Monday, August 29, 2011

7
Komen
~ Diari : Tragedi Kemalangan Kembali di Ingatan ~

Diingatan, ia kembali.

Dalam kehidupan ini, atas dan bawah adalah asam garam roda yang berputar. Di waktu kita naik, selalunya disitulah kita akan merasai nostalgia bahagia. Merasai saat indah yang bukan boleh dibuat-buat. Kerana ia adalah carta hati yang terukir dengan kuntuman senyum, suka dan ceria.

Bilamana roda tadi berputar ke bawah, ramai dalam kalangan kita yang terenjat ketika itu. Seakan tidak percaya akan ujian yang menimpa. Akhirnya saat itulah yang dinamakan sebagai kenangan pahit. Sebuah kenangan yang mampu membina jati diri dan motivasi jika diambil hikmah seribu satu peluang.

Namun, ramai yang seringkali lupa akan satu perkara. Bahawa berada di atas bukan selamanya di atas. Berada di bawah juga bukan selamanya di bawah. Tinggal, yang perlu kita teropong dan teliti, bagaimana persediaan kita untuk menerima takdir Ilahi?

Hari ini adalah harinya

Hari ini saya teringat akan sesuatu. Sebuah cerita yang telah lalu. Ia bukan satu lakonan. Tetapi benar-benar berlaku dalam kehidupan saya.

"Tragedi Kemalangan." Menggugah jiwa.

Mengikut kiraan bulan islam, hari ini adalah hari yang bersejarah dalam hidup saya. Kemalangan yang menimpa satu tahun dulu benar-benar menggugah jiwa ini. Tidak ada daya dan kuasa untuk kita elak bilamana penyusunan Allah sudah tiba pada waktunya.

Cerita kali ini tidaklah saya ingin mengulang tragedi kemalangan itu secara 'detail'. Kerana saya sudah bercerita di sini. Diari : Kemalangan itu Satu Petanda. Cuma, sebagai pemberitahuan kepada yang belum tahu akan kesihatan saya, di waktu ini saya sudah mampu hidup sebagaimana manusia yang normal. Alhamdulillah.

Satu masa dulu, saya pernah menjalani kehidupan sebagai insan yang kurang upaya. Tidak mampu bergerak bebas seperti orang lain. Tidak dibenarkan makan apa yang orang lain boleh makan. Dan bermacam-macam perkara lain yang saya sendiri cemburu melihat mereka.

Maka di sini saya telah belajar satu perkara. Kesihatan yang baik adalah nikmat yang tidak dapat ditukar ganti. Satu nikmat yang teristimewa. Juga sebagai asas dalam kehidupan yang bahagia. Berkata-kata tidak sama dengan merasai. Apabila kita sudah merasai, baru kita tahu betapa beratnya untuk berkata-kata.

Ujian bukan Penyiksaan

Ujian yang datang bukan untuk menyusahkan. Bukan juga sebagai bebanan apatah lagi satu penyiksaan. Ramai yang tersilap akan perkara ini. Bahkan saya sendiri pernah terfikir seperti itu. Betapa sukarnya hidup apabila diuji. Terasa beban. Terasa seperti semua ini satu penyiksaan dalam ruang lingkup yang lain.

Tetapi apabila mereka yang menziarahi banyak menguatkan, di situ saya mula mletakkan neraca Allah sebagai timbangan. Dari hari ke hari saya dapat jawapannya. Ujian yang menimpa banyak mematangkan. Bahkan memecah tembok keangkuhan yang bersarang di hati ini.

Kerana itu, siapa yang diuji tetapi menyambut dengan kesabaran, pasti akan ada hikmah serta bonus yang bakal mendatangi.

Hanya Allah yang membalas jaza kalian

Sepanjang saya ditimpa kemalangan jalan raya itu, saya dapati ramai yang mengambil berat akan kesihatan diri saya. Banyak yang sentiasa mengikuti perkembangan diri ini baik keluarga, guru-guru mahupun sahabat-sahabat yang disenangi.

Begitu juga dengan tembakan demi tembakan doa dari semua yang mengenali diri ini. Dapat saya lihat melalui muka buku, blog, pesanan ringkas dan sebagainya.

Tidak dilupakan juga kepada semua insan bertuah yang menziarahi tidak kira besar hinggalah yang paling kecil. Tidak segan silu memberi kata-kata semangat. Tidak putus-putus mendorong saya untuk terus tabah. Tidak malu untuk menghulur tangan sebagai penawar kepada kelemahan diri ini.

Oleh yang demikian, jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada kalian atas kesudian menghulurkan segala bentuk bantuan. Mudah-mudahan satu hari nanti, Allah permudahkan kalian bila mana dilanda ujian. Moga Allah kasih juga.

Terima kasih khusus juga kepada cg Osman Arof, cg Norizan sekeluarga, akhi Sahel Nordin, akhi Ali Irfan, akhi Nabil Nordin beserta Aakef Naufal, akhi Saleem Wahab, akhi Syafiq Akmal, akhi Fakhruddin, ukhti Nawal Kadir, dan ukhti Nailah Kadir. Semoga dilimpah rahmat dan kasih sayangNya. Amin.

Penutup : Mak dan Ayah

Yang sangat bimbang ketika itu adalah emak dan ayah saya. Yang paling runsing ketika itu adalah emak dan ayah saya. Yang banyak berkorban ketika itu adalah emak dan ayah saya. Yang banyak membimbing ketika itu adalah emak dan ayah saya. Yang banyak menjaga hati saya ketika itu adalah emak dan ayah saya. Dan di antara mereka adalah abang dan adik saya.

Meraka adalah mereka yang satu. Tidak ada tukar dan ganti. Tidak ada yang sama seperti mereka. Kerana mereka adalah permata hati. Kerana mereka juga adalah permata jiwa.

Harapannya, satu hari nanti saya dapat membahagiakan jiwa mereka. Saya dapat memberi kesenangan kepada mereka baik di dunia juga di akhirat. Ya Allah. Sayangilah kedua ibubapaku ini seperti mana mereka menyayangiku. Peliharalah kedua ibubapaku ini dari azab api neraka seperti mana mereka memeliharaku dari segala kecelakaan dan musibah di kalaku kecil dahulu. Amin.

Friday, August 26, 2011

8
Komen
~ Berapa Umur Saya Sekarang? ~

Langit tidak selalunya cerah. Maka, bersabarlah dalam menanti hari esok.
Dahulu kita adalah bayi yang comel. Dilahirkan di dunia ini umpama kain putih yang bersih dan suci. Kosong dan tidak dinodai. Dahulu juga kita zero tetapi sekarang masing-masing sudah menjadi hero. Tinggal, yang perlu kita teropong adalah kita ini hero yang macam mana?

Bahkan itulah lumrah kehidupan. Inginkan diri menjadi hero. Digelar perwira bahkan penyelamat. Tidak mampu dinafikan akan hakikat ini. Bahawasanya dahulu, kita adalah bayi. Kita adalah manusia yang tidak tahu apa-apa melainkan menangis dan menangis.

Saya bahagia dengan kasih sayang ibu dan ayah

Dengan kasih sayang Allah melalui kasih sayang ibu dan ayah, kita dibesarkan juga dalam kasih sayang. Dibelai, dipujuk, dilayan, dirai dan didoakan ibarat kita seorang raja dan pewaris hebat masa depan dunia. Bila saya merenung seketika, rupa-rupanya saya adalah golongan yang disambut baik oleh dunia. Malah, saya rasa anda juga begitu.

Dicelah-celah keberuntungan kita, ada pula manusia yang apabila dilahirkan ke dunia ini langsung tidak mempunyai ibu atau ayah bahkan kedua-duanya sekali. Dilahirkan dalam keadaan dirinya berada diawang-awangan. Mencari kasih sayang dari seorang ibu. Mencari kasih sayang dari seorang ayah. Namun apakan daya, ibu ayah sudah pergi meninggalkan mereka.

Itu baru tentang ibu dan ayah tiada. Bagaimana pula dengan mereka yang dilahirkan mempunyai ibu dan ayah tetapi tidak berhati manusia, sanggup meninggalkan mereka seorang diri selepas dilahirkan.

Dibiarkan arus sungai yang menentukan kehidupan masa depan. Dibiarkan tandas awam menjadi musabab untuk si kerdil ini melihat keajaiban. Ditinggalkan terhampar kaku bertemankan semut-semut merah yang menghurungi seluruh badan. Allahuakhbar.

Lihatlah dengan mata hati. Kita semua dilahirkan ke dunia yang sama. Tidak ada yang berbeza. Tinggal, yang tidak serupa itu terletak pada bagaimana dunia merai kedatangan kita dan mereka? Seorang hamba yang kerdil. Suci dan bersih seperti kita. Tetapi kenapa kehadiran mereka disambut hina oleh dunia?

Persoalan ini bukan untuk dijawab atau diselesaikan. Sebaliknya saya tinggal sebagai 'key performance Indicator' atau penanda aras kesyukuran kita kepada Yang Maha Esa. Bersyukurkah?

Peningkatan tanpa sedar


Apabila umur sudah meningkat, banyak perkara yang mampu kita lakukan. Tanpa perlu meminta pertolongan dan bantuan daripada orang lain terutamanya ibu dan ayah. Senang cerita.. berdiri di atas telapak kaki sendiri.

Saya dan anda. Masing-masing sudah besar. Kita juga sudah pandai melakukan itu dan ini. Daripada benih yang kecil sudah mampu menjadi pokok yang mampu memberi teduhan kepada insan lain. Daripada sumber mata air yang kecil mampu mendatangkan manfaat kepada insan sekeliling.

Daripada tidak tahu membaca, kita sudah mampu menulis. Daripada tidak tahu berjalan, kita sudah mampu melompat dan berenang. Daripada tidak mampu bercakap, kita sudah mampu menyanyi.

Bilakah berlakunya semua peningkatan dan kemajuan ini? Sungguh, segala peningkatan demi peningkatan dalam kehidupan kita, banyaknya kita tidak sedari. Segala kemajuan juga kejayaan dalam kehidupan kita, banyaknya kita tidak perasan.

Contohnya.. anda masih ingat bilakah anda benar-benar pandai menunggang basikal? Anda masih ingat bilakah anda benar-benar pandai memakai baju tanpa bantuan ibu? Anda masih ingat bilakah anda betul-betul tahu menyuap nasi ke mulut sendiri? Saya tanya soalan-soalan itu kerana saya sendiri tidak ingat. Tetapi hari ini, semua itu kita mampu lakukan hanya dengan menutup mata. Hebat sungguh kita sekarang bukan?

Bermacam-macam hadiah yang Allah beri


Saya suka untuk kita sama-sama melihat kepada dunia kanak-kanak kita. Dunia yang penuh suka dan ceria. Dunia yang penuh aksi dan aktiviti. Kerana apa? Kerana dunia itulah yang banyak mengajar kita ilmu-ilmu asas sebenarnya. Juga kerana dunia itulah, kita belum dikotori dengan karat-karat dosa.

Kadang-kadang, saya duduk seorang diri melihat dunia itu. Saya tersenyum. Duduk seorang diri melihat dunia itu. Saya menangis. Sungguh banyak kenangan-kenangan yang menyentuh hati ini. Andai emas dan berlian sebagai tukarnya ganti, seribu satu lautan sekalipun tidak mampu untuk kita memutar kembali masa. Dunia itu sudah pergi dan dunia baru pula yang akan menyusul.

Ketika itu umur saya lapan tahun. Ketika itu umur saya juga sembilan dan sepuluh tahun.

Tetapi hari ini bersamaan 26 ogos, umur saya genap 19 tahun. Menjadi manusia yang akan memasuki umur dua puluhan pada tahun hadapan. Sudah bersediakah? Sungguh masa yang berlalu terasa terlalu cepat..

Genapnya umur ini jugalah saya sering memikirkan hadiah yang Allah sudah berikan kepada saya. Banyak. Banyak sangat. Hinggakan ada sesetengah daripadanya belum pun sempat saya meminta tetapi Allah sudah kurniakan. Terima kasih Allah. Atas hadiah-hadiah yang banyak tanpa mengira tarikh lahir hambamu ini. Dan anda? Tidak ada hadiahkah untuk saya? (",)

Sebagai tambahan, tarikh lahir saya sama dengan tarikh lahir teman baik saya iaitu saudara Rafhan Ridha. Sekarang beliau melanjutkan pengajian di bumi Mesir dalam bidang perubatan. Cuma beliau dilahirkan cepat dua jam daripada saya. Bertemu dangan beliau ini adalah sesuatu yang istimewa dalam hidup saya. Berharap sangat anda sudi menembak doa untuk teman saya ini. =D

Penutup : Saya mahu hadiah     


Menjadi lumrah dalam kehidupan mesyarakat kita apabila seseorang itu menyambut hari lahirnya, insan rapat atau rakan-rakan yang mengenali dirinya pasti akan memberi hadiah. Tidak kiralah berupa senaskah buku, seutas jam tangan, sebuah kereta, sebentuk cincin, sepasang baju baru, hello kitty, teddy bear, tiket percutian atau sebagainya.

Maka dengan ini, saya juga inginkan hadiah-hadiah tersebut daripada anda.. jika tidak seutas jam tangan, doa untuk saya berjaya dalam kehidupan pun sudah memadai. Jika tidak sebuah kereta, doa untuk saya dipermudahkan urusan belajar di Jordan pun sudah memadai. Jika tidak sepasang baju raya, doa untuk saya dimurahkan rezeki pun sudah memadai. Jika tidak teddy bear, doakan untuk kebahagiaan keluarga saya pun sudah memadai.

Senang cerita, jika anda tidak menghadiahkan sesuatu yang bersifat benda sekalipun, cukuplah tembakan doa kalian dengan penuh keikhlasan buat saya. Juga buat teman baik saya saudara Rafhan Ridha. Moga-moga di bulan yang berkat dan mulia ini, ditambah dengan sepuluh malam terakhir Ramadhan.. Allah menerima doa kita sejurus melengkapkan kehidupan kita sebagai hambaNya yang taat dan patuh. Amin.

P/s : Terima kasih juga yang sudi mendoakan saya di facebook. Moga Allah merahmati kalian.

Monday, August 22, 2011

17
Komen
~ Lautan Rabbani Penuh Kontroversi ~

Tidak akan ku lepas ia pergi begitu sahaja. ~ picture by pengiran92


Baru-baru ini, saya pernah mendapat komen daripada beberapa pembaca Lautan Rabbani yang mengatakan kebanyakan entry saya berbaur kontroversi. Penuh dengan gosip dan privasi kehidupan orang. Bukan sahaja menjaga tepi kain orang bahkan meneropong jenis apa kain yang dipakai. Wah.

Sampai ke tahap itu.. Membuatkan saya tertanya sendiri - benarkah? Lawak pula bila difikirkan.. Tidak sangka. Sampai begitu sekali mereka melihat. Maka di sini saya ingin membuat pencerahan. Terutama kepada mereka yang sentiasa berada di dalam kegelapan kontroversi. Haha.

Pertama sekali saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang sentiasa mengambil berat terhadap penulisan saya. Dan itu memang sangat-sangat saya akui. Hinggakan saya perasan ada setengah itu hanya datang ke sini untuk mencari kesalahan dan kesilapan.

"Tidak baik salah sangka kepada pembaca."

Betul. Tidak baik salah sangka kepada pembaca. Tetapi saya bukan salah sangka kepada pembaca. Saya hanya salah sangka kepada 'pencari kesilapan'. Itu sahaja. Perlu lebih jauh mendalami dan memerhati. Baru akan nampak sama ada minuman itu tidak diletakkan susu atau kita yang tidak kacau susu di dasar gelas.

Saya secara peribadi tidaklah sepenuh hati 'terkilan' dengan sikap mereka ini. Sebab pada saya bagus juga ada manusia seperti mereka. Sedikit sebanyak segala kelemahan saya dapat dikurangkan. Cara penulisan saya dapat ditingkatkan. Susun atur perhiasan blog dapat diperkemaskan. Habuk-habuk yang dirasakan beban dapat dihapuskan. Semuanya kerana gara-gara mereka. Oleh itu, terima kasih juga untuk kalian dengan senang hati.

Kita balik semula kepada isu kontroversi. Khusus tentang di pondok ini. Sebelum kita bergerak dengan lebih jauh, ingin juga saya tahu.. yang anda faham kontroversi itu bagaimana? Yang anda nampak kontroversi itu dari sudut apa?

Cinta? Gosip? Artis? Populariti? Atau.. tanyalah pada diri.

Kerana saya langsung tidak tahu-menahu dalam hal ini. Malah saya sendiri tidak menjangka yang penulisan saya boleh pergi sejauh itu. Berkali-kali juga saya merenung semua entry saya. Berulang-ulang kali juga saya membaca semua coretan saya. Dimanakah yang mereka kata isu kontroversi itu terlalu banyak di sini. Asal kontroversi, Lautan Rabbani. Asal Lautan Rabbani, kontroversi. Haha. Macam-macam.

Beginilah saudara dan saudari sekalian.

Jika ada mana-mana bahagian yang anda tidak suka, sila khabarkan terus kepada saya. Usahlah bertemu dengan orang tengah. Takut-takut apa yang kamu sampaikan itu akan ditokok tambah oleh orang tengah.

Sekali lagi saya ingatkan.. jika ada apa-apa yang kamu tidak senang dengan penulisan saya, sila datang terus berjumpa dengan saya. 'Datang' di sini tidaklah bermaksud bersua muka, tetapi terus menghubungi..

Mungkin melalui facebook. 'Qawiem Khairi' atau ke email. lautan_rabbani@yahoo.com.my.

Segala permasalahan dan perselisihan insyaAllah kita bawa berbincang ya. Jangan malu jangan segan. Jangan marah-marah. Jangan cemburu-cemburu. Juga jangan sebarkan perkara yang tidak betul. Boleh ya? (",)

Sebagai kata-kata akhir, hampir lima hari saya tidak mengisi kata-kata di ruangan ini. Salah satunya kerana masa tidak mengizinkan. Kedua, kerana saya sendiri mengambil sedikit masa untuk membaca semula artikel-artikel yang saya keluarkan. Sungguh, berat sebenarnya apabila menjadi seorang penulis. Semestinya apa yang ditulis akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak.

Justeru, saya selaku Pelaut kepada Lautan Rabbani menyusun sepuluh jari meminta maaf kepada anda semua jika sepanjang penulisan saya ada mengguris dan memecah belahkan perasaan anda. Berdoa juga kepada Allah agar diberi keampunan kepada saya dan anda. Sungguh, saya hanya manusia biasa yang mengharapkan satu hari nanti saya mampu menjadi manusia luar biasa dalam bidang penulisan.

Dalam keadaan menaiki tangga ini, tidaklah saya nafikan bagaimana payahnya untuk mengharungi ujian yang menimpa. Namun, liku-liku inilah yang kadangkala akan membuatkan saya bahagia, kecewa dan bersyukur kepadaNya.

Pesanan buat hati. Mulut mudah berbicara ingin menjadi seperti mereka yang hebat. Tetapi apabila mehnah dan tribulasi yang menyerang, masakan mahu berundur dengan berlari dari medan juang? Tidak sama sekali. Mehnah tetap mehnah. Tribulasi tetap tribulasi. Berlari biar ke depan bukan lagi ke belakang. Strike!

Saya akhiri coretan ini dengan peninggalan satu pertanyaan. Adakah 'entry' ini juga dikira kontroversi? (",)

Tuesday, August 16, 2011

12
Komen
~ Akan Terbang Memegang Awan ~

Berjalan dari satu tempat ke satu tempat yang lain. ^^  ~ pic by Pengiran92

Pejam celik pejam celik. Masa yang dinanti-nantikan bakal berkunjung tiba tidak lama lagi.

Apa yang dirancang dan disusun semuanya berjalan mengikut strategi dan usaha yang dilakukan. Tinggal, sejauh mana pergantungan segala pengharapan diserahkan kepada Allah. Sejauh mana kesabaran segala pengorbanan dipulangkan kepada Tuhan Sebaik-baik Perancang. Harapnya Allah aturkan yang terbaik buat diri ini.

Hari ini saya sedang berdiri di atas bumi. Menyedut segala nikmat kurniaanNya. Bersimpuh sendiri mengingati perancangan dahulu. Ia berkaitan sebuah cita-cita. Membina bangunan kehidupan dengan harapan hasilnya adalah manfaat buat semua.

Satu lonjakan yang padu akan saya lakukan tidak lama lagi. Saya akan berhijrah ke negara orang untuk menyambung pengajian dalam bidang Ekonomi dan Perbankan Islam. Pasti ada yang akan bertanya.. dimanakah tempatnya?

Jordan. University of Yarmouk. Di sanalah rumah kedua saya tidak lama lagi. InsyaAllah jika ada kesempatan dan peluang, hari jumaat bersamaan raya keempat adalah tarikh yang akan menjadi satu anjakan dalam hidup saya. Bermusafir mencari ilmu seperti mana mereka yang telah berjaya pada hari ini.

Oleh itu, saya berharap anda yang singgah ke sini sudi menembak doa kepada saya agar terus-menerus diberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan untuk melanjutkan pelajaran. Tidak ada yang tinggi saya hajatkan melainkan apabila pulang nanti, saya menjadi manusia yang mempu memberi cahaya kepada insan lain.

Ringkas. Pendek. Sikit. Sekejap. Itulah tema untuk artikel kali ini. Tidak berhasrat untuk memanjangkan bicara. Cukup sekadar anda tahu yang saya masih hidup. Haha.

Kerana saya merasakan hampir seminggu lebih saya meninggalkan arena penulisan di sini. Mungkin kerana menghadiri kursus Biro Tatanegara beberapa hari yang lepas. ^^

Terima kasih juga kepada anda dan anda yang masih tetap setia untuk berkunjung ke Lautan Rabbani.

Moga Allah terima Ramadhan kita. Amin.

Thursday, August 4, 2011

16
Komen
~ Rintihan Ramadhan Dengan Sikap Kita ~

Dengarlah rintihan ini..
Aku menjengah ke langit dunia. Aku melihat anak-anak kecil sedang bergembira. Remajanya ramai yang sedang menikmati musim belajar di sekolah. Ibu bapa sibuk dengan kerjaya dan tidak kurang ada insan-insan yang sedang beribadah, tunduk dan menyerah diri kepada Tuhan Yang Maha Esa. Mataku tertarik untuk melihat suatu situasi di dalam kelas di sebuah kawasan sekolah yang dipagari pohon-pohon getah yang merimbun. 

Seorang guru sedang berbicara dengan pelajarnya tentang aku. Terasa bahagia menjamah hati. 


Tiba-tiba aku tersentak apabila mendengar kata-kata seorang pelajar, "Saya tidak tahu apa maksud Ramadhan, cikgu. Saya tidak merasa apa-apa pun". 

Rakan sekelasnya menunjukkan reaksi wajah kehairanan dan pelik. Namun si gadis itu membalas, "Kenapa? Salahkah?". Guru itu menggelengkan kepalanya dan mula menerangkan kebaikanku kepada semua anak muridnya di dalam kelas itu.

Dalam pada itu aku terasa sayu. Aku sangat pasti setelah ribuan tahun Rasulullah wafat, aku semakin dilupakan. Setelah zaman para sahabat, tabien dan salafussoleh berlalu, aku semakin tidak dihargai manusia. Zaman kini sangat berbeza dengan zaman di mana Rasulullah dan para sahabat gembira dengan kehadiranku.

Aku masih ingat ketika aku hadir, mereka melaung-laungkan kalimah Ahlan Ya Ramadhan. Para sahabat bersama Rasulullah berlumba-lumba melakukan kebaikan di dalamku. Mereka percaya akan kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku. Malaikat telah meluaskan sayap seluas-luasnya padaku. Allah telah membuka pintu syurga dan menutup pintu neraka di dalamku.


Tetapi ramai yang tidak faham. Ramai yang tidak sedar.

Wahai manusia, sesungguhnya kalian telah diwajibkan berpuasa di dalamku bermula daripada cahaya terbesar yang terbit di negara Jepun sehingga cahaya matahari itu terbenam di arah kiblat umat Islam dan kamu harus corakkan ibadahmu dengan keimanan dan ketaqwaan agar diterima oleh Allah s.w.t. Puasa di dalamku hukumnya wajib. Tidakkah kalian rasakan itu suatu suruhan yang besar untukmu wahai penghuni muka bumi? 

Justeru mengapa terdapat dalam kalangan kalian yang tidak mengendahkan suruhan agung itu? 

Allah telah mengurniakan aku keistimewaan untuk kalian rebutkan. Rahmat Allah melimpah ruah padaku dan aku adalah bulan di mana alunan al-Quran akan mengetuk setiap gegendang telinga para pembaca dan pendengarnya. Pernahkah kalian memerhati?

Teringat aku pada Saidina Ali yang tidak jemu berdoa setiap tanggal 1 Ramadhan dengan doa yang berbunyi, " Ya Allah, masukkanlah bulan yang mulia ini kepada kami dengan aman daripada gangguan penyakit, longgar daripada pelbagai kesibukan dan berikanlah kepada kami kerelaan dan kepuasan untuk tidak banyak tidur di dalamnya…"

Sejuk hatiku saat doa itu berkumandang. Kini, saat dunia semakin canggih dan moden, maka semakin pudar doa-doa itu dipendengaranku. Mengapa? Aku tidak merasakan punca fenomena ini datang daripadaku. Aku adalah hamba Allah yang dijadikan sebagai tempat untuk kamu semua beroleh nikmat, rahmat dan puncak kasih Allah kepada kalian.

Tahukah kalian di awalku adalah rahmat? Dipertengahanku adalah maghfirah? Dan dipenghujungku adalah dijauhkan daripada azab api neraka? 

Sesudah mengetahuinya, apakah tindakan kalian hanya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga? Yang kemudianya kalian habiskan dengan bergembira ketika berbuka? Tanpa sedikit pun amal ibadat di dalamnya? Mengapa kalian mensia-siakan aku, manusia? 

Bagaimana biasa kalian tidak merasai keistimewaanku dan aku adalah peluang untuk kalian memperbaiki diri? Wahai manusia! Jawablah soalanku!!  

Aku sangat tidak faham dengan kerenahmu..

Wahai makhluk Allah yang telah dikurniakan akal. Sedarlah bahawa di dalamku doa kamu akan dimakbulkan oleh Allah. Di dalamku nanti terdapat suatu malam di mana padanya adalah lebih baik daripada 1000 bulan. Mengapa kamu semua tidak berlumba-lumba mendapatkanya? 


Aku pasti kalian tahu bahawa setiap amalan sunat yang dilakukan adalah bersamaan pahalanya dengan amalan fardu manakala jika kamu melakukan amalan fardhu, pahalanya melonjak sehingga 70 kali ganda. Hebat tawaran Allah kepada kalian. 


Tetapi kalian benar-benar golongan yang tidak tahu bersyukur andai kalian tidak mempedulikan bonus yang Allah berikan ini!!

Zaman berlalu, aku semakin terasa sedih. Sayu saat aku menyedari bahawa manusia semakin melupakan kebaikan dan keistimewaan yang Allah kurniakan kepadaku. Bagaimana bisa manusia tidak menghargai aku?

Aku merintih saban malam agar manusia bangun dan beribadah, membaca al-Quran, menuturkan zikrullah. Qiyamullail dan berniat mencari malam Lailatul Qadar. Namun hanya sebahagian sahaja daripada umat manusia yang melawan hawa nafsu menyahut rintihanku. Bersusah payah bangun daripada pembaringan yang enak menuju ke tikar sembahnyang lantas sujud menyembah Tuhan yang Maha Satu.

Walau apapun sikap manusia, untuk Ramadhan kali ini aku berharap agar ada hati-hati insan yang tidak mensia-siakan aku lagi. Ketahuilah kalian aku sedang menunggu! Aku sedang menunggu untuk melihat!!
Siapakah yang akan terampun dosa-dosanya setelah aku berangkat pergi!? Siapa??


Aku sangat berharap agar kamu adalah salah seorang yang akan diampunkan dosa-dosanya. Moga-moga kamu menjadi orang yang bertaqwa. Orang yang dikasihi Allah. Oleh itu, hargailah aku sebaiknya. sebelum aku pergi meninggalkan kamu tahun ini. Kerana aku takut, kita tidak akan berjumpa lagi pada tahun hadapan.




P/s : Ayuh kita melebarkan sayap ramadhan kita di taman ini. Moga beroleh sesuatu yang bermanfaat. Klik Ummu_Ammar - Impian Ramadhan

Tuesday, August 2, 2011

12
Komen
~ Malam Pertama Sudah Berlalu ~

Perubahan kearah baik pasti akan membuatkan yang tersayang terkejut dan tersenyum.


Sebelum Ramadhan, bermacam-macam perkara yang kita rancang. Semuanya demi kebaikan kepada diri dan orang yang kita sayang. 

Setiap saat yang berlalu dalam bulan Ramadhan seakan bonus yang datang untuk membahagiakan. Ia datang kepada kita sedikit sebanyak memberi kesan kepada kehidupan insan yang dahagakan belaian rahmat.

Dikala terdetiknya jarum jam menandakan sudah masuknya waktu maghrib, hampir kebanyakan daripada kita seakan tersenyum puas tatkala dapat menyentuh bulan ini. Ada yang sayu, ada yang sedih, ada yang teruja, ada yang bahagia dan bermacam-macam lagi perasaan yang bercampur baur. Subhanallah. Hebat sungguh rahmat bulan Ramadhan. 

Kerana itu, tidak pelik jika hamba-hamba Allah yang sejati sangat merindukannya. Semestinya mereka sangat mengharapkan sejuta macam pengertian. Dengan harapan, ia mampu menjadi bekalan untuk sebelas bulan yang lain. Maka di sini, pulanglah ke pangkal hati. Tanya pada diri, kita bagaimana?

Bagaimana keadaan diri kita?

Ya. Bagaimana keadaan diri kita? Jika sebelum ini kita sangat-sangat berharap untuk masuk ke bulan ini, sekarang kita sudah masuk, maka apa hasilnya? Bagaimana perjalanan detik kehidupan kita? Adakah semakin baik? 

Atau sama macam hari-hari dan bulan-bulan biasa?

Ayuh! Putar kembali saat kita mengharungi malam pertama kelmarin? Lihat kembali minit-minit waktu pada hari semalam? Sejauh mana ia benar-benar berkesan kepada diri dan hati yang dicemari dosa? Mudah-mudahan hari esok akan menjadi lebih berkualiti.


Sebelum subuh, sudahkah kita bangun untuk mendirikan solah malam? Mengambil masa beberapa minit untuk berhubung dengan Allah..

Pekerjaan kita sehari suntuk kelmarin.. adakah diselitkan dengan pembacaan Al-Quran dan maknanya?
Dalam kita belajar.. adakah menjadi lebih fokus?
Soal kesungguhan dan kerajinan.. adakah ia seakan sifat yang asing bagi kita apabila masuk bulan Ramadhan?

Solah jemaah di masjid.. Apa cerita? Solah sunat juga bagaimana?

Subhanallah. Banyak lagi sebenarnya yang perlu kita teliti dan ambil pngajaran.



Aha. Tentang bazar Ramadhan pula. Bagaimana hari pertama kita apabila tiba di bazar Ramadhan?

Melihat jualan dengan pandangan nafsu atau pandangan keperluan?
Andai pandangan nafsu yang menjadi rujukan, pasti pembaziran adalah pengakhiran.



Dan yang terakhir, sejauh mana kualiti satu Ramadhan saya dan anda? Target yang kita tetapkan iaitu Taqwa, mampukah kita meraihnya jika hari-hari selepas ini sama seperti hari di 'satu Ramadhan'. 
Jika malam-malam selepas ini sama seperti 'malam pertama' Ramadhan?


Akhir : Ayuh lakukan peningkatan

Jika tidak mampu, maka kita perlu lakukan peningkatan. Itulah kesimpulan dan 'main point' yang wajar sama-sama kita lihat dan sedar. 

Walaupun kita baru berada dalam sepuluh hari pertama, bukan bermakna yang kita boleh bermain-main dan memandangnya sebelah mata.

Jika enjin di hari mula sudah dilanda pelbagai penyakit, masakan hari-hari penghujungnya enjin tersebut mampu bertahan sebagai sumber jana kuasa. Takut-takut, ia akan merosakkan sistem pengendaliannya dari dalam tanpa yang luar sedari. 

Sungguh, itu lagi menyedihkan. =(

P/s : Terima kasih kepada NaZmi Studio. Moga Allah kasih dengan anda. =)