kesakitan dan kecelakaan pada kaki. 

Lain pula bagi mereka yang berkata kaki itu adalah nikmat yang yang mengasyikan, dalam masa yang sama juga dia mengalami kesakitan dan keperitan yang menyengat. Yang belum tentu kakinya mampu berfungsi lagi atau tidak. Jika berfungsi sekalipun, entah sama atau tidak dengan keadaan kakinya sebelum ini.

Ayuh kita perhatikan dengan pandangan ' eagle view '. Bayangkan perjalanan hidup kita yang dilalui tanpa kaki yang dapat berfungsi dengan baik. 

Saya hanya mampu kesian dan ketawa. 

Kesian kepada mereka yang tidak merasai dan menghargai bahawa kaki itu adalah hadiah yang tersangat istimewa. 

Ketawa kepada mereka yang menggunakan hadiah istimewa itu untuk sombong kepada Yang Maha Kuasa.


Keadaan diri yang bernama MQ

Kata doktor, kakiku sudah semakin pulih. Tulang kian bersambung. Malah sudah boleh berjalan seperti biasa. Cuma perlu banyak berhati-hati dalam beberapa keadaan dan situasi. 

Ya Allah. Macam nak menangis rasanya. Bersyukur kepada Allah yang tidak terhingga. Alhamdulillah. Selama empat bulan menjalani kehidupan sebagai insan yang bergelar OKU. 

Jangan salah faham. Bukan orang kurang upaya tetapi Orang Kelainan Upaya. 

Terasa seperti berada di dunia lain. Terasa macam artis pun ada. Nak tahu kenapa? 

Biarlah rahsia.. (",)


Mereka tidak nampak.

Kadang-kadang apabila kita ditimpa ujian, syaitan akan datang kepada kita dengan suntikan dan kata-kata dustanya. Sampai ke satu tahap, kita mampu menyoal akan keadilan Allah.

" Kenapa kawan aku yang tak sembahyang tu tak jadi apa2 pun? "

" Dia lagi jahat dari aku, kenapa aku yang kena? " 

" Orang kata aku baik, tapi aku pulak yang sakit? "

" Waktu aku tak sembahyang dulu ok ja, kenapa bila aku sembahyang ni ada aja benda x kena? "

Pelbagai rungutan dan ketidak puasan kita kepada Allah apabila hati kita mudah ditawan dengan kata-kata syaitan. Sedangkan hikmah yang melimpah itu lansung tidak diperhatikan. 

 Daripada Jabir (ra), Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: 

”Janganlah mati salah seorang daripada kamu melainkan setelah dia bersangka baik terhadap Allah Taala”- (HR Muslim)
Rasulullah saw bersabda;

Tidaklah sesuatu musibah yang menimpa seseorang muslim melainkan Allah menghapuskan baginya dosanya walaupun hanya dengan kesakitan akibat terkena duri – (Hadith Riwayat Al Bukhari) 


Ya Allah, janganlah Engkau masukkan diriku dalam golongan ini.

Akhir, terima kasih buat semua sudi meluangkan masa di sini.



Saturday, December 25, 2010

2
Komen
~ Ringkas ; Hanya Dalam Lingkungan ~

terhampar luas di depan mata.

Kata guru saya, 


" Apa yang dilakukan oleh manusia, maka kamu juga boleh melakukannya. Tetapi ingat, jangan melebihi lingkungan syar'ie. "


Maka, analogi ringkas dan bermakna menyusul.


" Bayangkan kamu ikat seekor lembu pada sebatang pokok di tengah padang rumput yang menghijau. Rumput-rumput yang tumbuh subur sejauh mata memandang. Tetapi kamu hanya menggunakan tali sepanjang lima meter sahaja untuk menambat lembu tersebut. Adakah lembu itu mampu memakan kesemuanya? Pasti jawapannya tidak. Kerana tali yang digunakan hanya lima meter sahaja panjangnya.  "


Begitulah juga dengan kehidupan kita, terhampar di depan mata kemewahan demi kemewahan. Tinggal, iman sahaja yang boleh kita gunakan untuk mengikat diri kita agar tidak tersasar jauh. 



Boleh kalau kita nak buat itu dan ini, nak berfamily, nak berharta, nak bershopping, nak berblog, nak makan sedap dan sebagainya tetapi biarlah dalam lingkungan yang ditetapkan oleh Allah.



Moga Allah kasih. ^-^


Sekian,

Perkongsian ringkas.


Thursday, December 23, 2010

11
Komen
~ Melangit kesunyian ~



Seorang pemuda di awal 20-an berfikir akan nasibnya.

Dahulu kehidupannya dapat dilalui seperti manusia-manusia yang normal.

Masalah itu dan ini tidak segagah masalahnya sekarang.

Tekanan itu dan ini tidak menyengat seperti tekanannya tika ini.

Tetapi setelah kecelakaan menimpa dirinya, segala-galanya telah berubah.

Ya.

Memang mulut manis berbicara, lidah kata ok, tetapi hati seperti tidak dapat menerima kecelakaan yang menimpa dirinya.

Rasa tidak percaya. Adalah rasa yang asyik bermaharajalela di sanubari.

Semakin hari semakin menghantui diri yang serba kekurangan.

Pemuda tersebut berkata pada dirinya ;

" Aku tak bersalah, kecelakaan yang datang ini bukan kerana salahku."

" Salah mereka!! Salah mereka yang tidak pernah merasai keperitan kehidupanku selama ini."

" Salah mereka yang begitu alpa dengan keseronokan dunia mereka tetapi aku yang menjadi mangsanya."

" Tidakkah mereka bersimpati kepada nasibku ini?"

" Tidakkah mereka memerhati kesalahan diri mereka kepada diriku?"

Bukan marah, tetapi benci itu yang lebih tinggi bendera kebanggaannya. 

Hasilnya, keluhan demi keluhanlah yang berbaris rapi. 

Seakan bersedia untuk keluar dari pintu mulut untuk memberitahu kepada penduduk alam bahawa dialah manusia yang paling malang.

Masakan tidak berkata malang. Walaupun kecelakaan itu sudah berlalu, adakah dirinya akan kembali seperti sedia kala? Itulah yang difikirnya. Itulah yang dirisaunya.

Pemuda tersebut keseorangan dan kesunyian. Walhal ramainya manusia disekelilingnya. 

Kenapa itu yang dirasainya?

Kenapa?

Maka, dia terus menangis. Menangis dan menangis.


Wednesday, December 22, 2010

7
Komen
~ Santai ; Khazanah senyum ~


senyumlah pada rembulan di awan kerana senyumanmu akan bisa menyinarkan seisi alam. (SW)



Aha. 

Pengumuman buat datuk2, nenek2, pakcik2, makcik2, ibu2, bapa2, abg2, kakak2, adik2, teman2, dan semualah.

InsyaAllah hari ini, 

saya dengan senang hati ingin mengajak anda semua untuk kita..

...   S  E  N  Y  U  M     (",) ....

Senyumlah selebar-lebarnya. 

Kerana..


(1) Para saintis mendapati senyum dan ketawa merupakan satu senaman berbentuk jogging dalaman di mana dapat merangsang seluruh tubuh dan mampu memberi manfaat berguna kepada sistem saraf otak dan juga hormon-hormon.


(2) Pengkaji dan pengamal barat percaya dengan memulakan hari dengan senyuman bukan sahaja berupaya menceriakan hidup anda tetapi memberi banyak kebaikan kepada kesihatan. 

Apabila kita tersenyum, badan turut 'tersenyum' dan menganggap kita gembira. Kajian menunjukkan senyuman memperlahankan aliran darah yang melalui sinus ke otak.


(3) Apabila darah yang 'sudah sejuk' ini sampai ke hipotalamus (bahagian yang mengawal suhu badan dan emosi) ia menghasilkan kesan 'gembira'. 

Selain itu, apabila kita tersenyum, kita hanya menggunakan 17 otot muka berbanding 43 ketika mengerutkan dahi.


(4) Senyuman bukan sekadar reaksi gerak muka, tetapi turut mempunyai kaitan dengan penghasilan endorphin dalam otak yang mengurangkan kesakitan fizikal dan emosi menjadikan seseorang itu rasa lebih selesa dengan diri sendiri.


(5) Kajian menunjukkan individu yang ketawa 100 kali dalam tempoh 24 jam mendapat manfaat kardiovaskular sama seperti bersenam 10 minit. 

Hal ini terjadi kerana apabila kita ketawa, tekanan darah dan kadar dengupan jantung meningkat. Kemudian kedua-dua kadar ini akan turun iaitu lebih rendah daripada paras sebelum anda ketawa.


(6) Anda juga perlu sedar bahawa kanak-kanak lebih banyak ketawa dari orang dewasa. Kanak-kanak berumur antara empat hingga enam tahun ketawa 400 kali sehari berbanding hanya 15 kali sehari di kalangan orang dewasa. 

Jesteru tidak hairan jika orang dewasa lebih mudah diserang penyakit serta mengalami masalah tekanan dan kemurungan.


(7) Kajian yang dibuat oleh sekumpulan saintis dari Universiti Pusat Perubatan California menjelaskan terdapat dua jenis 'stress' iaitu stress yang baik dan stress yang tidak baik. 

Senyum dan ketawa dikategorikan sebagai stress yang baik. Stress yang tidak baik akan memberi tekanan kepada sistem ketahanan badan.


(8) Dalam kajian di atas, dua kumpulan orang dewasa telah digunakan sebagai eksperimen. Kumpulan pertama dipertontonkan cerita-cerita lucu manakala kumpulan kedua diletakkan disebuah bilik tanpa berbuat apa-apa. 

Sampel darah diambil 10 minit sebelum dan selepas kajian dibuat. Dari keputusan sampel darah tersebut, kumpulan pertama didapati peningkatan hormon semakin baik seperti hormon 'endorphins' dan hormon 'neurotransmitters' dan penurunan tahap hormon stress 'cortisol' dan 'adrenaline' .


(9) Ketika kita ketawa, sel pembunuh tumor dan virus semulajadi dalam badan akan bertambah selaras dengan pertambahan Gamma-inteferon (protein melawan penyakit), sel T (yang penting untuk sistem pertahanan badan) dan sel B (yang menghasilkan antibodi melawan penyakit).


(10) Senyuman juga mampu merendahkan tekanan darah, menambah kemasukan oksigen dalam darah dan ini secara tidak langsung merangsang proses penyembuhan. Banyak kajian terbukti bahawa tekanan emosi seperti kemurungan, kemarahan atau keresahan mempunyai kaitan dengan sakit jantung.


(!!) Senyum juga boleh menyebabkan seseorang itu awek muda. (yg ni saya tambah ;D)


Hebat bukan?


Jadi, tunggu apa lagi?

Senyumlah dengan hati yang tenang, bahagia dan mendamaikan.. (",)


Alhamdulillah..



Saturday, December 18, 2010

3
Komen
~ Bukan kerana doaku ! ~

Keteguhan iman yang harus dipasakkan.


Pada suatu hari, ulama terkenal Hassan Basri telah melarikan dirinya dari dikejar oleh tentera Hajjaj Bin Yusuf yang terkenal bengis lagi kejam. 

Beliau telah masuk ke rumah sahabatnya bernama Habib Ajmi untuk berlindung di dalamnya.

Seketika kemudian datanglah askar-askar Panglima Hajjaj ke rumah Habib Ajmi lalu berhenti untuk bertanya;

" Hai orang tua! Adakah engkau nampak Hassan Al Basri?"

Kebetulan Habib yang sedang berdiri di muka pintu itu lantas menjawab ;

" Ya!" ujarnya singkat.

Hassan Al Basri yang dengar jawapan sahabatnya dari dalam rumah itu pun berasa terkejut serta berdebar-debar memikirkan kenapa Habib berterus-terang sahaja mengatakan dia tahu di mana ianya berada? 

Askar-askar Hajjaj ingin tahu di mana beradanya Hassan Al Basri lalu Habib pula mengatakan bahawa orang yang dicari mereka itu ada di dalam rumahnya. Mereka lantas masuk ke dalam rumah Habib tetapi tidak dapat menemui sesiapa pun.

Mereka menyangka bahawa Habib hanya bersenda gurau dengan mereka lalu mereka mencaci serta mengatakan Habib pembohong besar. Tetapi Habib bersumpah bahawa dia tidak berkata melainkan perkara yang benar.

Mereka cuba sekali lagi untuk masuk ke rumah Habib tetapi harapan mereka tetap sia-sia. Akhirnya mereka pun pergi meninggalkan rumah tersebut.

Tidak lama kemudian ulamak Hassan Al Basri pun keluar dari rumah sahabatnya itu lalu dia berkata kepada Habib bahawa dia terselamat dari dijumpai oleh askar-askar Hajjaj itu adalah kerana berkat sahabatnya. 

Kemudian ia pun bertanya kenapa Habib memberitahu yang ia ada di dalam rumahnya?

Maka Habib pun menjawab;

" Wahai sahabatku Hassan Al Basri! Sebenarnya bukanlah kerana berkat doaku maka engkau selamat tetapi engkau selamat adalah kerana kejujuranku berkata benar. Sekiranya aku berbohong dengan mereka dan dalam masa yang sama engkau juga tertangkap, pasti kita berdua akan peroleh malu yang amat sangat! "



Subhanallah.

Inilah keberanian orang beriman. Kerana kuatnya iman dan taqwanya kepada Allah SWT, maka Allah telah menyelamatkan sahabatnya itu dari ditangkap oleh pemerintah yang zalim.

Kisah ini wajar menjadi penawar buat kita untuk meruntuhkan keangkuhan, rasa besar diri yang berpasak teguh dalam diri kita. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan mereka yang beriman sebenar-benar keimanan.


___S E N Y U M___ (",)



Thursday, December 16, 2010

19
Komen
~ Jom Bersihkan Hati ~


Berusaha untuk membersih hati umpama bergerak ke arah cahaya.



Hati anda kotor?

Tidak ada duit untuk membeli pencucinya?

Usah risau lagi !!

Pencuci percuma juga mujarab dengan izin Allah..

Cuba try dulu..


1) Dirikan solat dan banyakkan berdo'a.



Ini adalah salah satu kaedah yang sungguh berkesan. Semasa berdo'a turut katakan "Ya,Allah jadikan hatiku bersih"

2) Selawat keatas Nabi Muhammad s.a.w paling minima 100 X sebelum tidur.

Ini merupakan satu pelaburan yang mudah dan murah. Disamping dosa-dosa diampunkan, otak tenang, murah rezeki, orang sayangkan kita dan mencetuskan semua perkara kebaikan.

3) Solat taubat.

Selain daripada memohon keampunan, dapat mencuci hati dan menenangkan minda.

4) Membaca Al-Quran.
Selain dapat mencuci hati juga menenangkan jiwa, penyembuh, penenang, terapi. Sekurang kurangnya bacalah "Qulhu-allah" sebanyak 3X.

5) Berma'af-ma'afan sesama kawan setiap hari.

Semasa meminta maaf perlu sebutkan.

6) Bisikan kepada diri perkara yang positif.

Jangan sesekali mengkritik, kutuk diri sendiri, merendah-rendahkan kebolehan diri sendiri. katakan lah
"Aku sebenarnya......(perkara yang elok-elok belaka)

7) Program minda/cuci minda.

Paling baik pada waktu malam sebelum tidur, senyum, pejam mata, katakan di dalam hati "Ya, Allah cuci otak aku, cuci hatiku, esok aku nak jadi baik, berjaya, ceria, bersemangat, aktif, positif". Menurut kajian psikologi, apa yang disebut sebelum tidur dapat dirakamkan sepanjang tidur sehingga keesokan harinya. CUBALAH!!

8) Berpuasa.

Sekiranya dalam berpuasa terhindar dari melakukan perkara-perkara kejahatan.

9) Cuba ingat tentang mati.

(Sekiranya hendak melakukan sesuatu kejahatan, tidak sampai hati kerana bimbang akan mati bila-bila masa)

10) Kekalkan wuduk

Akan membuatkan anda berada dalam ketenangan.

11) Bersedekah

12) Belanja orang makan.

Terasa mudah berlapang dada.

13) Jaga makanan - 

Jangan makan makanan yang syubhat

14) Berkawan dengan ulama

Kerana siapa yang berkawan dengan penjual minyak wangi, semestinya bau wangi itu akan meresap ke tubuhnya walaupun sedikit.

15) Berkawan dengan orang miskin (menginsafi)

16) Pesan pada orang, jadi baik

Ibarat seorang perempuan mencuci baju, sikit sebanyak kukunya akan menjadi cantik dan bersih. Walhal dia tidak berniat sama sekali untuk mencantikkan kukunya.

17) Menjaga pancaindera 

(mata, telinga, mulut...dsb), jangan dengar orang
mengumpat.


Sebenarnya saudaraku sekalian,


 kenapa perlu susah-susah bersihkan hati ni? 


kenapa perlu payah-payah fikir pasal hati bersih atau kotor?


perlu bersungguh-sungguh pulak tu untuk bersihkan hati. Best ka?


Apa yang best?


Apa hasilnya?


Hati kan benda dalaman? Bukan orang nampak? Rileks ar..


Maka, saya sajikan ini untuk anda..


Nabi Muhammad s.a.w bersabda,


"Sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging. Jika daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota badannya tetapi seandainya daging itu rosak dan kotor, maka kotor dan rosaklah seluruh anggota badannya. Daging yang dimaksudkan ini adalah hati."


(Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Nu'man bin Basyir)


Segala aspek kehidupan ini bermula daripada hati. Oleh itu, di atas ini adalah beberapa cara bagaimana hendak mencuci hati. 


Hah. Macam mana? Jelas sebabnya?


Apa pun selamat mencuba ya !!


Moga Allah membantu usaha kita ini. =)



Tuesday, December 14, 2010

8
Komen
~ Tidak semua Bahagia ~

Gembira dalam kegelisahan dan kerisauan. Bolehkah?


Assalamualaikum teman-temanku.

Marilah sama-sama kita memperhambakan diri kita kepada Yang Maha Pencipta kerana dengan kasih dan sayangnya kita dapat hidup dengan bahagia dan gembira. 

Bahagia dan gembira adalah nikmat yang tidak boleh ditukar ganti dengan emas dan permata saudaraku. Justeru bersyukurlah dengan nikmat yang Allah berikan ini.


Berapa banyak ummat manusia yang hidupnya mewah. Duit ibarat terbang berlegar-legar di kepala. Sebagai tanda sudah bersedia untuk digunakan. 

Tetapi ketenangan di dalam hati terasa sunyi. Kenapa?

Berapa ramai ummat manusia yang tinggi pangkatnya dalam sesebuah organisasi. Malah orang-orang pimpinannya mencecah ke serata negeri. 

Tetapi jiwa terasa hambar dengan kebahagian dan kedamaian. Kenapa?

Berapa ramai ummat manusia yang hebat pengaruhnya. Menjadi orang yang disegani kerana ketokohan dan karismanya. Apabila berkata-kata seakan bermain-main dengan perasaan pendengar dan 'audience'nya.

Tetapi siapa tahu di dalam hatinya sendiri penuh dengan keresahan dan kerisauan. Kenapa?

Berapa ramai ummat manusia yang dikelilingi gadis-gadis idaman, cantik dan perawan. 

Tetapi perasaan serba tidak kena lebih bermaharajalela berbanding perasaan serba ceria. Kenapa?

Berapa ramai ummat manusia yang menjadi doktor bagi mereka yang ditimpa kesedihan dan kedukaan.
Menjadi pakar rujuk berkenaan soal jiwa dan perasaan.

Tetapi siapa sangka jiwa dan perasaannya sendiri sentiasa tidak tenteram. Kenapa?

Berapa ramai ummat manusia yang banyak sanak saudara dan jiran tetangganya. Senang cerita, kemana sahaja dia pergi pasti ada yang menegurnya.

Tetapi rasa kesunyian dan kesepian itu umpama rasa yang tidak dapat dipisahkan dengan tubuh tuannya. Kenapa?  

Beberapa ramai ummat manusia yang tinggi darjat ilmunya. Mencangkupi segala bidang keilmuan dan kefalsafahan. 

Tetapi apabila menyentuh soal kebahagian dan kegembiraan. Diri terasa kaku dan asing dengan 'title' tersebut. Kenapa?


Firman Allah :  

“Dan orang-orang kafir amal-amal mereka adalah laksana fatamorgana di tanah yang datar, yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi bila didatanginya air itu dia tidak mendapatinya sesuatu apapun. dan didapatinya (ketetapan) Allah di sisi-Nya, lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan cukup dan Allah adalah sangat cepat perhitungan-Nya”. 
( An-Nuur : 39 )


Firman Allah :



“Barangsiapa yang mengerjakan amal saleh, baik laki-laki maupun perempuan dalam Keadaan beriman, Maka Sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan Sesungguhnya akan Kami beri Balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”. ( An-Nahl : 97 )






 Moga Allah mencampakkan kebahagiaan yang sebenarnya kepada kita semua.

InsyaAllah.