Monday, April 23, 2012

10
Komen
~ Takut Manusia Tidak Cinta Aku ~



Jika kita tidak memiliki cinta manusia,
birunya langit sedikitpun tidak pernah berkurang.
Tapi kalau kita kehilangan cinta Allah,
nescaya hari-hari kita akan gelap walau dihias seribu bintang.


"Yang mencipta syurga itu bukan manusia." ^^'




Friday, April 20, 2012

4
Komen
~ Takut bertanya : Salah siapa? ~

Termenung dengan seribu macam persoalan yang tidak terungkai.

Setiap manusia di atas muka bumi ini sentiasa melakukan kesalahan. Tidak kurang yang inginkan perubahan tetapi tetap tidak mampu lari dari kesilapan. Itulah manusia. Punya kelemahan secara tak langsung menafikan seratus-peratus yang manusia itu Tuhan.

Tinggi kita belajar hatta di universiti terbaik dunia sekalipun, tetap ada yang koyak.

Jauh kita merantau hatta ke negeri cina sekalipun, tetap ada yang rosak. 

Panjangnya umur kita hingga mencecah tujuh ketururnan sekalipun, tetap ada yang dipijak.

Pantasnya kita bergerak, ke hulu ke hilir sekalipun, jangan kita lupa yang dahulu kita pernah merangkak.

Inilah yang dinamakan insan. Setinggi tujuh petala langit sekalipun kita mendapat pengiktirafan daripada manusia, jangan kita lupa yang kita adalah makhluk yang tidak dapat lari dari kelemahan.


Malu bertanya sesat jalan?

Bilamana kita bersifat seperti orang yang lemah atau bodoh, ramai yang memandang jelek dan menghina. Tersenyum sinis dan negatif. Walhal, ada masa bersifat seperti orang bodoh itu atas tujuan untuk menjadi hebat.

Pernah tak berlaku dalam kehidupan kita, apabila seorang pelajar bertanyakan soalan kepada gurunya. Kadang-kadang apa yang terjadi guru tersebut menghunus jawapan balas tanpa menghirau hati yang bertanya.

Ada pula yang selalu ungkap, malu bertanya sesat jalan. Tapi bila ditanya, banyak pula leterannya. Nak salahkan itu. Nak salahkan ini. Dan last, baru berikan jawapan.  

“La, tadikan cikgu dah terang. Itulah, waktu cikgu terang kamu main-main. Bla… bla… bla.. Jawapannya macam ni….”

“Apalah kamu ni. Soalan senang pun nak tanya. Bla… bla… Caranya macam ni…”

“Berapa kali cikgu nak ulang? Cuba tengok kawan kamu yang lain, semua paham je apa yang cikgu terang. Bla… Bla… ” Padahal kawan lain hanya jadi pak angguk je.

Lepas tu kita seringkali memomokkan dengan tips pelajar cemerlang, selalu bertanya kepada guru jika tidak faham. Bila ditanya, seringkali pula dipermainkan.

Hingga satu tahap, orang kita akan menjadi yang keterbelakang dalam soal ‘berani bertanya’. Sebab apa, orang kita akan mudah buat tanggapan negatif dan inferior walaupun belum bertanya.  

“Malaslah aku nak tanya, kawan-kawan asyik gelak.”

“Takutlah aku nak tanya. Nanti cikgu marah.”

“Buat apa aku tanya, nanti semua orang tahu aku ni bodoh.”

Sebagai seorang yang sedang belajar, pasti ada salahnya. Dan terciptanya satu-satu kejayaan itu adalah selepas berkali-kali kita bersua dengan kegagalan. Setengah orang bukan takut untuk gagal, tapi takut dengan pandangan dan ancaman orang apabila kita gagal.

Jadi, buat para guru janganlah mencampurkan penyelesaian kepada soalan yang ditanya dengan kemarahan.

Dan kita, janganlah merendah-rendahkan orang yang bertanya dengan melemparkan gelak-tawa dan kata-kata yang melemahkan semangat mereka. Senang kata, tolong jangan bajet pandai.


Kalau nak tahu tentang orang arab

Apabila saya berada di Jordan, macam-macam yang saya nampak. Mengenai gaya hidup orang arab yang jauh berbeza dengan gaya hidup orang melayu.

Orang melayu – kadang-kadang lebih baik lagi dari arab. Begitu juga sebaliknya.

Soal musyarakah (perbincangan dalam kelas, tanya soalan, dan aktif dalam kelas) menang Arab lagi dari melayu. Sebab apa? Kerana budaya mereka yang tidak takut salah. Tidak rasa hina jika bertanyakan soalan walaupun soalan itu mudah.

Mereka juga tidak memperlekehkan kawan-kawan yang bertanya. Bahkan siap tolong pensyarah lagi untuk memahamkan kawan mereka itu.

Itu yang perlu kita belajar daripada orang arab. Sekarang mungkin kita tidak merasai benda ini. Sebab kita berada dalam kepompong kita sahaja. Nanti, bila kita sudah keluar ke tempat orang, kita akan sedar bahawa kita ini rupa-rupanya jenis yang mandom di dalam kelas.

Sedangkan melayu, kemungkinan dua. Mungkin diam faham. Mungkin diam tak faham.


Akhir : Masing-masing kena berubah

Apa yang ingin dibincangkan sebenarnya kali ini? Saya mahu kita semua nampak bahawa sebagai seorang yang sedang belajar, sifat rajin bertanya wajib ada dalam diri kita.

Wajib tanya di sini bukan bermaksud sepanjang masa perlu bertanya. Tetapi tanya bila perlu dan sekiranya tidak tahu.

Begitu juga mereka yang ditanya. Sama ada Ibu bapa kepada anak-anak, guru kepada pelajarnya, abang dan kakak kepada adik-adik, doktor kepada pesakit dan selainnya… janganlah kita memandang orang yang bertanya dengan perasaan hina. Sebabnya, perlu wujudkan rasa berani bertanya itu sudah susah apatah lagi mahu bertanya.

Tiba-tiba dengan kesilapan kita sebagai ‘orang yang ditanya’ memberi jawapan dengan kasar dan benci. Sinis dan tajam. Bukankah semangat untuk bertanya tadi makin lama makin hilang?  

Begitu juga kita yang bertanya, ayuh sama-sama kita ubah sikap untuk menjadi manusia yang tidak takut bertanya demi ilmu. Tidak malu bertanya demi menjadi manusia berjaya. Itu sahaja.

Fikirkanlah dan beranilah untuk bertanya pada diri, aku mahu berjaya atau tidak?


Monday, April 16, 2012

10
Komen
~ Debu-debu Dalam Penulisan ~



"Kita ini dosa banyak. Jadi, bila ada yang terkesan dengan penulisan kita lalu berubah, moga-moga kita juga turut mendapat kebaikannya." via Hilal Asyraf.

Jadi, buat para pembaca dan penulis sekalian, ayuh sama-sama kita beraksi. 

Moga Allah kira sebagai amal soleh.

Chill. 






Thursday, April 12, 2012

6
Komen
~ Jangan Pergi Ibu ~

Number One For Me. Sure!


Ramai yang terlupa bahawa ibu yang melahirkan kita itu sebenarnya cuma ada satu sahaja di dunia ini.

Yang sanggup memikul tugas dan tanggungjawab dengan membawa kita ke hulu ke hilir selama sembilan bulan. Dialah satu-satunya ibu  yang tidak sabar menanti kehadiran kita untuk muncul ke dunia ini.

Lalu bilamana kita muncul di dunia ini, segala kesakitan dan juga kepedihan yang dirasai sebelum itu hilang serta-merta. Bahagia dan senang hati. Ceria dan puas hati. Mengalir air mata gembira membasahi pipi.

Tersenyum sang ibu ketika mana tubuh kita yang kecil dan tidak bermaya menangis-nangis dalam dakapan belaian kasih sayangnya. Diusap manja kepala kita. Ditepuk lembut badan kita. Menyimpan impian agar kita menjadi anak soleh dan solehah.

Hari demi hari berlalu. Masa dan waktu bergerak begitu laju. Maka membesarlah kita sebagai seorang anak kepada kedua ibu dan ayah.

Celoteh, gelak tawa, dan tindak-tanduk kita menjadi pengubat kepada keletihan dan kelesuan Ibu dalam mendidik dan mengasuh.

Ada masa kita menangis. Ada masa kita memberontak. Ada masa kita gembira. Ada masa kita keseorangan. Ada masa kita marah. Ada masa kita inginkan belaian kasih sayang.

Namun, kerana kelembutan dan kemesraan ibu… ibu sentiasa mendekat dan menghampiri kepada kita dengan menjadi seorang pendengar yang baik. Itulah ibu. Satu-satunya ibu di dunia ini. Masakan ada pengganti?

Satu masa nanti, kita semua pasti akan melalui detik-detik yang sama. Detik ibu akan pergi meninggalkan kita.

Detik kita ingin mengucup dahi ibu buat kali terakhir.

Detik kita ingin berada dalam dakapan ibu buat sekian kalinya.

Sungguh, detik itu bakal tiba saudaraku. Tidak ada siapa mampu menghalangnya.

Tinggal, sudah bersediakah kita untuk mengharungi detik itu? Sudah ada atau belum tangisan kebanggaan yang mengalir di pipi ibu dengan melahirkan kita? Sudah berbakti atau belum kita kepada ibu?

Ya, itulah kita. Saat ibu masih ada, kita susah untuk menghargai. Tetapi apabila Allah menjemput ibu pergi, menangisnya kita bersungguh-sungguh tidak ada gunanya lagi.

Marilah sama-sama kita mendoakan kesejahteraan ibu dan ayah. Doakan agar Allah sayang kepada ibu dan ayah seperti mana mereka menyayangi kita sewaktu kita kecil dan besar.  

Bagi yangt berjauhan dengan ibu, luangkanlah masa seketika untuk menghubungi ibu.

Bagi yang punya kesempatan untuk bersama-sama dengan ibu, gembiralah hati mereka dengan membantu meringankan beban. Cerialah jiwa mereka dengan membuatkan ibu senang dengan kita.

Dan bagi anda yang ibu sudah pergi, jangan putus-putus menembak doa. Mudah-mudahan Allah mendengar doa kita lalu mampu memberi sedikit cahaya buat ibu di sana.

Hari ini, saya berhajat untuk kongsikan satu blog di alam maya. Luahan seorang anak yang punya ibu. Akan tetapi ibu itu sudah pergi ke alam yang baru. Terimalah ini Ada Bintang Kelip-KelipSangat menyentuh jiwa. Serius sedih.

Terima kasih buat pemilik blog tersebut. Moga Allah kuatkan.

----------------------------------

“Saya sayang ibu saya. Dan saya sentiasa rindukan beliau.”

Sekian,
Pelaut Rabbani.


Tuesday, April 10, 2012

3
Komen
~ "Aku Mau Bai Baca Blog Kau!" ~




“Ala, kau jangan bajetlah. Aku mau bai baca blog kau.”

Saya sama sekali langsung tidak pernah berharap agar blog saya perlu diberi perhatian oleh semua kenalan saya.

Saya juga tidak paksa setiap manusia yang mengenali saya harus membaca setiap catatan yang ada di sini.

Satu dua perkara yang kadang-kadang para pembaca Lautan Rabbani yang tidak setia perlu tahu. Catatan di sini adalah catatan yang setengahnya berlaku dalam kehidupan saya.

Apabila saya bahagia, saya tulis. Apabila saya keseorangan saya kongsi. Apabila saya sedih, saya luahkan. Apabila saya dihantui rasa bersalah, saya ceritakan.

Jangan risau, bukan untuk anda tetapi untuk saya. Ya, untuk saya selamanya. 

Kalau untuk anda pun cuma sikit sahaja. Itu pun agar anda tahu dan kenal siapa saya. 


Tuesday, April 3, 2012

16
Komen
~ Cerita biasa : Oh Dompetku ~

Bukan mahu bangga, tapi mahu cerita.


Allah masih memberi kepada kita semua satu peluang. Satu ruang untuk kita terus-menerus bangkit meningkatkan diri. Agar menjadi lebih berkualiti dari hari yang sebelumnya. Yang bernama insan itu pasti tahu bahawa kita adalah hamba yang lemah. Adakala kita diuji dan dikeji. Adakala kita dipuji dan dihormati. Dan yang pasti, hakikat kepada dua perkara ini adalah datang daripada Ilahi.

Memilih untuk mengemudi pelayaran ini agar menjadi lebih santai dan ringan, maka saya tampilkan satu cerita dalam hidup saya. Bukan cerita yang luar biasa mana pun, tetapi kerana ia benar-benar memberi kesan kepada diri, suka untuk saya layangkan juga jalan ceritanya di sini.

Makin lama, saya makin percaya. Kadang-kadang dengan ujian itu memang benar Allah mahu kita dekat denganNya. Makin lama juga saya makin yakin. Kadang-kadang dengan kemewahan dan kesenangan itu, kita mudah untuk menjauh dan melupa kepadaNya.

Biasanya banyak yang begitu. Dan ramai yang mudah tertipu dan buat-buat tak tahu. Bahawa Tuhan yang kita minta ketika dilanda ujian, dan yang sentiasa memerhati gerak-geri kita ketika dilanda kesenangan adalah Tuhan yang satu.

Baru-baru ini, dompet saya hilang. Entah tercicir dalam bas katanya. Saat saya sedar dompet itu sudah tiada, hati terus diselubungi rasa gementar dan bersalah. Gementar dengan masalah-masalah yang bakal saya hadapi. Bersalah untuk mengkhabarkan berita ini pada family.

Berada di negara orang tambah-tambah di Jordan, punya seribu satu macam perangai jenis manusia puak Arab. Bukan menghina, tetapi saya mula jumpa satu-persatu jenisnya. Ada yang otak gila-gila. Ada yang perangai macam budak-budak. Ada yang kira nak mengutuk penduduk asing tak berhenti. Macam-macam.

Yang baik macam malaikat pun ada. Itu tidak dinafikan. Tapi, nak cari yang macam tu pun perlu banyak berjaga-jaga. Sebab pesanan dari para senior, rata-rata yang macam tu selalunya banyak nak ambil kesempatan. Argh!

Maka, menjadi satu kerisauan buat saya. Andaikata dompet tersebut jatuh ke tangan manusia yang baik, tak mustahil saya akan dapat kembali duitnya. Jika sebaliknya, akan risau dan gelisahlah kedua ibu bapa saya. Sedih.

Saya secara peribadi risau bukan kerana takut hilangnya duit dalam dompet tersebut, sebab duit dalam tu pun sikit. Tapi risau kerana adanya kad bank yang boleh menampung kos sara hidup selama enam bulan lebih. Ada juga visa pelajar selama setahun saya di negara orang.

Satu perkara pelik yang berlaku pada diri. Kerisauan saya bukanlah kerisauan yang menggila. Perlu heboh pada semua orang akan perkara ini. Hatta pada ibu ayah di Malaysia pun, belum saya khabarkan.
Sedangkan, sudah hampir tiga hari dompet tersebut hilang. Sebenarnya takut nak bagitau. Hihihi.

Sepanjang tiga hari itu, sebelum tidur saya hanya memikir masalah yang bakal saya hadapi. Itu ini, itu ini, itu ini. Dan last sekali hati akan menjawab, bukankah Allah sahaja yang tahu dimana dompet itu hilang?

Jadi, minta dan berdoalah kepada Allah. Selepas itu, barulah saya tidur.

Setiap kali telefon berdering, terus saya angkat. Dengan harapan ada yang sudi membawa khabar gembira. Dan setiap kali itulah, usaha saya hanya sia-sia. Nak kata sia-sia tu tak juga, sebab ada yang call untuk ajak makan. Hehe.

Petua-petua yang dipesan oleh puan emak juga diulang tayang dan diamalkan. Bersungguh-sungguh. Agar Allah mengembalikan dompet tersebut.

Hinggalah pada satu petang, seorang sahabat yang saya tidak kenal menghubungi. Bertanyakan perihal ini. Katanya dompet tersebut ada pada seorang pakcik arab merangkap pemandu bas seumur hidup. Mungkin jumpa dalam bas gamaknya. Sebab tiga hari lepas ada saya naik bas pergi ke Mafraq. Tempat yang dalamnya terdapat University of Ali-Bayt.

Ya Allah, nak mengalir air mata rasanya bila dengar berita tersebut. Terus buat sujug syukur. Terharu dengan doa selama ini, Allah perkenankan.

Kini, dengan izinNya… dompet yang biasa mampu mendekatkan saya dengan Allah. Bunyi macam poyo kan? Tapi, percayalah… kepuasannya akan kita rasai setelah kita benar-benar menjumpai kepuasannya. Percalah!

Sebagai penutup kepada jalan cerita ini, suka untuk saya beriitahu pembaca semua satu rahsia. Tempoh hari, lebih kurang setahun yang lalu… saya ditimpa kemalangan ngeri. Adalah berlaku sikit-sikit kecacatan pada diri.

Peristiwa itu, senang kata langsung  tak disangka-sangka banyak mempengaruhi hidup saya yang sekarang rupanya. Badan jadi gemuk tu biasalah. Sebab makan tidur-makan tidur je waktu sakit.

Tapi, benda lain yang saya dapat, saya tidak banyak gelabah dan mudah kawal diri apabila ditimpa ujian.

Bahkan dengan sendirinya saya tahu, bahawa Allah mahu tegur saya. Sebab Allah sayang saya. Allah juga sayang kita semua. Amin.

“Terima kasih Allah atas segala-galanya. Jalan cerita ini banyak mengajar diriku Ya Allah.”   

Itu sahaja. Jazakallah kepada semua yang sudi baca kisah ini. Jazakallah juga buat ahli rumah yang ada ambil berat.

Kepada yang diuji, teruslah berdoa dan meminta kepada Allah. Berusaha dan berusaha untuk keluar daripada ujian tersebut. Kepada yang tidak diuji, sebenarnya itulah ujian anda. Moga terus sabar dan tidak lupa diri.

“Sapa-sapa nak saya belanja, PM ok?”  ^^

Sekian,
Salam mahabbah.
Pelaut Rabbani.
Irbid Jordan.