Sunday, September 25, 2011

6
Komen
~ Komik : Dia Tidak Menolong ~















Apakah yang anda faham dengan komik di atas?
Untuk menambah kefahaman dengan lebih mendalam, saya syorkan anda melayari laman ini


Wednesday, September 21, 2011

5
Komen
~ Puitis : Akan tetap Senyum ~

Di sebalik pokok berkayu.. haha 


Tersenyum dalam perjalanan,
melihat mereka yang banyak membantu,
tersenyum untuk masa depan,
dengan pengalaman yang terasa baru,
biarpun keperitan lebih ke hadapan,
menghimpit jiwa memanah kalbu,
senyumku tetap ku teruskan,
sekalipun ia kelat dan lesu. 


Sekian,
Pelaut Rabbani
Di malam angin Jordan,
~ Puitis : Akan tetap Senyum ~

Thursday, September 15, 2011

8
Komen
~ Kita di Perantauan ~

Bertebaranlah kita menjejak ilmuNya..



Hari ini hampir dua minggu saya berada di negara orang iaitu Jordan. Sebuah negara arab yang banyak tempat bersejarah. Banyak tempat perlancongan. Tinggal, saya masih belum berkesempatan untuk melawat semua tempat itu. Tambah dengan takda duit juga sebenarnya. (",)

Tapi itu bukanlah satu keutamaan yang perlu saya fikir dan risaukan. Kerana menetapnya saya di sini punya misi dan tujuan yang perlu saya langsaikan. Hidup negara orang banyak cabarannya. Banyak dugaannya. Tidak ada tempat yang boleh kita letakkan pergantungan melainkan kepada Allah pencipta kita.

Saya bersyukur sangat-sangat. Impian saya untuk ke nagara orang tercapai juga akhirnya. Dan impian ini tidaklah semata-mata untuk saya merasai keseronokan, kebahagiaan dan juga kesenangan. Walaupun hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri kita.. rasa kasih dan cinta sebenarnya lebih kepada negara sendiri.

Tempat saya membesar. Tempat saya dilahirkan. Tempat saya mengenal erti kehidupan. Juga tempat tinggalnya kedua ibu bapa saya di sana.

Selepas empat hari berpisah dengan mereka. Tiba-tiba hari ini saya teringat akan mereka. Saya teringat akan gelak ketawa mereka. Saya rindu akan gurau canda mereka. Ya Allah. Rahmatilah mereka yang aku sayangi.


Teruja dengan hadiah yang Allah berikan

Saat tiba di Airport Queens Alia Amman hari itu, perasaan teruja yang amat sangat benar-benar merenjat diri ini. Betulkah aku ni? Aku dah sampai Jordan? Subhanallah. Hanya Allah yang tahu apa yang ada dalam hati ketika itu.

Andaikata kalau dahulu aku hanya bermimpi untuk sampai di sini, tetapi hari ini aku sudah berpijak di atas buminya. Melihat penduduknya. Menghayati malamnya yang berbayu. Sejuk, segar dan indah.

Melihat langit merenung diri. Kenapa aku perlu memberi sebab untuk tidak berterima kasih kepada Allah? Kenapa? Sedangkan aku sendiri tidak mampu membalas kebaikan Allah kepada diri yang lemah dan hina ini. Sedangkan aku sendiri tidak pernah menjangka begitu banyaknya hadiah yang Allah berikan tanpa pernah aku terlintas dan mengharapkan semuanya.

Berpijak di atas tanah ini. Berjalan meninggalkan jejak di atas bumi ini. Membuatkan hati yang ingin bersenang-senang dan berseronok berlebihan terbantut dek amanah yang dipertanggungjawabkan.

Aku teringat akan pesanan mereka. 

“Pergi sana belajar sungguh-sungguh. Jangan main-main. Jangan tinggal sembahyang.”

“Pergi negara orang jangan sombong. Jangan pentingkan diri. Banyak tolong orang yang sentiasa perlukan bantuan.”

“Apabila sampai Jordan jangan lupa kesusahan ibu dan ayah yang mencari duit. Jangan lupa akan kesusahan mereka untuk melihat kita bahagia. Di Jordan tinggi pembiayaan. Belajar rajin-rajin.”

“Apabila sampai di Jordan, menuntutlah ilmu sungguh-sungguh. Jangan hanya sekadar mengejar sijil. Tapi carilah ilmu sebanyaknya. Nanti balik ke tanah air dapat bantu orang sini.”

“Jadilah manusia yang berjaya. Jadilah anak yang soleh. Ilmu yang kita ada bukan untuk dibanggakan. Jauhnya perjalanan menuntut ilmu bukan untuk ditunjuk kepada manusia lain yang kita belajar di luar negara. Bukan untuk mendabik dada dengan adik-beradik yang lain. Ingat tu!”

Ya Allah. Banyaknya harapan manusia kepada aku. Tingginya cita-cita mereka yang ingin melihat aku berjaya. Hingga pernah aku terdetik di dalam hati sanubari, mampukah untuk aku memenuhi cita-cita mereka? Mampukah aku membenarkan harapan mereka kepada aku? Mampukah untuk aku membumikan doa-doa mereka? Mampukah ini? Dan mampukah itu?

Kerana yang aku rasa, aku adalah biasa-biasa.


Bukan untuk takut tetapi sebagai batu loncatan

Apabila terlalu banyak yang mengharap dan yang mendoakan, akhirnya muncul satu perasaan yang saya sendiri tidak tahu dari mana asal usulnya.

Perasaan takut untuk meneruskan kehidupan di sini. Takut dan bersalah. Takut tidak mampu untuk membawa pulang kejayaan seperti mana yang diharapkan. Bersalah tidak mampu membawa balik harapan yang disandarkan ke atas diri ini.

Ya Allah. Dari mana datangnya perasaan ini. Tidakkah satu hari nanti perasaan ini akan mengganggu perjalanan hidupku? Tidakkah satu hari nanti perasaan ini akan melemahkan jiwa dan semangatku? Tidakkah perasaan ini akan mendatangkan bebanan kepada masa depanku?

Aku diam. Seorang diri berfikir. Seorang diri bertanya hati. Seorang diri melihat diri.

 Akhirnya ‘senjata pembunuh’ yang ku jumpa adalah perasaan ini bukan untuk menakutkan tetapi sebagai cabaran untuk ku lebih kuat berusaha dan berusaha.

Walaupun kadang kala bermain kata itu lebih mudah berbanding ingin mengubah diri secara berkala, mahu atau tidak langkah harus diteguhkan, usaha perlu dipasakkan, ditambah doa yang berterusan, moga satu hari nanti aku pulang bukan dengan angan-angan, sebaliknya ilmu yang menyinari hati-hati insan.    


Penutup :  Semuanya Allah tahu tetapi ‘mereka’ tidak

Sedikit ingatan kepada diri dan para perantau. Hari ini kita tinggal berjauhan dengan kedua ibu bapa. Apa-apa yang kita lakukan di sini mereka langsung tidak tahu andaikata kita tidak mengkhabarkannya. Membawa maksud kita mampu melakukan apa sahaja tanpa mereka sedari.

Kita nak tinggal sembahyang? Kita tidak mahu belajar? Kita nak ponteng kuliyah? Kita nak lepak rumah kawan dua puluh empat jam? Kita nak bercinta dengan monyet? Kita nak kahwin diam-diam? Dan kita bla bla bla… Semuanya kita mampu lakukan. Sebab mereka bukan lagi orang yang memantau hidup kita. Kesimpulannya kita bebas!!

Jika itu yang saya dan anda fikirkan, ketahuilah sebenarnya kita sudah meletakkan diri kita di depan pintu-pintu kemusnahan. Tetapi tidak di depan pintu-pintu kebahagiaan. Kerana beriman bukan kepada ibu bapa sebaliknya kepada Allah. Kerana pulangnya kita nanti bukan kepada ibu bapa tetapi kepada Allah. Kerana sembunyikan dosa daripada manusia, kita mungkin berjaya tetapi dari penglihatan Allah semuanya sia-sia. Strike!!

P/s : Terima kasih yang tidak terhingga kepada Grup SPB Permai juga para seniors yang banyak membantu kami di sini. Moga segala urusan kalian ini Allah bayar dengan kasih dan rahmatNya. Buat Irbedians [Intake of 2011/2012], salam ukhwah diucapkan. ^^


Sunday, September 11, 2011

8
Komen
~ Diari : Spagetti Sardin Bandurah ~

Memasak - saya ingin kuasainya. Biarpun seorang diri..
Entah kenapa beberapa entry sebelum ini sangat suka bercerita tentang kehidupan di Jordan. Begitu juga dengan coretan ini. Berpusing dalam satu bulatan yang sama iaitu lakaran kehidupan di bumi anbiya’.  Penangan pengalaman baru yang ditimba banyak mengubah corak perjalanan ‘mata berkelip’.

Sebagai mahasiswa yang bermastautin di negara orang, yang saya nampak menjadi kewajiban untuk dirinya mempunyai skill dalam masakan. Antara sebab rasionalnya, yang pertama ingin menjimatkan kos kehidupan. Dengan bahasa kampungnya ‘save budget’.

Kadang-kadang ramai yang tidak jangka bahawa dalam masa sebulan, duit banyak dihabiskan untuk memenuhi kepuasan makan. Apatah lagi yang suka makan di kedai.

Yang kedua, memasak adalah kemahiran yang perlu ditanam dalam setiap diri individu. Walaupun pada hakikatnya tujuan kukuh kita melanjutkan pelajaran di luar negara mahupun dalam negara adalah untuk menuntut ilmu.

Namun, dicelah-celahnya umpama sambil menyelam buka mata. Kemahiran asas seperti memasak, pengucapan awam, kepimpinan, pengurusan organisasi dan sebagainya perlu digilap dan diasah. Sebagai bonus tambahan dalam mengejar cita-cita. Dengan bahasa pasarnya ‘soft skill’.

Yang ketiga, siapa yang pandai memasak ia dikira sebagai ‘package’ tambahan dalam mencari teman sepermainan. Maksud saya di sini, pasangan hidup. Biarpun rupa tidak molek tetapi baik budi pekerti, solehah, bahkan pandai mengambil hati dan memasak, insyaAllah jejaka idamannya akan rasa bahagia apabila bersamanya kelak. Percaya? Andai tidak, sila tanya kepada yang berpengalaman.

Apabila sebut tentang memasak, semalam saya bersama teman serumah iaitu Ahmad Nabil dan Zulkarnain mencipta resepi baru. Ceritanya bermula bilamana kami sama-sama merancang untuk menurunkan kadar penggunaan duit di sini.

Bila terdetik untuk menurunkan kadar penggunaan duit di sini, yang difikirkan ketika itu adalah makan hanya di rumah tidak di kedai. Oleh itu, mahu atau tidak memasak adalah jalan penyelesaian yang terbaik.
InsyaAllah selepas ini kami akan menyusun jadual dalam melengkapkan perancangan yang dibina. Tinggal semalam, masing-masing tidak ada idea untuk masak makan malam. Bukan sebab malas. Bukan sebab tidak cukup barang masakan. Cuma, bila kuali berasap tidak lain dan tidak bukan nasi goreng adalah ‘tema’nya. Mana nak tahan, setiap hari nasi goreng. Itulah balasannya bila di Malaysia dahulu tidak mahu belajar memasak. Haha..

“Spagetti Marinara!”

Tiba-tiba nama itu yang dicadangkann oleh Nabil. Kalau saya, makan spagetti pun bolah bilang dengan jari sahaja. Apatah lagi untuk memasak. Oleh kerana Nabil ingin mencuba untuk memasaknya, maka kami ahli rumah bersetuju untuk ber’dinner’kan spagetti.

Ketika itu terlintas di hati saya untuk bertanyakan resepi Spagetti Marinara kepada seorang yang pakar dalam menghasilkan spagetti. Sebab saya sendiri pernah merasai masakannya. Subhanallah. Seakan terbang di atas angin. Begitulah hyperbola yang boleh saya gambarkan bertapa sedapnya Spagetti Marinara hasil air tangan beliau. ^^

Jalan pintas iaitu ‘muka buku’ adalah solusi kepada penyelesaian.  Meminta resepi di ruang itu sebagai memenuhi hajat kami yang tidak seberapa pakar dalam bidang masakan. Seusai menyampai hajat untuk meminta resepi, saya memohon diri untuk berundur dari ‘muka buku’ tersebut atas sebab seruan azan Maghrib sudah berkumandang di masjid berdekatan.

Setelah siap menunaikan solah Maghrib, terus saya mendapatkan respon dari ‘muka buku’ beliau. Terkejut yang amat sangat, permintaan kami di balas kemas melalui laman blognya iaitu Ummu Ammar. Anda boleh layarinya di Resepi Buat Kamu Yang Jauh. Silalah klik. Mungkin boleh cuba masak di rumah nanti.. ^^

Berdasarkan panduan yang diberikan, hasil Spagetti yang kami masak kelihatan sama tetapi tidak serupa. Tidak sama adalah pada nama. Sebab nama spagetti kami adalah Spagetti Sardin Bandurah. Nak tahu sedap atau tidak, anda boleh lihat sendiri gambar di bawah. ^^


Nampak banyak, sekali dah rasa langsung terlupa orang belakang. ^^

 Kenapa namanya Spagetti Sardin Bandurah? Semestinya sebab utama adalah bahan teras kami iaitu spagetti yang direbus beserta sardin yang diubah suai. Kemudian, bandurah di ambil daripada perkataan arab yang bermaksud tomato. Maka, nama lain bagi masakan itu boleh digelar sebagai Spagetti Sardin Tomato.

Alhamdulillah. Berkat tunjuk ajar daripada seorang sifu yang berpengalaman dari negara tercinta, dinner kami pada malam itu berakhir dengan jilatan sepuluh jari. Haha.. hyper sungguh jalan cerita.

Dengan ini, saya ingin meminta perhatian sepenuhnya daripada anda semua. Siapa yang tahu rasepi Nasi Mandi bersama Ayam Baladi, boleh terus meninggalkan jejak di kotak komentar. Teringin pula nak cuba masak masakan tersebut. ^^

Akhir kata, jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada pemilik blog Ummu Ammar yang sudi berkongsi tips dan rasepi kepada kami di perantauan. Moga Allah mempermudahkan segala urusan ummu dalam mendidik ‘hati-hati kecil’.

Kepada anda semua yang sudi membaca coretan ringkas merangkap luahan personal ini, saya minta maaf andai ketidakprofesionalan saya dalam menulis membuatkan anda tidak faham apa yang ingin disampaikan. Walaubagaimana pun, terima kasih banyak-banyak saya tetap ucapkan kerana sudi membaca coretan ini sehingga ke penghujungnya.

Sehingga bertemu lagi di lain waktu dan di lain cerita. Barakallah wa maassalamah. =)
  

Wednesday, September 7, 2011

17
Komen
~ Diari : Terabur dan Hancur ~

Lambang ' Y ' bermaksud Yarmouk 


Sekadar ingin bercerita. Meluahkan rasa bahagia kepada yang sudi mendengar. Terimalah catatan perjalanan ini sebagai satu cerita santai saya di bumi Irbid, Jordan. (",)

Segala puji kepada Tuhan pencipta alam kerana hari ini sudah genap tiga hari saya berada di negara orang. Subhanallah. Cukup mencabar dan banyak benda yang saya belajar. Berkomunikasi dengan arab ibarat bahasa melayu tidak pernah saya belajar.

Kalau di Malaysia bahasa kebangsaannya adalah bahasa melayu, tetapi apabila bermusafir di Jordan bahasa kebangsaannya adalah bahasa arab.

Mahu atau tidak bercakap dalam bahasa arab boleh dikatakan wajib andai mahu hidup senang di sini. Yalah, kata mentor saya bila kita pandai berbahasa dengan mereka, nanti barang-barang yang kita nak beli pun boleh jadi murah.

Begitu juga dengan belajar. Pensyarah juga akan mudah mesra dan lebih perhatian bila kita selalu mendampingi dan berkomunikasi dengan mereka.

Terabur. Hancur. Itu adalah jenis bahasa arab yang saya gunakan sekarang. Haha. Memang letih sikitla kalau dah jadi macam ni. Bayangkan kita cakap nak dekat sepuluh ayat, akhirnya yang balas hanya satu ayat.

"Ana mush fahim."

Itu adalah bahasa pasar. Yang membawa maksud "saya tidak faham". ^^

Nak kata hebat dalam bercakap dan berbahasa itu tidaklah, walaupun bahasa arab itu sendiri saya sudah belajar waktu sekolah. Masih banyak salahnya. masih banyak yang perlu diperbetulkan.

Berpusing dalam peradaban arab, macam itik masuk reban ayam. Tapi ia bukanlah satu masalah yang besar buat saya. Bila kita masuk tempat orang, sedikit sebanyak cara hidup di tempat itu kita akan belajar. Banyak sangat yang akan belajar.

Macam dekat sini, pertama kali saya lihat orang makan roti terus letak atas meja. Tidak di atas pinggan. Bentuk roti tersebut seakan capati, tinggal orang arab memanggilnya kebab. Di Malaysia ada juga kebab tapi itu bukan nama sebenar. Kerana nama sebenarnya adalah Syawarma.

Begitu juga dengan nasi mandi. Subhanallah. Rasa yang menakjubkan. Baru saya tahu kenapa kebanyakan orang Malaysia seringkali menyebut-nyebut tentang nasi mandi. Penangannya yang luar biasa mampu membuatkan si pemakan tidak sedar yang nasi sudah habis dimakan.


Inilah nasi mandi. Yang saya tahu, orang Malaysia selalu menyebut tentangnya. Berasal dari negara yaman.

Amacam? Nampak sedap bukan? Aha. Itulah yang menjadi santapanku semalam. Alhamdulillah. Dua pinggan besar kami habiskan tujuh orang. Bila dah makan secara berjamaie, yang sikit pun terasa banyak.

Berjalan-jalan di sekitar Jamiah Yarmouk. Kelihatan agak sunyi disebabkan universiti masih belum dibuka. Melihat panorama dan prasarana sekeliling membuatkan hati lebih berbunga-bunga. Walapun cahaya matahari terik menyelimuti badan, yang ajaibnya peluh tidak membasahi kulit. Muka pun tidaklah berminyak sepertimana yang ditakuti oleh segelintir manusia.

Dahulu hanya mendengar kata orang, namun hari ini saya sudah merasainya. Indah khabar dari rupa dan indah rupa dari khabar. Di sini saya belajar. Bagaimana untuk mengindahkan kedua-duanya iaitu khabar dan juga rupa.


Bergambar di hadapan Jamiah Yarmouk. Ala-ala pelakon Nur Kasih.  ^^

Mungkin setakat ini dulu coretan saya, tidak ada yang istimewa di dalamnya melainkan sebagai diari di saat hati terasa bahagia walaupun kadang-kadang penyakit homesick datang tanpa diundang. Itulah hakikat seorang anak yang sentiasa merindui kedua ibu bapanya. Satu perjuangan dan pengorbanan yang akan lahir bila keadaan sudah jadi begini.

Kepada para pelawat yang seringkali singgah dan klik laman ini, anda diwajibkan untuk mendoakan saya. Tolong jangan berhenti dan jemu untuk melakukan sedemikian. Tolonglah saya. Bukan selalu pun saya minta tolong ni. InsyaAllah. Maassalamah ~

Harapnya apa yang anda doakan untuk saya itu, Allah perkenankan untuk anda juga. Amin ya Rab.

Monday, September 5, 2011

15
Komen
~ Diari : Aku Sudah Terbang ~

Terima kasih kepada yang mendoakan.

Assalamualaikum wbt.

Salam ceria dan bahagia dari saya seorang pelaut. Setinggi-tinggi rasa syukur atas segala anugerah serta kesempatan yang dihadiahkan kepada diri ini baik secara sedar mahupun tidak. Baik secara dirancang dan juga tidak dirancang.

Kita tidak ada kuasa untuk mengubah segala ketentuan Allah. Kita juga tidak ada daya dan upaya untuk mengetahui bilakah kematian akan datang menjengah. Oleh sebab itu, sewajarnya kita perlu sedar bahawa saya dan anda adalah makhluk yang sentiasa kerdil dan lemah. Itu saja..

Perjalanan bermula dengan menaiki anak tangga




Anak tangga yang kami rentasi adalah penerbangan untuk ke bumi Jordan. Bermula dengan garisan permulaan di Lapangan Terbang Kepala Batas pada jam 9.30pm bersamaan hari raya kempat, kami terus ke KLIA dengan “burung” MAS.


Sepanjang berada di dalam flight, pelbagai senda gurau yang kami betahkan sebagai modal mengisi kesayuan malam. Mana tidaknya.. baru lepas bersalaman dengan keluarga tersayang sebelum melangkah kaki melepasi ruangan perlepasan. Sedih. Sayu. Gembira. Teruja. Tidak percaya. 


Seakan perasaan yang berpusing di dalam satu bulatan yang sama. Bermain-main di fikiran umpama malam itu malam yang sangat bersejarah. Akhirnya, air mata secebis dua tidak dapat ditahan lagi.. ia mengalir membasahi pipi.

Apabila tiba di KLIA, telefon bimbit kesayanganku terus dicapai sebagai "koling-koling last" sebelum meninggalkan tanah air tercinta. Bukan keseorangan bahkan rata-rata daripada kami semuanya berkelakuan sebegitu. Sekali imbas, kelihatan seperti sebuah sandiwara lakonan. Manakan tidak, semuanya bercakap telefon dalam satu masa. 

Masih tidak berhenti menghubungi dan dihubungi.

Hampir tiga jam lebih kami menunggu di KLIA. Kerana penerbangan kemudian pula pada pukul 3.15am waktu Malaysia. Masa yang dirasakan lama itu kami gunakan sebaiknya. Solah, makan, bergambar, tukar duit dan ada yang masih sebak melayan perasaan yang bercampur baur.  





Ulang tayang semuanya



Saya bersama dua orang lagi sahabat yang bersama-sama ingin melanjutkan pengajian di Jordan, kami duduk sebentar bertanya sesama sendiri. Benarkah apa yang akan kami lalui sebentar lagi? Adakah semua yang dirancang selama ini akan menjadi kenyataan?

Yalah.. masing-masing asyik berbicara tentang Jordan sebelum ini. Sebut tentang makan.. sebut tentang kos pengajian.. sebut tentang persatuan pelajar.. sebut tentang persediaan dari segi diri dan hati.. dan sebagainya. 

Semuanya diputar kembali. Diingat semula akan segala kenangan-kenangan sepanjang persediaan yang telah kami lakukan. Ada orang tanya.. Persediaan apa sangat yang hampa buat sebelum pi? Maaf. Loghat Peghlih sikit.

Saya dengan senang hati berkata - tersangat banyak persediaannya. Ziarah ustaz-ustaz. Mengisi borang Kementerian Pengajian Tinggi bersama-sama. Belajar bahasa arab. Berkongsi pengalaman. Mencari sumber dana dan bermacam-macam lagi. Hinggakan persahabatan kami bukan lagi bermanis tebu di mulut, tetapi segala pengorbanan telah tercurah dan terbukti dalam urusan persediaan kami untuk ke bumi anbiya' ini.  


Satu hati punya pasai. Telefon bimbit pun serupa. (",)



Percaya atau tidak.. ini adalah buktinya.


Doakanlah kami agar hubungan ini berkekalan hingga ke akhirnya. Asam garam tetap ada, harapnya tidak berlebihan dalam masakan ukhwah ini.

Semuanya bukan lagi mimpi




Menanti giliran seterusnya. Renyah sikit kat sini. Tapi ceria. (",)

Kuwait Airways. Boleh diumpamakan sebagai medan selera kami. Sebab asyik makan ja dalam tu. ^^

Ustaz Khairul. Seorang ustaz yang banyak membantu kami. Moga Allah kasih dengan beliau.

Dari Kuala Lumpur terus ke Jordan mengambil masa kira-kira sepuluh jam. Dengan Kuwait Airways kami berlayar merentas langit tinggi. Membelah laut arab kemudian transit di Kuwait sementara menamatkan perjalanan di Queen Alia International Airport Amman.

Bilamana menjejak kaki di bumi Jordan, kesyukuran dipanjatkan setinggi-tingginya kepada yang Maha Kuasa atas perkenanNya mencapai cita-cita. 

Daripada ilmu yaqin kepada ainul yaqin. Sehinggalah kami berpijak sendiri di atas bumi anbiya' ini. Di situlah akan lahirnya haqqul yaqin.


Pandangan dari Airport Queen Alia. Sudah tiba di Jordan. ^^

Inilah catatan pertama yang telah saya tulis di 'oversea'. Mungkin sebagai catatan perjalanan atau surat layang kepada yang menanti berita daripada kami. Mengenai kesihatan, alhamdulillah Allah masih menjaga diri dan harapnya Allah juga menjaga hati kami. 

Sekian dulu berita dilaporkan. Berita disunting oleh Pelaut Rabbani. ^^

P/s : Biasalah apabila tiba di tempat baru, bermacam cerita yang ingin dikongsikan. Maka, nantikan ya perjalanan hidup saya di bumi Jordan. Akan dilakar dalam post yang akan datang. Yu'tikal 'afiyah. ^^


Sekian,
Pelaut Rabbani.
Irbid Jorden.