Sunday, January 30, 2011

11
Komen
~ Badan Kehilangan Kekuatan ~

4L itu ada pada saya sekarang. Lemah, Longlai, Letih dan Lesu.


Assalamualaikum wbt.

Salam sejahtera dan ceria buat semua pembaca yang dikasihi.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah kerana dengan izinNya saya masih lagi mempunyai masa untuk menulis di laman Lautan Rabbani ini.

Sedar atau tidak, itulah salah satu nikmat yang seringkali saya dengar ketika di bangku sekolah dulu.

Ibnu 'Abbas RA. berkata bahwa Rasulullah SAW. bersabda, 


"Ada dua macam nikmat yang banyak dilupakan manusia, iaitu nikmat kesihatan dan kesempatan (umur)." (HR. Bukhari)


Itulah nikmat yang saya maksudkan. Andaikata nikmat kesempatan hidup itu sudah ditarik dari saya, mana mungkin jari-jari saya mampu menari indah di atas 'keyboard' lagi. (",)

Kemudian, jikalau kita teliti lagi hadith di atas, nikmat kesihatan juga manusia sering lalai dan alpa. Sewaktu kita sihat, pelbagai kebaikan atau ibadah yang boleh dilakukan kita tangguh, tangguh dan tangguh. Keseronokan serta hiburan itu bagaikan sudah mengatasi segala-galanya.

Oleh itu, bagi yang sedar akan dua nikmat ini seharusnya kita bersyukur kepada Allah dengan berebut-rebut membuat kebaikan. Sebagai tanda cinta dan terima kasih juga kita kepada Allah Rabbula'lamin.

Badan saya lemah sepanjang hari ini

Bermula kelmarin, kepala saya terasa berat. Selesema begitu asyik mengganggu saya. Kesannya, bersinlah saya tidak kira tempat dan masa. Kepanasan seperti sudah menakluki badan membuatkan tidur saya semalam benar-benar kurang selesa.

Pagi tadi, selepas menunaikan solah Subuh di masjid. Saya terus berbaring di atas sofa.

Badan saya betul-betul terasa lemah, longlai dan lesu. Tak bermaya. Kepala pula seperti diikat dengan benda yang berat. Saya rasa diri seakan demam. Mungkin.

Maka, sepanjang hari ini hanya katil menemani saya.

Allahuakhbar.

Dengan ini, saya mengharap kepada para pembaca yang singgah ke teratak ini sudi mendoakan saya.

Moga saya cepat sembuh, dikeluarkan dosa dari ujian ini dan bertebaran hikmah itu dari tubuh yang lemah ini.

Setakat ini saja coretan kali ini, moga Allah juga mengasihi kalian dan memberi kalian petunjuk hidayahNya.

Amin.

Yang mengharap doa kalian,
~ MQ ~

Saturday, January 29, 2011

3
Komen
~ Sudah Tiga Bulan Rupanya ~

Aku akan terus melangkah dan melangkah. Pergi dengan lebih jauh. Doakan. (",)


Assalamualaikum wbt.

Apa khabar wahai para pembaca sekalian?

Moga kehidupan kita di hujung minggu ini terisi dengan perkara-perkara yang diredhai Allah.
InsyaAllah.

Sebenarnya saudara-saudariku sekalian, ada satu perkara yang ingin saya khabarkan. Nak kata 'best' tu takla sangat dan nak kata 'tak best' pun tak sangat.

 Nak tahu apa?

Blog Lautan Rabbani sudah mencapai tiga bulan kelahirannya.

Alhamdulillah.

Semakin membesar Lautan Rabbani, terasa semakin besar pula tanggungjawab saya. Semakin ramai follower yang menjejak Lautan Rabbani, terasa semakin kerdil diri saya. Semakin banyak pujian dari para pembaca yang menziarah, terasa semakin serba tak kena hati yang acapkali berdusta.

Ya Allah, Ampunilah dosaku ini.

Ampunilah segala tindak-tandukku yang berupa omongan kosong semata.

Ampunilah penulisanku yang acapkali berlari dusta.

Ampunilah perasaan hatiku yang rasa bangga dan megah itu terkadang bertakhta.

Aku takut ya Allah dengan azabMu.

Tidaklah aku menulis ini hanya untuk diriku sendiri.

Tidaklah aku menulis ini adalah untuk memantapkan jiwaku yang terasa mati.

Tidaklah aku menulis ini melainkan mengharapkan keredhaanMu yang suci.

Tidaklah aku menulis ini demi kebahagian di akhirat nanti.


Jika saya salah, jangan membenci saya.

Adalah menjadi lumrah berblog hatta lumrah kehidupan bahawa manusia tidak dapat lari dari kesilapan.
Kenapa?

Sebabnya kita adalah manusia. Kita bukan malaikat. Oleh sebab itu, saya mengharap agar para pembaca Lautan Rabbani sudi memberi pesanan atau teguran tatkala saya salah. Saya minta tolong sangat-sangat. Berilah nasihat. Demi kebaikan semua terutamanya diri saya.

Ketahuilah wahai para pembaca yang disegani,

Saya bukanlah penulis yang baik seperti mereka yang menulis dengan menggunakan kekuatan luar biasa iaitu kekuatan hati. Sehingga para pembaca yang membacanya pasti terpukau dan tersentuh. Sehinggakan ada yang terkesan melalui amalan.

Moga-moga saya mampu menjadi penulis seperti mereka. Yang berbicara dari hati ke hati.

Amin.


Saya tidak lebih dan tidak kurang. Sama seperti pencuci pakaian 

Sudah tiga bulan saya menulis di Laman Lautan Rabbani ini. Bagi sesetengah pihak, pasti ada yang mengatakan tiga bulan itu singkat. Tetapi bagi saya adalah sebaliknya.

Pernah saya tanya kepada diri.

Adakah apa yang saya tulis ini sudah saya amalkan dalam kehidupan?

Jawapannya ringkas. TIDAK !

Tetapi saya sedang berusaha untuk mengamalkannya.

Oleh sebab itu, saya senang dengan gelaran baru saya iaitu 'pencuci pakaian'. Kerana dengan mencuci pakaian, kuku saya juga turut bersih dan sihat. (",)


Kesimpulan ; Teruslah mendoakan saya


Bukanlah saya ini memberitahu kalian akan umur Lautan Rabbani demi meminta hadiah kelahirannya, demi meminta pujian atau jelekan daripada anda.

Tetapi saya memberitahu ini adalah demi meminta doa yang ikhlas dari kalian.

Tolonglah mendoakan saya.

Moga-moga apa yang saya tulis mampu saya amal serta praktik dalam kehidupan.

Amin.

Akhir kata, sambutlah salam mahabbah dan kasih sayang dari saya.

Assalamualaikum wbt.

Yang mengagumi kalian, (",)

~ MQ ~

Thursday, January 27, 2011

9
Komen
~ Kata Mereka Hidayah Belum Sampai ~

Bergeraklah kearahNya. Moga itu menjadi saksi.

Sering kali kita jumpa manusia-manusia yang selalu memberi jawapan yang seakan menyalah kehendak dan ketentuan Allah.

Apabila kita mengajak mereka ini untuk turut serta memperbanyak ibadah, mempertingkat kualiti amalan, pelbagai alasan yang mereka gunakan sebagai alat penangkis kepada ajakan kebaikan tersebut.

Apabila kita menasihati mereka ini agar jangan melakukan perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah, kata mereka kubur lain-lain.

Kata mereka juga hidayah masih belum sampai. Kami tak sampai seru lagi untuk berubah.

Jadi sebelum hidayah dan petunjuk itu sampai kepada kami, baik kami gunakan peluang yang ada ini untuk bermaksiat kepada Allah. Nanti bila hidayah dah sampai, semua ini tidak lagi boleh dilakukan. Lagak gurauan.

Wah-wah. Pandai pula mereka berbicara. Seperti malaikat maut itu kawan sepermainan mereka pula. Boleh menangguh kematian bila-bila masa.

Hal inilah yang amat kita bimbang kepada saudara-mara seislam kita terutamanya remaja. Itu baru mengajak mereka yang mana mengaku mereka adalah islam. Yang mana mengaku Allah itu wujud. Yang mana mempercayai pengakhiran kehidupan adalah syurga dan neraka.

Belum lagi mengajak yang entah tahu atau tidak Allah itu wujud. Maksudnya mengajak yang bukan islam.

Oleh sebab itu, kita yang memahami dan menyedari kehidupan islam sebagai jalan penyelesaian sewajibnya kita bersyukur kepada Allah atas kurniaan nikmat yang terbesar ini. Moga Allah tidak menariknya daripada kita.


Kenapa kita tidak salahkan pihak universiti?

Saya tertarik dengan satu analogi yang dibawa oleh seorang ustaz dalam ceramahnya. 

Katanya, setengah daripada kita acapkali menyalahkan Allah kerana tidak memberi hidayah kepadanya. Sebabnya seperti mana yang kita tahu bahawa hidayah milik Allah. Jadi, jahatnya mereka bukan sebab kehendak mereka tetapi adalah disebabkan hidayah Allah masih belum tiba.

Betulkah fahaman sebegini?

Maka, analogi terbaik dari ladang menyusul. (",)

Bayangkan kita mendapat tawaran untuk masuk ke salah satu universiti terkemuka di tanah air. Setelah mengisi borang dan menghadiri sesi pendaftaran, bergelarlah kita sebagai siswa dan siswi di universiti tersebut.

Rasa bangga dan seronok dengan status institut pengajian tinggi yang kita dapat masuki itu membuatkan kita rasa malas untuk pergi ke kuliyah.

Masa belajar sudah tidak disusun dengan baik. Usaha untuk menuntut ilmu sudah kabur arah pembelajarannya. Malas untuk berjumpa pensyarah. Assignment lintang-pukang. Peperiksaan seringkali hilang. Semangat belajar kering-kontang. Segala-galanya bukan lagi demi ilmu dan kejayaan.

Apabila tiba hari yang mendebarkan iaitu hari keluarnya keputusan, tercatat nama kita dalam senarai nama-nama pelajar yang gagal.

Ketika itu, adakah kita akan menyalahkan pihak universiti kerana memberikan keputusan gagal kepada kita?

Sudah pasti ' tidak ' adalah jawapannya. kerana gagal itu adalah disebabkan diri kita sendiri. Kita sendiri yang membuat keputusan samada mahu atau tidak untuk merangkul kejayaan. Keputusan di tangan kita. Kenapa pihak universiti yang perlu dipersalah?

Atau bagaimana? (",)


Mahukan hidayah perlulah barubah dan berusaha 


Begitu jugalah dalam konsep mengharapkan hidayah Allah.

Ya. Kita semua mahukan hidayah. Hidayah dari Allah yang Maha Esa. Andaikata kemahuan kita kepada hidayah itu hanyalah seperti seekor lalat hinggap di batang hidung dengan kata lain acuh tak acuh, mustahil untuk kita merasai hidayah Allah itu hadir menyinari kegelapan hati yang telah ternoda.

Bukan nanti hidayah itu datang dengan sendirinya.

Bukan tunggu sambil tidur dalam masa yang sama bermimpi hidayah itu sampai.

Bukan asyik dengan keseronokan dan hiburan, tetapi dalam hati mengharapkan hidayah.

Tidak.

Menjadi kewajipan kepada kita untuk berusaha mendapatkannya walaupun dengan berdoa. Apatah lagi memperbanyak amalan-amalan kebaikan. Betul tak?

" Wahai Tuhan kami, janganlah Engkau memesongkan hati-hati kami setelah Engkau berikan hidayah kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat di sisi Engkau. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pemberi Kurnia. " ( Doa dari surah Ali-Imran - ayat 8)


Moga-moga dengan usaha kita itu, Allah mengasihani kita dengan memberi curahan hidayah yang melimpah-ruah.


Amin.

P/s : Jika ada kesilapan dan kesalahan dalam coretan saya ini, mohon ditegur dan dikongsi agar kita sama-sama belajar dengan membaiki kekurangan yang ada. Terima kasih. (",)

Monday, January 24, 2011

12
Komen
~ Merasai Keadilan Allah ~

Nikmat dunia itu setitik cuma berbanding akhirat. (",)

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Apa khabar wahai pembaca yang dikasihi? Moga kita semua sentiasa berada dibawah lembayung rahmat dan kasih sayang Allah swt.

Pernah satu ketika satu soalan muncul dan berlegar-legar di kotak fikiran. Agak lama juga saya berfikir akan soalan ini. Soalan yang pernah ditanya oleh seorang yang tidak asing dalam kehidupan saya.

Mungkin disebabkan cara hidup dan latar belakang yang berbeza membuatkan kefahaman kami mengenai agama juga berbeza.


Ayuh kita fikirkan soalannya

Seperti mana yang kita tahu, Allah ini bersifat Adil bahkan Maha Adil.

Tetapi, kenapa dalam masa yang sama Allah mencipta kanak-kanak Afrika yang hidupnya kelaparan juga kebuluran? Sedangkan di negara kita kanak-kanaknya begitu asyik dengan kemewahan.

Kalau benarlah Allah itu Adil. Kenapa Allah menjadikan bayi-bayi yang tidak bersalah itu dibuang? Sedangkan mereka itu putih, bersih dan suci.

Kita dilahirkan dalam keluarga islam. Jadi sah-sahla kita boleh masuk syurga. Sedangkan mereka yang bukan islam perlu bersusah payah untuk mendapatkan islam. Mana adilnya Allah?

Inilah soalan yang saya maksudkan. Soalan yang cuba untuk mempersoalkan keadilan Allah.


Jawapan dari mereka yang saya segani


Sebenarnya, soalan-soalan sebegini tidak perlu ditanya kerana kita takut ia akan menggugahkan akidah kita.
Walaubagaimana pun, setiap apa yang ditanya tetap ada jawapannya samada secara langsung atau pun tidak.

Tentang kanak-kanak Afrika. Banyak dalam kalangan kita suka menilai dari segi lahiriyah. Terus-menerus kita kata mereka ini terseksa, tersepit dan sebagainya.

Tetapi tanpa kita sedari bahawa jika mereka itu meninggal dunia dalam keadaan lapar sebelum mencapai umur ditahap baligh, maka tempatnya adalah syurga. Kerana siapa yang meninggal dunia dalam keadaan yang menyayat hati dalam masa yang sama belum mencapai akil baligh, syurgalah tempatnya walaupun bukan islam.

Cuma yang kita tak tahu mereka ini akan dimasukkan ke dalam syurga yang mana. Kerana itu adalah kerja Allah.

Bukankah itu satu keadilan juga bonus kepada mereka?

Mengenai bayi-bayi yang tidak bersalah itu dibuang. Jawapannya hampir sama dengan soalan yang pertama.
Cuba kita fikirkan secara logik. Bayi-bayi yang belum ternoda dengan dosa dan maksiat, adakah neraka tempat yang sesuai untuknya?

Itu baru secara logik. Bagaimana pula dengan makna yang tersirat? Maksudnya kelahiran mereka ini sudah sah-sah dijamin syurga walhal kita yang masih hidup ini, adakah sudah pasti akan ke syurga atau sebaliknya?

Apakah disebabkan kesilapan serta kesalahan yang dilakukan oleh si ibu yang melahirkannya dengan cara yang haram turut ditanggung oleh si anak yang tidak bersalah?

Sudah pasti jawapannya adalah 'tidak'.

Realitinya kita terlebih suka untuk memikirkan tentang luaran atau dengan kata lain menilai dengan pandangan dunia. Sehingga kita sanggup menimbulkan soalan-soalan yang mampu menggencarkan akidah insan lain ke arah keruntuhan keyakinan kepada Allah.

Kita yang hidup, melihat mereka (bayi-bayi yang dibuang) memangla ada timbul rasa kasihan dan simpati. Tetapi, yang dikatakan penyusunan Allah itu umpama lautan yang mengandungi seribu satu hikmah serta pengajaran.

Susungguhnya Allah Maha Mengetahui sedangkan kita tidak.

Soalan yang seterusnya pula mengenai lahirnya kita dalam keluarga islam.

Sebenarnya, islamnya kita melalui pusaka tidak beerti kita sudah tersenarai sebagai ahli syurga. Kerana iman tidak dapat diwarisi oleh sorang ayah yang bertakwa. Juga tidak dapat dijual beli.

Berapa banyak umat islam yang lahirnya disambut dengan azan. Tetapi matinya disambut dengan kebencian serta kemurkaan Allah Rabbula'lamin.

Hal yang demikian kerana mereka ini memilih jalan lain selain islam. Sehingga Allah menentukan kematian baginya dalam caturan suul khotimah, murtad dan sebagainya. Moga dijauhkan.

Menurut mufti Wilayah, di ibu kota sahaja terdapat 3000 umat Islam telah murtad dan kesemua mereka telah mendaftar untuk pertukaran nama di pejabat pendaftaran.Manakala di tempat-tempat lain tidak dipastikan bilangannya secara tepat. rujukan

Lihat. Jika ini keputusan yang diambil oleh mereka, apa bezanya mereka dengan 'non muslim'?

Allahuakhbar.

Bagi yang 'non muslim' pula, adalah menjadi tanggung jawab kita sebagai orang islam untuk mengajak mereka 'non muslim'. Apa guna kita ini islam tetapi hanya mencari kelemahan islam untuk dijadikan alasan sebagai penolakan hukum-hukum yang ditetapkan. 

Firman Allah ;

" Kamu adalah sebaik-baik ummat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran serta beriman dengan Allah Taala. " (Ali-imran : 110)

Sebab itulah Allah menciptakan syurga-syurgaNya secara berperingkat. Mengikut tahap ibadah serta amal islami yang telah dilakukan semasa di dunia. 


Bukan nanti lahir dalam islam sudah dijamin syurga. Tetapi iman itulah sebagai kayu pengukurnya. Ya, iman.



Kesimpulan : Yakin dengan Allah

Kita hidup di atas muka bumi ini sebenarnya untuk apa? 

Sedar atau tidak kita semua akan balik kepada Allah satu hari nanti. Apabila baliknya kita kepada Allah, ketika itu barulah kita akan tahu di mana keadilan Allah yang kita sering cari selama ini. 

Kita adalah insan yang mengaku bahawa kita islam. Sewajibnya keyakinan yang utuh dan teguh kita pasakkan dalam hati sanubari kita agar dengannya kita tidak mudah tersasar jauh tatkala iman jatuh keletihan.

Bukan setakat itu, berfikiran positif dengan penyusunan Allah sewajarnya kita tanamkan dalam diri sejak dari awal lagi. 

Moga-moga buruk sangka kita kepada Sang Pencipta tidak terlintas sedikit pun di kotak fikiran kita.


Firman Allah:

"Sesungguhnya Allah tidak menzalimi seseorang walaupun sebesar zarah dan jika ada kebaikan sebesar zarah nescaya Allah akan melipat gandakannya serta memberikan dari sisi-Nya pahala yg besar." (ayat 40 surah An-Nisa’)


Firman Allah juga:

(Maka bersabarlah) karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak."  (QS An Nisa’: 19)


Firman Allah:

" Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cobaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan." (QS Al Anbiya`:35)


Maka, kalian masih mahu mengatakan Allah tidak adil? 

Sunday, January 23, 2011

13
Komen
~ Menjejak ke Lubuk Hati ~

Kami mengharapkan belas kasihan Mu ya Allah. ~ picture by iluvislam

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Segala pujian kepada Allah yang Maha Kuasa kerana dengan rahmat dan kasih sayangNya, kita masih diberi peluang untuk menghirup udara segar di pagi hujung minggu ini.

 Bayangkanlah saudaraku.

Andai tika ini bukan milik kita? Andai saat ini bukan lagi milik kita? Adakah kita sudah bersedia untuk pulang bertemu dengan raja segala raja iaitu Allah swt.

Bicara hati kecilku di dalam sana

Amalanku selama ini adakah sudah cukup?

Kebaikan-kebaikan yang aku buat entah diterima atau tidak oleh Allah ni?

Atau aku sahaja yang perasan banyak amalan kebaikan itu?

Hubungan aku dengan mak ayah, ahli keluarga, guru-guru, dan kawan-kawan jauh mahupun dekat, adakah ku sulami dengan rasa cinta kerana Allah?

Orang yang pernah bersamaku walau tidak semua menyatakan aku ini baik . Tetapi baikkah aku di mata Allah?

Pujian demi pujian sering dilontarkan untuk diri yang lemah ini. Tanpa aku sedar semua pujian itu adalah kerana sekuman nikmat yang Allah berikan kepada diri ini. Adakah aku bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan itu? Pernahkah aku balikkan pujian manusia itu kepada Yang Memberi Nikmat?

Dosa yang telah aku lakukan sepanjang perjalanan kehidupanku ini adakah sudah terampun?

Dosa kepada mereka yang menghiasi hidupku. Adakah masih menggunung?

Silap dan salahku kepada insan-insan yang mengasihiku. Adakah telah terbakar?

Kekasaranku kepada makhlukNya yang tidak bersalah. Bagaimana?

Terasa hina diri ini Ya Allah. Aku bukan hambaMu yang baik.

Aku bukan hambaMu yang bersyukur Ya Allah. Pelbagai nikmat yang Engkau curahkan kepada diri ini, yang nikmat itu tidak Engkau curahkan kepada hambaMu yang lain. Tetapi kenapa aku suka menyalah gunakan nikmat itu? Kenapa?

Ya Allah. Engkau teguhlah jiwaku ini di atas jalanMu. Jangan Engkau pisahkan diri ini dari hidayah dan rahmatMu. Kerana aku tidak mampu untuk terus hidup tanpa kekuatan dariMu Ya Allah. Andai umurku sudah menghampiri ke penghujungnya, maka akhirilah nafasku dalam caturan Husnul Khatimah.

Agar ku bisa merasai kemanisan dan kebahagiaan syurgaMu.

Inilah diriku. Sering alpa dengan nasihat agamaMu Ya Allah.

Sering dusta dengan makhluk Mu ya Allah.

Sering lupa dengan kurniaan nikmat dan kasih sayangMu.

Sering leka dengan keseronokan dunia bak bangkai pujaan musuhMu.

Peliharalah aku dengan pelukan iman Ya Allah. Moga dengannya aku tidak jatuh lesu dihempap fatamorgana sementara.

Artikel ini untuk diri penulis

Sebelum ini, hampir kesemua coretan saya adalah untuk berkongsi dengan para pembaca sekalian. Tetapi kali ini, saya menulis khas buat diri yang mengharapkan doa kalian.

Sejujurnya, saya bukanlah manusia yang terbaik untuk memperlihatkan khuluk hassan kepada kalian wahai saudara dan saudariku. Tidaklah saya ini mampu untuk dijadikan contoh melainkan dengan izinNya.

Dahulu saya adalah manusia yang lain. Sekarang saya adalah manusia yang lain. Cuma saya takut, kelainan serta perubahan ini setitik pun tidak mendapat redha dari Allah malah menambah lagi kemurkaanNya. Moga dijauhkan.  :(

Wahai diri yang bernama Muhammad Qawiem.

Berubahlah!

Berubahlah!!

Berubahlah!!!

Bukankah ini peluang kedua yang Allah berikan selepas musibah itu?

Wednesday, January 19, 2011

5
Komen
~ Manusia Sebenarnya Lemah ~

Kerdilnya kita agak susah untuk kita merasai. Setuju?


Untuk kali ini, saya hanya sekadar untuk mengajak rakan-rakan sekalian untuk kita sama-sama berfikir dan merasai kebesaran Allah.

Ceritanya bermula.

Bismillahirrahmanirrahim.

Pernah satu malam, dengan izin Allah saya telah mengikuti kuliah Maghrib bersama penceramah jemputan iaitu ilmuwan tersohor tanah air di salah sebuah masjid di Perlis. Insan yang saya maksudkan adalah Prof Dr. Sidek Baba. Subhanallah. Kagum dengan beliau akan ilmu yang melimpah melalui bicara. (",)

Penyampaian yang santai serta bersesuaian dengan setiap lapisan umur masyarakat antara kelebihan atau aset yang dapat menarik minat penduduk sekitar untuk membanjiri masjid tersebut.

Sebenarnya saya amat tertarik dengan salah satu intipati ceramah beliau yang pada saya mempunyai makna tersurat juga tersirat bagi mereka yang berfikir dan melihat.

Pada awalnya, beliau bertanya kepada sidang pendengar yang telah memenuhi Masjid Padang Katong itu.

" Ibu-ibu dan bapa-bapa! Pernah tak kita berusaha untuk memberi kefahaman Islam kepada anak-anak? Atau membuat mereka berfikir akan kebesaran Allah? "

Beliau menyambung kembali kata-kata dengan memulakan satu usul.

" Cuba ibu-ibu dan bapa-bapa perhatikan. Manusia mampu membina jalan raya bertingkat. Manusia juga mampu memperluas jalan raya sehingga satu haluan itu kadang-kadang ada empat laluannya. Semua ini untuk apa? Untuk mengelak dari berlakunya kemalangan antara kenderaan yang semakin banyak. Untuk mengelak dari kesesakan jalan raya yang teruk. Untuk mengatasi masalah lewat datang kerja. Tetapi adakah masalah-masalah ini mampu dielakkan? "

Kelihatan ahli qaryah mula tertarik dengan soalan yang diutarakan. Tanpa menunggu jawapan daripada para pendengar yang hadir, beliau sendiri yang menjawabnya.

" Sama sekali tidak. Kemalangan tetap juga berlaku. Kesesakan masih tetap ada. "

" Tetapi ibu-ibu bapa-bapa, cuba kita lihat bintang di langit. Bintang juga bergerak. Bintang juga banyak. Tetapi kenapa tidak ada pelanggaran? Tidak ada pertembungan? Subhanallah. Inilah yang menunjukkan kepada kita akan kekuasaan Allah dan memperlihat kepada kita bahawa penciptaan manusia itu ada kelemahan. "

Saya mula tersenyum sendiri ketika itu. Benar. Inilah kekuasaan Allah dan ini jugalah kekurangan manusia.

Yang dikatakan manusia itu tetap ada kelemahan dan kekurangan. Mana mungkin setiap apa yang diciptakan adalah seratus peratus 'perfect'.

Allah telah mengatakan di dalam Al-Quran.

FirmanNya :

"Allah hendak meringankan (beban) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An-Nisa': 28)


Lihat saudara-saudariku. Kita hanyalah hamba Allah yang lemah. Siapalah kita andai kelebihan dan kebolehan yang ada pada kita itu tidak dianugerah oleh Allah. 


Adapun di dunia ini, segala pujian serta pujaan daripada manusia kepada kita bukannya sebab daripada kehebatan kita walaupun bakat serta potensi hanya senipis kulit bawang itu ada. 


Tetapi segala pujian itu adalah kerana Allah menutup keaiban kita dalam masa yang sama semuanya adalah dibawah kekuasaan Allah yang ingin menguji kita.


Justeru, sedarlah wahai pemilik hati insan. Rendahkanlah keegoan diri kerana sesungguhnya kita tidak punyai apa-apa andai maksiat itu ibarat seperti seekor lalat yang hinggap di batang hidung. 


Marilah kita balik kepada Allah dengan kerendahan hati yang takut kepadaNya.


Alhamdulillah.

P/s : Saya adlh manusia yang sedang mencuci kain. (",)

Monday, January 17, 2011

16
Komen
~ 1.1.11 - Sejarah Buat Mereka ~

Selamat Pengantin Baru (",)

Alhamdulillah, marilah sama-sama kita merafa'kan setinggi-tinggi rasa syukur kita kepada Allah swt kerana dengan izinNya kita masih diberi peluang untuk merasai nikmat iman dan islam.

Selawat dan salam kita panjatkan kepada rasul mulia Nabi Muhammad saw kerana dengan perjuangan baginda dan para sahabat kita dapat merasai nikmat iman dan islam.

Sahabat-sahabat sekalian, jangan kita pandang remah akan dua perkara ini. Sebabnya, tanpa dua perkara ini kita bukan lagi tercalon sebagai ahli Jannah.

InsyaAllah, penulisan kali ini ingin saya terbangkan kepada dua insan bertuah. Dua insan yang telah memegang rekod 15th gen. Haha.

Dua insan yang saya maksudkan tak lain dan tak bukan adalah...

Moga kekal hingga ke akhirnya (",)

Saudara Muhammad Taufiq bin Montasir bersama pasangan sehati sejiwanya Saudari Nur Sarah binti Mohamad Azir.


Masjid Ubudiyyah adalah tempat yang telah menjadi saksi pasangan pengantin ini. Berbekal cinta yang suci akhirnya mereka selamat diijab kabulkan. Alhamdulillah.




Keluarga pengantin (",)


Rakan seperjuangan sebelah pengantin lelaki  (",)

Rakan seperjuangan dari sebelah pengantin perempuan


Dengan kehadiran ahli keluarga serta rakan seperjuangan dari kedua belah pihak pasangan pengantin sikit sebanyak dapat memeriah suasana ketika itu.


Pelbagai usikan serta gurauan dari sahabat-sahabat seperjuangan seakan penyeri yang menghiasi hari yang bersejarah itu.


Sangat kagum.  =)


Buat sahabatku Taufik, Selamat Pengantin Baru. Moga sepanjang perjalanan hidup anta bersama yang tersayang dicucuri rahmat dari Allah Rabbula'lamin. Ajaklah zaujah anta solah berjemaah jika berkesempatan kerana itulah satu-satunya tips asas agar hubungan antara kalian berdua berkekalan hingga ke akhir hayat. Macam dah biasa plak. haha.


Mungkin akan ada yang kata, hari perkahwinan dah lama lepas kenapa baru nak ucap. Ya, saya setuju dengan mereka yang berkata begitu. 


Tetapi bagi pasangan raja sehari, saya yakin perkahwinan yang sudah lama lepas itu terasa kelmarin baru berlangsungnya majlis akad nikah. Betul tak?


Sebagai akhir kata buat pasangan merpati dua sejoli. Saya mewakili sahabat-sahabat yang tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan menyusun sepuluh jari meminta maaf kepada kalian. Walaubagaimana pun, doa kami tetap mengiringi bahtera kehidupan kalian.


Moga Allah berkati hubungan antara kalian. Amin.


بارك الله لكما وبارك عليكما وجمع بينكما في خير


Bunga melati di hujung dahan,
disunting putera dengan cermat,
suami isteri berkasih-kasihan,
seperti nabi kasihkan ummat.

ikan todak si ikan pari, 
ikan linang di atas para,
adapun adat bersuami isteri,
moga bahagia hingga ke syurga.


Sekian terima kasih (",)


Buat para pengunjung yang baik hati, anda dijemput untuk ke teratak mereka.
FiqraLurve ]


P/s : Juga buat sahabat-sahabat serta sahibah-sahibah 15th gen sekalian, siapa pula yang akan menyusul selepas ini? Ayuh kita nantikan. =)

Sunday, January 16, 2011

0
Komen
~ Memiliki Khazanah UDMZ ~

Insan yang disegani. Terharu apabila memiliki khazanah yang pernah berjasa kepada beliau.

Assalamualaikum wbt.

Salam pembuka bicara juga sebagai doa buat kalian agar sihat dan bahagia di atas jalan-Nya.

Alhamdulillah, bersyukurlah kepada Allah kerana dengan kasih sayang-Nya kita masih diberi peluang untuk hidup. Maksudnya pintu taubat masih terbuka untuk kita. Jadi?

Fikir-fikirkanlah saudaraku. (",)

InsyaAllah hari ini saya ingin meluahkan rasa bahagia saya kepada kalian.

Aha. Beberapa entry saya yang lepas, saya ada menceritakan bahawa saya telah ditimpa kemalangan. Kemalangan yang agak ngeri yang pernah saya amati sepanjang kehidupan ini.

Kesan daripadanya kedua kaki saya mengalami kecederaan dan yang paling teruk adalah kaki kanan. Hal ini kerana walaupun kaki kanan saya semakin pulih tetapi ke'original'annya sudah tidak sama dengan sebelumnya (sblm kmlgn). Perkara ini juga sudah saya nyatakan dalam entry yang lepas.

Tetapi untuk mengkhabarkan kenapa saya bahagia pada hari ini, molek kiranya jika saya starting coretan ini adalah seperti di atas agar kalian benar-benar memahami.

Segalanya bermula di sini


Hampir empat bulan setengah kejadian kemalangan yang mengerikan itu meninggalkan saya. Semuanya adalah kenangan yang tidak akan saya lupakan. Terharu, sedih, takut, gementar, boring, bosan, seronok dan bahagia adalah intisari yang bernilai dalam menghiasi kenangan ini.

Jika sebelum ini saya telah menceritakan tentang kebosanan, maka di saat ini saya akan menceritakan pula tentang kebahagian.

Apa yang bahagia sangat sampai perlu diceritakan di sini? (",)

Jawapannya ringkas. Saya telah memiliki khazanah Almarhum Ustaz Dahlan Mohd. Zain iaitu tongkat beliau. Mungkin ada yang bertanya. Siapa Almarhum Ust Dahlan?

Ringkas daripada saya.

Beliau adalah murabbi serta pengetua di sekolah saya iaitu MATRI dahulu. Kehadiran beliau dalam kehidupan saya banyak mengajar saya erti kehidupan itu indah jika disulami dengan rasa takut kepada Allah.

Beliau adalah insan yang bersemangat waja dalam melakukan kerja-kerja Islam. Rasa jemu atau bosan dengan risalah yang dibawa oleh baginda Nabi SAW seolah-olah tidak ada dalam kamus hidup beliau.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang beliau, anda boleh layari di sini. Usrah keluarga

Sebab itu saya terharu apabila memegang tongkat kepunyaan insan yang banyak jasanya kepada agama.

Saya miliki tongkat beliau bukan untuk saya simpan macam dalam muzium. Tetapi saya miliki adalah untuk saya guna dalam kehidupan. Guna macam mana? Saya guna ketika berjalanlah maksudnya. Nanti kata saya ambik buat minum pulak. (",)

Bukan senang nak pakai tongkat Almarhum Ust Dahlan ni.

Walaupun tongkat ini tidaklah sehebat tongkat Nabi Musa, tetapi saya yakin bahawa tongkat ini pernah berjasa kepada Almarhum ketika hidup.

Mudah-mudahan sepanjang perjalanan hidup saya dangan bantuan Khazanah Almarhum Ust Dahlan ini dapat memberi kekuatan serta syuur kepada saya agar lebih bersemangat membawa agama Allah di atas muka bumi.

Ya Allah, Engkau rahmatilah Almarhum Ustaz Dahlan. Ampunilah segala dosa dan kesilapan beliau. Masukkanlah beliau ke dalam syurga bersama-sama para rasulMu. Moga Rohnya dicucuri rahmat dan kasihMu di sana.

Berkatalah amin wahai pembaca budiman.

Terima kasih.

Wednesday, January 12, 2011

15
Komen
~ Keletihan Dalam Kerehatan ~

Bersyukurlah kepada Allah kerana Allah Maha Tahu. ^^
Assalamualaikum wbt.

Salam bahagia dari insan yang lemah ini buat kalian yang dikasihi.

Saya sebagai orang yang menetap di seantero utara Malaysia, mungkin rasa lebih feel kalau saya tanya khabar kalian dengan loghat utara. Betul tak?

Apa habaq orang-orang kampung?
Sehat ka tak sehat?

Alhamdulillah, mudah-mudahan hampa semua sehat-sehat selalulah no..  (",)

Sebenarnya, saya ingin memberitakan tentang diri saya kepada anda semua. Satu hikmah yang saya lalui dengan mata badan saya sendiri. Sehingga di tika ini, hikmah itu masih dibuai di fikiran sendiri.

Pernah satu ketika Allah mengizinkan diri ini mempunyai kelapangan waktu yang panjang. Selepas kejadian kemalangan yang menyebabkan paha kanan saya patah dan beberapa bahagian di kedua-dua lutut terkoyak. Dua puluh empat jam sehari terasa macam tidak ada penghujungnya. Boring umpama beban. Bosan ditahap gaban.

Kenapa 'ditahap gaban'?

Sebabnya statik, berseorangan atau pendiam bukan sifat yang saya gemari dan minati. ^-^

Sehingga saya pernah bertanya kepada diri, bilakah saat kerehatan ini akan berakhir?

Yalah, hanya mampu berada di atas katil. Nak bergerak sangat tak boleh. Macam-macam tak boleh. Nikmat kebebasan itu bagaikan sedikit dicabut daripada diri yang lemah ini.

Terfikir juga seorang diri, rupa-rupanya kerehatan juga mampu membawa kepada keletihan. Badan yang kurang pergerakan juga mampu membawa kepada kepenatan. Otak yang tidak dimanfaatkan sepenuhnya juga  mampu membawa kepada kelelahan dan kelesuan.

Masakan tidak, terasa longlai dengan keadaan diri yang tidak dapat bergerak bebas.

Ketika itu, jiwa saya benar-benar runtun insaf. Terbayang kepada insan-insan yang tidak berpeluang untuk menjalani kehidupan di dunia ini sebagai makhluk yang bergelar manusia normal.

Maksudnya keperitan dan kepayahan yang mereka alami adalah lebih besar jika mahu dibandingkan dengan kepayahan yang saya alami. Melihat akan perkara ini, saya benar-benar kagum dengan kesabaran mereka. Moga mereka mendapat ganjaran kebaikan demi kebaikan di akhirat kelak

Oleh sebab itu, saya selalu berpesan kepada diri bahawa setiap ketentuan Allah ini ada hikmah disebalik kejadian.

Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” (Surah Al Baqarah : 216)


Saya teringat akan kata-kata nukilan penulis berbakat iaitu Pahrol Mohd. Juoi ;

Beliau mengatakan bahawa sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. 


Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.


Moga-moga keimanan yang kita bina daripada hikmah yang beriringan ini mampu membimbing kita semua ke jalan yang lurus iaitu jalan yang Allah redhai.


Wallahua'lam. ^-^

P/s : Suka saya mengungkapkannya ; Hiba di hati pasti terukir, saat indah itu lahir, membuat diriku terus berfikir, kenapa waktu cepat berakhir, apakan daya itu semua takdir, akhirnya pujian menjadi zikir. (",)

Alhamdulillah.

Sunday, January 9, 2011

10
Komen
~ Kita Pernah Bersama ~

Detik bahagia itu umpama persis embun yang datang hanya sementara


Salam bahagia buat semua.


InsyaAllah. Coretan kali ini mungkin tak nama coretan sangat. Sebabnya, lebih banyak gambar yang akan menghiasi post kali ini.


Gambar yang dimaksudkan adalah gambar-gambar mereka yang pernah bersama diri saya satu ketika dahulu.
Kehadiran mereka ke dalam hidup saya benar-benar memberi banyak pengalaman dan nostalgia samada pahit mahupun manis.


Jadi, dengan sukacitanya saya mempersilakan kalian untuk menampilkan diri.



Moga terus kekal sampai ke penghujungnya. (",)


de camp addmath. jumpa kalian di puncak kejayaan




Kebahagian dlm kekenyangan



Medan seterusnya.


Bila saat ini akan kembali?



Mereka di mesir, dahulu satu kelas.



Art's team. Ada gaya x?


Semakin bergaya bila dh besar



haha

kautsar & salman



dia di morocco ~ ahmad fathullah rosli ~




hanif


byk membantu, brohamzah & ust muhtad



Moga Allah berkati. akhi sahel



moga Allah redha. Jom ke langit ilahi (",)


Haa.. Mereka inilah yang saya sedang rindukan sekarang. 

Ada lagi sebenarnya yang lain. 

Cuma cari gambar masih tak jumpa.

InsyaAllah, sekian dulu perkongsian ringkas daripada saya. Di samping saya memperkenal teman seperjuangan, post ini juga sebagai penghargaan kepada mereka. 

Ayuh kita doakan agar kita semua tergolong dalam golongan orang yang mendapat kasih sayang dan rahmat Allah. Amin.


P/s : Mungkin akan ada beberapa gambar yg malu utk memunculkan diri. Jadi saya harap anda bersabar menantinya. Terima kasih. (",)

Wednesday, January 5, 2011

16
Komen
~ Jiwa Terasa Kuat ~

Ya Allah. Tuhan yang membolak balikkan hati. Tetapkanlah hati ini di atas jalanMu.

Salam perjuangan buat semua rakan blogger dan pembaca sekalian.

InsyaAllah.

Coretan kali ini hanyalah sekadar diari dan luahan yang cuba diadaptasi oleh penulis ke dalam buku istimewa ini.

Hari ini tanggal 5 Januari 2011 bersamaan hari Rabu, aku kembali ke lubuk mutiara iaitu MATRI singkatan dari Mahad Attarbiyah Al-islamiyah. Lubuk yang mumpunyai kenangan pahit manis hidupku sewaktu di alam persekolahan. 

Di sinilah aku membesar. Belajar erti mahabbah sesama muslim. Belajar erti persaudaraan kerana Allah. Hormat-menghormati bahkan pelbagai sifat mahmudah itu ibarat modul wajib yang dipasak ke dalam jiwa para pemuda dan pemudi.

Sebenarnya, aku belum lagi ber'status' lepasan di intitusi ini. 

Tetapi disebabkan hampir lima bulan tidak memunculkan diri, terasa asing pula apabila timbul semula dengan keadaan diri yang sudah tidak seperti dulu.

Macam mana tu? Makin hensemla maksudnya. Haha. (",)

Apa-apa pun aku bersyukur kepada yang Maha Kuasa atas segala kecukupan dan kemudahan yang diberikan. Terima kasih Allah.

Aku pergi ke sana bersama Nabil. Sahabat baikku yang banyak membantu. Dialah antara sahabat yang banyak menggembirakan perjalanan hayatku. Tatkala susah mahupun senang. Thank you bro.

Semasa dalam perjalanan ke sana, Salman teman karibku menghubungi. Katanya mahu ikut juga ke Matri. Tetapi apakan daya bak kata pepatah ; terlajak perahu boleh diundur, tetapi terlajak waktu? Tertinggallah jawabnya. Mungkin Allah susun di lain hari. Untuk pengetahuan, Salman dan Nabil merupakan sahabat se'batch' aku ketika sekolah menengah.

Kami tiba di Matri dalam pukul 8.oo am. Lewat. Sebabnya jalan di Kangar pagi tadi agak beratur keretanya.
Alhamdulillah, yang penting selamat sampai.

Apa lagi bila dah sampai, rasa rindu kepada guru-guru dan adik-adik dapat diubati apabila bertemu dengan mereka. Terutamanya apabila berjumpa dengan Cikgu Norizan the teacher of biologi. Antara guruku yang banyak menziarahi aku ketika sakit baru-baru ini. Moga Allah merahmati cikgu.

Saat berada di Matri membuat jiwa kepemudaanku tercabar apabila melihat sahabat-sahabatku sibuk dan aktif meng'organize' itu dan ini. 

Biasalah sudah menjadi adat di sekolah ini, yang paling tua dan berpotensi akan mengepalai kesulurahan aktiviti. Moga urusan kalian dipermudahkan. InsyaAllah.

Walau bagaimana pun, aku terasa kuat apabila dapat berjumpa kembali guru-guru yang tidak lokek dengan nasihat dan kata-kata semangat. Usah diberi nasihat, melihat mereka sahaja jiwa sudah terasa kuat. Masakan tidak, melihat kepada umur seperti tidak percaya akan pengorbanan masa yang mereka berikan untuk mendidik dan mentarbiyah generasi pewaris.

Akhir kata, moga apa yang kulalui hari ini dapat memberikan jiwa ini penawar agar kembali subur untuk melaksanakan apa yang dipertanggungjawabkan.

Berkatalah amin wahai pembaca sekalian.

Terima kasih.   

Tuesday, January 4, 2011

8
Komen
~ Ringkas ; Kesedaran Al-Quran ~

Kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya jika kamu berpegang teguh dengannya.




Assalamualaikum WBT. 

Apa khabar wahai para pembaca sekalian? 



Mudah-mudahan kita sentiasa berada di dalam buaian rahmat Allah. Insyaallah.

Hari ini, saya nak bongkarkan satu rahsia.



Nak tahu apa rahsianya?


 Ini.


Ummat Islam adalah satu-satunya ummat yang paling beruntung di dunia sekarang ini.

Kenapa?

Kerana dalam keadaan dunia yang kian gelap ini, kita memiliki wahyu Allah yang masih terpelihara dalam keadaan utuh, bebas dari kekotoran dan campur tangan manusia. 



Setiap kata-kata yang ada di dalamnya masih tetap sama dengan waktu ia diturunkan kepada nabi yang kita sanjungi iaitu Rasulullah SAW.

Namun, sebahagian daripada kita juga merupakan ummat yang paling malang di dunia ini kerana walaupun kita mempunyai wahyu Allah tetapi kita tidak mendapat berkat dan manfaat daripada wahyu tersebut. 



Inilah yang menyedihkan. Sedih sebab kesedaran itu masih tidak timbul.

Kesedaran akan perihal Al-Quran yang diturunkan bukan sekadar untuk kita membacanya tetapi untuk kita memahami dan melaksana petunjuknya. 



Kita disuruh menegakkan pemerintahan di bumi Allah ini agar berfungsi sesuai dengan hukum Allah berpandukan Al-Quran. 


Tetapi persoalannya, andai kata tanpa kesedaran bagaimana mahu memerintah dan melaksana?



Ketika khutbah Haji Perpisahan, Rasulullah berucap (seperti diriwayatkan Al-Hakim bersanadkan Ibnu Abbas): 


“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kalian (satu peninggalan berharga), seandainya kamu berpegang dengannya nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu Kitab Allah dan sunnah nabi-Nya.” Rujukan


Akhir kata, saya cadangkan kepada anda untuk klik di sini. Lihatlah keagungannya. Moga bermanfaat.


Allahuakhbar.


Ya Allah. Musnahkanlah tembok ketinggian ego dalam hati kami ini agar kami mudah mendapat petunjukMU.


Amin.




P/s : 1 - Saya adalah manusia yang sedang mencuci kain.





Sunday, January 2, 2011

7
Komen
~ Dia tidak menolong ~

Akanku sesatkan mereka sehingga hari kiamat ~ syaitan laknatullah ~


Seorang lelaki muda bangun di awal pagi untuk solat subuh di masjid. 

Dia berpakaian, berwuduk dan kemudiannya berjalan menuju ke masjid. Di pertengahan jalan lelaki itu terjatuh dan pakaiannya kotor. Dia bangkit sambil membersihkan bajunya, dan pulang ke rumah. Di rumah dia berganti baju, berwuduk kembali dan berjalan semula menuju ke masjid. 

Dalam perjalanan ke masjid, dia terjatuh lagi di tempat yg sama! 


Dia sekali lagi bangkit lalu membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Dirumah dia berganti baju buat kedua kalinya, berwuduk dan berjalan lagi menuju ke masjid. 

Dalam perjalanan menuju ke masjid, dia bertemu seorang lelaki yang memegang lampu. Dia menyapa lalu lelaki itu menjawab ; 



"Saya melihat kamu jatuh 2 kali semasa berjalan menuju ke masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan kamu." 


Lelaki muda itu mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid. 

Saat sampai di masjid, lelaki muda itu mengajak teman barunya yang membawa lampu untuk masuk bersolat subuh bersamanya. Lelaki tadi menolak. Berkali-kali diajak tetapi jawapannya tetap sama. 

Lelaki muda itu bertanya, kenapa menolak untuk masuk bersolat. Lelaki pembawa lampu tersebut menjawab: 

" Aku adalah Syaitan. "

Lelaki muda itu sungguh terkejut..! 

Syaitan menjelaskan; 



''Saya melihat kamu berjalan ke masjid dan sayalah yang membuat kamu terjatuh. 

Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah mengampunkan semua dosamu. Saya membuatmu jatuh kedua kalinya, dan itupun tidak membuatmu merubah fikiran tetapi tetap kembali ke masjid. 

Kerana itu, Allah mengampunkan dosa seluruh keluargamu. 


Saya KHUATIR jika saya membuatmu jatuh ketiga kalinya, mungkin Allah akan mengampunkan dosa seluruh penduduk desamu, jadi saya harus memastikan bahawa kamu tidak terjatuh lagi dan sampai di masjid dengan selamat."

Fikir-fikirkan saudaraku. ^-^